Jumaat, 9 Mac 2012

ISU PERKHIDMATAN AWAM : Gaji, COLA naik


Oleh Johari Ibrahim dan Haika Khazi
bhnews@bharian.com.my


PM umum pemansuhan SBPA, Sistem Saraan Malaysia ditambah baik

PUTRAJAYA: Berita gembira buat 1.4 juta kakitangan awam apabila kerajaan semalam mengumumkan pelarasan gaji tujuh hingga 13 peratus bagi semua gred penjawat awam, selain kenaikan Elaun Sara Hidup (COLA).

Dalam pengumuman yang disiarkan secara langsung melalui TV1 dan TV3, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut mengumumkan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang diperkenalkan 1 Januari lalu tetapi banyak menimbulkan kontroversi, dibatalkan.
Kerajaan memutuskan penggajian kakitangan awam dikekalkan di bawah sistem Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang akan ditambah baik.



Pelarasan gaji berdasarkan Jadual Gaji Matriks (JGM) SSM itu menyaksikan Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Pelaksana Gred 1 hingga 54 menikmati pelarasan sebanyak 13 peratus.

Gred Utama dan Gred Khas C, B dan A akan menikmati pelarasan sembilan peratus, Turus III dan II (lapan peratus) dan Turus I serta Ketua Setiausaha Negara (tujuh peratus).

Selain itu, kadar COLA bagi kawasan B (di antara bandar dan pedalaman) dinaikkan daripada RM200 kepada RM250 sebulan, manakala untuk kawasan C (pedalaman) daripada RM100 kepada RM150.

Pelarasan gaji itu berkuat kuasa 1 Januari lalu yang mana penjawat awam akan menerima gaji tertunggak. Difahamkan, gaji baru akan dibayar sama ada akhir bulan ini atau bulan depan.

Ia antara tujuh keputusan diumumkan Perdana Menteri pada perhimpunan khas Penjawat Awam Bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang dihadiri 15,000 penjawat awam, semalam.

Najib berkata, kerajaan faham SBPA mengundang keresahan, terkilan dan perasaan tidak puas hati dalam kalangan penjawat awam walaupun ia komited untuk mempertimbangkan semakan semula, pelarasan gaji atau satu bentuk saraan baru bagi menggantikan SSM pada tahun ini.

“Sebagai kerajaan yang merasai denyut nadi mereka (penjawat awam), sebagai kerajaan yang mendengar keluh kesah penjawat awam menerusi wakil mereka, CUEPACS, maka kita mengambil keputusan pada 12 Januari lalu supaya struktur saraan baru yang diperkenalkan, dikaji semula,” katanya.

Perdana Menteri berkata, keputusan yang diambil kerajaan itu adalah berdasarkan kepada saranan CUEPACS berkaitan saraan penjawat awam serta implikasi kewangan kerajaan yang mungkin terbabit.

“Anggota perkhidmatan awam adalah tiang seri keramat kerajaan, sebaik mana pun dasar digubal, betapa manfaat pun dasar digubal, ia tidak akan bermakna jika pelaksanaannya tidak berkesan atau tidak cekap (kerana) peranan penjawat awam sebagai pelaksana dasar adalah amat penting,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan peka dan prihatin dengan isu saraan yang dibangkitkan oleh penjawat awam yang menyaksikan semakan semula gaji perkhidmatan awam secara berkala dan yang terakhir dilakukan pada 2007 membabitkan kenaikan gaji antara 7.5 peratus hingga 35 peratus.

Najib berkata, dalam membuat keputusan, kerajaan perlu memikirkan langkah terbaik yang perlu mendahulukan kepentingan rakyat, tetapi pada masa sama faktor lain terutama keupayaan kewangan kerajaan, tidak diketepikan.

“Kerajaan amat mengharapkan kefahaman dan kerjasama penjawat awam untuk bersama-sama mengharungi dan mendepani cabaran ekonomi global yang tidak menentu walaupun kita telah berjaya mengeluarkan negara daripada gelora ekonomi global," katanya.

INFO: Keputusan lain yang diumumkan Perdana Menteri

Penubuhan suruhanjaya dianggotai oleh semua pihak berkepentingan mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia yang bukan saja membabitkan saraan, tetapi juga rupa bentuk perkhidmatan awam yang diperlukan negara pada masa depan.

Struktur gaji SSM akan diubah suai daripada Jadual Gaji Matriks kepada Jadual Gaji Minimum-Maksimum dengan kadar kenaikan gaji tahunan (KGT) bagi gred 1-54 ditetapkan di antara RM80 hingga RM320 mengikut gred. KGT bagi JUSA dan ke atas kekal menggunakan KGT SSM dengan pelarasan ikut peratus ditetapkan.

Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK), Bayaran Insentif Wilayah (BIW), Bayaran Insentif Pedalaman (BIP) dan Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP) dikekalkan.

Kerajaan mengekalkan keputusan penambahbaikan laluan kerjaya bagi guru berasaskan prinsip ‘time-based’ Pegawai Perkhidmatan Pendidikan seperti diumumkan dalam Bajet 2012.


Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan