Rabu, 2 September 2009

Belasungkawa: Negara kehilangan tokoh kehakiman disegani


Abdul Hamid sumbang idea mantapkan perundangan negara sepanjang 39 tahun

TUN Abdul Hamid Omar yang meninggal dunia semalam akan dikenang sebagai tokoh kehakiman negara disegani semua pihak. Bekas Ketua Hakim Negara itu adalah individu penting yang menyaksikan dan terbabit secara langsung dalam perjalanan institusi kehakiman dan perundangan negara selama 39 tahun sebelum persaraannya pada 1995.

Beliau juga akan diingati sebagai individu yang mempengerusikan tribunal enam ahli yang bertanggungjawab memecat bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas berikutan krisis kehakiman negara pada 1988. Usaha Allahyarham memperjuangkan penggunaan Bahasa Melayu dalam prosiding mahkamah membolehkan beliau dianugerahkan Tokoh Dewan Masyarakat pada 1991.

Abdul Hamid, 80, meninggal dunia di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, di ibu negara pada jam 10 pagi semalam akibat kegagalan ginjal. Allahyarham meninggalkan seorang balu, Toh Puan Azian Aiyub Ghazali dan empat anak Azizuddin, Ainuddin, Hanizah dan Hanizan.


Abdul Hamid dilahirkan pada 25 Mac 1929 di Kuala Perlis dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kangar dan Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, sebelum mengikuti pengajian undang-undang di Lincoln's Inn, London pada 1955 dan dilantik peguam pada November tahun yang sama.

Sekembalinya dari luar negara, Allahyarham memulakan kerjaya sebagai Majistret dan kemudian menjadi Yang Dipertua Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, Raub, Taiping dan Seremban dalam tempoh Mei 1956 hingga Disember 1959. Pada Januari 1960, beliau menjadi Timbalan Pendakwa Raya di Perak sebelum dilantik Penasihat Undang-Undang Negeri di Perak, Terengganu dan Pulau Pinang daripada Mac 1961 hingga Oktober 1967.

Pada 1 November 1967, beliau berkhidmat sebagai Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan sebelum dilantik Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1968, Hakim Mahkamah Persekutuan (1980) dan Hakim Besar Malaya (1984). Allahyarham dilantik Hakim Mahkamah Agung sempena pembukaan Mahkamah Agung pada 1 Januari 1985.

Pada November 1988, Allahyarham dilantik Ketua Hakim Negara sebelum bersara pada 25 Mac 1995 dan dilantik semula ke jawatan itu bagi tempoh enam bulan. Allahyarham juga pernah menjadi penggubal undang-undang Parlimen di Jabatan Peguam Negara pada 1968.

Allahyarham juga menulis tiga buku mengenai perundangan dengan judul pertamanya The Judiciary in Malaysia diterbitkan pada 1994, buku kedua Off the Bench (1995) dan On the Bench mengenai corak kehakiman beliau di Mahkamah Tinggi (1996).

Selain menjadi individu penting dalam institusi kehakiman, Abdul Hamid juga seorang yang aktif dalam badan bukan kerajaan (NGO). Beliau pernah memegang jawatan Penasihat dan Pengerusi Persatuan Bulan Sabit (PBSM) Malaysia, Presiden Persatuan Kusta Malaysia, Penaung Yayasan Cancerlink dan Presiden Kehormat Persatuan Kanak-Kanak Spastik Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Allahyarham juga adalah ahli seumur hidup PBSM.

Abdul Hamid juga membuktikan ketokohannya dalam pentadbiran sukan, dengan memegang jawatan Presiden Persatuan Golf Malaysia, Presiden Kelab Golf Diraja Selangor dan Naib Pengerusi Persatuan Golf Asia Pasifik. Antara jawatan lain yang pernah dipegang Allahyarham ialah Yang Dipertua Majlis Penyeliaan Bernama selama tiga tahun bermula Jun 1976, pengerusi Tribunal Perkhidmatan Awam (1977-1980), Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan Malaysia (1978), Pro Canselor Universiti Utara Malaysia (1988) dan Profesor Kehormat Universiti Teknologi Malaysia (1993). - Bernama

Selasa, 1 September 2009

Elak rugi di bulan Ramadan


bermain dam adalah antara aktiviti kegemaran semasa bulan puasa tetapi ia perlu dihadkan untuk mengelak masa kita terbuang begitu sahaja. - Gambar hiasan


SEMACAM menjadi suatu tradisi pada setiap kali Ramadan, kita akan fikirkan tentang apa juadah yang akan dihidangkan waktu berbuka dan sewaktu bersahur dengan kecurnya air liur.

Tidak hairanlah kalau pasar Ramadan tumbuh macam cendawan selepas hujan sepanjang Ramadhan manakala setiap gerai pula rata-rata dikerumuni pelanggan macam semut mengerumuni gula.

Juallah apa sahaja, termasuk celur pucuk ubi kayu atau pucuk ubi keledek, acar pisang butir banyak, celur jantung pisang, ikan kering bakar dan pelbagai jenis makanan yang dianggap lekeh dan tidak munasabah untuk diniagakan pada bulan-bulan biasa, semuanya laris pada bulan puasa.

Sekali gus bulan Ramadan umpama bulan bonus atau bulan durian runtuh bagi para peniaga juadah. Ada peniaga yang yang kata berniaga sebulan bulan Ramadan boleh menampung keperluan hidup keluarga untuk tempoh setahun.

Pagi-pagi lagi di ruang-ruang pejabat atau bila dua sahabat bertemu di mana-mana sahaja, paling lazim yang menjadi tajuk utama percakapan ialah tentang apa yang mahu dijadikan juadah berbuka. Juga juadah untuk bersahur.

Kononnya sekian-sekian juadah mesti kena ada sewaktu berbuka atau bersahur di samping akan diceritakan kedai mana yang paling bagus untuk berbuka, untuk bersantai sementara tunggu mata mengantuk dan juga kedai yang mampu membuka selera ketika bersahur.

Jarang yang bertanya atau berbincang tentang berapa surah daripada 114 surah al-Quran, berapa juzuk daripada 30 juzuk kitab suci itu dan berapa ayat daripada 6,236 ayat keseluruhan al-Quran,

Daripada jumlah itu, 4,780 daripadanya diturunkan di Mekah dan dinamakan surah/ayat Makkiyyah manakala 1,456 ayat lagi diturunkan di Madinah dan dinamakan surah/ayat Madaniyyah yang sudah dibaca dihayati.

Juga jarang ditanya pada malamnya pula apakah diisi dengan sembahyang sunat terawih, dilipatgandakan sembahyang sunat tahajud, sunat tasbih dan macam-macam sembahyang sunat atau masih kekal pada bulan-bulan Ramadan yang lepas-lepas, banyak masa dihabiskan dengan bersantai di warung-warung menikmati pelbagai hidangan santai ketika rakan-rakan yang lain di masjid, surau atau madrasah, bertarawih.

Pada siang harinya pula apakah ditukar tabiat daripada bercakap tentang hal-hal keduniaan yang bersifat mengumpat individu-individu tertentu, kepada membanyakkan berzikir dan beristighfar dan juga menyambung bacaan al-Quran yang dibaca pada malam hari atau menjelang pagi serta selepas sembahyang Subuh supaya cepat khatam.

Yang kena diperakukan bahawa Ramadan memang bulan pesta, bulan bonus, bulan Mega Sale dan aneka macam mega tetapi bukan dalam bentuk pesta melambakkan pelbagai juadah di meja makan, lebih-lebih lagi hingga sampai ke tatap menyumbang kepada pembaziran.

Sebaliknya Ramadan adalah bulan Allah SWT melelong, membuat Mega Sale dan memberi bonus pahala berganda kepada hamba-hamba-Nya yang mengambil kesempatan dari mubaraknya Ramadan untuk bertaubat nasuha dan memperbanyakan ibadah dengan ganjaran berganda berbanding dengan bulan-bulan biasa.

Selain para penjual mendapat laba dari kelarisan jualan juadah berbuka dan bersahur, kita tidak akan dapat laba apa sepanjang Ramadan kalau kekalkan tabiat menjadikan bulan Ramadan sebagai pesta juadah. Sedangkan dari sudut amal ibadahnya tidak meningkat pun dan tetap juga kekal pada tahap biasa.

Apatah lagi jika yang berdosa membiarkan diri kekal dengan dosa tanpa bertaubat nasuha.

Semalas mana pun kita, kena usahakan juga supaya khatam al-Quran sekali dalam bulan puasa yang mana kalau bulan-bulan biasa setiap ayat yang dibaca akan dibayar dengan 10 kebajikan oleh Allah.

Jika dibaca keseluruhan ayat al-Quran yang mengandungi 1.2 juta huruf, kita akan mendapat 12 juta kebajikan, apabila al-Quran dibaca pada bulan puasa, maka jumlah kebajikannya tentulah berlipat kali ganda lagi.

Demikian juga dengan amalan-amalan lain termasuk bersedekah, sembahyang sunat, berzikir, beristighfar, memulakan penghidupan baru yakni meninggalkan kehidupan mungkar kepada kehidupan yang diredai-Nya akan diganjarkan juga dengan pahala yang berganda.

Rugi benar kalau kita tidak rebut peluang yang Allah sediakan sepanjang Ramadan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

SIUMANKAH MANUSIA INI?


"Spiderman" tawan Menara Berkembar Petronas


KUALA LUMPUR: Alain Robert, lelaki Perancis yang digelar Spiderman kerana gemar memanjat bangunan tinggi, akhirnya berjaya memanjat Menara Berkembar Petronas hingga ke puncak pagi ini selepas tiga kali mencubanya sejak 1997.

Beliau mula memanjat Menara 2 setinggi 88 tingkat itu pada jam 6 pagi dan tiba di puncak pada jam 7.40 pagi tanpa disedari pengawal keselamatan dan orang ramai.
Beliau kemudian ditahan polis sejurus tiba di bawah.

Dalam percubaan kali kedua pada 2007, Robert hanya mampu memanjat sehingga aras 60 sebelum beliau ditahan pengawal keselamatan.

Antara bangunan terkenal pernah dipanjat beliau ialah Empire State Building, Menara Sears dan Taipei 101.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Pakar perubatan akui puasa kaedah terbaik rawat penyakit

Oleh Mohd Fikri Che Hussain

HIKMAT berpuasa secara tidak langsung dapat memberikan faedah besar terhadap kesihatan tubuh. Waktu rehat yang diberikan kepada saluran pemakanan dalam tempoh sebulan cukup untuk meregang dan melegakan bahagian penghadaman itu. Dalam erti kata lain mengembalikan kekuatan dan kecergasannya pada waktu selepas berlalu Ramadan.

Puasa memberikan kerehatan kepada setiap manusia yang melakukannya selain turut menjadi benteng kepada pelbagai penyakit yang menyerang tubuh manusia. Penyakit yang nyata berjaya dihindari dengan melakukan ibadah ini ialah sakit perut, obesiti, pertambahan kolesterol, tekanan darah tinggi dan kencing manis.

Apabila merujuk Hippocrate yang bergelar Bapa Perubatan Greek, beliau turut menggunakan puasa sebagai kaedah perubatan pada hari pertama pesakitnya mendapatkan rawatan. Beliau juga menyifatkan kepelbagaian rawatan yang dihasilkan daripada puasa amat sesuai dengan setiap penyakit.

Pakar perubatan Arab, Dr Umayyah Lahud dalam bukunya menjelaskan: “Saya sering melakukan kajian kepada pelajar yang berpuasa, hanya dalam tempoh singkat mereka dapat menambahkan kemampuan dari aspek penghasilan idea. Ini menjadikan mereka pelajar yang mampu menggunakan segala kemampuan akal untuk menguasai pelajaran. Ini hasil daripada puasa yang menjadikan tubuh merangsang asid yang menolak segala toksin. Seterusnya menjadikan sel darah kembali normal dan bersih daripada segala zat yang diperoleh dari pemakanan harian, manakala pengaliran darah ke otak lebih lancar.”

Tidak diragukan lagi puasa ini adalah tanda kekuasaan Allah yang mensyariatkan kepada kita ibadah amat bermanfaat. Pakar perubatan lain turut mengutamakan teknik berpuasa bagi pesakit mereka berbanding pemberian ubat atau rawatan lain.

Allamah Rasyid Ridha penulis Tafsir al-Manar menjelaskan pengakuan beberapa pakar perubatan Eropah yang mengakui dengan berpuasa sebulan Ramadan mampu menyingkirkan sel tambahan yang mati atau tidak berfungsi dalam badan seseorang individu itu.Apa yang menghairankan, di negara kita, didapati majoriti yang menyambut bulan mulia ini dengan ‘menyerbu’ ke bazar Ramadan sehingga kos perbelanjaan makanan bulan ini meningkat. Peniaga pula mengambil kesempatan meningkatkan harga barangan keperluan hatta gula mulai disorok bagi menjadikan harga di pasaran melambung tinggi. Sedangkan dalam hadis riwayat Muslim ada menyebutkan: “Siapa yang menyorok barang keperluan, dia adalah seorang yang berbuat maksiat.”

Kewujudan pasar Ramadan menjadikan seolah-olah bulan puasa adalah ‘pesta makanan’. Segala makanan yang muncul dibeli oleh pelanggan untuk dihidangkan kepada keluarga, maka bertambahlah ‘penyakit’ lain dari aspek fizikal sama ada penyakit obesiti, diabetes, darah tinggi dan jantung. Penyakit hati yang timbul pula seperti tamak, tidak sabar atau gelojoh, kedekut dan mementingkan diri tetap bersarang di jiwa.

Apabila mereka merujuk hospital akibat penyakit dihidapinya, pasti banyak penyakit itu berpunca daripada perut yang kekenyangan. Allah berfirman: “Makan dan minumlah kamu sekalian dan jangan kamu membazir.”

Ayat ini jelas menerangkan keharusan makan dan minum bagi setiap manusia, tetapi pada akhirnya turut melarang berlebihan dan membazir. Ulama menyatakan, dalam ayat yang ringkas itu Allah Taala mengumpulkan rahsia perubatan untuk semua perkara kepada diri manusia.

Kaum terdahulu turut melarang mengambil makanan dan minuman melampaui batasan keperluan. Luqman al-Hakim pernah mengingatkan kepada anaknya: “Wahai anakku! Seandainya perut dipenuhi makanan, akan tidurlah akal fikiran, tergendala segala hikmah dan lumpuhlah anggota badan untuk beribadah.”


Justeru, setiap Muslim perlu menggunakan kesempatan terbaik ini bagi membetulkan kesilapan mereka pada masa lalu. Khidmat percuma ini didatangkan Allah dengan penuh nikmat kepada setiap hamba-Nya. Tidak perlu kita merosakkan puasa ini dengan membanyakkan makan minum sehingga membawa pembaziran.

Pesan Imam Muhammad al-Hasan al-Syaibani: “Pembaziran makanan itu adalah makan dengan banyak sehingga melampaui rasa kenyang. Termasuk juga pembaziran adalah memperbanyakkan juadah dan kepelbagaian jenisnya. Bahkan dikirakan pembaziran juga apabila diletakkan dalam hidangan itu pelbagai ragam makanan melebihi keperluan yang sepatutnya.”

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Isnin, 31 Ogos 2009

Sambut merdeka dengan keinsafan

TAHUN ini sekali lagi kita menyambut kemerdekaan negara kali ke 52.

Satu tarikh yang bersejarah dimana negara dibebaskan daripada penjajah inggeris satu ketika dulu.

Kemerdekaan negara adalah satu nikmat yang amat disyukuri atas hasil usaha para pentadbir, pengurus, ulama, para ilmuwan dan para pahlawan yang berjuang demi masa depan bangsa dan tanahair.

Setiap titisan darah dan air mata perjuangan yang ditabur oleh mereka tidak harus kita lupakan kerana dengan perjuangan inilah memungkinkan kemerdekaan negara yang kita nikmati ini berjaya diperolehi.

Itulah sejarah yang tidak boleh dipadam daripada ingatan anak bangsa pada hari ini kerana perjuangan generasi terdahulu harus dijadikan iktibar bagi kita generasi hari ini untuk dipertahankan.

Jika aspirasi perjuangan orang-orang terdahulu tidak diambil peduli maka generasi hari tidak akan sekali merasai akan nikmat merdeka dengan sepenuhnya.

Inilah hakikat yang harus dibentuk semoga perjuangan bersejarah tidak akan padam dibenak hati generasi pada hari ini.

Ada ungkapan yang menyebut memerdekakan negara adalah satu perjuangan bermakna dan besar dalam konteks kehidupan.

Pun begitu juga dari sudut agama ianya adalah satu jihad yang besar dimana membebaskan insan daripada elemen penjajahan yang mana jika tidak dilakukan akan membantutkan perjuangan mengangkat maruah bangsa, agama dan tanahair untuk tempoh jangka panjang.

Namun daripada itu cabaran yang jauh lebih besar pada hari ini dalam konteks kemerdekaan adalah bagaimana untuk kita mengisi erti kemerdekaan dan mempertahankannya dengan sepenuh hati dan jiwa raga.

Inilah asas perjuangan yang mesti ditabur dan dibentuk dikalangan generasi hari ini bagaimana harus sama-sama berjuang untuk mengisi erti kemerdekaan dan perjuangan orang terdahulu selain mempertahankannya daripada anasir yang menganggu dan menggoyahkannya.

Perjuangan mengisi kemerdekaan memerlukan jatidiri yang sangat besar kerana perubahan zaman sedikit sebanyak memerlukan golongan yang bukan sahaja kental jasad dan mental namun memerlukan jiwa dan ruh yang padu demi mempertahankan maruah negara.

Mengisi erti kemerdekaan haruslah didahului dengan memahamkan generasi muda akan perjuangan membebaskan negara daripada penjajahan.

Maknanya pembebasan ini membawa maksud bebas kebendaan, ertinya puak penjajah keluar daripada elemen menjajah negara dan dalam masa yang sama bebas daripada cengkaman idea dan pemahaman serta ideologi.

Cabaran kebebasan dalam ertikata merdeka daripada ideologi penjajah ini yang mesti dirungkai dan difahami secara tuntas agar generasi muda yang lahir selepas kemerdekaan dapat memahami dan mensyukuri kemerdekaan itu.

Yang menjadi momokan pada hari ini erti merdeka kita adalah bebas daripada inggeris, bebas untuk mentadbir negara dan sebagainya, namun apakah kita bebas daripada cengkaman ideologi penjajah, atau kita hanya bebas daripada jasadiah namun minda dan pemikiran masih ditakuk yang lama.

Inilah aspirasi mengisi kemerdekaan. Dalam pada itu juga bagi memastikan generasi muda memahami makna kemerdekaan mereka harus diberi maksud yang jelas apakah itu merdeka dalam diri.

Jika merdeka yang ingin ditanam sekadar menyemak sejarah tanpa diberi makna baru, maka generasi muda tidak akan mampu bersaing dengan kemajuan.

Sememangnya sejarah harus dibuka dan dipamer sebagai pengajaran untuk generasi akan datang namun tidak cukup dengan tatapan sejarah, persoalan penting bagaimana mengolah dan menjelaskan kebenaran sejarah kepada anak bangsa.

Jangan dimomok dengan peristiwa dan sejarah yang dangkal dan mengenepikan kebenaran hakikat kemerdekaan.

Hari ini kita lihat sejarah kemerdekaan hanya menampilkan kejayaan dan usaha-usaha dikalangan para pentadbir, ahli politik yang berjuang membebaskan negara dari penjajah.

Amat sedikit sekali kita melihat huraian sejarah bagaimana peranan ulama, sekolah pondok, kesedaran agama dikalangan masyarakat juga turut menjadi penyumbang kepada kesedaran rakyat tentang semangat kemerdekaan.

Hakikat merdeka juga tidak harus dipolitikkan. Bahawa merdeka yang kita perolehi ini adalah perjuangan pihak-pihak tertentu sahaja dan menafikan pihak-pihak yang lain.

Bagi memastikan generasi muda menghayati erti kemerdekaan , upaya memahami sumbangan mereka juga harus diketengahkan.

Konsep kemerdekaan tidak harus dijadikan faktor musiman. Bila datang musim dan bulan kemerdekaan sahaja kita membangkitkan soal perjuangan kemerdekaan.

Usaha meningkatkan upaya memahami tanggungjawab kepada bangsa dan negara juga harus diberi keutamaan.

Generasi muda harus diberi kefahaman secara menyeluruh melalui peringkat sekolah tentang apakah peranan mereka dalam mengisi dan mempertahankan kemerdekaan.

Umumnya memahami bahawa bila mana datang tarikh bersejarah 31 ogos maka semua rakyat akan diingatkan dengan tarikh keramat tersebut.

Namun bagaimana bentuk sambutan, pengisian yang dibentang kepada rakyat benar-benar boleh membentuk kesedaran terhadap ingatan kemerdekaan.

Bila mana sambutan merdeka dilakukan semata-mata dengan mengibar bendera jalur gemilang, menyanyi lagi merdeka sudah cukup bahawa generasi telah faham erti merdeka?

Apakah dengan program-program umum yang dianjurkan oleh pihak kerajaan mahu pun NGO tentang sambutan merdeka boleh melahirkan cinta dan kasih pada negara.

Inilah persoalan yang harus dilihat demi memastikan sambutan merdeka memberi makna yang amat mendalam dalam jiwa anak-anak muda generasi hari ini.

Seperkara lagi dalam membahaskan isu kemerdekaan ini, kita harus melihat dari sudut agama.

Agama juga memberi sumbangan besar dalam mewujudkan kesedaran bebas dari kongkongan dan batasan hidup.

Apakah merdeka nya kita daripada penjajah inggeris itu telah memberi satu dimensi baru bahawa kita benar-benar merdeka dari sudut agama khususnya orang-orang Islam.

Ini antara persoalan yang harus dikembangkan kerana generasi muda hari ini sentiasa akan mengaitkan persoalan kemerdekaan dengan agama dan kefahaman.

Sejauhmana menyambut kemerdekaan itu satu tuntutan yang selari dengan ajaran agama.

Apakah dengan mengibarkan bendera itu benar merupakan penjelmaan kasihnya kita kepada negara?

Kasih dan cinta kepada negara adalah separuh daripada iman.

Apakah golongan muda pasca merdeka benar-benar menghayati maksud hadis ini.

Apakah modul-modul yang dipakejkan bagi merangsang minda generasi muda dengan elemen jiwa merdeka dengan semangat cintakan negara?

Inilah cabaran kita dalam membentuk generasi pasca merdeka agar kesedaran ini tidak akan hanya jadi siulan, perayaan dan pesta semata-mata dalam pada itu generasi muda lupa akan falsafah dan dasar perjuangan kemerdekaan sebenar.

HASRI HARUN

Penulis adalah Presiden, Kumpulan Pengkajian Islam Malaysia ( Malaysian Islamic Study Group) Angkatan Belia Islam Malaysia UK-Eire

Sumber :http://mstar.com.my/

Sudahkah kita cukup patriotik dan nasionalis?

USIA 52 tahun bagi seorang kakitangan awam, adalah petunjuk bahawa usia persaraan kian hampir tiba. Namun bagi sebuah negara bangsa seperti Malaysia, 52 tahun usia merdeka, adalah petunjuk bahawa masih banyak usaha perlu dilestarikan.

Negara sebagai sebuah entiti berdaulat tidak boleh bersara daripada melaksanakan tiga fungsi asasinya. Pertama melindungi keselamatan wilayah dan rakyatnya.

Kedua, menjamin dan merealisasikan hak sivil warganya, dan ketiga, memberi identiti serta membina semangat kekitaan kepada penduduknya. Rakyat tanpa negara, ibarat warga Palestin, yang diusir ke sana ke mari. Negara tanpa rakyat, adalah satu ruang kosong yang tidak memberi apa-apa makna.

Justeru, sebagai rakyat Malaysia kita cukup beruntung. Bertuah dalam erti kata, sudah banyak modenisasi, urbanisasi, dan kejayaan demi kejayaan yang kita kecapi.

Kita juga bertuah kerana kemerdekaan kali ke-52 tahun ini disambut dalam bulan Ramadan, bulan penuh barakhah yang dijanjikan Allah pelbagai ganjaran pahala bagi segala amal kebaikan, yang kita jayakan.

Tempoh 446 tahun usia negara dijajah, oleh pelbagai kuasa asing, hak rakyat dirampas, masyarakatnya dipecah perintah, landskap sosio-budaya diubah, ekonomi diperah, kita menjadi hamba di bumi sendiri.

Ini bahana akibat penjajahan. Ini kesan bila perpaduan tidak dipedulikan sebaliknya persengketaan jadi keutamaan. Ingatlah kembali sebab-musabab Perjanjian Pangkor pada Januari 1874 ditandatangani.

Ingatlah kembali bagaimana dengan tipu daya British dan atas nama kemanusiaan dan usaha mengamankan negeri, British mampu mentadbir negeri ini melalui peranan Residennya.

Hasil mahsul bumi diperah, kekayaan negara diratah, tidak cukup dengan itu, bagi memenuhi tembolok dan perut penjajah, dan kononnya atas dasar rakyat pribumi malas bekerja, maka ramai imigran dibawa masuk pada penghujung kurun ke-19 dan awal kurun ke-20 untuk bekerja di ladang getah dan lombong bijih timah.

Bukan itu sahaja, sejarah negara ditulis semula, nama bandar, jalan, empayar Melayu diubah secara semborono, lalu dijustifikasikan kononnya pemodenan yang berlaku adalah hasil buah tangan penjajah dan kaum pendatang.

Walhal, kaum pribumi tidak diberi peluang yang wajar, jika dibina sekolah sekalipun, sekadar bertujuan ibarat melepaskan batu di tangga. Tidak lebih semata-mata mahu menjadikan anak-anak Melayu belajar menjadi petani, peladang atau nelayan yang lebih baik sedikit daripada keturunan mereka.

Semenjak merdeka, begitu banyak perubahan. Sebut apa sahaja, baik ekonomi, pembangunan politik, kesejahteraan sosial, dipacu oleh kerajaan yang dipilih rakyat. Pelbagai dasar dirangka, program dilaksana, semuanya bermatlamat untuk memenuhi keperluan rakyat.

Mengutamakan rakyat, supaya igauan penindasan secara halus, langsung mahupun tidak langsung yang dialami oleh generasi terdahulu tidak berulang menimpa generasi kini.

Lantaran itu, setiap warga Malaysia harus bertanya diri sendiri. Sudah cukup patriotikkah kita? Adakah kita faham akan susah payah, pengorbanan pimpinan, pejuang terdahulu memerdekakan negara?

Apakah pengertian dan makna Merdeka di sanubari kita? Apakah cuti Merdeka diingati sekadar satu cuti umum, melihat perarakan, berlibur ataupun tidak lebih daripada hari-hari biasa yang kita lalui.

Sama seperti Ramadan, yang ibadahnya kita jalani, adakah puasa hanya sekadar menahan lapar dan dahaga, sedangkan mata, telinga, hati kita, nafsu kita, niat kita tidak berpuasa dalam erti kata sebenarnya.

Siang kita berpuasa, namun malam harinya kita asyik bercerita perihal keburukan orang. Siang kita berpuasa, namun dalam masa yang sama timbul niat tidak baik kepada saudara seagama kita.

Siang kita berpuasa, namun malamnya kita tidak mengimarahkan masjid atau surau, memperbanyakkan tadarus al-Quran, berqiamulail, beriktikaf dan berusaha menghubung silaturrahim, sebaliknya sibuk berpesta membeli belah, akibat gamitan promosi Hari Raya yang entah apa-apa.

Siang kita berpuasa, namun kita kikir untuk bersedekah, sebaliknya membazir ketika berbuka. Kita remehkan anak yatim, ibu tunggal dan fakir miskin.

Bantuan diberi kita alunkan dengan liputan media secara besar-besaran, walhal konsep sedekah dalam erti kata yang sebenarnya, 'tangan kanan yang memberi, tangan kiri pun tidak akan sedar perihal pemberian tersebut'.

Demikian juga darihal Merdeka, jika pengertian Ramadan hakiki mahu diserapkan dalam usaha menghayati Merdeka di bulan Puasa. Patriotik dan nasionaliskah kita, jika kita asyik menyatakan keburukan kerajaan yang selama ini menjaga keselamatan dan kebajikan kita?

Patriotik dan nasionaliskah kita jika kerajaan yang selama ini membantu menjayakan agenda pendidikan anak-anak kita dituduh dengan pelbagai tohmahan dan kata nista yang tiada kesudahannya?

Patriotik dan nasionaliskah kita, jika hanya kerana berebut kuasa politik, saudara seagama kita kafirkan, rakyat kita peralatkan, agama jadi mainan dan keamanan jadi taruhan.

Patriotik dan nasionaliskah kita, jika amanah yang diberi pada kita dijadikan laluan untuk berlaku rasuah dan salah guna kuasa? Patriotik dan nasionaliskah kita jika kekayaan yang kita perolehi berkat dinamisme dasar kerajaan, namun akhirnya dengan kekayaan yang kita ada digunakan pula untuk meruntuhkan tamadun yang sedia ada?

Patriotik dan nasionaliskah kita jika kita asyik merungut itu dan ini, mengharapkan kerajaan memberi itu dan ini, sedangkan kita sendiri sebagai warganegara tidak pernah ataupun masih kurang dalam mewakafkan diri kita dalam usaha berkorban untuk negara.

Jika kesemua persoalan ini mampu dijawab, difahami, dimuhasabahkan, dipraktik secara jujur dan ikhlas, barulah rahmat Merdeka di bulan Ramadan yang mulia ini mampu menyerlahkan barakahnya.

Biarlah seluruh rakyat Malaysia dapat hidup sebagai satu bangsa, satu suara, satu hasrat, Satu Malaysia dengan mengutamakan perpaduan, kemajuan, keharmonian dan kemajuan berterusan.

SOBRI SUDIN

Alor Setar, Kedah

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Jangan sekadar laung 'merdeka'

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

''Saya memantau banyak Facebook status sepanjang minggu ini dan apa yang saya dapati agak menakutkan. Sebahagian anak muda Melayu, bukan sekadar berbeza pendapat dengan pemimpin negara malah ada di antaranya yang menunjukkan kebencian kepada negara, Jalur Gemilang dan sambutan Hari Kemerdekaan itu sendiri. Saya fikir ini cukup berbahaya."

Demikianlah bunyi sebahagian Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang diterima oleh seorang menteri kanan menjelang detik 12 tengah malam, 31 Ogos iaitu ketika negara di ambang menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-52 semalam.

SMS itu sudah menunjukkan dengan jelas betapa erti dan nilai kemerdekaan yang sebelum ini begitu disanjung oleh generasi-generasi sebelum merdeka semakin terhakis di kalangan generasi muda.

Bagi sebahagian golongan muda kemerdekaan bererti kebebasan dengan berkumpul di tempat-tempat di mana ambang kemerdekaan akan disambut hatta biarpun di bulan Ramadan.

Ia menjadi semakin meriah apabila ada VVIP yang hadir biarpun sepatutnya VVIP berkenaan berada di Masjid Negara bagi menghadiri majlis doa selamat.

Semua keadaan ini sebenarnya adalah satu ancaman yang semakin menular di kalangan rakyat Malaysia. Perasaan sayang kepada negara semakin terhakis di kalangan generasi muda dan mereka juga tidak akan sama sekali memahami betapa bernilainya sebuah kemerdekaan.

Oleh itu, kita tidak perlu membuang masa berhujah atau membuat seruan supaya menghargai dan mengingati jasa-jasa pejuang kemerdekaan, kerana sebahagian generasi muda tidak akan mempedulikan itu semua.

Pemikiran dan pandangan mereka tidak lagi serupa dengan generasi sebelum merdeka atau generasi yang mengenal sejarah. Kita kini berhadapan dengan generasi Facebook, Myspace dan entah-entah apa-apa lagi kelompok yang lebih mengenal sejarah hidup artis atau ahli sukan berbanding pahlawan-pahlawan bangsa.

Malah kita juga tidak perlu berasa terkejut kalau dalam kalangan generasi berkenaan untuk menyebut lima menteri Kabinet pun mereka tidak tahu, apatah lagi meminta mereka menghuraikan siapa itu Tok Janggut.

Inilah realitinya dan inilah juga generasi yang sering kita laung-laungkan sebagai pewaris masa depan negara. Persoalannya, apakah masa depan negara itu akan benar-benar wujud atau 52 tahun lagi, Malaysia sudah tiada identiti bangsanya?

Semua ini tidak mustahil akan berlaku jika generasi tersebut terus 'dijajah' akibat ledakan teknologi maklumat sekarang. Kehilangan identiti bangsa tersebut sekali gus akan meletakkan Malaysia dalam bahaya. Impian untuk melihat kita maju dengan acuan sendiri hanya akan menjadi satu mimpi indah yang mengasyikkan.

Persoalannya, sebelum terlambat apakah yang boleh kita lakukan, bagi mengembalikan sebahagian generasi muda ini untuk memahami betapa besarnya erti sebuah kemerdekaan dan betapa pentingnya mereka menghargai negara sendiri?

Setakat ini, kita harus akui tiada usaha bersungguh-sungguh dilakukan oleh mana-mana pihak untuk menanam semangat patriotik di kalangan generasi muda.

Kita hanya melaungkan seruan mengibarkan Jalur Gemilang atau menjerit 'merdeka' bersama-sama mereka di malam 31 Ogos, tetapi selepas itu apa kesannya?

Parti-parti politik pula lebih banyak bercakaran sesama sendiri demi merebut kuasa. Kalau ada sedikit sahaja isu berkaitan kaum yang boleh dieksploitasikan, mereka akan menggunakannya habis-habisan. Mereka tidak peduli kesannya kepada generasi muda.

Mereka tidak mahu memikirkan bahawa generasi muda melihat apa yang mereka lakukan dan ia kesudahannya akan menjadi contoh. Akhirnya yang akan menjadi mangsa ialah negara.

Justeru janganlah memandang ringan fenomena tidak sayangkan negara yang semakin menular di kalangan generasi muda tersebut. SMS yang dipaparkan pada awal rencana ini, sudah jelas membuktikan bahaya yang menanti kita.

Kita tidak pasti, apa yang akan dilakukan oleh kerajaan dan apa pula sumbangan parti-parti pembangkang dalam soal ini.

Selagi semangat meletakkan kepentingan politik mengatasi segala-galanya, maka selagi itu generasi muda akan terus hanyut dengan dunia mereka.

Tokoh-tokoh politik yang ada sekarang akan meninggalkan alam fana ini apabila tiba masanya, oleh itu kalau benar mereka sering melaung-laungkan untuk mewariskan sebuah negara yang aman, damai dan maju dengan identiti sendiri maka mereka perlu bertindak daripada sekarang untuk menyedarkan generasi muda daripada terus hanyut dengan dunia mereka.

Malaysia sudah 52 tahun mereka, Malaysia memerlukan pewaris bangsa yang mempunyai identitinya sendiri dan bukan 'kembali dijajah' dengan budaya luar.

Semua ini hanya akan mampu tercapai seandainya, daripada sekarang kita menerapkan kepada mereka untuk menghargai kemerdekaan dalam erti kata sebenar. Kita harus faham sama ada sesebuah negara itu mampu terus merdeka atau tidak, ia bergantung kepada pewaris pemerintahan negara.

Semoga pihak-pihak berkenaan tidak memandang ringan isu yang dibangkitkan dalam SMS yang diterima oleh menteri tersebut. Janganlah kita terlalu ghairah mengejar soal-soal mencapai kemajuan dari segi fizikal tetapi dari segi semangat cintakan negara ia semakin pudar.

Apalah gunanya segala kemajuan yang dinikmati kalau akhirnya rakyat Malaysia ibarat pelarian di negara sendiri. Tiada gunanya 52 tahun lagi kita hanya menjerit 'merdeka' sedangkan segala-galanya sudah menjadi milik asing tidak kira siapa pun mereka.

Sumber: http://www.utusan.com.my/