Selasa, 31 Julai 2012

ISU GLOBAL : ASEAN harus proaktif selesaikan isu Rohingya


OLEH : DR. KAMARULNIZAM ABDULLAH

NAMPAKNYA nasib umat Islam Rohingya di Myanmar tidak terbela. Kumpulan etnik ini telah mengalami pembersihan etnik secara bersistematik oleh kerana dasar pemerintahan Yangoon yang enggan mengiktiraf kumpulan tersebut sebagai sebahagian daripada rakyat Myanmar.

Seorang teman yang baru pulang dari Myanmar untuk misi kemanusiaan membawa cerita yang menyayat hati. Menurut beliau nasib kumpulan Islam etnik Rohingya akan menjadi lebih teruk jika dibandingkan dengan pembunuhan beramai-ramai di Bosnia sedekad yang lalu.

Kumpulan etnik Rohingya sedang dihapuskan secara bersistematik oleh pemerintahan junta tentera dan kumpulan-kumpulan etnik lain yang mahu menghalau mereka keluar dari bumi Myanmar.

Yang terbaru ialah apabila beberapa puak lain di Rakhine, negeri di wilayah barat Myanmar, melancarkan serangan terhadap puak etnik Rohingya dengan membakar beberapa orang secara hidup-hidup. Kanak-kanak dan orang tua menderita kebuluran kerana kekurangan makanan terutamanya di bulan puasa ini.

Pihak tentera pula memukul, mengugut dan membunuh kumpulan etnik ini tanpa sebab. Ada juga laporan mengatakan bahawa wanita dan perempuan muda dirogol oleh tentera dan kumpulan etnik lain.

Di bulan Ramadan yang mulia ini sesuatu harus dilakukan untuk membela nasih puak Islam Rohingya ini. Pencabulan hak asasi yang melampau sudah tidak dapat diterima. Menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), puak Rohingya merupakan kumpulan etnik yang paling tertindas di dunia.

Malangnya masyarakat antarabangsa dan dunia Islam seperti sukar untuk melakukan sesuatu bagi membela nasib mereka. Ini mungkin kerana tidak banyak berita mengenai konflik dan kes penindasan etnik Rohingya yang dilaporkan kepada media antarabangsa sehinggakan sukar untuk memastikan nasib yang melanda kumpulan etnik tersebut.

Sumber utama adalah dari mereka yang baru pulang dari kawasan konflik tersebut ataupun melalui kumpulan bukan kerajaan (NGO) yang melakukan misi kemanusiaan.

Apa yang lebih menyedihkan perubahan dan transformasi politik yang melanda Myanmar setakat ini tidak diterjemahkan kepada kehidupan yang lebih baik untuk puak Rohingya.

Malahan pemimpin pembangkang utama dan ikon hak asasi manusia Myanmar, Aung San Suu Kyi dilaporkan mengelak untuk membicarakan pembunuhan sistematik terhadap puak Islam Rohingya. Beliau gagal untuk mengkritik kerajaan Thein Sein yang dilaporkan akan menghantar lebih 800,000 puak etnik ke kem-kem pelarian di sempadan Bangladesh.

Kuasa-kuasa besar barat dan negara jiran pula lebih menumpukan kepada peluang-peluang pelaburan di Myanmar setelah perubahan politik yang melanda. Bagi Barack Obama, apa yang lebih penting ialah bagaimana untuk mengatasi pengaruh China yang telah berakar umbi sewaktu Myanmar dipulaukan oleh masyarakat antarabangsa sebelum ini.

India sebagai kuasa besar terdekat juga gagal untuk menyuarakan kebimbangannya terhadap isu hak asasi manusia puak Rohingya kerana mahu memelihara hubungan yang terjalin terutamanya apabila Delhi mahu mengambil kesempatan dari keterbukaan ekonomi Myanmar.

Pergerakan negara-negara Islam (OIC) tidak mempunyai taring membangkitkan hal ini. Tiada satu resolusi atau sidang khas untuk membincangkan nasib puak Rohingya. Setakat ini hanya Iran sahaja di kalangan negara Islam yang menyuarakan pendiriannya.

Di Malaysia, nasib puak Rohingya memang telah lama menarik perhatian masyarakat Islam di Malaysia. Dianggarkan lebih kurang 15,000 orang Rohingya tinggal di Malaysia yang mana kebanyakan dari mereka berstatuskan pelarian di bawah kawalan Suruhanjaya Tinggi PBB mengenai Pelarian (UNHCR).

Mereka hidup dalam penuh kedaifan dan tidak mempunyai pekerjaan yang tetap akibat dari status pelarian tersebut. Sebagai pelarian mereka tidak dibenarkan berkerja dan anak-anak tidak bersekolah kerana tidak mempunyai dokumen sah. Malahan, mereka ini sering "diganggu" oleh pihak penguat kuasa keselamatan kerana status yang diragui.

Peranan Malaysia walaupun demikian, agak terhad di dalam membantu etnik Rohingya. Ini mungkin kerana sebagai negara anggota Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), tangan Kuala Lumpur diikat dengan prinsip tiada campur tangan di dalam hal ehwal dalaman negara anggota.

Tetapi kerajaan sebenarnya boleh memainkan peranan yang lebih proaktif dan konstruktif dengan mengiktiraf pelarian Rohingya dan membenarkan mereka memulakan kehidupan di negara ini.

Seharusnya mereka diberi kebenaran sementara untuk bekerja dan dibantu seperti mana yang telah dilakukan terhadap pelarian Bosnia dahulu. Kerajaan tidak seharusnya membiarkan kumpulan NGO tempatan untuk memainkan peranan mereka bersendirian.

Pada saya, isu puak Rohingya tidak boleh disuarakan secara dua hala terutamanya yang membabitkan negara-negara jiran Myanmar kecuali jika ia dilakukan oleh kuasa-kuasa besar seperti AS, China mahu pun India. Negara-negara kuasa besar ini berupaya memberi tekanan politik dan ekonomi terhadap junta tentera Myanmar.

Mereka boleh melakukan perkara ini jika satu resolusi dibentangkan di Majlis Keselamatan PBB. Malangnya mereka ini tidak berminat melakukannya kerana bagi mereka apa yang penting ialah bagaimana hendak mengeksploitasi kekayaan Myanmar.

Oleh itu, cara lain ialah penyelesaian isu puak Rohingya ini dilakukan secara diplomasi pelbagai hala serantau (regional multilateral diplomatic approach) kerana kesensitifan isu itu sendiri. PBB mungkin sukar untuk menyelesaikannya walaupun pernah diseret oleh junta tentera untuk melakukan sesuatu.

Kerajaan Myanmar telah mencadangkan kepada PBB untuk mengambil alih tanggungjawab penyelesaian masalah puak Rohingya. Pendirian tersebut sudah tentu ditolak mentah-mentah oleh PBB kerana puak Rohingya dilihat adalah masalah sosiopolitik Myanmar.

Hanya ASEAN sahajalah setakat ini yang boleh melakukan sesuatu untuk mengembalikan hak puak Rohingya di Myanmar. Pembunuhan beramai ramai dan penafian hak asasi puak Rohingya telah mula mencalarkan imej ASEAN di mata masyarakat antarabangsa.

Oleh itu ASEAN harus lebih proaktif di dalam mencari penyelesaian konflik tersebut. Jika kita lihat perkembangan konflik antarabangsa sejak akhir-akhir ini, pergerakan atau pertubuhan serantau semakin memainkan peranan yang lebih efektif di dalam menyelesaikan konflik dan perbalahan di rantau mereka.

Tetapi persoalannya adakah ASEAN akan terus melakukan Pendekatan Membina (Constructive Engagement) terhadap Myanmar seperti sebelum ini ataupun lebih berani merangka pendekatan Campur Tangan Berlandaskan Kemanusiaan (Humanitarian Intervention).

Konsep Campur Tangan Kemanusiaan di sini tidak semestinya mengikuti pendekatan yang digunakan oleh Eropah terhadap Bosnia tetapi boleh dilakukan dengan "Cara ASEAN' yang tersendiri. Campur Tangan Kemanusian bukan bermaksud penghantaran tentera negara ASEAN ke kawasan yang bergolak kerana ASEAN tidak mempunyai mandat ke arah itu.

Setiausaha Agung ASEAN, Dr Surin Pitsuwan harus menghantar misi mencari fakta di kawasan yang bergolak di Arakan bagi mencari kebenaran tentang apa yang telah berlaku. Setakat ini ASEAN seolah-olah membiarkan Myanmar untuk melakukan apa saja terhadap puak Rohingya. Adakah ASEAN mahu melihat satu lagi the killing field seperti mana yang dilakukan oleh rejim Pol Pot di Kemboja satu waktu dahulu?

Seharusnya tragedi Kemboja tidak boleh berulang di rantau ini kerana ia amat memalukan. Apa yang ditakuti nanti ialah masyarakat antarabangsa akan membawa isu puak Rohingya ke peringkat global dan seterusnya menjadi satu agenda utama kumpulan hak asasi manusia. Apabila ini berlaku, masyarakat antarabangsa akan mempertikaikan peranan ASEAN untuk menyelesaikan konflik secara konstruktif yang sebenarnya berlaku "di belakang rumah mereka sendiri".

Penulis  ialah Profesor Pengajian Keselamatan Antarabangsa di Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-undang, Kerajaan, dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen