Oleh : Teo Keok Seong
Hasrat untuk mengadakan kajian
semula perundangan terhadap Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM)
2013-2025 oleh sesetengah pihak adalah tindakan yang membelakangkan semangat
musyawarah yang dipupuk dalam sistem demokrasi ketimuran yang kita amalkan.
Tindakan seteru ini yang
menamakan Menteri Pelajaran dan Kementerian Pelajaran sebagai responden pertama
dan kedua dalam afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu,
memperlihatkan betapa kurangnya sifat kesusilaan pada sesetengah daripada kita
untuk berunding walaupun diberi kesempatan berbuat demikian sehingga akhir
tahun.
Antara perkara yang dituntut
adalah perintah untuk membatalkan PPPM yang didakwa melanggar Perkara 161
Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 2 Perjanjian 20 Perkara Penubuhan
Persekutuan Malaysia oleh Sabah. Perkara 161 merujuk kepada kebebasan
penggunaan bahasa Inggeris di Sabah dan Sarawak, sehingga tempoh sepuluh tahun
selepas penubuhan Persekutuan Malaysia. Begitu juga halnya dengan Perkara 2
yang antaranya menuntut agar bahasa Inggeris dijadikan bahasa rasmi untuk semua
bidang, dengan tiada had tempoh langsung.
Justeru, kajian semula
perundangan itu bertujuan memohon perintah agar kedua-dua responden mematuhi
keperluan seperti yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan dalam menggubal
PPPM. Jika tidak, ia akan cuba mendapat perisytiharan bahawa PPPM digubal
dengan kuasa perundangan yang tidak adapun pada Menteri Pelajaran dan
Kementerian Pelajaran.
Ketepi nasionalisme
Tindakan itu walaupun sah di sisi
undang-undang negara, sebahagian daripadanya boleh ditafsirkan sebagai
perbuatan yang membelakangkan nasionalisme linguistik bahasa Melayu. Ia
memperlihat betapa tidak bangga dan tidak yakinnya sesetengah daripada kita
kepada kemampuan bahasa Melayu, khususnya untuk memajukan rakyat.
Tindakan ini juga boleh
ditafsirkan sebagai perbuatan memperkecilkan kedudukan bahasa Melayu, yakni
bahasa pribumi yang juga bahasa negara ini, di sisi bahasa Inggeris, iaitu
bahasa asing, di tanah watannya sendiri.
Dalam konteks ini, bahasa Melayu
boleh dikatakan sebagai satu-satunya bahasa negara di dunia ini yang tidak
disanjungi sepenuhnya oleh setiap lapisan dan sektor masyarakat, sama ada kelas
sosial rendah atau tinggi dan penduduk asal atau bukan asal. Sikap begini boleh
ditafsirkan sebagai tidak menghormati kedudukan agung bahasa Melayu di sisi
undang-undang.
Sudah tiba masanya Perkara 161
disemak untuk dipinda. Keperluan perundangan tempoh sepuluh tahun itu
sepatutnya sudah lama diperbetul. Kini selepas hampir 50 tahun penubuhan
Persekutuan Malaysia, pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi bukan saja
masih belum tercapai sepenuhnya tetapi sering dijadikan isu yang boleh menjadi
sensitif dan mencetuskan pergaduhan kaum seperti Rusuhan Etnik 1969.
Pinda Akta Bahasa Kebangsaan
Sehubungan ini, Akta Bahasa
Kebangsaan perlu dipinda lagi selepas beberapa kali diperbaiki sejak 1957
kerana kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa negara terus dipertikai. Ia perlu
segera dilakukan untuk memberi penegasan sekali lagi mengenai taraf dan peranan
bahasa Melayu sebagai bahasa negara, lebih-lebih lagi sebagai bahasa rasmi
negara yang tunggal.
Akta Hasutan yang pernah
digunakan untuk menghalang perbincangan awam mengenai isu yang boleh
menimbulkan kemarahan dalam kalangan masyarakat, perlu digunakan semula. Ia
amat perlu kerana terdapat pihak yang cuba membangkitkan isu bahasa rasmi ini,
khususnya secara penuh acuman, melalui pelbagai cara.
Sesungguhnya setelah sekian lama
penubuhan Persekutuan Malaysia, bahasa Melayu yang juga bahasa negara, sudah
pun difahami oleh warga negara Malaysia bukan saja dalam pengertian
perundangannya. Tetapi lebih penting lagi dalam takwil emosi dan moralnya.
Dalam hal ini, mereka perlu mempunyai perasaan bangga, sayang dan setia kepada
bahasa Melayu, selain memperlihat kelakuan positif terhadapnya.
Sebagai bahasa negara, bahasa
Melayu perlu digunakan oleh setiap warga negara dalam semua bidang dan kegiatan
hidup. Ia sebetulnya bahasa setiap warga negara yang mempunyai kesetiaan kepada
Malaysia.
Penulis ialah Profesor
Linguistik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan