Rabu, 12 Disember 2012

ISU SOSIAL : Prasangka buruk merungkai kesatuan


Oleh : DR ASYRAF WAJDI DUSUKI

Salah satu punca kelemahan umat Islam hari ini sehingga terlerainya ikatan ukhuwah dan kesepaduan ummah amat terkait dengan fenomena prejudis dan berprasangka buruk sesama sendiri.

Berprasangka buruk atau dalam istilah al-Quran disebut ‘Dzan’ dilihat semakin menggejala dalam realiti masyarakat global, dalam dunia tanpa sempadan kini. Kemudahan dan kecanggihan teknologi seperti telefon bimbit, SMS, internet dan instrumen lainnya turut merangsang dan menyuburkan lagi budaya negatif ini.

Sebab itulah isu yang kecil cukup mudah untuk diperbesar-besarkan malah mampu direka dan disensasikan dengan hanya menekan beberapa butang tanpa perlu menunggu tempoh lama untuk disebarkan.

Dalam penulisan kali ini, penulis lebih cenderung membicarakan isu prejudis atau prasangka buruk ini dalam realiti budaya politik umat Islam kini. Ini kerana politik perebutan kuasa amat mudah menjerumus umat ke polemik persengketaan yang berpunca daripada sikap berprasangka bagaikan semakin sebati dalam diri.

Sesungguhnya sikap prejudis dan berprasangka sering kali dikaitkan dengan gejala ketaksuban dalam budaya politik kepartian yang semakin tercabut nilai-nilai dan prinsipnya.

Orang yang taksub kepada kelompoknya juga walaupun melihat perbuatan baik, tidak akan keluar daripada mulutnya kata-kata pujian kecuali yang melakukannya adalah daripada golongan atau orang yang bersefahaman dengannya.

Fenomena berpolitik yang tidak didasari dengan akhlak Islam seperti inilah menyebabkan kelompok ekstrem ini mudah terjerumus ke kancah mencari salah orang lain lantaran didasari sikap prejudis dan berburuk sangka. Malah jika ada perkataan atau perbuatan mengandungi dua kemungkinan iaitu baik atau buruk, mereka akan beratkan kemungkinan yang buruk daripada baik.

Ini pastilah amat bertentangan dengan prinsip al-Quran yang jelas menegaskan: Wahai orang-orang beriman, jauhilah kebanyakan daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu adalah dosa. (Al-Hujurat:12. Dalam sebuah hadis Nabi SAW turut ditegaskan: “Jauhilah prasangka kerana prasangka itu adalah perbicaraan paling dusta” (Riwayat Muttafaqun Alaihi).

Apa yang pasti prinsip al-Quran dan as-Sunnah sentiasa menganjurkan agar umat sentiasa bersangka baik terhadap hamba ALLAH. Apabila didapati padanya keaiban, hendaklah ditutupi supaya ALLAH menutupi keaibannya di dunia dan akhirat. Sebaliknya apabila didapati kebaikan, hendaklah dizahirkan dan disebar luaskan.

Namun apa yang berlaku kini sebaliknya. Kita jarang sekali mengambil sikap berbaik sangka apabila satu-satu berita keburukan orang lain diceritakan. Malah apa yang lebih menyedihkan, kita pula menokok tambah cerita tanpa memikirkan natijah bakal berlaku kepada mangsa fitnah tersebut.

Kita mungkin lupa bahawa Islam amat keras mencela golongan pencacai dan pengadu domba yang sentiasa berusaha menyalakan obor kebencian dan membakar api permusuhan hingga terlerai ikatan ukhuwah dalam kalangan umat. "Dan janganlah kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina, yang banyak mencela, yang ke sana  ke mari menghambur fitnah. (Al-Qalam : 10-11).

Dalam satu hadis diriwayatkan Ibnu Abbas: Pada satu hari Rasulullah SAW melewati sebuah kebun di antara kebun-kebun di Madinah. Tiba-tiba beliau mendengar dua orang yang sedang diseksa di dalam kuburnya, lalu Nabi SAW bersabda, “Kedua-duanya diseksa, padahal bukan kerana dosa yang besar. Yang pertama diseksa kerana tidak betul-betul bersih sesudah membuang air kencingnya dan seorang lagi kerana suka mengadu domba” (Hadits Riwayat Al Bukhari, lihat Fathul Baari, 1/317) .

Sebab itulah seorang mukmin sejati harus sentiasa berfikiran jernih dan menjauhi sikap berprasangka buruk agar sentiasa berlaku adil kepada kawan mahupun lawan.

Usaha bersepadu harus dilakukan untuk membendung gejala berprasangka daripada terus menyubur dalam masyarakat Islam kini. Umat harus dibimbing agar lebih berakhlak dalam memanfaatkan pelbagai kecanggihan teknologi supaya tidak mudah terjerumus dalam budaya berprasangka yang membinasakan. Umat harus dididik agar dalam kesibukan mereka berpolitik, jangan sampai memperjudikan kesatuan ummah hingga meletakkan masa depan negara diambang kemusnahan.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan