Khamis, 10 Januari 2013

ISU BAHASA : Golongan Anglofil kemaruk budaya Inggeris


Oleh : Teo Kok Seong
 
Sanggup lakukan apa saja demi penuhi keinginan diri

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2015 sudah pun diperbaiki dengan mengambil kira sebanyak mungkin maklum balas daripada pelbagai pihak. Antaranya ialah kurikulum yang dapat mempertingkat literasi bahasa Inggeris.

Namun golongan Anglofil, yakni mereka yang bukan berketurunan Inggeris tetapi amat kemaruk dan taksub dengan budaya Inggeris, tidak akan berpuas hati selagi tuntutan mereka tidak ditunaikan sepenuhnya. Ia berkenaan pengembalian Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sebagai langkah pertama, di sebilangan sekolah.

Langkah seterusnya ialah mereka mahu sekolah berkenaan dijadikan sekolah aliran Inggeris. Selain itu, mereka juga mahu Maktab Rendah Sains MARA dan Sekolah Menengah Sains serta sekolah elit di seluruh negara, bertukar menjadi sekolah aliran Inggeris.

Golongan ini, melalui pemimpin mereka daripada kalangan Melayu, mengugut akan mengundi pihak yang boleh memenuhi tuntutan mereka, sekiranya semua tuntutan ini tidak terkandung dalam PPPM yang akan diluluskan oleh Kabinet.

Ugutan ini disertai pula dengan amaran bahawa gabungan politik yang sanggup melakukan pertukaran bahasa ini adalah kerajaan progresif yang akan disokong oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum 2013 nanti. Malang sekali bidang pendidikan negara kini cuba dicampuradukkan dengan politik oleh golongan ini.

Kaitan tak masuk akal

Malah, mereka juga mengingatkan bahawa kemenangan besar Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum 2004 adalah kerana sokongan terhadap PPSMI yang diperkenal pada 2003. Sampai begitu sekali hubung kait semberono yang cuba dibuat. Ia bukan saja tidak masuk akal, tetapi tidak betul sama sekali. Namun, inilah cara mereka yang terdesak, yakni terhimpit sehingga terpaksa menggunakan cara gertak sebegini.

Sesungguhnya cara yang dilakukan oleh mereka ini boleh dianggap subversif, yakni cuba menghancurkan kerajaan yang memerintah dengan pelbagai tohmahan selain ugutan. Antaranya ialah kerajaan tidak banyak berusaha untuk mempertingkat literasi bahasa Inggeris sehingga kita berada di kedudukan corot untuk mata pelajaran sains dan matematik dalam satu penilaian antarabangsa.

Sebenarnya golongan ini juga cuba meraih sokongan daripada pihak pembangkang agar mereka menangguk di air keruh. Namun, dengan wujudnya kematangan politik, khasnya dalam menangani persoalan pendidikan negara, pihak pembangkang, khususnya parti teras Melayu ikut bersetuju dengan pemansuhan PPSMI dan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu utama.

Sebenarnya kurikulum literasi bahasa Inggeris diberi penekanan luar biasa dalam PPPM, sama ada dalam laporan awal mahupun naskhah akhir nanti. Malah sesetengah pihak mendakwa penekanan itu memberi terlalu banyak keutamaan kepada usaha peningkatan kecekapan berbahasa Inggeris, walhal kurikulum literasi bahasa Melayu juga perlu dipertingkat. Ini kerana pelajar kita juga tidak cekap berbahasa Melayu yang baik dan betul.

Masih waras

Walaupun bahasa Inggeris itu dikaitkan dengan peluang kemajuan yang banyak, pemimpin Melayu yang bukan Anglofil, masih waras untuk menyedari bahawa terdapat lebih banyak hal dalam bahasa Melayu sebagai bahasa warisan negara daripada mengejar keuntungan kebendaan semata-mata melalui bahasa Inggeris.

Sehubungan ini, bahasa Melayu yang di dalamnya tersemat pelbagai akal bangsa Melayu dan sudah bertahan untuk ribuan tahun lamanya, bukan saja perlu dipertahan, malah dilestarikan sepanjang zaman. Bahasa Melayu sebetulnya adalah khazanah berharga yang mengandungi pelbagai penawar kepada penyelesaian masalah sosial dan budaya orang Melayu. Bahasa Melayu disarati pandangan hidup orang Melayu daripada segala macam perspektif unik mengenai dunia. Hal ini sudah tentu tidak terdapat pada bahasa lain.

Bahasa sebenarnya mempunyai kuasa. Justeru, penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu utama, bukan saja boleh membentuk pemikiran, malah menjurus kehidupan kita, untuk antaranya menyedari asal usul dan jati diri, selain kepada perasaan bangga terhadap sejarah, budaya dan negara kita.

Sebenarnya kejayaan sesuatu negara bangsa terletak pada usaha pelestarian nilai dan tradisi warisan bangsa oleh anak watannya. Ia tidak sekali-kali terletak pada pengamalan budaya asing tanpa sebarang peringatan, untuk kemajuan kebendaan semata-mata.

Penulis ialah Profesor Linguistik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan