Oleh : AMINUDIN MANSOR
PENYAIR yang dianugerahkan oleh
Allah dengan kebolehan menulis melalui bahasa yang berseni dan indah dapat
melontarkan rasa keterharuan dan ketakwaan kepada manusia lain. Penyair yang
sentiasa berpegang kepada tali Allah akan sentiasa diberkati dan dianugerahi
pahala daripada amalannya.
Pekerjaan sebagai penulis atau
penyair adalah suatu yang mulia, jika selalu menetapkan hati dan diri bertakwa
hanya kerana Allah. Ramadan juga menjadi pilihan ramai penyair untuk
mengungkapkan rasa hati tentang fadilat Ramadan. Pemikiran yang mengalir dengan
lancar pada setiap frasa memberikan kesan kesedaran kepada pembaca.
Melalui bahasa, penyair menganyam kata-kata pada baris-baris puisinya,
dianyam juga bunyi, simbol, bahasa figuratif, dan unsur-unsur stilistik yang
lain sebagai hiasan dan keindahan kepada setiap estetik puisi.
Cinta kepada Allah adalah makam
puncak dalam beribadah. Ia juga menjadi inti agama. Penyair diingatkan supaya
tidak menulis perkara yang sia-sia dan sesat. Ingatan Allah ini terpancar
melalui Surah Al-Anbiya 21:5, Asy-Syuara 26:224, As-Saffat 37:36, At-Tur 52:30
seharusnya sentiasa menjadi rujukan dan ingatan semasa menulis.
Allah menegaskan bahawa manusia
akan diangkat menjadi khalifah-Nya di atas muka bumi, dengan ketentuan mereka
harus menjalankan segala ajaran-Nya, iaitu beriman dan beramal salih. Justeru
sastera dan agama tidak boleh dipisahkan. Peranan penulis atau penyair
seharusnya terus mengungkapkan rasa ketakwaan dan keimanan kepada Allah serta
mengajak para pembaca melakukan ibadah seperti puasa di bulan Ramadan.
Berkaitan dengan puasa Nabi SAW
bersabda yang bermaksud: " Barang siapa mendirikan malam-malam Ramadan dengan keimanan
dan mengharap pahala (keredaan) Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang
terdahulu." (Riwayat Al Bukhari).
Justeru, beberapa penyair sering
mengungkapkan melalui bahasa cinta dan semangat kecintaan kepada Allah. Nilai
Islam dan kecintaan kepada agama sering diucapkan melalui sajak-sajak mereka.
Antaranya penyair Hadzrami AR, Kemala, Wan A. Rafar, Shafie Abu Bakar, Nahmar
Jamil, Wadi Leta S.A, Abdul Hadi Muhammad, Abdul Hadi Yusof, Abham T.R, Amin
Mihad, Hasyuda Abadi, Subari Ahmad, Zahari Hasib, Pena Mutiara, Shamsudin
Othman, dan Fadh Razy serta penyair lain. Penyair-penyair ini juga pernah
mengungkapkan puisi berkaitan dan bertemakan Ramadan. Di tangan mereka meranum
keindahan dan fadilat Ramadan.
Beberapa penyair lain juga
menulis sajak tentang Ramadan antaranya Husna Nazri melalui puisi-puisinya
Pohon Ramadan, Ramadan di Badar, Ramadan Yang Singgah, Mengalir Di Sungai
Ramadan, Lelaki dan Pedang Ramadan, Kaktus Ramadan, Lailatulqadar, Mencarimu
Ramadan. Perhatikan petikan sajak Pohon Ramadan karya Husna Nazri di bawah ini:
Rendangmu
Merimbun teduh
Di bawah langit mubarak
Dinding gerimis luruh
Disisir daun-daun rindu
Cinta yang dipasak di halaman bumi
Menyentuh wajah nurani
Kasih Ilahi yang tumbuh
Di dakapan seorang insani
-sabar rupanya masih setia.
Melilit akar diri
Tunjang yang merawat emosi
Adalah doa-doa
Yang limpah
Di ranting hari
Jauh di puncak,
Bunga-bunga syukur
Menutup tikaman getir
Matahari.
Di bawah pohon Ramadan
Aku dingin
Dalam penghayatan
Mencari makna diri
Di halaman Ilahi.
(Petikan sajak Pohon Ramadan, karya Husna Nazri Kota
Intifadah DBP: 2006)
Pada hakikatnya puasa Ramadan
dapat melatih umat Islam berjihad melawan hawa nafsu, menyucikan diri daripada
perbuatan keji dan mungkar dan menghiasi diri dengan akhlak mulia serta
menyuburkan semangat cintakan ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah.
Peranan akhbar dan majalah yang menyiarkan sajak-sajak bertemakan Ramadan sangat
dialu-alukan oleh penulis.
Usaha mencari makna diri di bawah
ibadah Ramadan seharusnya menjadi tanggungjawab umat Islam. Melalui ibadah
puasa Ramadan setiap umat patut bersyukur atas anugerah Allah selama hidup di
dunia ini yang penuh dengan kegetiran, kepayahan juga kenikmatan. Ibadah puasa
mempunyai keistimewaan yang tersendiri di samping ibadah yang lain, malah
menjana keluhuran iman dan takwa kepada Allah untuk memperoleh kebahagiaan dan
keberkatan hidup di dunia dan akhirat.
Adalah menjadi tanggungjawab
kepada setiap penyair mengungkapkan tema ibadah seperti ibadah puasa sebagai
melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah Allah di bumi ini. Kumpulan puisi
Ramadan juga berkembang di Internet melalui penyair-penyair baru.
Banyak fadilat puasa di bulan
Ramadan yang boleh diungkapkan oleh penyair. Bahasa di tangan penyair lebih
ranum dan harmonis untuk mengajak umat Islam beribadah kepada-Nya.
Penyair boleh menyuarakan
antaranya tentang fadilat puasa adalah membentuk manusia bertakwa kepada Allah,
dapat mengukuhkan Islam, turunnya al-Quran yang menjadi petunjuk kepada
manusia, menghapuskan segala dosa yang lalu, dibukakan pintu syurga, ditutup
pintu neraka dan syaitan dibelenggu.
Justeru, puasa Ramadan juga
perisai daripada perbuatan keji dan mungkar, dapat mengendalikan hawa nafsu,
membina kesihatan rohani dan jasmani, melatih manusia hidup berhemat dan
sederhana, melatih manusia berdisiplin dalam makan dan minum, melatih manusia
sabar dan tabah menghadapi dugaan hidup, memperoleh tujuh ratus pahala amal
kebajikan, ibadah istimewa yang tiada tandingannya, dapat menambah keimanan dan
kecintaan kepada Allah, membuka jalan manusia untuk bertaubat kepada Allah dan
doa dimakbulkan oleh Allah. Adanya malam dan keistimewaan Lailatulqadar.
Bakat dan kebolehan penulis dan
penyair dapat mengungkapkan kehebatan Ramadan melalui keindahan puisi khususnya
sajak. Penyair juga dapat mengajak orang ramai beriman, beramal soleh dan
bertakwa demi menegakkan kebenaran Islam. Seperti kata Penyair Nahmar Jamil
melalui sajaknya Pulang Ke Alam Agama.
Bangkitlah Islam
Memikul amanah
Mendepani cabaran
menaburkan rahmat ke
penjuru alam.
(Petikan sajak Pulang
Ke Alam Agama; Antologi Perubahan DBP: 1996)
Sebagai penulis dan penyair
menurut pandangan Imam Al-Ghazali, sesebuah karya pengarang, keindahan puisi
penyair, keindahan lukisan pelukis atau keindahan bangunan yang dibina oleh
arkitek mencerminkan keindahan dalaman manusia pencipta. Menurutnya, oleh sebab
Tuhan sempurna (indah) oleh sifat-Nya Yang Maha Mengetahui, Maha Berkuasa dan
Maha Sempurna manakala sifat-sifat (indah) yang terdapat pada manusia dapatlah
dirumuskan bahawa segala manifestasi keindahan dalaman yang dialami oleh para
seniman akan memimpin seniman kepada kasih dan sayangnya kepada Tuhan. Sebarang
objek yang mencerminkan keindahan dalaman ini dianggap sebagai keindahan
sebenar. Justeru, Ramadan juga penuh dengan keindahan dan gandaan pahala yang
mendapat perhatian penulis khususnya penyair.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan