Selasa, 31 Julai 2012

ISU PENGAJIAN TINGGI : Kerajaan Taja 600 Pelajar Ikuti Pengajian Perubatan, Pergigian & Farmasi Di IPTS


PUTRAJAYA : Kerajaan bersetuju menaja 600 pelajar aliran sains meneruskan pengajian dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Katanya mereka merupakan pelajar yang gagal mendapat tempat untuk meneruskan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi sesi akademik 2012/2013.

Mohamed Khaled berkata kesemuanya adalah pelajar lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Matrikulasi dan Asasi yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 dan memilih tiga bidang pengajian itu sebagai pilihan utama di IPTA, tetapi gagal mendapat tempat.

Katanya mereka terdiri daripada 310 pelajar Melayu, 260 pelajar Cina, 21 pelajar India dan sembilan pelajar lain-lain kaum.

"Sukacita dimaklumkan bahawa kerajaan telah bersetuju menawarkan mereka tempat dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi di IPTS yang terpilih dengan dibiayai oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Mereka perlu menyatakan persetujuan atas tawaran yang diberikan," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama warga kementerian itu di sini, malam Selasa.

Katanya, kesemua 600 para pelajar itu akan dihubungi oleh JPA sebelum 15 Ogos ini.

Bagaimanapun, katanya, tawaran baru itu tidak terpakai kepada mereka yang memperoleh PNGK 4.0 dan telah mendapat tawaran pengajian dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi di IPTA pilihan mereka.

Selain itu, mereka yang mendapat tawaran di IPTA seperti dipohon berdasarkan pilihan pertama juga tidak layak menerima tawaran ini.

Daripada 2,690 pelajar aliran Sains yang memperoleh PNGK 4.0, 2,090 pelajar berjaya mendapat tempat di IPTA bagi sesi akademik 2012/2013.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata kementerian itu ingin mengetahui pandangan dan keperluan 130 penuntut Malaysia di Syria bagi mengambil keputusan berhubung pengajian mereka.

"Kita akan buka talian untuk mereka menghubungi kementerian dan memberitahu keperluan mereka. Kita akan melihat sama ada ia selari dengan program-program yang ditawarkan di sini (IPT) atau tidak," katanya.

Kerajaan mengambil keputusan memindahkan penuntut Malaysia dari Syria pulang ke tanah air memandangkan pergolakan yang semakin meruncing di negara itu. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan