Khamis, 10 Januari 2013

ISU PENDIDIKAN : Perkenalkan program libatkan pelajar SK, SJKC/T


Oleh : TAN SRI LEE LAM THYE

GENERASI muda Malaysia yang berbilang kaum perlu meningkatkan usaha integrasi kaum dan perpaduan selaras dengan konsep Gagasan 1Malaysia.

Dengan hari-hari yang berlalu, saya semakin percaya bahawa rakyat Malaysia perlu mengetepikan perbezaan kaum dan menghulurkan tangan persahabatan kepada kaum lain.

Perpaduan hendaklah dijadikan prinsip panduan kepada semua sekolah dalam menjalankan aktiviti sukan hinggalah kepada aktiviti kokurikulum yang bertujuan untuk memupuk pemahaman yang lebih tinggi antara kaum.

Pelbagai program juga perlu diperkenalkan dan dimulakan untuk menemukan para pelajar daripada sekolah yang berlainan seperti sekolah kebangsaan, Cina dan Tamil untuk membolehkan mereka berinteraksi dan berkenalan berdasarkan kepentingan utama untuk membina negara.

Di bahu merekalah terpikulnya tanggungjawab membina sebuah negara Malaysia yang bersatu dengan perkongsian masa depan dan matlamat yang serupa.

Perpaduan dan keharmonian mesti ditanamkan di dalam budaya kita dan lebih banyak peluang wajib diwujudkan untuk anak-anak dan para remaja daripada pelbagai kaum bertemu bagi menjalinkan persahabatan lebih erat dan membina pemahaman demi masa hadapan negara dan 1Malaysia.

Ibu bapa memainkan peranan sangat penting dalam memupuk semangat 1Malaysia dengan menggalakkan anak-anak mereka bercampur gaul dan mempunyai kenalan berbilang kaum.

Sungguhpun kerajaan memainkan peranan utama memenuhi matlamat perpaduan melalui pembentukan polisi yang sesuai dan pelaksanaannya, anak-anak muda juga perlu dididik tentang perpaduan melalui penglibatan dan penyertaan ibu bapa.

Kanak-kanak adalah kanak-kanak. Mereka adalah ikhlas dan jujur dan pemikiran mereka tidak dicemari oleh isu-isu perkauman. Mereka mampu bercampur gaul dan bermain antara satu sama lain tanpa mengira bangsa.

Anak muda terutamanya murid atau pelajar sepatutnya tidak menyedari langsung akan kenyataan bahawa sesiapa sahaja di sebelah mereka adalah daripada bangsa dan agama yang berbeza. Mereka perlu sedar hanya satu perkara, iaitu orang itu adalah rakannya.

Ibu bapa yang dibesarkan dalam suasana kepelbagaian kaum dan bersahabat dengan mereka sewajarnya menggalakkan anak-anak mereka bercampur gaul, anak-anak akan sedar betapa pentingnya keharmonian antara kaum, dan antara agama.

Anak-anak dan para remaja daripada pelbagai kaum hendaklah dididik untuk menghormati satu sama lain berteraskan semangat 1Malaysia.

Usaha yang berterusan perlu dilakukan untuk merapatkan hubungan kaum, terutamanya daripada kalangan pelajar pelbagai kaum untuk menangani masalah polarisasi kaum di kalangan mereka.

Dalam hal ini pengenalan Program Latihan Khidmat Negara adalah satu cara untuk menangani masalah polarisasi ini. Ibu bapa perlu memberi galakan kepada anak mereka untuk menyertai program Khidmat Negara kerana ia akan menerapkan semangat patriotisme, perpaduan dan kepercayaan dalam kalangan golongan muda pelbagai kaum.

Pelajar hari ini adalah pemimpin kita di masa depan. Di bahu mereka terletak tanggungjawab untuk membangunkan Malaysia yang bersatu padu dengan masa hadapan yang dikongsi bersama.

Peningkatan tahap interaksi dalam kalangan pelajar pelbagai kaum daripada sekolah kebangsaan dan vernakular adalah amat penting untuk memastikan mereka membesar sebagai rakyat Malaysia yang sebenar dari segi penampilan, pemikiran dan perlakuannya.

Penerapan nilai dan harapan murni yang menjadi sandaran kepada perpaduan perlu bermula daripada sekolah rendah supaya kita dapat melahirkan generasi masa hadapan Malaysia yang menyedari tanggungjawab mereka untuk membangunkan negara.

Penulis ialah Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan,com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan