Oleh : DR AMINUDIN MANSOR
Bahasa, percakapan yang baik
melambangkan ketinggian budi pekerti seseorang itu. Jika seseorang itu
bertutur, berbicara dan berucap dengan bahasa yang baik dia akan mendapat
pahala dan balasan yang baik daripada ALLAH. Bahasa dan ucapan daripada lidah
dan mulut mestilah dijaga semasa berkempen menjelang Pilihan Raya Umum ke-13
(PRU13).
Ada yang mengatakan, jikalau
kempen pilihan raya mengikut adab tidak seronok. Penceramah dan pendengar juga
kebanyakannya gemar mendengar ceramah yang ada unsur fitnah, caci-maki, kutukan
dan sebagainya. Bahasa dan ucapan dalam PRU13 sepatutnya menjurus kepada
kesejahteraan rakyat, dan apa yang akan dilakukan jika sesebuah parti menang
dalam PRU13.
Banyak isu yang boleh
dibangkitkan semasa berceramah seperti isu bahasa, pendidikan, pembangunan
bandar dan desa, kemudahan kepada rakyat, kejayaan akan datang dan juga
perpaduan dalam kalangan rakyat. Isu-isu ini boleh dijelaskan kepada rakyat
sebagai penjelasan kepada manifesto sesebuah parti politik.
Sebagai manusia, ALLAH memberi
akal untuk menuturkan perkara-perkara yang baik kepada umum. Mengeji,
mengumpat, memfitnah dan mencarut adalah sangat dilarang oleh ALLAH. Berpolitik
tidak salah, yang salahnya gaya dan cara berpolitik dengan bahasa tidak baik.
Manusia dianugerahkan oleh ALLAH
dengan lidah dan mulut untuk berkata-kata yang baik sahaja. Penggunaan bahasa
yang baik dan bersopan santun, berhemah akan menyedapkan hati dan telinga orang
yang mendengarnya terutama para pengundi yang akan mengundi dalam PRU13.
Dalam hal ini, Rasulullah SAW
bersabda: “Barangsiapa beriman kepada ALLAH dan hari akhirat hendaklah
berbicara baik-baik atau lebih baik diam” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Dalam masa berkempen menjelang
PRU13 yang kemungkinan besar akan diadakan tahun depan, rata-rata kebanyakan pengundi,
pendengar ceramah, pemerhati politik, pengundi atas pagar dan pengundi muda
mengharapkan kata-kata yang baik dengan harapan dan janji yang muluk-muluk yang
pastinya ditepati oleh para pemimpin parti.
Seseorang pemimpin parti yang
berhemah, berhati budi dan berakal tidak akan mengeluarkan kata-kata yang boleh
menyakiti orang lain. Sikap ini melambangkan budi luhur seseorang itu dalam
kehidupannya. Hal ini, juga membayangkan betapa tingginya didikan adab dan
budi. Kawal emosi semasa berceramah di hadapan pengundi yang berakal budi.
Kata-kata menyerang dan juga menyeranah sepatutnya tidak berlaku.
Selain itu, isu peribadi
sepatutnya tidak ditimbulkan dalam ceramah politik. Manakala adab dan akhlak
seseorang pemimpin patut diutamakan dan menjadi fokus kepada kepimpinan parti
dan negara. Rakyat khususnya pengundi tentunya mempunyai persepsi terhadap
seseorang pemimpin, atau wakil rakyat mereka. Jika rakyat dan pengundi tersalah
pilih, bebanannya akan ditanggung oleh
mereka. Di sinilah peranan kita semua sebagai khalifah. Apabila kita ingin
menjaga peradaban, kita perlu tetap beradab.
Oleh sebab itu, orang yang
beradab tidak pernah berbicara soalnya sendiri dan tidak memfitnah dan mengutuk
orang lain dalam kempen untuk meraih undi. Di samping itu, dia juga akan
menjaga akhlak dan adabnya agar tidak menjadi buah mulut dan senjata kepada
parti lawan. Seni bahasa yang baik akan memancarkan budi dan adab yang baik.
Dikatakan adab dan kata-kata yang
baik adalah seni untuk membuatkan orang berasa selesa mendengarnya pada setiap
kali ceramah politik. Sesiapa yang menyebabkan paling banyak orang berasa tidak
selesa mendengar ceramahnya dialah bakal pemimpin yang akan ditolak oleh
rakyat.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan