Oleh : Akhbar Satar
Kawalan keselamatan perlu dirombak
Belum pun tiba Aidilfitri, tiga
lelaki dipercayai anggota kumpulan ‘Lima’ yang aktif merompak di beberapa
daerah di Pulau Pinang, maut ditembak polis ketika cuba memecah masuk sebuah
rumah di Taman Jesselton minggu lalu. Tidak dinafikan ramai meninggalkan rumah
untuk pulang berhari raya di kampung halaman setiap kali menjelang musim
perayaan. Kebiasaannya, masyarakat Islam di ibu kota khasnya akan meninggalkan
rumah dalam jangka masa agak panjang untuk pulang berhari raya di kampung.
Sepatutnya, sebelum kita
memulakan perjalanan, kita perlu memastikan keselamatan rumah masing-masing.
Pada musim perayaan penjenayah mengambil kesempatan, terutama jika kita lalai
dan abai aspek keselamatan”
Oleh itu, kecenderungan
berlakunya jenayah seperti pecah rumah dan kehilangan kenderaan amat besar.
Rumah yang ditinggalkan tanpa penghuni dalam tempoh tertentu boleh menarik
perhatian penjenayah.
Mengikut Polis Diraja Malaysia
(PDRM) jenayah pecah rumah ketika Aidilfitri meningkat hampir 50 peratus setiap
tahun. Selalunya trend jenayah pecah rumah meningkat mendadak dalam tempoh
seminggu sebelum atau seminggu selepas hari raya.
Ambil kesempatan
Sepatutnya, sebelum kita memulakan
perjalanan, kita perlu memastikan keselamatan rumah masing-masing. Pada musim
perayaan penjenayah mengambil kesempatan, terutama jika kita lalai dan
mengabaikan aspek keselamatan.
Pencuri gemar mengambil
kesempatan ketika rumah kosong, oleh itu, adalah lebih baik jika kita berpesan
kepada jiran, termasuk jiran berbangsa Cina dan India supaya tolong
tengok-tengokkan rumah kita.
Penulis juga menasihatkan warga
kota yang pulang ke kampung supaya jangan meninggalkan barang berharga dalam
rumah bagi mengelakkan kejadian jenayah.
Jika menyewa di rumah baru,
pastikan kunci ditukar baru kerana mungkin penyewa terdahulu masih mempunyai
kunci pendua. Jika berkemampuan, pasangkan alat pengesan kecurian di rumah atau
sambungkan sistem penggera premis masing-masing ke pusat kawalan berpusat (CMS)
kerana CMS dilengkapi ‘pasukan khas’ yang mampu bertindak dan sampai ke tempat
kejadian dalam tempoh kurang 15 minit.
Pastikan nombor 999 atau balai
polis setempat disimpan dalam telefon masing-masing memandangkan mereka adalah
pihak paling hampir dengan penduduk untuk menyelesaikan sebarang kejadian
jenayah.
Perkongsian bijak polis,
penduduk
Hakikatnya, perkongsian bijak
antara polis dan penduduk amat penting dalam memastikan persekitaran kediaman
selamat. Konsep kejiranan lemah adalah antara punca kejadian jenayah pecah
rumah, terutama pada musim perayaan. Setiap tahun polis memberi peringatan
supaya tidak memberi ruang kepada penjenayah terbabit dalam kegiatan pecah
rumah tetapi malangnya peringatan itu tidak diendahkan.
Seperti biasa, polis mengambil
beberapa tindakan, termasuk membuat rondaan bermotosikal atau berkereta ke
kawasan perumahan terutama membabitkan banyak laporan daripada orang ramai.
Selain keprihatinan jiran tetangga membuat laporan, wujud juga balai polis
bergerak yang menjadi pusat operasi di kawasan panas bagi mengelak berlaku
jenayah. Pada musim perayaan, balai bergerak diletakkan secara kekal dan polis
akan memantau kenderaan keluar dan masuk, terutama waktu malam dan sesiapa yang
dilihat mencurigakan akan ditahan.
Ada juga ketua polis daerah
mengambil inisiatif mengadakan Kempen Rumah Selamat Sempena Hari Raya
bekerjasama dengan penduduk setempat. Borang maklumat diagihkan untuk
memudahkan polis menjalankan tugas pemantauan dan pencegahan jenayah.
Rombak sistem pengawal
Malangnya, kebanyakan pengawal
keselamatan diupah menjaga kawasan perumahan tidak efektif dan lemah, yang mana
ada kenderaan masuk di kawasan dijaga dibiarkan tanpa diperiksa.
Penulis yakin pengawal
keselamatan ini tidak tahu apa tugas sebenar mereka. Kebanyakan mereka sudah
tua, tidak bertenaga, tidak cekap, selekeh dan warga asing yang tidak boleh
berkomunikasi dalam bahasa tempatan. Oleh sebab mereka kurang kompeten dan
tidak terlatih, ini memberi peluang kepada pencuri membolosi kawasan berkenaan.
Sudah sampai masanya, sistem
pengawal keselamatan di Malaysia dirombak semula. Negara memerlukan ‘security
practioner’ yang profesional serta mempunyai kelayakan dalam bidang pengurusan.
Bagi yang tidak balik kampung,
cara paling mudah dan menjimatkan kos adalah bawa bersama-sama kunci kereta
yang mempunyai penggera. Tekan butang penggera apabila mengesyaki pencuri cuba
memasuki rumah. Sudah pasti pencuri akan melarikan diri kerana takut disedari.
Penulis ialah Pengarah Institut
Jenayah & Kriminologi Universiti HELP
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan