Isnin, 15 Jun 2009

MENGHADAPI FENOMENA EL- NINO

Oleh ABDUL RAHMAN MAHMUD

Jabatan Meterologi melaporkan fenomena El-Nino bakal melanda negara dalam masa beberapa bulan lagi. Ia adalah fenomena pemanasan suhu permukaan laut yang berlaku setiap tahun di timur Lautan Pasifik berhampiran luar pantai Peru. Ia menyebabkan rantaian perubahan iklim berlaku di seluruh dunia. Antara kesannya ialah hujan lebat di sesetengah kawasan sementara di kawasan lain, berlaku kemarau panjang.

Oleh itu, kita seharusnya meningkatkan kepekaan untuk mengetahui perkembangan terkini mengenai fenomena El-Nino dan melakukan persediaan yang perlu.

Persoalanya sudahkah kita mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku 10 tahun lalu (1997/1998) semasa fenomena ini melanda negara?

Jabatan Meterologi pada April lalu melaporkan, terdapat bacaan suhu melebihi suhu maksimum purata bagi bulan tersebut. Suhu tertinggi yang direkodkan bagi tempoh 1 hingga 28 April 2009 adalah 36.1 darjah Celsius di Stesen Meteorologi Petaling Jaya pada 17 dan 18 April. Ia dalam lingkungan suhu tertinggi yang pernah direkodkan.

Fenomena ini dicatatkan berlaku sebanyak 12 kali sejak 1951-1952 dan terakhir pada 1997-1998. Pada 1998, suhu tertinggi iaitu 40.1 darjah Celsius direkodkan di Stesen Meteorologi Chuping pada 9 April 1998.

Tahun 1998 merupakan tahun yang merekodkan suhu tertinggi terbanyak dengan 50 peratus daripada rekod suhu tertinggi dicatatkan. Krisis bekalan air di Lembah Kelang dan masalah jerebu menjadi isu besar.

Pada tahun itu juga, negara-negara Asia Tenggara iaitu Indonesia, Singapura, Brunei dan Thailand turut merasai impak yang sama. Cuaca panas juga meningkatkan kes penyakit sensitif iklim seperti taun, demam denggi dan malaria. Fenomena El-Nino dikatakan merupakan fenomena sejagat yang perlu ditangani bersama.

Ada saintis mengaitkan fenomena El-Nino dengan pemanasan global. Walau apa pun andaiannya, masyarakat harus disedarkan mengenai kesan fenomena ini kepada manusia dan alam sekitar.

Fenomena ini dikatakan mempunyai rantaian kesan yang agak membimbangkan kepada alam sekitar dan aktiviti manusia. Sekurang- kurangnya terdapat tiga kesan utama yang bakal dirasai daripada peningkatan suhu semasa fenomena ini.

Pertama, kesan terhadap kesihatan manusia apabila cuaca panas berterusan dijangka turut mengakibatkan penyakit seperti batuk, selsema, demam dan penyakit berkaitan cuaca panas.

Kedua, keadaan panas mendorong kepada proses sejatan daripada kawasan tadahan air. Ia akan menyebabkan krisis bekalan air.

Kawasan tadahan air seperti empangan, tasik dan kolam dibimbangi akan mengalami penyusutan disebabkan kadar sejatan yang tinggi. Sekiranya ini berlaku, langkah seperti catuan air di sesetengah kawasan mungkin terpaksa dibuat.

Selanjutnya ia akan memberi impak terhadap aktiviti manusia. Sesetengah operasi industri pula memerlukan air sebagai bahan dalam proses pengeluaran produk. Maka industri juga bakal menerima tempiasnya.

Ketiga, persekitaran yang kering boleh mendorong berlakunya kebakaran. Biasanya kebakaran berlaku disebabkan oleh tindakan manusia. Kawasan padang yang kering boleh terbakar dengan mudah andainya putung rokok yang masih berapi dibuang ke kawasan tersebut. Tapak pelupusan sampah yang membebaskan gas metana pula berpotensi menyebabkan kebakaran secara spontan.

Apa yang amat membimbangkan, peningkatan kes kebakaran yang berlaku akan menyebabkan masalah jerebu. Semasa El-Nino 1997/1998, kualiti udara terjejas teruk akibat jerebu. Ia berlaku disebabkan kebakaran hutan di Sumatera dan sekaligus menyebabkan pencemaran udara rentas negara. Ia akan menjejaskan sektor pelancongan negara.

Justeru itu, masyarakat mempunyai peranan dalam usaha membantu kerajaan menangani kesan yang bakal berlaku. Sikap "tidak ambil peduli" hanya akan mengundang padah.

Sebagai tanda prihatin, kita harus bersatu melakukan persediaan yang mencukupi. Pertama, kita harus bersedia untuk peka mendengar perkembangan semasa tentang keadaan cuaca yang berlaku. Berita melalui radio, televisyen, akhbar dan laman web seharusnya dijadikan rujukan penting.

Misalnya untuk mengetahui keadaan ramalan cuaca dan Indeks Pencemaran Udara, laman web Jabatan Matereologi Malaysia, http://www.met.gov.my dan laman web Jabatan Alam Sekitar, http://www.doe.gov.my boleh dijadikan rujukan. Kedua-dua laman web ini banyak memberikan maklumat tentang isu alam sekitar dan perkembangan semasa.

Laman web Jabatan Alam Sekitar membantu kita mengetahui tahap Indeks Pencemaran Udara (IPU). Maklumat yang ada dapat membantu rakyat merancang aktiviti seharian.

Kedua, semasa berlakunya cuaca panas, kita harus mengelak daripada melakukan sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan kebakaran. Bahan- bahan yang mudah terbakar perlu disimpan dengan baik manakala aktiviti pembakaran terbuka seperti membakar sampah, sisa pertanian dan sisa pembinaan perlu dielakkan. Ini bagi menghindarkan berlakunya pencemaran udara yang boleh menyebabkan jerebu. Sekiranya berlaku kebakaran terbuka, ia perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Ketiga, sekiranya berlaku masalah jerebu, masyarakat perlu mengambil langkah sewajarnya seperti memakai topeng sewaktu keluar rumah dan merawat segera masalah kesihatan seperti batuk, kesukaran bernafas dan demam. Di samping itu, orang ramai juga perlu mengelak daripada melakukan aktiviti luar rumah yang boleh mendedahkan mereka terhadap kualiti udara yang tidak sihat.

Keempat, bagi mengurangkan kesan krisis air semasa fenomena El-Nino, amalan penjimatan air harus dimulakan dari sekarang. Penggunaan air untuk mandi, mencuci kenderaan dan membasuh pakaian perlu dihadkan agar tidak membazir. Dalam masa yang sama, orang ramai perlu mengadakan simpanan air mentah yang mencukupi untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Langkah persediaan menghadapi fenomena El- Nino ini kadangkala dianggap remeh. Semasa fenomena 1997/1998, ramai yang merungut kerana kekurangan bekalan air dan masalah jerebu. Ramai yang menyalahkan kerajaan, kononya tidak serius melakukan persediaan bagi menghadapi fenomena itu.

Rakyat seharusnya mengubah sikap. Ini kerana isu berkaitan alam sekitar adalah tanggunggjawab bersama. Kita harus bersedia menghadapinya dan membantu kerajaan dalam mengharunginya. Jangan sampai sudah terhantuk baru terngadah, kita harus bersiap sedia dari sekarang.

PENULIS merupakan aktivis alam sekitar

Sumber : http://www.utusan.com.my/

ISU BAHASA INGGERIS SEBAGAI SYARAT LULUS SPM

Isu bahasa Inggeris perlu ditangani secara holistik

Oleh Manja Ismail

Rakyat harus diyakinkan usaha tingkat mutu bahasa kedua tidak abai perhatian terhadap bahasa Melayu

SEJAK Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pelajaran membuka perbahasan terbuka mengenai kemungkinan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diwajibkan lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris untuk melayakkan mereka menerima sijil penuh seminggu lalu, pelbagai pandangan dan idea dilontarkan sama ada melalui media, laman web, kedai kopi serta masjid dan surau.

Sementara ada membincangkannya secara rasional berdasarkan hujah dan fakta, tidak kurang juga yang membicarakannya dengan penuh emosi, bergantung kepada latar belakang pendidikan, budaya, kerjaya dan politik masing-masing. Yang jelas, pendekatan Muhyiddin membuka perbahasan terbuka mengenai isu yang penting dan membabitkan masa depan negara seperti ini perlu dipuji.

Pendekatan kita selama ini ialah melaksanakannya dulu dan berbalah kemudian seperti berlaku kepada dasar Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang masih hangat diperkatakan sekarang.Berbalik kepada soal kemungkinan wajib lulus Bahasa Inggeris dalam SPM, kebimbangan sesetengah pihak bahawa pelajar luar bandar, sebahagian besarnya Melayu, yang tahap penguasaan bahasa Inggeris mereka amat rendah, akan menjadi mangsa, perlu diberi perhatian serius apabila Kementerian Pelajaran memperhalusi semua pandangan nanti.

Jika laporan muka depan NST semalam boleh dijadikan ukuran, kebimbangan itu memang berasas. Menurut laporan itu, pada kadar satu daripada empat calon SPM gagal dalam subjek Bahasa Inggeris setiap tahun sekarang, lebih 130,000 pelajar atau 30 peratus calon tidak mendapat sijil penuh jika dasar 'wajib lulus' dilaksanakan.

Bayangkan kesannya kepada masa depan pelajar terbabit kerana SPM adalah sijil asas untuk mencari pekerjaan dan melanjutkan penggajian ke peringkat lebih tinggi. Atas kebimbangan yang serupa, ramai membantah pelaksanaan PPSMI sekarang.

Memang tiada siapa menafikan bahawa tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan generasi sekarang, terutama di kalangan Melayu luar bandar amat rendah sehingga menyukarkan mereka bersaing di alam pekerjaan dan perniagaan. Semua pihak akur bahawa kemampuan menguasai Bahasa Inggeris memberi nilai tambah kepada setiap individu, apa lagi dalam era globalisasi sekarang. Hakikat bahawa Malaysia, dalam usia kemerdekaannya yang lebih muda berbanding negara lain di Asia tetapi mampu mencapai tahap kemajuan seperti sekarang, selain kerana kestabilan politik dan kebijaksanaan kepemimpinan, turut dipengaruhi oleh tahap penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan sebahagian besar kalangan pentadbir, profesional, peniaga, pendidik dan graduan Melayu sejak selepas merdeka sehingga lebih sedekad lalu.

Soalnya kenapa generasi itu, yang kebanyakannya berasal dari luar bandar, belajar dalam serba kesempitan dan tidak terdedah kepada dunia elektronik dan siber seperti sekarang mampu menguasai bahasa Inggeris jauh lebih baik dengan generasi muda hari ini?

Kita percaya pelbagai jawapan sudah diberikan kepada persoalan ini, yang antaranya dasar kementerian sering berubah terutama apabila menteri bertukar dan mutu pengajaran Bahasa Inggeris itu sendiri. Sebagai contoh, sejak awak 1980-an, Bahasa Inggeris diajar menggunakan kaedah `Communicative English', menggantikan pendekatan terdahulu yang menumpukan perhatian kepada pemahaman tatabahasa, dengan alasan mahu meningkatkan penggunaannya sebagai bahasa perhubungan.

Malangnya, kaedah itu bukan saja gagal meningkatkan mutu penguasaan Bahasa Inggeris pelajar secara lisan seperti yang diinginkan tetapi menyebabkan sebahagian besar pelajar tidak mampu menulis sebaris ayat dalam bahasa itu menggunakan nahu dan ejaan yang betul. Kesannya bukan setakat menyebabkan pelajar cemerlang SPM terpaksa mengikuti kursus Bahasa Inggeris semula secara intensif apabila melanjutkan pelajaran di peringkat universiti atau sebelum ke luar negara, tetapi menyebabkan ramai yang 'tewas' sebelum bersaing di alam pekerjaan terutama di sektor swasta.

Anehnya, ramai pula pelajar Melayu yang gagal Bahasa Inggeris pada peringkat SPM tetapi mampu menguasai bahasa itu apabila menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang memberi penekanan kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran yang betul.

Begitu juga kanak-kanak yang belajar di tadika dengan menekankan program khusus pengajaran Bahasa Inggeris mampu menguasai bahasa itu dalam tempoh singkat, sedangkan enam tahun di sekolah rendah dan lima tahun di sekolah menengah, majoriti pelajar terutama di luar bandar tidak mampu menguasai bahasa itu.

Dalam hubungan ini, kita sependapat dengan banyak pihak bahawa isu kelemahan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar ini perlu ditangani secara holistik dengan mengambil kira punca masalahnya. Jika ia berpunca daripada kaedah pengajaran dan kemampuan guru yang mengajar, masalah itu harus ditangani dulu.

Barangkali kaedah digunakan pada peringkat institut pengajian tinggi yang membolehkan ramai pelajar Melayu, walaupun lemah bahasa Inggeris pada peringkat SPM tetapi mampu menguasai bahasa itu apabila menamatkan pengajian, boleh dicontohi. Pandangan banyak pihak bahawa mutu pengajaran Bahasa Inggeris di sekolah kerajaan berbanding sekolah atau institusi swasta jauh berbeza, menyebabkan jurang luas antara pelajar masing-masing, perlu dilihat secara serius.

Namun, kita percaya dengan keterbukaan Kementerian Pelajaran yang mendapatkan pandangan semua pihak berhubung permasalahan ini, cadangan untuk mewajibkan pelajar lulus Bahasa Inggeris dalam SPM, tidak mungkin dilaksanakan dalam waktu terdekat. Paling awal ia boleh dilaksanakan ialah lima tahun lagi iaitu apabila kumpulan pelajar Tingkatan Satu pada 2010 akan menduduki peperiksaan SPM pada 2014.

Dalam tempoh lima tahun itu, bukan saja masalah membabitkan kaedah pengajaran dan mutu guru Bahasa Inggeris di sekolah kerajaan dapat ditangani, tetapi rakyat harus diberi keyakinan mengenai keikhlasan kerajaan untuk meningkatkan mutu penguasaan bahasa kedua itu di kalangan generasi muda tanpa mengorbankan usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, yang semakin dipersoalkan sekarang.

Sumber : http: //www.bharian.com/

Ahad, 14 Jun 2009

ISU BAHASA INGGERIS SEBAGAI SYARAT LULUS SPM

Penyelesaian situasi menang-menang pastikan bahasa Melayu tak terpinggir

Oleh Nik Safiah Karim

RAKYAT Malaysia tidak putus-putus dibebankan dengan persoalan berkaitan bahasa Inggeris. Kita sentiasa diingatkan mengenai kepentingan bahasa Inggeris, penguasaan bahasa Inggeris yang lemah di kalangan pelajar kita, betapa perlunya warga negara Malaysia menguasai bahasa Inggeris dengan baik, dan mengenai sukarnya mendapat pekerjaan jika penguasaan bahasa Inggeris kita lemah.


Berbulan-bulan lalu kita ribut dengan persoalan berkaitan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Kita mendengar berita mengenai perbincangan meja bulat demi meja bulat. Namun, kerajaan masih belum mahu membuat keputusan di sebalik suara-suara lantang yang mengatakan lebih banyak kesan buruk yang timbul daripada dasar ini daripada kesan baik.

Satu kesan buruk ialah pelajar daripada golongan berpendapatan rendah dan luar bandar menjadi mangsa dasar ini. Mereka tidak dapat belajar Matematik dan Sains dengan baik melalui bahasa Inggeris oleh sebab penguasaan bahasa Inggeris mereka amat lemah. Persekitaran keluarga dan suasana hidup juga tidak membantu, tidak seperti keluarga di bandar yang bukan saja bercakap di rumah dalam bahasa Inggeris, tetapi yang mempunyai kemudahan seperti televisyen, komputer dan internet untuk membantu anak mereka menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Kita juga tahu bahawa dasar ini dilaksanakan dengan amat tergesa-gesa sehingga guru, yang terdidik dan terlatih dalam bahasa Melayu, tidak dapat mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik dengan berkesan. Ini menjadikan pembelajaran kedua-dua mata pelajaran ini, yang sememangnya sukar menjadi lebih sukar. Apatah lagi di kalangan pelajar luar bandar dan daripada golongan keluarga yang berpendapatan rendah.


Satu kesimpulan yang amat ketara ialah bahawa dasar PPSMI ini tidak berlaku adil terhadap sebahagian besar rakyat negara ini. Dari sudut ini sudah jelas tindakan dan keputusan yang patut diambil pihak kerajaan berkaitan dasar PPSMI.

Kini kita sekali lagi dikejutkan dengan persoalan di sekitar bahasa Inggeris. Kita diminta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran, untuk menimbang kemungkinan menjadikan bahasa Inggeris wajib lulus untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). SPM ini amat penting bagi pelajar kita kerana sijil ini adalah kunci yang pertama membuka peluang lain seperti untuk melanjutkan pelajaran, menjalani kursus kemahiran atau mencari pekerjaan. Secara langsung kita mengaitkan masa depan anak kita dengan penguasaan bahasa Inggeris, bahasa bekas penjajah kita dan bahasa yang tidak bertaraf bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi negara.

Benar bahawa ini cadangan saja, dan pihak kerajaan meminta semua pihak memberi pandangan. Kita mengalu-alukan sikap terbuka dan bertimbang rasa kerajaan dan saya berharap semua rakyat akan tampil memberi pandangan yang wajar dan menguntungkan bangsa dan negara, bukan untuk membodek semata-mata. Tetapi pengalaman membuktikan bahawa buah fikiran yang dilemparkan sebagai cadangan selalunya menjadi kenyataan. Demikian jugalah dengan cadangan untuk menjadikan bahasa Inggeris mata pelajaran yang amat penting dalam konteks SPM ini.

Kebimbangan saya ialah kalau-kalau lemparan buah fikiran ini semata-mata untuk mengaburi mata rakyat, yang selepas penat berbincang akan disogokkan dengan keputusan yang mengatakan bahawa lebih ramai yang menyokong cadangan ini, pada hal tidak dilakukan apa-apa kajian meyakinkan.


Tumpuan Berlebihan Terhadap Bahasa Inggeris

Dalam soal ini, saya perhatikan masyarakat kita dan kerajaan terlalu bertumpu kepada bahasa Inggeris dan hampir tidak timbul perhatian terhadap bahasa Melayu. Sekali sekala kita diingatkan supaya tidak risau kerana kedudukan bahasa Melayu sudah terjamin sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Banyak juga yang mengatakan tidak ada lagi persoalan mengenai bahasa Melayu. Ramai pula ahli politik yang mengatakan tidak ada lagi perjuangan mengenai bahasa Melayu. Maka tidur lenalah semua orang, yang tidak sedar bahawa mimpi ngeri ialah bahawa bahasa kebangsaan kita sudah terpinggir dan akan diambil alih oleh bahasa bekas penjajah.

Mengapa perlu diberikan perhatian kepada bahasa Melayu? Sebabnya ialah kerana bahasa Melayu ialah:

Bahasa kebangsaan negara;

Bahasa rasmi;

Bahasa perhubungan antara rakyat jelata biasa;

Bahasa perpaduan, dan

Bahasa saluran ilmu pengetahuan.

Jika begitu banyaknya tugas atau fungsi bahasa Melayu, mengapa pula kita menumpukan perhatian berlebihan kepada bahasa Inggeris? Inilah yang memeningkan saya, sebagai seorang rakyat yang menguasai bahasa Inggeris, tetapi lebih mencintai bahasa kebangsaan negara sendiri.

Bagi saya bahasa Inggeris memang penting dalam dunia sekarang, dalam dunia yang global sifatnya. Kita perlu berhubung dengan dunia luar untuk tujuan diplomasi untuk berniaga dan untuk bertukar pandangan dengan warga dunia yang semakin kecil.

Demikian juga, banyak ilmu ditulis dalam bahasa Inggeris. Maka penguasaan bahasa Inggeris yang baik amat menguntungkan kerana mereka dapat menimba ilmu dengan senang melalui ribuan sumber maklumat yang ada. Mereka juga boleh membantu menyebarkan ilmu ini dengan menulis kembali buah fikiran ini ke dalam bahasa lebih senang dihayati rakyat biasa, yang tidak berniat menjalani program ijazah tinggi, tetapi yang semata-mata ingin membaca maklumat dan idea-idea baru.

Tetapi mengapa mesti wujud semacam kegilaan terhadap bahasa Inggeris, disertai pula sikap acuh tak acuh terhadap bahasa kebangsaan sendiri? Kita sekarang tidak ubah seperti keadaan menyusu kera di hutan, sambil menganaktirikan bahasa sendiri. Melihat kepada keghairahan terhadap bahasa Inggeris, tergambar seolah-olah bahasa Melayu sudah hampir ke liang lahad.

Situasi Menang-Menang

Bagi saya ada dua pandangan yang bertentangan berkaitan isu ini yang kedua-duanya kurang sihat. Pada satu pihak, ada satu golongan menganggap bahasa Inggeris sebagai amat penting untuk survival pada masa ini. Sesiapa yang menyokong bahasa Melayu dianggap sebagai menentang bahasa Inggeris, oleh itu hanyalah layak dikelompokkan ke dalam 'golongan ultra.' Golongan ultra ini dianggap kolot, tidak mahu melihat orang lain maju melalui bahasa Inggeris, dan sebenar-benarnya tidak patut dilayan. Penyokong bahasa Inggeris ini datang daripada pelbagai latar belakang dan kumpulan etnik, tetapi kebanyakannya orang bandar dan terdidik dalam bahasa Inggeris dalam mahupun luar negara. Penguasaan bahasa Melayu mereka juga agak rendah dan mereka tidak begitu terdedah kepada sastera dan budaya Melayu, kerana lebih menggemari sastera dan budaya Barat.

Pada pihak lain pula ialah golongan yang kecintaan mereka terhadap bahasa Melayu amat dalam, dan tidak mahu menerima kenyataan bahawa dalam dunia pada masa ini ada tempat bagi bahasa Inggeris dan bahasa antarabangsa lain. Golongan ini tidak menganggap bahasa Inggeris penting, oleh itu tidak memberatkan persoalan bahasa Inggeris.

Pada hemat saya, kedua-dua kumpulan ini keterlaluan. Sikap mereka tidak sihat dan tidak membawa keuntungan. Keadaan seperti ini saya anggap sebagai situasi menang-kalah kerana masing-masing menegakkan benang yang basah. Satu pihak menganggap perjuangan untuk menegakkan bahasa Melayu sebagai ultra, sebaliknya golongan yang kedua tidak begitu mahu menerima bahasa Inggeris.

Sudah tiba masa kita mencari penyelesaian menerusi situasi menang-menang. Dalam situasi ini, kita menerima hakikat bahawa bahasa Inggeris itu penting. Bagaimanapun dalam konteks negara dan kenegaraan, bahasa kebangsaan kita lebih penting. Pendirian menang-menang ini mengatakan bahawa dalam situasi tertentu penghormatan hendaklah diberikan kepada bahasa kebangsaan, iaitu dalam situasi bersifat rasmi dalam bidang pendidikan dan dalam konteks kenegaraan. Namun, ada tempat dan ketika bagi bahasa Inggeris di dalam mahupun di luar negara. Perhubungan antarabangsa sudah semestinya dalam bahasa Inggeris atau bahasa antarabangsa lain. Dalam konteks negara, situasi seperti persidangan antarabangsa dan diplomasi boleh menggunakan bahasa Inggeris.

Yang lebih utama ialah aspek emosi terhadap kedua-dua bahasa ini. Sepatutnya perasaan cinta akan dan berbangga dengan bahasa kebangsaan sendiri hendaklah dikaitkan dengan bahasa Melayu. Curahan perasaan seni dan kegiatan kebudayaan seboleh mungkin dalam bahasa Melayu. Bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa utiliti, bahasa untuk mencari ilmu pengetahuan dan untuk berhubung dengan dunia luar.

Penulis adalah Karyawan Tamu, Universiti Malaya

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Sabtu, 13 Jun 2009

KPLI 18 BULAN

Oleh Azrul Affandi Sobry
azr@bharian.com.my

Tempoh kursus setahun kurang berkesan lahir guru berkualiti

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan memanjangkan tempoh pengajian Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) selama enam bulan kepada setahun enam bulan, bermula pengambilan Januari 2010.

Pengarah Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Datuk Misrah Ibrahim, berkata keputusan itu diambil berikutan desakan pelbagai pihak selain mengakui tempoh yang diamalkan selama ini kurang berkesan bagi melahirkan guru berkualiti.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya pada peringkat akhir memuktamadkan kertas kerja mengenai cadangan itu sebelum membentangkannya bagi tindakan kementerian.

"Paling awal pelaksanaan lanjutan tempoh pengajian itu adalah bagi pengambilan Januari 2010. Memang jika boleh nak dilaksanakan segera, tetapi untuk tahun ini amat mustahil kerana pengambilan akan datang adalah pada Julai tahun ini.

"Namun, berdasarkan penelitian serta mengambil kira pandangan semua pihak, BPG positif lanjutan tempoh itu perlu dilaksanakan dan mempunyai rasional kukuh. Cuma ada beberapa perkara perlu diperhalusi sebelum dapat dilaksanakan sepenuhnya," katanya ketika dihubungi Berita Minggu.

Mengenai desakan beberapa pihak supaya tempoh pengajian itu dipanjangkan kepada dua tahun, Misrah berkata, ia tidak relevan kerana terlalu mengambil masa bakal guru.

Katanya, jika tempoh KPLI terlalu lama, mungkin graduan tidak berminat dengan kerjaya perguruan kerana jangka masa sama sebenarnya mencukupi untuk mereka menyambung pengajian ke peringkat sarjana.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, ketika mengulas dakwaan bahawa bidang perguruan menjadi tempat longgokan graduan menganggur, berkata sistem tapisan bakal guru bagi mengikuti KPLI cukup ketat.

Katanya, semua pemohon KPLI perlu lulus dengan purata nilai gred kumulatif (CGPA) 2.75 ke atas pada peringkat sarjana muda sebelum dipanggil mengikuti ujian khas pemilihan guru.

"CGPA itu bukan kecil. Ini bermakna pemohon untuk KPLI terdiri di kalangan antara yang terbaik di universiti. Apabila menduduki ujian pula, banyak perkara boleh dinilai bagi melihat kesungguhan pemohon untuk menjadi guru.

"Jika melepasi ujian, ada pula peringkat ketiga iaitu temu duga yang membolehkan penemuduga menilai secara terperinci sahsiah dan karakter pemohon," katanya.

Katanya, dakwaan itu mungkin berlaku satu ketika dulu kerana tapisan mengikuti KPLI tidak sebegitu ketat, namun dengan 80,000 permohonan tahun ini dan hanya 5,132 pengambilan, persaingan itu pasti sengit dan calon terpilih pastinya antara terbaik.

Pada masa sama, katanya, kementerian kini memperbanyakkan pengambilan guru untuk Program Sarjana Muda Perguruan yang bakal mengisi sehingga 6,200 tempat.

Sumber : www.bharian.com/

ISU ALAM SEKITAR

BAGAI MERACUN RUMAH SENDIRI

Oleh NURUL ANUAR KARI
kesihatan@utusan.com.my

PENCEMARAN udara jelas semakin teruk di seluruh dunia.

MANUSIA mempunyai kurang 10 tahun untuk bertindak. Kita mempunyai kekuatan untuk berubah, jadi apa lagi yang ditunggu?"

Itu menjadi antara ayat terakhir yang disajikan kepada penonton pada malam Hari Alam Sekitar Sedunia pada 5 Jun lalu. Ungkapan itu mengakhiri filem dokumentari bertajuk Home yang ditayangkan serentak di seluruh dunia.

"Dalam hanya 200,000 tahun manusia berkembang di bumi, kita telah berjaya memusnahkan keseimbangan bumi yang berkekalan sejak berjuta tahun lamanya.

"Kita mampu hidup dengan lebih baik jika kurang 'mengambil' dan lebih banyak 'berkongsi'," hasil kisah dokumentari yang mendedahkan bagaimana 80 peratus sumber bumi kini dibolot hanya 20 peratus penduduk dunia.

Dalam erti kata lain, penyumbang utama pencemaran dunia juga paling banyak menikmati hasil bumi. Mereka terus rakus menelan sebanyak mungkin hasil bumi, membazir dan membuang sisanya ke merata dunia, merosak dan membunuh 'rumah' dan penghuninya.

Menginsafi

Walaupun telah menonton berpuluh dokumentari, Home begitu menyentap fikiran bila ditayangkan bagaimana begitu banyak dunia berubah dalam hanya satu generasi, generasi kita.

Sebenarnya, penulis sendiri terpaksa mengakui diri telah lama mengambil mudah isu persekitaran. Pernah juga penulis diajukan soalan, 'apa kaitan persekitaran dan kesihatan?'

Ini boleh dibalas kembali dengan persoalan mudah, 'bila kali terakhir kamu memandu dengan cermin terbuka?' Bukan untuk merokok!

Rata-rata dapat dilihat bagaimana pemandu kini menutup tingkap hampir sepanjang masa ketika memandu, siang atau malam. Jika ditanyakan mengapa, jawapannya sama ada udara kotor, berdebu atau berasap, dan pastinya kerana terlalu panas.

Ini jelas terbukti dengan penggunaan lapisan pelindung berwarna (tint) pada cermin-cermin hampir semua kenderaan. Pasti menjadi satu penyeksaan jika terpaksa memandu dengan cermin terbuka dalam kawasan bandar, siang atau malam, gara-gara penyaman udara rosak. Sedarkah kita penggunaan tint dan juga menutup tingkap itu sahaja sudah menunjukkan situasi semasa alam sekitar?

Semakin ramai juga yang mengadu sakit mata, sukar bernafas dan asma (lelah). Tidak kurang pula peningkatan kes katarak dan kanser kulit dari sinaran matahari (penipisan ozon), dan sudah tentu obesiti yang didorong keengganan orang ramai bersenam dalam cuaca panas. Untuk mengelakkan diri memperakui masalah yang dihadapi, kebanyakan daripada kita menyorokkan diri di dalam bangunan mahupun kenderaan dengan penyaman udara.

Pencemaran udara dan aktiviti menggondolkan hutan telah menjadi penyumbang utama pemanasan global. Ini seterusnya membawa kepada perubahan iklim dunia yang kini dianggarkan membunuh lebih 300,000 orang di seluruh dunia setiap tahun. Menjelang 2030, angka ini akan melonjak kepada lebih 500,000 orang.

Laporan kesan perubahan iklim ke atas manusia oleh Forum Kemanusiaan Global menunjukkan 325 juta penduduk dunia kini menjadi mangsa. Jumlah itu akan berganda dalam tempoh 20 tahun, menjejaskan hampir 10 peratus populasi manusia.

Kembalinya El Nino

Semulajadi atau musibah? Fenomena kejanggalan suhu permukaan laut yang membawa bersamanya kemarau di Pasifik Barat, dan banjir di Amerika Selatan sekali lagi melanda dunia. Walaupun punca sebenar El Nino masih samar, dunia terus berdebat sama ada peningkatan kekuatan dan kejadian El Nino berkait dengan pemanasan global.

Lebih penting lagi, fenomena ini bukan sahaja akan membawa cuaca panas ke rantau Asia, malahan menjejaskan keseimbangan ekosistem laut.

Ikan kehilangan sumber makanan. Ketiadaan nutrien akan menjejaskan kumpulan-kumpulan besar ikan yang menjadi sumber makanan hidupan lain dan juga rezeki nelayan. El Nino juga didakwa menjadi punca kemusnahan beberapa tamadun kuno di benua Amerika Selatan.

Jabatan Meteorologi pada 9 Jun lalu meramalkan cuaca panas dan kering El Nino mungkin berlarutan sehingga September ini, memburukkan lagi masalah jerebu yang dikuatkan lagi dengan aktiviti pembakaran terbuka.

Kualiti udara di seluruh negara juga dilaporkan semakin merosot. Dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) direkodkan antara 101 hingga 200, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mula menegur tindakan pembakaran terbuka, asap hitam (kenderaan) berlebihan dan asap dari pihak industri.

Kemudian Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) pula melaporkan bekalan air di enam empangan sedia ada telah mengalami penyusutan 10 peratus akibat kemarau. Jika berlaku penyusutan mendadak, Syabas terpaksa mengawal atau mengurangkan pelepasan bekalan air kepada pengguna, menyebabkan gangguan bekalan air.

Berbekalkan pengalaman menghadapi El Nino dan krisis air di Lembah Klang antara Oktober 1997 hingga awal 1998, kita sepatutnya lebih bersedia. Pengguna perlu berjimat-cermat menggunakan air di samping mengurangkan aktiviti yang boleh menyumbang kepada peningkatan pemanasan iklim.

Kekurangan bekalan air bukan sahaja boleh menjejaskan kesihatan badan (strok haba, batu karang), malahan penjagaan kebersihan diri, premis dan makanan juga pasti sukar dilakukan dengan baik. Penyimpanan air di rumah secara tidak teratur pula boleh menyebabkan berlakunya pencemaran kuman seperti kolera, demam kepialu dan hepatitis A.

Tidak cukup dengan El Nino, pencemaran sungai dan sumber air dengan sampah, bahan kimia dan sisa toksik memburukkan lagi masalah bekalan air. Ikan pasti mati dan tentu sukar untuk bercucuk tanam atau menternak tanpa air bersih. Ini seterusnya akan membawa kita kepada masalah bekalan air dan makanan yang tidak mencukupi, atau tercemar dengan racun dan bahan kimia.

Pulau terpencil

Bumi bagaikan pulau! Benar, jika dilihat bagaimana kita tiada kemampuan untuk berpindah ke mana-mana planet lain di alam semesta. Sejarah pulau Easter di Lautan Pasifik menjadi petunjuk apa akan berlaku jika tiada tindakan tegas diambil terhadap masalah persekitaran.

Sebahagian besar penduduknya mati kebuluran. Penduduk pulau Easter yang menebang kesemua pokok balak mereka akhirnya tiada hutan dan juga bahan untuk membina perahu nelayan, mahupun perahu untuk berpindah ke tempat lain. Mereka kemudian bertindak membunuh populasi burung laut sebagai makanan. Selepas tiada lagi burung untuk santapan, semakin ramai yang menemui ajal.

Dengan tidak mengambil iktibar tindakan menggondol hutan, puak Rapa Nui di pulau Easter gagal memelihara sumber makanan terakhir mereka, telur dan daging burung. Dengan kematian 97 peratus populasi penduduk, puak Rapa Nui yang tinggal kini hilang budaya, identiti dan juga tanah mereka, yang akhirnya dirampas penjajah.

Mungkinkah terlambat untuk kita menginsafi kejahilan diri sebelum bumi yang diwariskan kepada anak cucu cuma mencerut nyawa mereka? Generasi kini masih mampu meneruskan hidup, tetapi bagaimana dengan pewaris kita?

Bertindak tegas

Pada 31 Mac lalu, kebanyakan negara di seluruh dunia bersatu meringankan beban kesakitan Bumi dengan bergelap selama satu jam. Malaysia juga turut serta, tetapi dalam jumlah yang jauh berbeza. Bekalan elektrik yang masih banyak menggunakan minyak dan arang menjadi antara penyumbang utama pencemaran udara.

Kempen mengurang atau menghentikan penggunaan beg plastik yang baru bermula pula dilihat gagal mencapai momentum yang diharapkan. Pemimpin dunia berterusan membincangkan masalah persekitaran tatkala masa untuk bertindak semakin suntuk. Dikekang usaha melengah pihak pencemar utama, tiada tindakan drastik dan berkesan dapat diambil.

Namun, penemuan kaedah mengitar semula sampah menjadi minyak dan arang minggu lalu menunjukkan masih ada caranya. Cara untuk generasi ini menebus tindakan memusnah keseimbangan alam, seterusnya menjamin warisan dunia untuk anak dan cucu mereka.

Sudah sampai masanya mengitar semula menjadi kewajipan, dan mungkin juga diwajibkan, supaya dapat mengurangkan beban tuntutan bekalan yang sentiasa meningkat. Bukannya satu atau dua, tetapi beratus mahupun beribu jenis bahan yang boleh dikitar semula. Ini secara tidak langsung juga dapat menyelesaikan masalah longgokan sampah dan pencemaran.

Selain itu, lebih banyak usaha dan peruntukan perlu ditumpukan ke arah tenaga alternatif. Tenaga angin, ombak, geotermal dan tentunya tenaga solar menjadi pilihan tenaga paling bersih dan selamat, di samping mampu menampung keperluan tenaga domestik.

Sebarang perubahan pada persekitaran akan memberi kesan secara langsung atau tidak langsung kepada manusia dan hidupan lain di muka bumi. Jangan diambil mudah kemusnahan dan gangguan keseimbangan alam sekitar kerana ia bukan hanya akan mengancam hidup, malahan mampu meragut nyawa anda!

Dokumentari Home menunjukkan sudut tercantik dan juga terburuk bumi. Luangkan sedikit masa mengamati apa yang ingin diketengahkan dan mungkin anda akan sedar hanya kita dapat menentukan rupa bumi yang diwariskan kepada generasi akan datang. Dokumentari ini boleh diperolehi melalui laman web www.youtube.com/homeproject atau melalui DVD.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

RAHSIA KISMIS



Masih ingatkah anda dengan pesan orang tua-tua atau ibu tentang makanan yang harus diambil jika ingin pintar dalam pelajaran? Tentulah kismis. Menjelang peperiksaan inilah satu-satunya diet yang kerap diberikan ibu.

Adakah dakwaan kismis dan kaitan ketajaman minda benar atau ia sekadar mitos? Ini kerana jarang sekali ibu bapa atau orang tua dapat memberikan penjelasan lanjut kenapa kismis baik untuk minda.

Malah keduanya, adakah kebaikan kismis hanya sekadar menyumbang kepada manfaat minda semata-mata?

Kismis atau dipanggil raisin dalam bahasa Inggeris atau zabib dalam bahasa Arab, disabdakan Rasulullah SAW, "Biasakanlah memakan kismis kerana kismis dapat menghilangkan kepahitan, menghilangkan lendir, menyihatkan badan, membaguskan rupa, menguatkan saraf dan menghilangkan letih."

Apakah sebenarnya rahsia kismis sehingga mendapat tempat sejak ratusan tahun dulu?

Kismis sebenarnya berasal daripada buah anggur yang menjalani proses penyahidratan sama ada menggunakan matahari atau menggunakan ketuhar. Terdapat beberapa jenis kismis yang popular seperti sultana, malaga, monukka dan muscat.

Akibat proses penyahidratan saiz kismis menjadi lebih kecil iaitu hanya separuh duit syiling lima sen. Dalam satu penulisan dalam majalah Today Dietitian mengungkapkan kismis sebagai gula-gula asli dan semula jadi.

Kenapa begitu? "Ia adalah salah salah satu daripada buah kering yang paling kaya dengan nutrisi di dunia. Kismis bebas kolesterol, rendah sodium dan bebas lemak. Ia menawarkan nutrisi yang diperlukan tubuh termasuk vitamin, mineral, zat besi, serat dan kalsium," nukil artikel itu.

Jika begitu, tidakkah kismis membahayakan kesihatan? Kismis mengandungi kadar gula yang tinggi tetapi gula fruktosa adalah gula semula jadi yang dipanggil gula ringkas. Ia mudah diproses untuk menjadi tenaga.

Walaupun kering, kismis juga dikategorikan sebagai salah satu buah-buahan yang kaya dengan antioksida selain prun dan aprikot. Oleh itu, kismis turut berfungsi sebagai agen untuk melindungi tubuh daripada radikal bebas.

Snek ini menawarkan pelbagai khasiat lain termasuklah sumber tenaga, tulang yang sihat bagi wanita, kesihatan gigi dan memperbaiki daya penglihatan.

Kepelbagaian manfaat itu sebenarnya bukanlah hanya untuk kanak-kanak, malah orang dewasa.

Menajamkan minda. Gula ringkas dalam kismis telah dikenal pasti dapat meningkatkan daya pemikiran otak. Ini kerana otak memerlukan gula ringkas dalam kuantiti yang banyak untuk berfungsi dengan baik dan kismis dapat menyediakan keperluan gula ringkas dalam kuantiti yang banyak dan cepat.

Antioksida. Kajian mendapati fenol yang terdapat dalam kismis adalah antara sumber yang membolehkan ia dikategorikan sebagai antioksida. Antioksida melindungi tubuh daripada radikal bebas selain menjaga kesihatan kulit.

Gigi sihat. Jangan membiarkan kemanisan dan rasa melekit kismis menipu anda. Kismis tidak menyebabkan kaviti dan penyakit gusi, bahkan mempromosi gigi yang sihat kerana mengandungi asid oleanolik. Asid ini sangat efektif dalam membunuh bakteria.


Sumber : http://info-kesihatan-anda.blogspot.com/

ISU GAGASAN SATU MALAYSIA

CABARAN ATASI KEPELBAGAIAN

Oleh Dr.Firdaus Haji Abdullah

Ada tiga istilah menarik yang membuahkan bualan berlanjutan berikutan “Seminar Gagasan Satu Malaysia: Kesinambungan Satu Perjuangan” di Kuala Terengganu Ahad lalu. Tiga istilah itu ialah ‘kecacamarbaan’, ‘kepelbagaian’ dan ‘keterpinggiran’.

Istilah ‘kecacamarbaan’ dilafazkan oleh Menteri Pertahanan Dato Dr.Ahmad Zahid Hamidi sewaktu merasmikan seminar tersebut. Beliau merujuk kepada empat aliran persekolahan yang wujud di Malaysia ini sekarang sebagai salah satu punca utama melahirkan masyarakat yang ‘cacamarba.’ Tentu sahaja suasana sosial yang ‘cacamarba’ bercanggah dengan semangat Satu Malaysia dan akan merintang pencapaian matlamatnya.

Kerana itu Zahid mencadangkan supaya sistem persekolahan yang pelbagai ragam di peringkat rendah itu disatukan (dipertemukan) pada peringkat yang lebih tinggi untuk memungkinkan interaksi yang lebih luas antara kaum dan antara golongan. Secara tidak langsung Zahid merujuk kepada satu cabaran hebat yang dihadapi dalam usaha merealisasikan matlamat gagasan Satu Malaysia.

Satu cabaran lain yang tidak kurang hebatnya ialah “rasa ketersingkiran” (sense of alienation) pelbagai kelompok etnik di Malaysia ini. Rujukan terhadap “rasa ketersingkiran” secara tidak langsung terdapat hampir di setiap kertas kerja yang dibentangkan dengan penekanan dan perspektif yang berbeza-beza.

Tetapi dalam pembentangan kertas kerja Dr. Thock Ker Pong dari Universiti Malaya dan Profesor Dr. Kamarudin Said dari Universti Kebangsaan Malaysia isu ‘ketersingkiran’ itu disentuh agak panjang dengan perspektif dan sudut pandangan yang bukan sahaja berlainan malah boleh dikatakan bertentangan.

Profesor Kamaruddin mengingatkan kembali ‘ketersingkiran’ atau ‘keterpinggiran’ yang dialami oleh bangsa Melayu selama seratus tahun di bawah pemerintahan kolonial Inggeris. Manakala Dr. Thock membangkitkan ‘rasa ketersingkiran’ orang-orang Cina akibat pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru. Dr. Sivamurugan Pandian dari Univesiti Sains Malaysia dan Dr. Sarjit Singh dari Universiti Putra Malaysia menyebut secara tidak langsung rasa ketersingkiran masyarakat India.

Reaksi

Semuanya memperingatkan kembali bahawa rasa ketersingkiran itu dialami oleh setiap kaum di Malaysia ini. Tetapi masing-masing kaum mempunyai tanggapan dan reaksi yang berbeza terhadap rasa ketersingkiran kaumnya. Mengenai reaski berbagai kaum yang berbeza itu, seorang peserta berkata sambil bergurau: “Reaksi masyarakat Cina berartikulasi, reaksi masyarakat India berdemonstrasi, reaksi masyarakat Melayu berbasa-basi.”

‘Basa-basi’ menurut Kamus Dewan bererti ‘bersopan santun’ atau tenggang menenggang dan bertimbang rasa. Ini mempunyai kaitan dengan kebiasaan orang Melayu yang terkenal sabar dan senantiasa memikirkan “apa orang lain kata” bila hendak melakukan sesuatu. Oleh kerana itu reaksi orang Melayu terhadap ‘rasa keterpinggiran’ mereka lebih banyak dalam bentuk ‘memendam rasa’ atau ‘makan hati’ yang sekali sekala mencapai kemuncak dan meletup dalam bentuk amuk.

Istilah ‘demonstrasi’ atau ‘dramatisasi’ yang merujuk kepada reaksi masyarakat India terhadap rasa ‘keterpinggiran’ mereka, secara setengah bergurau dikaitkan dengan demonstrasi jalanan oleh pertubuhan terlarang yang dipanggil Hindraf itu.

Manakala istilah ‘berartikulasi’ digunakan untuk memerikan reaksi masyarakat Cina terhadap rasa keterpinggiran mereka sesuai dengan kekayaan sumber-sumber intelektual dan pelbagai institusi artikulasi yang mereka miliki. Selain dari bilangan kelas menengah dan golongan profesional yang cukup besar, masyarakat Cina juga mempunyai badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang cukup banyak yang dimudahcarakan pula oleh lebih sepuluh akhbar harian.

Implikasi daripada semuanya itu ialah bahawa masyarakat pelbagai latar belakang yang hendak disatukan menerusi gagasan Satu Malaysia itu masih berada dalam keadaan yang tidak setara dari pelbagai aspek, termasuk dari aspek keupayaan mengartikulasikan kepentingan masing-masing. Keadaan menjadi bertambah kecoh bila masing-masing mempunyai pandangan dan keinginan yang ‘cacamarba’ akibat melalui sistem pendidikan yang berbeza-beza seperti kata Datuk Dr. Zahid. Rasanya kerana itulah maka Datuk Dr. Zahid semasa berucap merasmikan seminar tersebut dan kemudian semasa mengadakan sidang akhbar berulang-ulang menegaskan peri perlunya ‘kesetaraan peluang dan keupayaan’ yang di rujuknya menggunakan ungkapan bahasa Inggeris level playing field.

Ahmad Zahid juga merujuk kepada Penyata Pelajaran Razak sebagai “roh penyatuan kepelbagaian” yang perlu dirujuk kembali sebagai satu “dasar kebangsaan” untuk dijadikan pedoman mewujudkan perpaduan seperti yang dicita-citakan oleh gagasan Satu Malaysia itu. Kemudian secara kebetulan hampir semua kertas kerja memang merujuk kembali pelbagai dasar kebangsaan seperti Dasar Bahasa Kebangsaan, Dasar Pelajaran Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pandang Ke Timur dan Wawasan 2020 yang semuanya secara tersurat dan tersirat mendambakan satu negara Malaysia yang bersatu padu dan mempunyai jati diri serta aman makmur dan adil saksama.

Turut dirujuk kembali ialah slogan-slogan perpaduan yang pernah dikumandangkan sepanjang setengah abad yang lalu seperti “Bersekutu Bertambah Mutu”, “Malaysia Berjaya”, “Bersih, Cekap dan Amanah”, “Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.”

Memang diakui bahawa ada pembentang kertas kerja dan para peserta yang berucap dengan nada kesal, menyindir dan sinis bila merujuk kepada pelbagai dasar dan slogan di tahun-tahun yang terdahulu. Mereka kecewa kerana dasar-dasar kebangsaan tersebut tidak dipatuhi dan tidak dilaksanakan sebagaimana sepatutnya.

Begitu juga pelbagai slogan dengan ungkapan yang bombastik dan nada yang berdegar-degar di masa lalu itu, menurut mereka, tak lebih dari ‘halwa telinga’ atau ‘pemanis mulut dan penyedap lidah’. Mereka tidak mahu ungkapan “Satu Malaysia: rakyat didahulukan, prestasi diutamakan” itu merudum menjadi satu slogan kosong dan mengalami nasib yang hampir sama seperti slogan-slogan atau gagasan-gagasan terdahulu.

Pedoman

Zahid sendiri seakan-akan telah “menghidu” luahan dan suara-suara sinis seperti itu. Kerana itulah barangkali maka dalam teks ucapannya beliau menegaskan: “Gagasan Satu Malaysia perlu ‘dimasyarakatkan’ agar senantiasa difahami, dihayati dan dijadikan pedoman dalam proses pembinaan negara bangsa oleh setiap lapisan masyarakat.”

Senada dengan Zahid, Pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Profesor Madya Datuk Zainal Abidin Borhan atas sifatnya sebagai Pengerusi Bersama Seminar, dalam kata-kata aluannya juga mengingatkan: “Gagasan Satu Malaysia sebagai panduan untuk membina negara bangsa mestilah diberi takrif dan pengisian agar gagasan itu tidak merosot menjadi satu slogan atau klise kosong. Kerana itulah maka seminar ini dibahagikan kepada tiga subtema: (i) Pemahaman dan pentakrifan, (ii) Pengisian dan Pemasyarakatan, (iii) Strategi dan pelaksanaan.”

Tiga subtema yang disebut oleh Datuk Zainal Borhan itu tidak mungkin dihuraikan secara tuntas dalam satu seminar. Sebaliknya perlu ‘dimasyarakatkan’ secara yang lebih terancang dan sistematik kepada kumpulan-kumpulan lain di serata negara dalam satu siri atau rangkaian seminar atau wacana keilmuan . Dan ternyata Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said menyedari dan bersetuju dengan keperluan yang disebut oleh Datuk Dr. Zahid dan Datuk Zainal Borhan itu.

Atas kesedaran itu Datuk Ahmad Said bersetuju dan berjanji untuk meningkatkan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu dengan Akademi Pengajian Melayu dalam usaha mengkaji dan mendalami serta memasyarakatkan gagasan “Satu Malaysia: Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan”.

Sumber : http://www.utusan.com.my/