Khamis, 10 Januari 2013

ISU EKONOMI : Pengiktirafan ekonomi hasil gandingan rakyat-kerajaan


Oleh : Rohami Shafie

Setiap kali tahun baharu, aspek yang paling menjadi tumpuan bagi sesebuah negara adalah berkaitan ekonomi. Tanpa ekonomi yang baik dan mapan, rakyat akan menjalani kehidupan dalam keadaan kurang selesa. Meskipun banyak lagi pengukuran kebahagiaan rakyat sesebuah negara tetapi aspek ekonomi dan kewangan tidak boleh sesekali diabaikan sebagai antara teras utama kebahagiaan rakyat.

Sering kali kita lihat, jika aspek ekonomi dipinggirkan, rakyat akan menderita. Maklumlah, ekonomi dan kewangan yang mapan akan membolehkan seseorang menjalani kehidupan dengan lebih baik. Melaluinya, kita bukan sahaja akan menyara kehidupan diri sendiri tetapi juga menyara kehidupan keluarga.

Di kala banyak ekonomi negara di dunia merudum dengan rakyatnya tidak cukup makan, protes dan demonstrasi yang berleluasa saban hari, ekonomi Malaysia pada tahun lalu berada dalam keadaan yang meyakinkan.

Sebagai contoh, Indeks Keyakinan Pelaburan Langsung Asing (FDI) AT Kearney meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-10 berbanding hanya berada pada kedudukan ke-16.

Tidak cukup dengan itu, Bank Dunia pada tahun 2012 meletakkan Malaysia di kedudukan ke-18 berbanding ke-26 dari segi menjalankan perniagaan dengan mudah, satu kedudukan yang mana boleh menarik pelabur-pelabur luar dan dalam negara untuk memperbanyakkan pelaburan di negara kita.

Tidak ketinggalan, dari segi daya saing, Malaysia berada di kedudukan ke-14 pada tahun lalu dalam kalangan negara di dunia berbanding hanya berada di tempat ke-19 pada 2008.

Paling menarik, menurut Institut Ekonomi dan Keamanan, Malaysia berada di kedudukan ke-20 Indeks Keamanan Global pada tahun lepas, berbanding hanya berada di tempat ke-37 pada 2007.

Malaysia juga diiktiraf sebagai peneraju terpenting kewangan Islam dunia. Pengiktirafan-pengiktirafan yang diberikan oleh pelbagai badan dan pertubuhan antarabangsa menandakan program transformasi yang dilaksanakan oleh kerajaan mula menampakkan hasil.

Meskipun begitu, bukanlah pengiktirafan yang ingin dikejar, jauh sekali untuk mendabik dada atau riak dengan pengiktirafan yang diberikan oleh mereka, pengiktirafan ini sewajarnya menjadi perangsang atau motivasi untuk kita bergerak lebih pantas lagi.

Banyak lagi yang perlu dilakukan untuk memajukan ekonomi negara seterusnya memberi limpahan ekonomi ke atas rakyat Malaysia. Antaranya, rakyat Malaysia pada era ini dan akan datang perlu mengambil peluang sedia ada mata untuk memajukan diri.

Kita tidak boleh sekadar berpeluk tubuh melihat keadaan ekonomi negara. Untuk memacu ekonomi negara ke peringkat lebih baik adalah lebih mudah berbanding untuk mempertahankan keadaannya apabila sudah berada pada tahap terbaik.

Sebagai contoh, ekonomi negara pernah dikejutkan dengan krisis ekonomi pada tahun 1986 dan 1997. Kedua-dua krisis ini meskipun berlainan puncanya memberi iktibar penting bahawa ekonomi sesebuah negara tidak mudah untuk dipertahankan.

Banyak faktor yang boleh meranapkan ekonomi sesebuah negara. Siapa pernah sangka Malaysia yang pernah mencatatkan pertumbuhan yang amat tinggi dari tahun 1991-1996 mengalami kemelesetan yang amat teruk pada penghujung 1997. Puncanya adalah faktor luaran yang tidak dapat dijangka sama sekali.

Akibat kelemahan asas ekonomi kita pada tahun tersebut, ruang ini diambil oleh golongan opportunis kapitalis antarabangsa. Namun demikian, kerajaan telah melaksanakan pelbagai tindakan dan akhirnya ekonomi negara kita telah berjaya diselamatkan.

Selain itu, rakyat pada ketika itu telah melaksanakan tugas dengan baik. Kerjasama rapat di antara kerajaan dan rakyat telah menjadikan ekonomi negara bangkit semula.

Asas ekonomi negara kita semakin teguh, ini dibuktikan ketika krisis ekonomi yang melanda Amerika Syarikat (AS) pada 2008 dan krisis hutang Eropah bermula pada 2010 sehingga kini, ekonomi negara kita tidaklah begitu terjejas berbanding negara jiran kita, Singapura.

Pelaksanakan dasar-dasar ekonomi baru melalui Program Transformasi Ekonomi (GTP) dan Model Baru Ekonomi (MBE) telah memberi arah baru untuk memandu ekonomi negara bagi mencapai ekonomi negara berpendapatan tinggi.

Ekonomi negara tidak boleh sesekali terperangkap dalam ekonomi berpendapatan sederhana. Jika ini berlaku, kedudukan ekonomi rakyat juga akan terperangkap dalam ekonomi berpendapatan sederhana sedangkan saban hari inflasi akan meningkatkan kos sara hidup rakyat.

GTP yang diperkenalkan menjadi penggerak dan pemangkin meningkatkan kedudukan ekonomi rakyat selari dengan kemajuan ekonomi negara. Di samping itu, penetapan dasar inklusif dalam MBE berupaya membantu meningkatkan ekonomi penduduk bandar mahupun di luar bandar.

Satu perkara yang cukup menarik untuk diperhatikan pada awal tahun ini ialah kedudukan Bursa Malaysia yang berada di landasan yang betul dengan indeksnya menghampiri 1,700 mata yang tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarah Bursa Malaysia.

Kedudukan ini tidak boleh dicapai sekiranya tiada keyakinan para pelabur terutamanya pelabur tempatan. Malahan, dijangkakan pada tahun ini, ekonomi negara sekali lagi dipacu oleh pelaburan dan perbelanjaan domestik yang juga akan menjadi teras utama ekonomi negara pada tahun-tahun akan datang.

Dengan perkataan lain, era ekonomi berpendapatan tinggi negara ini banyak bergantung kepada usaha rakyatnya sendiri dan pengiktirafan yang diberikan oleh badan luar mencerminkan gandingan kerja kuat antara rakyat dengan kerajaan selama ini.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan dan Felo Penyelidik Institut Keusahawanan dan Koperasi, Universiti Utara Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen