Selasa, 26 Februari 2013

ISU AGAMA : Umat Islam, antara kuantiti vs kualiti

Umat Islam akhir zaman ibarat buih di lautan

SEBUAH klip video bertajuk Islamization of Europe yang dihasilkan oleh individu yang menamakan dirinya Friend of Muslim (FoM) menimbulkan pelbagai reaksi mereka yang menontonnya. Klip video sepanjang tujuh minit dan ditonton lebih 10 juta orang itu menghuraikan perubahan drastik demografi umat Islam di Eropah sebagai ancaman terbesar terhadap kebudayaan Barat.

FoM memberi amaran bahawa kadar purata tertentu bagi kelahiran bayi dalam sesebuah keluarga perlu dipastikan demi menjamin kelangsungan sesuatu kebudayaan.

Menurut FoM, kadar purata kelahiran bayi atau kesuburan pada 2007 bagi Kesatuan Eropah ialah 1.38% berbanding kadar kelahiran bagi keluarga Muslim yang amat tinggi, iaitu 8.1%.

FoM turut mengemukakan pendedahan yang membimbangkan masyarakat Eropah bahawa 50 peratus daripada bayi yang dilahirkan di Belanda merupakan Muslim dan dalam tempoh 15 tahun, sebahagian penduduk negara itu merupakan umat Islam. Seterusnya bagi Perancis, pada 2027, satu daripada lima orang Perancis ialah Muslim dan dalam tempoh 39 tahun, negara tersebut akan menjadi sebuah Republik Islam.

Perubahan demografi dunia ini dikatakan disumbang oleh penghijrahan umat Islam secara besar-besaran ke Eropah dalam tempoh beberapa dekad. Meskipun dipertikaikan dari segi kesahihan fakta dan sumber rujukannya, namun hakikatnya klip video itu menimbulkan kebimbangan tertentu dalam kalangan masyarakat Barat.

Hal sedemikian memenuhi matlamat penerbitannya, iaitu mengejutkan mereka yang masih belum menyedari perubahan yang sedang melanda. Fakta yang dikemukakan barangkali terlalu "mengejutkan" untuk dipercayai, namun jumlah umat Islam yang berhijrah ke negara-negara Eropah sememangnya besar dan mencatat peningkatan dari semasa ke semasa.

Tidak dinafikan peningkatan jumlah umat Islam di seluruh dunia menyuntik rasa gembira kerana dalam situasi tertentu, bilangan yang besar membolehkan kekuatan dibina. Namun keadaan itu tidak berlaku terhadap umat Islam kini.

Kuantiti atau jumlah yang besar seolah-olah tidak memberi sebarang makna. Kuantiti tanpa kualiti hanyalah seperti sekujur jasad tanpa roh. Sebahagian besar umat Islam telah kehilangan nilai-nilai akhlak luhur dalam kehidupan mereka dan tindak-tanduk mereka yang bertentangan dengan ajaran Islam, sekali gus mencemarkan nama baik agama mereka.

Sama ada disedari atau tidak, segala bentuk penghinaan yang dilontarkan musuh-musuh Islam terhadap agama Islam yang kerap kalinya mengundang kemarahan luar biasa mereka, hakikatnya turut berpunca daripada mereka sendiri.

Daripada kemiskinan, kemunduran, dan buta huruf, perpecahan dan percakaran sesama sendiri hatta dalam persoalan kepentingan bersama, peperangan saudara, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan sumber khazanah serta kekayaan negara, penindasan terhadap rakyat, sehinggalah pembabitan dalam salah laku dan jenayah, serta tidak prihatin akan kebersihan dan menepati masa, semuanya mencorakkan warna yang suram pada wajah Islam.

Dalam keadaan sebegini, bagaimana mungkin mereka dapat memimpin dunia, apatah lagi membina peradaban sebagaimana yang dilaksanakan oleh generasi sebelum mereka? Sebaliknya yang pasti berlaku ialah mereka pula yang menjadi sasaran penguasaan dan penindasan pihak musuh.

Ini sebagaimana diungkap dalam Hadis daripada Thauban yang bermaksud, "Rasulullah SAW bersabda: "Akan tiba masanya umat (bangsa) lain mengajak antara satu sama lain untuk membinasakan kamu (umat Islam) sebagaimana orang mempelawa antara satu sama lain kepada dulang makanan yang besar (menjamah hidangan makanan)."

Seorang sahabat bertanya: "Adakah disebabkan bilangan kami sedikit pada waktu itu wahai Rasulullah?" Baginda menjawab, "Bahkan bilangan kamu pada waktu itu adalah ramai tetapi kamu merupakan ghutha' (sampah sarap dan buih) di atas air ketika banjir. Allah akan mencabut ketakutan daripada dada musuh dan Dia akan mencampakkan dalam hati kamu penyakit al-wahn." Seorang sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, apakah al-wahn itu?" Rasulullah SAW menjawab, "Cinta akan dunia dan takut akan mati." (Riwayat Abu Daud)

Sebahagian keadaan yang melatari dunia antarabangsa turut menyelubungi negara kita yang diberi pengiktirafan negara Islam contoh dan penduduk majoritinya ialah Muslim. Pengiktirafan besar itu memberikan tanggungjawab kepada kita untuk memastikan ia seiring dengan hakikat yang ada. Justeru pemerintahan harus berperanan dengan sebaik-baiknya bagi mencapai tujuan itu.

Hal ini sebagaimana diungkap oleh Fazlur Rahman: "Pewujudan negara bertujuan mempertahankan keselamatan dan integriti negara, memastikan pelaksanaan undang-undang serta ketertiban negara, membangunkan negara sehingga setiap rakyatnya menyedari kemampuan masing-masing sehingga terdorong memberikan sumbangan demi kesejahteraan masyarakat.

Oleh itu, negara ialah alat bagi mempertahankan agama dan melindungi manusia daripada permusuhan demi mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat."

Jelas bahawa usaha menghidupkan dan mempertahankan agama dapat menyemai nilai amanah serta integriti dalam diri setiap individu; pemerintah mahupun rakyat. Hal ini seterusnya menyumbang kepada suasana aman dan selamat dalam negara selain membolehkan undang-undang dilaksanakan dengan penuh keadilan.

Justeru rakyat yang tidak tergugat tumpuan mereka akan dapat melaksanakan peranan dengan berkesan. Mereka tentunya lebih mengutamakan perdamaian berbanding pertelagahan yang hanya membazirkan masa serta merugikan.

Dengan demikianlah, sebagaimana kata Ibn Khaldun, mereka dibimbing untuk mengelakkan permusuhan, yang melemahkan mereka. Begitulah juga mereka dijamin mencapai kebahagiaan yang salah satu caranya adalah dengan mengetahui perkara yang menjadi keutamaan dalam kehidupan.

Jiwa terasa bagai dihimpit melihat keadaan kita dan membandingkannya dengan ciri-ciri luhur ini. Apatah lagi dalam suasana pilihan raya yang diramalkan diadakan dalam tempoh terdekat. Jurang yang dahulunya sehasta melebar menjadi sedepa, retak yang awalnya sedikit akhirnya seakan-akan membelah.

Menyedari hakikat bahawa agama itu nasihat dan berpesan-pesan dengan kebenaran suatu amanah, maka telah sekian banyaklah pandangan serta teguran yang disampaikan; daripada sekalian rakyat yang menjadi pemerhati sehinggalah pembesar yang memimpin negeri.

Atas kepercayaan perbezaan tidak selalunya memisahkan dan memutuskan, maka perbezaan daripada sudut apa pun juga diharap berjaya diurus secara berhikmah, berlapang dada, beradab, dan matang. Begitu pula asas teguh yang selama-lamanya menyatukan kita, iaitu agama, wajib dimanfaatkan bagi mengekalkan kepemimpinan, ketuanan, dan perpaduan sesama kita.

Justeru kegigihan mempertahankan agamalah yang selayaknya dijadikan penilaian oleh rakyat dalam menentukan pemilihan. Ini disebabkan hanya individu yang gigih memperjuangkan kedaulatan agama sahaja yang diharap dapat terus memelihara kemuliaan yang dikurniakan Allah, sebagaimana ditegaskan Khalifah 'Umar ibn al-Khattab r.a.: "Kita merupakan golongan yang dimuliakan Allah kerana Islam. Sekiranya kita mencari kemuliaan selainnya, Allah tentunya akan menghina kita."

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan