KUANTAN : Malaysia menjuarai Pestabola Merdeka Edisi ke-41
selepas menewaskan Myanmar 2-0 pada aksi akhir di Stadium Darul Makmur, Sabtu.
Percaturan ketua jurulatih Harimau Muda A ini ternyata
berbeza daripada perlawanan sebelum ini dengan menggandingkan dua penyerang di
bahagian atas, Wan Zack Haikal dan Rozaimi Ab Rahman.
Rozaimi yang meledakkan dua gol pada aksi sebelum ini
menjadi pilihan untuk diturunkan dalam barisan kesebelasan utama.
Juga peluang kepada pemain kelahiran Kelantan, Syahrul
Azwari Ibrahim yang diturunkan buat kali pertama dalam barisan utama di
bahagian kiri yang sebelum ini dimainkan oleh D. Saarvindran.
Junior Eldstal yang tidak beraksi pada perlawanan menentang
Thailand Rabu lalu kelihatan masih belum cergas sepenuhnya selepas mengalami
cirit-birit dua hari lalu.
Ternyata permainan kali kedua selepas aksi peringkat
kumpulan sebelum ini lebih sengit dengan menyaksikan serangan dilancarkan
sebaik sahaja wisel mula dibunyikan oleh pasukan Myanmar.
Kad kuning pertama dilayangkan oleh pengadil, dari Thailand
Teetichai Nualjan pada minit kelima kepada Rozaimi selepas pemain itu cuba
menyentuh bola menggunakan tangan ketika di depan gol lawan.
Corak permainan agresif skuad kendalian jurulatih dari Korea
Selatan, Park Sung Hwa itu tidak menghalang skuad negara untuk melakukan cubaan
ke arah gol oleh Junior pada minit ke-16 namun gagal.
Selepas berhempas-pulas cuba mencari gol pertama, cubaan Wan
Zack Haikal ditepis penjaga gol Myanmar, Pyaye Phyo Aung lantas Rozaimi yang
berada berdekatan dengan gol menyempurnakan bola muntah tersebut.
Dengan kehadiran lebih kurang 30,000 penyokong serta
sokongan padu Ultras Malaya menjadikan kerancakan permainan berterusan ke babak
kedua.
Aksi kemas penjaga gol negara, Mohd Izham Tarmizi menambah
tekanan pasukan Myanmar mencari gol penyamaan.
Minit ke-62 jurulatih Malaysia, Ong Kim Swee melakukan
pertukaran pemain pertama dengan mengeluarkan Rozaimi dan memasukan
S.Sivanesan.
Biarpun hujan renyai-renyai berterusan, skuad Bawah 23
kebangsaan ini terus mendominasi permainan.
Minit ke-80 Kim Swee sekali lagi melakukan pertukaran pemain
dengan memasukkan Saarvindran menggantikan Syahrul Azwari.
Selepas bebebrapa kali percubaan, Junior akhirnya berjaya
menjaringkan gol kedua pasukan Malaysia sekali gus mencapai impian untuk
meraikan gol pertamanya di kejohanan ini pada minit ke-93 permainan.
Dengan kemenangan ini melayakkan pasukan Malaysia meraih hadiah wang
tunai ASD50,000 (RM164,500) selain daripada trofi kejohanan.
Naib juara, Myanmar meraih wang ASD 30,000 (RM987,00),
tempat ketiga, Singapura juga meraih wang tunai ASD 20,000 (RM65,800) manakala
tempat keempat, pasukan Thailand ASD10,000 (RM329,00)
Sementara itu, Wan Zack Haikal dipilih sebagai Pemain Paling
Bernilai kejohanan, manakalah Rozaimi dipilih sebagai penjaring terbanyak
kejohanan dengan tiga gol.
Senarai pemain:
Malaysia
T. Reuben, Md Fadhli Shas, Mohd Irfan Fazail (kapten),
A.Thamil Arasu, Wan Zack Haikal Wan Nor, Md Rozaimi Ab Rahman, Junior Eldstal,
Mohd Zubir Mohd Azmi, Nik Mohd Shahrul Azim, Mohd Izham Tarmizi, Syahrul Azwari
Ibrahim
Myanmar
Pyaye Phyo Aung, Zaw Min Tun, Aung Hein Kyaw, David Htan,
Yan Aung Win, Kyaw Zayar Win (kapten), Kyi Lin, Kyaw Ko Ko, Ye Lin Aung, Htoo
Htoo Aung, Thein Than Win
Sumber : http : //www.mstar.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan