Oleh : DR. AHMAD ZAKI ISMAIL
GAHNYA berita kejayaan Lembaga
Hasil Dalam Negeri (LHDN) menjadi pengutip dana terunggul negara dengan angka
baru memecah rekod yang dicipta pada tahun lepas, RM109.6 bilion. Sehingga ke
tarikh ini, kutipan yang sudah direkod sudah menjangkau RM115 bilion dan
dijangkakan menjangkau ke RM123 bilion dan ia sangat diyakini mampu dicapai.
Malah bekas Perdana Menteri, Tun
Dr. Mahathir Mohamad juga nampaknya sangat teruja dengan pencapaian itu
sehingga berkongsi banyak pengalaman beliau bersama warga kerja LHDN
menceritakan peranan LHDN semenjak dahulu dalam perkembangan ekonomi negara.
Banyak perincian dan peranan
penting LHDN yang selama ini tidak begitu ketara sudah pun semakin jelas dan
nyata kepada para pembaca yang meneliti butirannya secara ikhlas.
Membaca barisan demi barisan yang
tercatat telah mengimbau pengalaman penulis berurusan dengan Lembaga ini yang
selalunya menakutkan. Kerana sudah namanya pun 'lembaga' tentunya penampilan
yang ditunjukkan selalu menimbulkan kegerunan kepada mereka yang pernah bertemu
dengannya.
Aura kemesraan dan semangat
membantu pelanggan amat terserlah dalam kalangan pegawai dan kakitangan LHDN
dan para pembayar cukai tidak lagi dilayan seperti mana pesalah atau penjenayah.
Mereka semua dilayani seperti rakan bestari, teman mencari rezeki dan kemesraan
yang amat nyata. Sehingga terpacul sepotong ayat yang sangat molek kita jadikan
teladan ketika berurusan dengan khalayak "sedangkan musuh pun mempunyai
hak inikan pula pembayar cukai yang menyumbang kepada pembangunan negara"
.
Menurut apa yang difahamkan
bahawa LHDN berhasrat untuk memecahkan rekod kutipan tahun lepas beberapa kali,
kerana bukan sahaja sudah mencapai angka kutipan yang serupa pada tahun ini
tetapi sudah melebihinya dengan angka puluhan bilion lagi. Ini memang sangat
luar biasa dan diluar jangka.
Lantas, tentu ada yang boleh kita
pelajari bagaimana cara dan apa formula yang diguna pakai oleh LHDN sehingga
sampai ke tahap ini. Mungkin juga banyak iktibar boleh dijadikan ikutan supaya
kejayaan yang sama boleh diukir oleh pihak lain tanpa mengorbankan keselesaan
dan kesejahteraan rakyat marhaen negara ini.
Perkara pertama yang paling
ketara apabila melihat kepimpinan terkanan yang menerajui LHDN ketika ini
dilihat terdiri daripada mereka yang sangat profesional dan prihatin. Ini
kerana dalam proses rundingan untuk mencapai keputusan menang-menang dilihat
mereka mampu menghayati konsep membantu pembayar cukai melaksanakan
tanggungjawab mereka dan tidak semata-mata menjadi regulator yang hanya mencari
kesalahan dan mengenakan tindakan semata-mata.
Pepatah yang diguna pakai amat
menarik yakni 'jangan menyembelih angsa yang bertelur emas' kerana apabila ibu
angsa mati, tentunya ia tidak berguna lagi.
Amat hebat impaknya jika diteliti
pepatah mudah berkenaan dan alangkah indahnya jika institusi kewangan dan
perbankan juga sudi mengaplikasikan pepatah ini dalam membantu para pelanggan
mereka yang sedang menghadapi masalah. Bukan mencari jalan membuat untung segera
dan menolak risiko hingga ke tahap sifar.
Ia bukan slogan semata-mata malah
dibuktikan dengan Ketua Pegawai Eksekutif malah seluruh warga kerja LHDN
membantu pembayar cukai untuk menunaikan tanggungjawab mereka dan mengelak
malah cuba sedaya upaya tidak menyukarkan proses itu supaya pembayar merasa
selesa dan LHDN mampu mencapai sasaran mereka.
Paling menarik apabila
pegawai-pegawai tertinggi LHDN mengambil sikap komunikasi dua hala dan tidak
hanya mereka sahaja yang benar. Setiap permasalahan yang dikemukakan diberi
perhatian khusus meskipun berkaitan perkara yang remeh. Kerana seperti mana
yang sedia dimaklumi tidak semua manusia mempunyai tahap intelektualisme yang
sama. Sesetengah individu itu sukar memahami malah kadang kala menjengkelkan
apabila terpaksa diterangkan secara berulang kali. Namun kesabaran mereka
melayan kerenah berkenaan mencerminkan sikap profesionalisme dan kesabaran yang
tinggi. Syabas sekali lagi.
Bagaimana agaknya satu revolusi
telah berlaku dengan begitu pantas di LHDN setelah begitu lama sunyi selepas
generasi Tan Sri Abu Bakar dan Datuk Hassan Ibrahim yang agak popular sebelum
ini.
Rupa-rupanya pengurusan baru LHDN
telah mengorak langkah dengan pendekatan baru yang sangat radikal tetapi
praktikal dengan memperkenalkan perkongsian idea, pemikiran di luar kotak dan
penerapan usaha Strategi Lautan Biru bagi melengkapkan transformasi badan
pengutip dana utama negara berkenaan supaya roh perubahan bukan sahaja terpamer
di atas kertas kerja atau wacana semata-mata tetapi dihayati oleh seluruh warga
kerja mereka.
Tidak sia-sia LHDN meletakkan bos
baru yang mempunyai gelaran Dr. dipangkal nama itu. Terdapat juga beberapa
kepimpinan kanan mempunyai gelaran yang sama dan saling berusaha memperkukuhkan
pencapaian LHDN setiap masa dengan pelbagai pendekatan yang sangat kreatif dan
berinovasi.
Meskipun kadang-kala ada yang
tidak bersetuju bahawa intelektualisme bukan penentu kejayaan tetapi sebenarnya
merupakan satu daripada elemen terpenting kerana ilmu umpama suluh di malam
kelam. Tentunya, semakin terang suluh semakin terang jalan dan mudah berurusan
dan mudah mencari tujuan.
Apa yang menarik hasil daripada
pengalaman berurusan dengan LHDN ini adalah pengajaran - tunduk tidak
semestinya kalah, undur tidak semestinya rugi. Memang menjadi resam padi makin
tunduk makin berisi.
Kalaulah semua jabatan dan agensi
kerajaan di negara ini mengamalkan budaya yang serupa tentunya perkhidmatan
awam negara kita akan menjadi sebuah tempat yang amat digemari rakyat untuk
berurusan dengannya.
Seperti mana peniaga yang
bijaksana, pelanggan mestilah diutamakan kerana tanpa pelanggan bagaimana kita
mahu menjana keuntungan dan pendapatan. Malahan slogan pelanggan selalunya
betul bukannya sekadar hiasan dinding tetapi sepatutnya perlu dihayati makna
yang tersirat di sebaliknya.
Lantas, keampuhan modal insan
yang dimiliki oleh sesebuah institusi dan organisasi itu perlu sentiasa diberi
perhatian. Mereka perlu diasah, digilap dan diberikan peningkatan ilmu supaya
mampu melaksanakan amanah yang diberi secara yang lebih kreatif.
Latihan yang berterusan,
pendedahan dengan pelbagai pembaharuan serta teknologi tentu sangat membantu.
Kerana asas pemodenan adalah memperkenalkan inovasi sebagaimana yang disarankan
oleh Perdana Menteri melalui pelbagai wacana yang diperkenalkan lewat mutakhir
kini. Ia mesti disambut segera oleh para pentadbir seluruh jabatan dan agensi
kerana kita mahu mencapai tahap negara maju. Semuanya perlu bergerak pantas
dengan mekanisme yang tepat serta jitu.
Kejayaan, keprihatinan dan daya
kepimpinan yang ada di LHDN memang mengagumkan. Sebagai individu yang bergerak
aktif dalam badan bukan kerajaan, penulis tabik kerana jarang berjumpa dengan
situasi sebegini baik di pihak swasta - tentu lebih sukar di pihak awam.
Kepada para pemimpin negara dan
pembuat dasar, diharapkan juga dapat melihat usaha-usaha LHDN ini sebagai
sumbangan besar dan jika mungkin diberikan perhatian wajar supaya mereka turut
menerima imbuhan hasil kerja keras yang berterusan. Usaha sihat ini akan
menjadi dorongan kepada yang lain untuk sama-sama bersaing dalam menawarkan
perkhidmatan yang lebih baik pada masa hadapan dan tentunya menggembirakan
seluruh rakyat negara kita
PENULIS ialah Penasihat
Persatuan Pengguna Islam Malaysia.
Sumber :
http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan