Oleh : AHMAD FOA'AD HASHIM
KESUNGGUHAN Kementerian Pendidikan
membawa perubahan dan penambahbaikan terhadap sistem pendidikan memang nampak
jelas. Program demi program termasuk yang berskala besar seperti penggubalan
Pelan Pembangunan Pendidikan, Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) atau
Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sedang giat dijalankan.
Pada masa sama, program lebih
awal yang menjurus kepada usaha peningkatan kualiti sekolah terus juga
dijalankan seperti program Kluster Kecemerlangan Sekolah, Sekolah Berprestasi
Tinggi dan Tawaran Baru (New Deal). Semuanya memperlihatkan iltizam kementerian
untuk mendorong sekolah supaya bekerja lebih keras bagi meningkatkan
kecemerlangan masing-masing.
Memikirkan beban membuat
perubahan yang bukan sedikit, tentulah rakyat yang juga pelanggan perkhidmatan
pendidikan melihat dengan penuh debaran usaha-usaha mengimplimentasikan
program-program ini.
Tiada siapa dapat menolak hakikat
bahawa operasi teras sekolah sebagai institusi pendidikan adalah melaksanakan
pembelajaran dan pengajaran. Tidak hairanlah apabila pembaharuan dilaksanakan,
banyak pihak ingin tahu sejauhmanakah program-program ini telah benar-benar
sampai ke bilik darjah.
Melalui pembelajaran dan
pengajaran inilah berlakunya proses murid mempelajari sesuatu yang kemudiannya
membawa perubahan dalam tingkah laku mereka. Faktor ini menyebabkan proses
pembelajaran dan pengajaran dijadikan kayu ukur kemampuan mana-mana sistem
persekolahan.
Proses pembelajaran
Justeru 'The moment of truth'
sebuah sistem pendidikan adalah apabila beribu orang guru melangkah masuk ke
bilik darjah dan mengendalikan proses pembelajaran murid. Apa-apa yang mereka
mampu lakukan dan yang tidak mampu dilakukan ketika itu, itulah petunjuk kepada
keupayaan sebuah sistem pendidikan.
Walaupun ada kegiatan pendidikan
di luar bilik darjah seperti aktiviti kokurikulum tetapi kesan langsung
pendidikan yang kritikal masih lagi proses pembelajaran di bilik darjah. Bukan
untuk tujuan akademik sahaja, proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah
sebenarnya dipertanggungjawabkan untuk mencapai matlamat pendidikan yang lebih
unggul iaitu sebagai wahana membentuk dan membina generasi baru seperti yang
dicita-citakan oleh masyarakat semasa.
Semua kelompok masyarakat di
dunia ini menggunakan agenda pendidikan sebagai saluran untuk menjamin
keberlangsungan kelompok masing-masing. Hasrat inilah yang diolah oleh
kementerian dan diterjemahkan melalui penggubalan pelan induk kurikulum iaitu
Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR), Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM)
dan yang terkini KSSR.
Justifikasi
Gagasan yang terkandung dalam
kurikulum ini kemudiannya diterjemahkan dengan lebih jelas dan tegas dalam
sukatan pelajaran. Hampir semua sukatan pelajaran menghuraikan selengkapnya
latar belakang, matlamat dan objektif pembelajaran masing-masing.
Satu usaha memberikan justifikasi
kepentingan mata pelajaran berkenaan untuk hadir dalam pembelajaran anak-anak
kita. Pembelajaran Sejarah yang diwajibkan dari Tingkatan Satu hingga ke
Tingkatan Lima misalnya menyebut antara lain objektif pembelajarannya untuk
membina semangat patriotik dan membangunkan kebijaksanaan dengan memanfaat
iktibar daripada sejarah.
Manakala matlamat pembelajaran
Sains termasuklah untuk menyubur sikap suka menyelidik. Secara ringkasnya,
tujuan asal proses pembelajaran dan pengajaran adalah untuk mengupayakan murid
mengalami perkembangan diri sehingga mampu mencapai tahap seperti yang
dinyatakan dalam matlamat dan objektif sukatan pelajaran.
Kepentingan pembelajaran dan
pengajaran juga adalah disebabkan wujudnya apa yang dikenali sebagai keupayaan
strategik dan tersendiri mata-mata pelajaran berkenaan. Misalnya pembelajaran
Muzik, Seni Visual dan Kesusasteraan berupaya menyentuh sisi halus jiwa manusia
yang sangat penting dalam pembentukan manusia yang harmonis.
Manakala pembelajaran berbahasa
pula dapat melatih kecekapan dalam berkomunikasi yang menjadi prasyarat kepada
berkembangnya pemikiran dan kematangan. Pendidikan agama dan moral dijadikan
mata pelajaran kerana keupayaan mata pelajaran ini dalam memupuk sifat diri
insan yang mulia. Atas sebab yang sama jugalah mata-mata pelajaran yang lain
diajarkan di sekolah.
Wahana
Mata pelajaran ini bila
digabungkan menjadi suatu pakej yang lengkap untuk pendidikan generasi muda
kita. Jelas sekali semuanya menggunakan pembelajaran dan pengajaran sebagai
saluran dan wahana. Demikian besarnya beban yang dipertanggungjawabkan kepada
proses pembelajaran dan pengajaran.
Oleh sebab itulah perancangan
penambahbaikan sistem pendidikan perlu dipastikan benar-benar sampai ke dalam
bilik darjah khususnya yang berkaitan soal kualiti pembelajaran dan pengajaran.
Dengan menyentuh titik kritikal proses pendidikan ini diharap lebih berupayalah
transformasi pendidikan ini meningkatkan kualiti pendidikan kita.
Sejarah menunjukkan kementerian
pernah melaksanakan pelbagai program yang berfokus kepada pengukuhan kurikulum.
Awal 80-an KBSR dilancarkan ketika warga pendidik diperdengarkan tentang
pembinaan insan kamil.
Diikuti pula dengan KBSM yang
menekankan pembentukan insan yang bersepadu ilmu pengetahuannya. Dalam tahun
90-an, digerakkan pula Sekolah Bestari dan Pembelajaran Bestari dengan sasaran
penguasaan kemahiran berfikir aras tinggi.
Di samping itu pelbagai program
berskala kecil turut dijalankan seperti KBKK (Kemahiran Berfikir Secara Kritis
dan Kreatif), Pembelajaran Masteri, Penyerapan Nilai Murni, Bahasa Melayu
Merentas Kurikulum, Penyungguhan Kendiri, Kemahiran Sempoa dan berbagai-bagai
lagi.
Satu tekad yang hadir merentasi
semua program ini adalah pembelajaran di bilik darjah mesti diuruskan
sedemikian rupa supaya mampu menjadi wahana pembangunan modal insan yang
unggul. Bagaimanapun hari ini program-program ini sukar dikesan kedudukannya.
Apakah ada halangan atau apakah
wujud arus bawah permukaan yang menyimpangkan pembelajaran dan pengajaran
daripada landasan matlamat murni pendidikan ini?
Mungkin elok juga dianalisis
mengapa dasar dan program yang digubal dengan begitu sempurna, yang mengadun
konstruk teoritikal yang terbaik daripada disiplin ilmu pendidikan; tidak pula
dapat bertahan setelah dihantar ke bilik darjah.
Para anggota pendidikan tentu
sedar di bilik darjah gagasan KBSR, KBSM atau Pendidikan Bestari tidak terdaya
bertahan setelah berhadapan dengan gelombang 'pembelajaran dan pengajaran untuk
peperiksaan'.
Persepsi pengajaran sebagai usaha
membantu murid lulus peperiksaan membawa kepada amalan pengajaran yang mudah
yakni 'menyampaikan pengetahuan dan kemahiran' kepada murid dengan menyebut
semula kandungan buku teks atau buku kerja.
Termasuk dalam pakej ini ialah
tekanan kepada hafalan, latih tubi, ujian berulang kali, kebergantungan kepada
buku kerja dan kepopularan soalan-soalan peperiksaan yang lepas.
Di bilik darjah contoh-contoh
soalan peperiksaan dan buku kerja mengatasi peranan sukatan pelajaran. Menghadiri
kursus memeriksa kertas jawapan pula menjadi pilihan utama guru. Latar
belakang, matlamat, objektif dan fokus sukatan pelajaran yang dicetuskan
melalui usaha berfikir dan berbincang dengan panjang lebar, hampir tidak
membawa makna lagi.
Pencapaian
Kesan pembelajaran tanpa
penyerapan ilmu sukar dilihat dengan mata kasar tetapi yang pasti ia berbahaya.
Misalnya, sudah bertahun-tahun kita mewajibkan pembelajaran Sejarah. Tetapi
pembelajaran sejarah tanpa menginsafi kandungannya menyebabkan banyak pihak
melihat generasi muda kita hari ini seperti tidak belajar sejarah.
Banyak masalah dalam masyarakat
hari ini dapat dielakkan jika setiap pembelajaran Sejarah disasarkan untuk
pencapaian matlamat pembelajarannya iaitu pemupukan semangat setia negara dan
jati diri.
Pembelajaran bahasa sepatutnya
melahirkan generasi baru yang mempunyai daya artikulatif yakni kepetahan dan
kebijaksanaan dalam mengemukakan pandangan.
Tapi pembelajaran bahasa yang
dipelajari sepanjang tempoh persekolahan oleh semua murid yang melalui sistem
persekolahan tidak dapat mengelakkan fenomena media sosial kita diserbu oleh
penulisan berbentuk emosi, bukannya kupasan dan penelitian yang berteraskan
daya keintelektualan.
Baru-baru ini sebuah panel 31
pemikir New York yang diketuai oleh Condoleezza Rice, mantan Setiausaha Negara
Amerika Syarikat menerbitkan satu kajian yang merumuskan sistem persekolahan
yang lemah adalah satu ancaman kepada keselamatan Amerika (laporan penuhnya US
Education Reform and National Security). Di mana-mana bahagian dunia ini
termasuk di negara ini, keselamatan negara dan ketenteraman masyarakat memang
boleh disusurgalurkan dengan sistem pendidikan.
Guru dari satu sudut merupakan
sekumpulan tenaga kerja yang beroperasi di bawah satu sistem pengurusan. Oleh
itu, kaedah mengurus dan mengelola kerja mengajar juga perlukan semakan semula.
Di sebalik pelbagai inisiatif
yang dijalankan di sekolah kini, belum pula ada pembaharuan, rombakan atau
anjakan dibuat ke atas struktur organisasi atau mekanisme pengurusan kerja
mengajar. Sekarang ini siapakah yang memberi inspirasi kepada guru ketika
bekerja di bilik darjah?
Mungkinkah kekaburan inspirasi
ini mewujudkan lompang (vakum) hingga kerja guru tanpa disedari terperangkap
dalam amalan yang menjulang peperiksaan lantas terseret pula ke kitaran
'memberi reaksi yang berlebihan' terhadap peperiksaan? Keadaan sudah amat ranum
untuk pembaharuan.
Akhir kata, petunjuk-petunjuk
yang ada kini sama ada di dalam atau di luar sekolah, semuanya memperlihatkan
adanya keperluan yang mendesak agar pelan transformasi pendidikan kita memberi
tumpuan yang konkrit kepada selok-belok pembelajaran dan pengajaran.
Bilik darjah perlu terus
dipastikan berupaya menjadi makmal pembentuk generasi baru Malaysia menurut
acuan yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Negara. Jika harapan ini
diletakkan kepada KSSR, kita masih perlu memikirkan murid di peringkat lain
kerana KSSR baru dilaksanakan setakat Tahun Tiga sekolah rendah.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan