Sikap tak kisah
kikis identiti bangsa
Oleh
Ruhaiza Rusmin
BIARPUN dianggap
bahasa picisan namun dominasi bahasa rojak dalam kehidupan masyarakat moden
masa kini cukup ketara.
Penggunaan yang
semakin meluas terutama di kalangan generasi muda juga dikhuatiri bakal
mengikis nilai identiti bangsa tanpa disedari.
Berilah pelbagai
alasan, isu bahasa rojak seharusnya ditangani segera bagi mengelakkannya terus
melarat apatah lagi sikap masyarakat yang lebih mementingkan konsep mudah dan
praktikal boleh mengancam kewibawaan bahasa standard.
Persoalannya,
mengapa bahasa rojak sangat digemari? Apakah kelebihannya?
Ketua Jabatan
Bahasa Melayu Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia,
Profesor Madya Dr Adi Yasran Abdul Aziz, berkata, penggunaan bahasa rojak yang
‘sempoi’, ‘santai’ namun bergaya adalah faktor ia menjadi pilihan.
Menurutnya,
konsep kehidupan masyarakat terutama generasi muda hari ini yang ‘malas’ untuk
berfikir juga menjaga standard menjadikan mereka lebih selesa dengan penggunaan
bahasa itu.
“Masyarakat hari
ini lebih mementingkan penampilan, bukan saja gaya tapi bahasa juga perlu
sofistikated dan mengikut perkembangan semasa.
“Bahasa rojak
tidak memerlukan unsur peraturan, justeru mudah diterima ramai menjadikan
masyarakat sangat selesa menggunakannya,” katanya.
Bagaimanapun
beliau berkata, biarpun mudah namun masih tetap mencemarkan identiti bahasa dan
budaya sekali gus menghakis jati diri bangsa.
Menurutnya,
setiap bangsa di dunia dihakimi melalui peradaban bahasa dan sosial, justeru
penggunaan bahasa rojak yang berleluasa dikhuatiri boleh menjejaskan usaha memartabatkan
keunikan identiti sesuatu bangsa.
“Bahasa adalah
imej yang melambangkan keperibadian dan ketinggian budaya bangsa, justeru
biarlah bahasa digunakan bersesuaian.
“Ramai menganggap
isu ini picisan namun kesedaran untuk menggunakan bahasa standard perlu ada.
Jika tidak ia akan mengikis penggunaan bahasa sedia secara perlahan-lahan.
“Sekali gus
membunuh nilai identiti bangsa hingga mencacatkan perjalanan bahasa untuk
generasi akan datang pula,” katanya.
Pusat Rujukan
Bahasa Melayu Dewan Bahasa Pustaka mentakrifkan bahasa rojak sebagai bahasa
yang bercampur aduk kata-kata yang digunakan penuturnya.
Dengan kata lain,
percampuran penggunaan bahasa Melayu yang diselangselikan dengan bahasa asing
seperti bahasa Inggeris sekali gus boleh menjadikan struktur ayat
tunggang-langgang.
Penggunaan bahasa
berkenaan juga lebih sinonim kepada generasi muda yang dikaitkan dengan sikap
‘tidak kisah’ dengan apa yang melanda institusi bahasa negara.
Mengulas mengapa
bahasa rojak pantas berkembang dan menjadi pilihan, beliau berkata penggunaan
yang ringkas, mudah serta senang difahami menjadikan ia dekat dengan pelbagai
lapisan masyarakat.
Malah, akuinya,
bahasa ini tidak mengenal usia, latar belakang serta status penutur menyebabkan
masyarakat mudah menerimanya.
“Lazimnya,
masyarakat memang mudah tertarik dengan sesuatu yang mudah kerana hari ini
semuanya perlu serba pantas tidak terkecuali bahasa.
“Penggunaannya
tidak salah dan isu bahasa rojak pun bukanlah isu yang perlu diperbesarkan.
Cuma penggunaan tidak terkawal terutama di kalangan pelajar sekolah boleh
memberi impak negatif dalam peperiksaan.
“Bayangkan jika
mereka menulis karangan menggunakan bahasa rojak. Bukan guru saja pening malah
memberi kesan terhadap pemberian markah sedangkan bahasa Melayu adalah subjek
wajib lulus,” katanya.
Beliau tidak
menyekat jika bahasa rojak digunakan dalam pertuturan seharian biarpun boleh
memberi kesan jangka panjang.
“Ia mungkin
menyakitkan telinga segelintir orang namun kesannya tidaklah mendalam
berbanding penggunaannya dalam penulisan peperiksaan. Fokus utama ialah
golongan pelajar.
“Ini yang perlu
diteliti dan diambil tindakan kerana saling berkait rapat dengan kepentingan
sistem pemarkahan peperiksaan. Bahasa rojak tidak diterima.
“Ini satu
kerugian sedangkan mereka boleh memperoleh markah yang baik dengan penggunaan
bahasa teratur. Inilah bahayanya bahasa rojak jika tindakan proaktif tidak
diambil,” katanya.
Akuinya, bahasa
rojak juga sudah dinilai standard sebagai bahasa Melayu campur sedangkan kerana
bahasa lain tidak menghadapi masalah serupa.
Menurutnya,
bahasa Melayu senang dimanipulasi berbanding bahasa lain kerana penggunaan
bahasa itu dipenuhi pelbagai perkataan dan kota kata indah serta puitis.
“Biarpun bahasa
Inggeris bahasa antarabangsa, ia jarang dimanipulasi kerana struktur ayatnya
kukuh. Umumnya, bahasa Inggeris juga ringkas dan terus pada maksud.
“Berbanding
bahasa Melayu, walaupun mempunyai struktur kukuh namun penggunaan perkataannya
sangat luas, panjang, indah, berbunga dan melankolik.
“Menyebabkan
mereka yang kurang sabar bertindak mencari perkataan paling mudah untuk
mengungkapkannya seperti ‘sayangkan u’ berbanding ‘sayangkan awak’,” katanya.
Perkembangan
pantas teknologi juga pada masa sama memberi kesan terhadap penggunaan bahasa
rojak.
“Penggunaan
bahasa rojak dulu hanya terbatas melalui pertuturan namun kini sudah biasa digunakan
dalam komunikasi maya menyebabkan ia semakin merebak tanpa kekangan.
“Pada masa sama,
mereka yang mempertahankan penggunaan bahasa juga mungkin sudah ‘penat’ dan
gagal bersaing dengan tempias teknologi menyebabkan bahasa rojak semakin
mendominasi.
“Sekali gus
mencacatkan usaha dilakukan bagi memartabatkan penggunaan bahasa Melayu
standard yang menjadi kebanggaan generasi dulu,” katanya.
Tidak menolak
juga kemungkinan bahasa rojak adalah pengaruh rakan, beliau berkata, perlu
disuntik kesedaran untuk mendaulat dan menggunakan bahasa yang betul.
“Sekurang-kurangnya,
ia boleh membantu memperoleh markah yang baik dalam peperiksaan. Ini bukan soal
tidak ada gaya atau sebagainya, sebaliknya kualiti dan standard yang sudah
ditetapkan.
“Justeru, perlu
wujudkan satu kesedaran di kalangan generasi muda supaya tidak terlalu
mengagungkan bahasa rojak yang bercampur baur antara bahasa Melayu dan bahasa
Inggeris,” katanya.
Antara mekanisme
boleh dilakukan ialah dengan mengadakan bengkel deklamasi sajak, penulisan
pantun, karangan, cerita pendek dan sebagainya bermula di peringkat sekolah
rendah.
“Walaupun usaha
ini terpaksa bersaing dengan teknologi, sekurang-kurangnya kepekaan asas
terhadap penggunaan bahasa yang betul sudah ada dan boleh diasah serta
dipraktikkan.
“Langkah awal
perlu disusun supaya mereka tahu menyusun rentak penggunaan antara bahasa rojak
dan keperluan bahasa standard.
“Sekali gus
menyedarkan masyarakat betapa pentingnya mempertahankan penggunaan bahasa yang
betul sekali gus tidak teraba-raba mencari nilai identiti diri dan bangsa,”
katanya.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan