Sabtu, 13 Februari 2010

PERIBAHASA MELAYU TENTANG HARIMAU


-->
-->
1. Anak harimau diajar makan daging - Orang yang zalim diberi perangsang untuk membuat aniaya.
2. Anak harimau jangan diajak bertampar, ingat-ingat kukunya - Jangan mencari musuh dengan orang yang lebih kuat dan lebih persediaan alat senjatanya.
3. Anak harimau jangan dibela pelihara - Jangan berbuat baik dengan orang yang suka berbuat jahat.
4. Anak harimau takkan menjadi anak kambing - Orang yang berani takkan jadi penakut.
5. Anak kambing takkan menjadi anak harimau - Orang yang pengecut tetap pengecut.
6. Anak kucing menjadi harimau - Orang miskin menjadi kaya, atau rakyat biasa menjabat pangkat tinggi dalam pemerintahan.
7. Terlepas dari mulut buaya, masuk ke mulut harimau - Terhindar daripada suatu kemalangan, masuk ke dalam kemalangan yang lebih besar lagi; lepas daripada suatu ketakutan, datang ketakutan yang lain pula.
8. Terlepas daripada rahang harimau, termasuk ke dalam rahang buaya - Perempuan yang bernasib malang, bercerai daripada suami hartawan yang hina dan kahwin dengan seorang hamba yang miskin.
9. Takkan harimau makan anaknya - Marah bapa kepada anaknya, tidak akan sampai membunuh.
10. Seperti harimau kena kucing pekak - Marah bercampur takut kerana bahaya yang menimpanya. (kucing pekak = perangkap besi)
11. Seperti harimau lepas tangkap - Marah dan bengis.
12. Seperti harimau menyembunyikan kukunya - Orang yang menyembunyikan kelebihannya.
13. Seperti kambing dengan harimau - Orang yang lemah melawan orang yang kuat; sangat takut.
14. Sudah masuk ke dalam mulut harimau - Tiada dapat ditolong lagi.
15. Rupa harimau hati tikus - Rupa saja yang hebat dan garang, tetapi pengecut.
16. Orang mati meninggalkan nama, harimau mati meninggalkan belangnya - Orang baik meninggalkan nama baik, orang jahat meninggalkan nama jahat.
17. Mati gajah tiada dapat belalainya, mati harimau tiada dapat belangnya - Tahu membuat pekerjaan yang jahat hendaklah tahu menyembunyikannya pula.
18. Memakai kulit harimau -Menggunakan kekuasaan orang lain untuk menakut-nakuti orang. (Peribahasa lain yang sama makna: Mengepit kepala harimau).
19. Mengajar anak harimau - Mengajar anak yang lekas pandai.
20. Mengepit kepala harimau - Menggunakan kekuasaan orang lain untuk menakut-nakuti orang. (Peribahasa lain yang sama makna: Memakai kulit harimau).
21. Menggedangkan anak harimau - Memelihara musuh yang kelak akan merugikan kita sendiri (gedang @gadang = besar)
22. Menghendakkan cirit harimau tergantung di ekornya - Ingin kepada barang yang tak mungkin diperoleh.
23. Menghilangkan jejak bagai harimau - Berbuat sesuatu untuk menutup kesalahan atau perbuatan yang kurang baik.
24. Menolong orang (= kerbau) ditangkap harimau -Menolong orang yang membuat kesalahan, akhirnya menyusahkan diri sendiri.
25. Malu, kalau (= jikalau) anak harimau menjadi anak kambing - Tidak patut anak orang baik-baik menjadi bodoh; atau anak orang berani menjadi penakut.
26. Mulut kamu harimau kamu, mengerkah batu kepala kamu - Berkata-kata dengan tak ada batasnya kerap kali mencelakakan diri sendiri. (Peribahasa lain yang sama makna: Mulut hang lebih daripada gedembai).
27. Masuk sarang harimau - Termasuk ke dalam bahaya besar.
28. Kecil-kecil anak harimau - Meskipun kecil tetapi berani. (Peribahasa lain yang sama makna: a. Kecil-kecil cabai rawit, b. Kecil-kecil cili Melaka, c. Kecil-kecil lada api, besar-besar limau abung).
29. Kuat gajah terdorong, kuat harimau terlompat-lompat - Orang besar-besar yang membuat kesalahan kerana kekuasaannya. (Peribahasa lain yang sama makna: Gajah terdorong kerana gadingnya, harimau terlompat kerana belangnya).
30. Kalau gajah hendaklah dipandang gadingnya, kalau harimau hendaklah dipandang belangnya - Hendaklah diusul periksa dengan saksama tentang sesuatu perkara itu sebelum dibuat kesimpulan.
31. Kalau Si Tua (harimau) menunjukkan belangnya, 'lah tentu kambing bertanggungan - Orang yang lemah berhadapan dengan orang yang kuat, tentu akan kalah akhirnya. bertanggungan = menderita.
32. Kambing menyusui anak harimau, besar dia dipatahkan tengkuknya - Akibat yang akan diterima kalau menolong orang jahat dalam kesusahan.
33. Jangan diajar anak harimau makan daging - Jangan digembirakan anak orang yang berkuasa berbuat zalim. (Bandingkan dengan: Anak harimau diajar makan daging).
34. Harimau bertempek tak (kan) makan orang - Orang yang terlalu marah biasanya tidak sampai memukul. (Peribahasa lain yang sama makna: Hari guruh takkan hujan).
35. Harimau ditakuti sebab giginya - Orang besar-besar itu ditakuti kerana kekuasaannya. Kamus Istimewa Peribahasa Melayu.
36. Harimau hendak menghilangkan jejaknya. Orang jahat hendak menyembunyikan kejahatannya.
37. Harimau mati kerana belangnya - Mendapat kecelakaan kerana kelebihannya. (Peribahasa lain yang sama makna: a. Gajah mati dicatuk katak, b. Kasturi mati kerana baunya, c. Mati kuang kerana bunyi).
38. Harimau mati meninggalkan belang, gajah mati meninggalkan daging, manusia mati meninggalkan nama - Orang baik meninggalkan nama baik, orang jahat meninggalkan nama jahat.
39. Harimau memperlihatkan kukunya -Orang yang memperlihatkan kekuasaannya.
40. Harimau mengaum takkan menangkap - Orang yang terlalu marah biasanya tidak sampai memukul. (Peribahasa lain yang sama makna: a. Hari guruh takkan hujan, b. Harimau bertempek tak [kan] makan orang).
41. Harimau menunjukkan belangnya - Orang yang memperlihatkan kekuasaannya. (Peribahasa lain yang sama makna: Harimau memperlihatkan kukunya).
42. Harimau menyorokkan kuku - Orang yang menyembunyikan kelebihannya.
43. Harimau puntung kena penjara, pelanduk kecil menolakkan mara - Ada masanya kesusahan orang besar lagi berkuasa itu ditolong oleh orang yang lemah dan kecil.
44. Harimau tidak merendahkan dirinya untuk menangkap cicak sebagai mangsanya - Orang besar yang tidak mahu bertindak dengan tindakan-tindakan yang merendahkan tarafnya.
45. Gajah harimau di hutan hendak diburu, pijat-pijat di bantal tak dapat dihapuskan - Kejahatan orang besar dan orang yang lebih kuat daripada kita hendak dibasmi, kejahatan anak buah sendiri di rumah tiada dapat di atasi. Kamus Istimewa Peribahasa Melayu
46. Gajah mati meninggalkan tulang, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama - Orang baik meninggalkan nama baik, orang jahat meninggalkan nama jahat.
47. Gajah terdorong kerana gadingnya, harimau terlompat kerana belangnya - Berbuat sesuatu yang kurang baik oleh kerana kelebihannya. (Peribahasa lain yang sama makna: a. Kuat gajah terdorong, kuat harimau terlompat-lompat, b. Terdorong gajah kerana besarnya). (Bandingkan dengan: Gajah mati kerana gadingnya).
48. Duduk seperti kucing, melompat seperti harimau - Orang pendiam yang tangkas bekerja dan berfikir.
49. Dielakkan harimau, gajah tentu dengan londarnya; dielakkan untung, tak tentu londarnya - Nasib yang tidak dapat ditentukan (londar = denai)
50. Bergalah ke hilir tertawa buaya, bersuluh di bulan terang tertawa harimau - Membuat pekerjaan yang sia-sia.
51. Bagai bunyi orang dikoyak harimau - Berteriak-teriak atau melolong dengan kuat.
52. Biar mati ditangkap harimau, jangan mati digigit anjing - Alah di tangan orang yang kuat lebih baik daripada alah di tangan orang lemah. (Bandingkan dengan: Biar luka di dada, jangan luka di belakang).
53. Bagai harimau beranak muda - Orang perempuan yang terlalu bengis.
(Sumber : Kamus Istimewa Peribahasa Melayu)

Ngaum bergaung cakar berbisa....


Jenis harimau apakah yang dijadikan haiwan dalam zodiak Cina sempena Tahun Baru? Adakah harimau China atau tidak kira jenis harimau mana? Kalau ada Harimau China, tidakkah patut ada Harimau Melayu. Atau Harimau Malaya. Atau Harimau Malaysia. Tidakkah patut harimau yang dirujukkan sebagai haiwan dalam zodiak China ialah pada mana-mana harimau dan tidak semestinya Harimau China. Atau bagi penduduk Malaysia yang menyambut Tahun Baru Cina, rujukan harimaunya wajar kepada harimau tempatan, iaitu Harimau Malaya atau Harimau Malaysia.


Oleh sebab Tahun Baru Cina merupakan perayaan tradisi kebudayaan China, maka sudah tentu rujukannya adalah Harimau China. Maka daripada lukisan tradisi China yang digandingkan dengan tulisan kaligrafi mereka, harimau yang dipaparkan ialah Harimau China.

Harimau adalah daripada keluarga Mamalia Felidae. Genusnya ialah panthera dan spesies dinamakan sebagai Panthera tigris.

Terdapat lima subspesies harimau, walaupun ada antaranya diancam kepupusan. Sementara tiga subspesies lagi sudah pupus.

Subspesies harimau yang boleh dikatakan sebagai Harimau China ialah Panthera tigris amoyensis dan Panthera tigris altaica.

Panthera tigris amoyensis adalah harimau yang tinggal di sekitar China selatan. Ia dilinduingi oleh pemerintah China kerana diancam kepupusan. Harimau ini dinamakan Harimau China Selatan. Namun begitu, ia juga dikenali sebagai harimau Amoy atau harimau Xiamen.

Sementara Panthera tigris altaica adalah Harimau China yang tinggal di sebelah utara. Ia dinamakan sebagai Harimau Siberia. Tetapi ia juga dikenali sebagai Harimau Amur, Harimau Manchuria, Harimau Altai, Harimau Korea atau Harimau China Utara.

Maka kedua-dua Harimau China Selatan dan Harimau China Utara inilah yang boleh dianggap sebagai Harimau China dan menjadi rujukan sebagai haiwan bagi zodiak kalendar China.

Namun begitu, walaupun namanya Harimau China Utara, ia sudah tidak kelihatan di negara itu. Kehadirannya hanya dikesan di Siberia iaitu dalam Rusia. Maka dalam keadaan begini, apa yang disebut sebagai Harimau China hanyalah patut merujuk kepada Harimau China Selatan.

Walaupun sistem takwim China dengan zodiak haiwan muncul daripada kebudayaan China, tetapi ia tidak hanya dirayakan oleh orang China dan keturunan mereka. Tahun Baru China turut dirayakan di Asia Tenggara yang banyak penduduknya keturunan China. Selain itu, Sistem zodiak dan takwim China ini dipakai dan diserap ke dalam kebudayaan beberapa bangsa bukan China iaitu Korea, Mongolia, Vietnam dan Jepun.

Bangsa-bangsa ini turut menjadikan kalendar China sebagai sebahagian daripada kebudayaan mereka. Maka tentunya zodiak haiwan itu turut diambil kira oleh mereka.

Tidak ada harimau yang dikesan di Jepun. Sementara Harimau di Korea dan Mongolia dipercayai merujuk kepada Harimau Siberia yang kini sudah tidak ada di negara-negara itu. Tetapi Vietnam mempunyai harimau yang dikenali sebagai Harimau Indochina. Dengan nama subspesiesnya Panthera tigris corbetti. Ia berada di kawasan Indochina iaitu Vietnam, Laos, Kemboja, Thailand dan Myanmar. Ia juga ada kalanya dikesan di China.

Maka apabila Vietnam menyambut Tahun Baru, maka harimau yang menjadi rujukannya ialah Harimau Indochina ini.

Rujukan

Tetapi bagi dunia Barat, apabila disebut harimau, sering kali rujukannya adalah Harimau Benggala atau dikenali sebagai Royal Bengal Tiger yang banyak terdapat di India. Oleh sebab Britain pernah menjajah India, maka harimau inilah yang menjadi rujukan dunia Barat. Subspesies yang dikenali sebagai Panthera tigris tigris ini adalah yang paling banyak ada di dunia.

Walaupun India mempunyai harimau paling banyak dan China menjadikan harimau sebagai salah satu daripada haiwan zodiaknya tetapi hanya Malaysia yang menjadikan harimau sebagai haiwan nasional. Ini kerana hanya Malaysia yang menjadikan dua ekor harimau sebagai sebahagian daripada jata negara.

Sememangnya harimau begitu rapat dengan psiki orang Melayu. Harimau yang ada di Malaysia ini dinamakan Harimau Malaya dengan nama subspesiesnya ialah Panthera tigris jacksoni.

Inilah sebenarnya Harimau Melayu dan atas sebab itu ketika mereka bentuk jata negeri bagi Johor maka dipilihnya harimau sebagai haiwan untuk melambangkan negeri. Johor merupakan negeri pertama yang mempunyai jati negeri sendiri di Tanah Melayu untuk menunjukkan bahawa ia sebuah negeri berdaulat ketika mula Britain mengukuhkan kekuasaannya ke atas negeri-negeri Melayu.

Warna belang harimau iaitu kuning dan hitam juga dijadikan warna negeri-negeri Perak dan Negeri Sembilan. Maka warna ini juga merupakan latar kepada Negeri-negeri Melayu Bersekutu (FMS) yang ditaja penjajah Britain.

Untuk menunjukkan lagi kepentingan harimau, pihak berkuasa Britain menjadinya lambang Keretapi Tanah Melayu. Pengangkutan keretapi merupakan sistem penting dalam mengukuhkan penjajahan dan pentadbiran British ke atas negeri-negeri Melayu.

Harimau juga dijadikan lambang Malayan Film Unit pada tahun 1946. Unit ini sekarang menjadi Filem Negara Malaysia. Dengan adanya lambang harimau, ia meletakkan kepentingan kedua-dua institusi itu dalam kehidupan bernegara Malaysia.

Maka apabila Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan, maka sudah tentu dua ekor harimau dipilih sebagai lambang pada jata negara. Begitu juga dengan Malaysia apabila ia dibentuk.

Singapura pula mengambil seekor harimau untuk diletakkan pada jata negaranya bagi melambangkan hubungan pulau itu dengan Malaya.

Walau apa jua kepercayaan orang Cina terhadap Tahun Harimau, bagi negara Malaysia yang menjadikan harimau sebagai lambangnya, maka tahun harimau adalah tahun Malaysia.

Seperti kata Balai Seni Lukis Negara dalam kad Tahun Baru Cinanya: Ngaum bergaung, cakar berbisa, menang bertarung, lintas terasa... itulah Resam Harimau.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

SELAMAT TAHUN BARU CINA 2010


Tahun Baru Cina --> merupakan perayaan terpenting orang Cina bagi menyambut tahun baru dalam kalendar qamari Cina. Kalendar qamari Cina terbahagi kepada kitaran 12 tahun dan dinamakan sempena nama haiwan. (Lihat tarikh perayaan di bawah.) 
--> -->


Haiwan
Tarikh
子 zǐ
丑 chǒu
寅 yín
卯 mǎo
辰 chén
巳 sì
午 wǔ
未 wèi
申 shēn
酉 yǒu
戌 xū
亥 hài

Tahun Baru Cina melambangkan permulaan, titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Sebelum hari tahun baru bermula, sanak saudara yang jauh akan kembali berkumpul. Rumah akan dicuci dan segala hutang-piutang dikutip atau dibayar agar mereka tidak sentiasa dikelilingi hutang sepanjang tahun yang baru. Mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baru dan bagi menghalau puaka dan nasib malang. Rumah-rumah dihiasi dengan buah limau sebagai simbol murah rezeki, bunga dan pokok limau.

Tahun Baru Cina diraikan dengan jamuan yee sang dan kuih bakul. Kaum keluarga akan makan besar dengan masakan tradisi seperti daging itik, daging salai, sosej, kuih pulut, dan limau mandarin. Golongan muda pula akan melawat golongan tua dan menerima wang ang pau dalam sampul merah bagi melambangkan nasib baik, yang diberikan oleh orang yang berkeluarga kepada mereka yang masih belum kahwin. Perarakan tarian naga atau singa akan diadakan, dengan kereta berhias yang diiringi bunyi gendang. Lima belas hari selepas perayaan Tahun Baru Cina, perayaan Tahun Baru Cina ditamatkan dengan perayaan Chap Goh Mei.

Tahun Baru Cina bukan sahaja diraikan oleh kaum Cina di merata dunia, malah turut dirayakan oleh bangsa Korea, Vietnam, Mongol dan Miao (Hmong China) yang dipengaruhi oleh China dari segi kebudayaan dan keagamaan, maka turut memakai kalendar qamari Cina.

Sumber : http://wapedia.mobi/ms/Tahun_Baru_Cina

Nota Hujung :

Penulis mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua rakan guru dan pelajar berbangsa Cina yang menyambut Tahun Baru Cina pada hari esok 14 FEBRUARI 2010.

Jumaat, 12 Februari 2010

Budaya kita buatkan diri cepat berasa tua

Mior Kamarul Shahid

KITA selalu mendengar orang bercakap mengenai warga emas, gelaran bersopan untuk seseorang atau kumpulan manusia yang dianggap tua. Berapakah umur seseorang yang boleh digelar warga emas? Biasanya, ikut standard dunia, golongan ini berusia dalam lingkungan 65 tahun dan ke atas.

Tetapi, di Malaysia ada sesetengah orang yang baru pencen sudah pun diletakkan dalam senarai warga emas. Jika mereka yang berusia 55 atau 58 tahun sudah dianggap warga emas di Malaysia, ia memendekkan usia aktif dan produktif seseorang. Ia adalah tanggapan yang merugikan.

Hari ini ramai mereka dalam lingkungan 65 sehingga 70 atau lebih, masih bekerja. Ada yang masih mengajar di universiti, di bidang kehakiman, penjawat jawatan penting di sektor swasta dan jawatan lain yang bersesuaian dengan pengalaman masing-masing. Setidak-tidaknya mereka dalam kumpulan ini juga masih ramai yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, pemandu teksi, bersawah dan bertani.

Di Malaysia, ramai mahu mengiktiraf diri mereka sebagai warga emas kerana diberi sedikit keistimewaan, khasnya bekas kakitangan kerajaan. Ini termasuk kemudahan hospital dan tambang istimewa bagi perkhidmatan pengangkutan dan sebagainya. Apa juga alasannya, dengan mengkategorikan mereka yang berusia 55 ke atas sebagai warga emas, ia sebenarnya meletakkan golongan ini sebagai kumpulan tidak aktif dan produktif.

Keadaan ini berlaku meskipun golongan ini masih boleh menyumbang jasa kepada bangsa dan negara. Sekiranya umur 55 sudah dianggap warga emas, mereka yang berusia 50 tentulah mula gusar kerana dalam tempoh lima tahun saja lagi mereka akan mendapat gelaran itu.

Di Amerika Syarikat, satu kajian menunjukkan 78 peratus daripada mereka yang berusia 65 tahun dan ke atas tidak menganggap diri mereka sebagai tua. Mereka menganggap diri mereka sebagai dewasa.

Kajian sebuah pusat penyelidikan mengenai trend sosial dan demografi yang mengumpul data menerusi teknik temubual telefon dengan 2,969 sampel orang dewasa itu menunjukkan dua pertiga daripada mereka berumur 65 tahun atau lebih itu, menyatakan mereka berasa lebih muda daripada umur kronologi sebenar mereka.

Separuh daripadanya menyatakan mereka berasa sepuluh tahun lebih muda daripada usia sebenar. Malah, kajian juga menunjukkan seorang daripada lima orang yang dikaji pula menyatakan mereka berasa 20 tahun lebih muda daripada usia sebenar. Bagi golongan ini, mereka sentiasa kelihatan ceria, bergaul dengan mereka yang jauh lebih muda dan kegiatan sosial mengikut trend.

Pelbagai alasan diberikan mengapa mereka berasa lebih muda, antaranya tidak tinggal atau menetap di tempat yang sama sepanjang hayat. Ini bermaksud, mereka pernah berpindah dan menetap di tempat lain, sekurang-kurangnya sekali sepanjang hayat. Alasan lain yang menyebabkan mereka tidak berasa tua ialah kesan daripada peraturan hidup, hubungan mesra keluarga, bersenam secara fizikal dan sebagainya.

Di Malaysia keadaan agak berbeza kerana warga emas dianggap sudah boleh berehat dan tidak perlu lagi melakukan sesuatu yang dianggap tugas berat. Anak-anak juga tidak mahu ibu bapa mereka bersusah payah dan mahu mereka hanya duduk di rumah. Jika golongan ini menganggap diri mereka masih muda, mereka dianggap mengada-ngada, perasan dan pelbagai konotasi negatif lain.

Jika melakukan sesuatu yang dianggap bertentangan nilai, golongan ini sering dikatakan sebagai manusia tidak sedar diri. Lebih teruk ada yang membuat teguran kononnya ‘rumah kata pergi, kubur kata mari’ terhadap mereka yang melakukan kesalahan moral.

Bagi orang Islam, selepas pencen tempat yang paling sesuai untuk mereka ialah di surau atau masjid. Secara psikologinya golongan ini perlu menghabiskan sisa hidup dengan beribadat. Walaupun berada di masjid dan surau boleh menenangkan fikiran, ia juga menjadi punca seseorang berasakan mereka benar-benar sudah tua walaupun sebenarnya mereka masih kuat dan bertenaga.

Sebenarnya perwatakan dan persekitaran pergaulan seseorang itu memberi kesan psikologi kepada seseorang berasakan mereka sudah tua. Rambut beruban selalu dikaitkan dengan usia sedangkan mereka dalam lingkungan 40-an juga sudah ramai yang beruban.

Ada juga di kalangan rakyat Malaysia yang menganggap mereka sudah tua pada usia yang masih aktif dan tidak lagi mahu melakukan perkara yang produktif, malah mereka juga sudah tidak mahu bergaul, berjalan, melancong dan sebagainya. Bagi yang kurang sihat, mereka cepat putus asa dan menganggap segala-galanya sudah berakhir dan menunggu masa. Oleh itu, sebahagian masa digunakan untuk bermain dengan cucu.

Kajian di Amerika Syarikat itu juga mendapati, 72 peratus daripada mereka berusia 65 tahun ke atas menyatakan mereka mempunyai kesihatan yang hebat. Ia dicerminkan menerusi sikap 77 peratus daripada kumpulan umur berkenaan yang mengakui sering melakukan senaman fizikal.

Di Malaysia, rakyatnya tidak ada disiplin mengenai tabiat makan. Bagi mereka, selagi boleh makan dan masih berselera, mereka akan makan sepuas-puasnya. Mereka takut, jika sakit dan tidak berselera, mereka akan rugi. Sama ada golongan muda atau berusia, mereka tidak menolak makanan. Makanan juga mempengaruhi kesihatan dan mempunyai kesannya kepada usia.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Khamis, 11 Februari 2010

Sambutan Hari Kekasih Salah Di Sisi Islam


Oleh Mohd Hariri Bin Haji Mohamad Daud, (Panel Penulis Luar Jakim), Majalah Cahaya keluaran Februari 2009.

Tarikh 14 Februari setiap tahun menjadi tarikh yang ditunggu-tunggu oleh pasangan bercinta sebagai hari untuk memperingati dan meluahkan cinta sejati kononnya kepada pasangan masing-masing. Amalan songsang seperti ini sudah menjadi taqwim tahunan remaja dan semestinya penganut agama Kristian. Lantas, remaja Islam di Malaysia diseru agar tidak terpengaruh dan meraikan sambutan Hari Kekasih (Valentine Day) yang disambut pada 14 Februari ini. Sudah jelas bahawa sambutan Hari Kekasih ini salah di sisi agama Islam dan bercanggah dengan aqidah Islam itu sendiri.

Perbuatan untuk meraikan sambutan Hari Kekasih amat bercanggah dengan syara’ kerana ianya mempunyai unsur kepercayaan agama kristian dan menjurus kepada kebobrokan akhlak. Selain itu, sambutan yang tidak berfaedah ini dirai dengan penuh adegan maksiat seperti berdua-duaan, berpeleseran hatta membawa kepada perbuatan seks bebas. Hari yang dianggap “hari berbulan madu” bagi remaja sehingga mereka sanggup menggadaikan maruah demi membuktikan cinta mereka kepada kekasih masing-masing. Sesungguhnya budaya meniru budaya barat yang terpesong dan mencampurkan perkara aqidah mengikut kepercayaan agama lain adalah salah di sisi Islam.

Dalam erti lain umat Islam tidak boleh mencampuradukkan akidah dan peribadatan agama Islam dengan akidah dan peribadatan agama lain. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud “Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.” (Surah Al-Kafirun ayat 1-6 )

Nabi SAW dengan tegas telah melarang kita daripada meniru budaya Yahudi dan Nasrani dalam hadis yang bermaksud, “Nescaya kamu akan turut jejak langkah mereka (Yahudi dan Nasrani ) sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga kamu akan turuti mereka walaupun mereka masuk ke dalam lubang biawak. Lantaran sahabat bertanya: Adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani? Baginda menjawab: Siapa lagi kalau bukan mereka.”

Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah menyatakan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali 1/2006 pada 21 Februari 2006 telah memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam”.

Para mufti di Malaysia juga telah bersepakat untuk memutuskan bahawa amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam seperti yang dibincangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 yang lalu.

Melalui sejarah Valentine, jelas ianya dapat disabitkan dengan budaya Kristian yang menyatakan Valentine’s Day bermula dari kematian tragis seorang Paderi yang bernama St. Valentine yang dibunuh oleh seorang Raja Romawi yang bernama Raja Claudius pada II (268-270M ).

Bermula dari kisah ini mereka telah mengabdikan St. Valentine sebagai seorang tokoh yang hebat dalam mempertahankan cinta dan dianggap sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup. Maka, 14 Februari dijadikan sebagai hari perlambangan dalam memperingati kematian St.Valentine dan dianggap sebagai upacara keagamaan masyarakat Kristian.

Justeru, Islam menyeru seluruh umat Islam khususnya remaja-remaja Islam agar tidak meraikan sambutan Hari Kekasih dan menghindari perkara-perkara yang boleh membawa kepada sikap untuk meraikannya. Berikut adalah sikap-sikap yang perlu dihindari oleh remaja Islam pada Hari Kekasih :

1- Sikap untuk keluar berfoya-foya sesama kekasih dan mengadakan majlis untuk menyambut hari tersebut dengan mengadakan parti atau majlis seumpamanya.

2- Menghantar kad-kad ucapan yang tertera kata-kata Valentine Day dan pada kad-kad tersebut terdapat gambar pari-pari yang mempunyai dua sayap yang menjadi simbol kepercayaan agama kristian.

3- Menulis ucapan kata-kata cinta di dalam kad yang diutuskan dengan menyatakan keinginan cinta kepada kekasih kerana ianya juga sikap mempamerkan rasa gembira dan percaya akan hari tersebut.

4- Kebanyakan negara-negara Barat, parti-parti diadakan sempena hari tersebut disambut dengan pesta seks dan tari-menari. Kebanyakan mereka menghantar hadiah-hadiah seperti bunga ros dan sekotak coklat kepada sesiapa yang mereka cintai.

5- Menghantar pesanan ringkas (SMS) kepada kekasih untuk meluahkan rasa sayang bersempena dengan Hari memperingati kekasih (Valentine Day) sebagai tanda percaya akan “keajaiban” hari tersebut.

Namun, segelintir pihak sanggup menaja majlis sambutan Hari Kekasih dan menjual barang-barang cenderahati untuk mempengaruhi remaja memperingati hari tersebut sehingga mengheret ke lembah makisat. Ironinya, remaja menganggap sambutan ini sebagai simbol kecintaan dan kasih sayang yang tidak berbelah bagi kepada pasangan. Islam melarang umatnya berlebih-lebihan dalam bercinta sehinggakan sanggup menyerahkan maruah kepada pasangan yang dicintainya.

Sesungguhnya perbuatan ini juga bercanggah dengan syara’ kerana ianya juga menyumbang berlakunya perkara maksiat dan zina. Firman-Nya:“ Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang membawa kepada kerosakan.” (Surah Al-Isra :32)

Ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting untuk mengawasi anak-anak mereka agar tidak meraikan hari tersebut dan melalukan perkara-perkara yang tidak mendatangkan manfaat. Selain itu, pihak pentadbiran sekolah dan institusi pengajian tinggi juga agar lebih proaktif untuk memastikan tidak wujud program sambutan kepada hari tersebut serta aktiviti bertukar-tukar bunga ros, kad-kad ucapan dan sebagainya.

Secara kesimpulannya, Islam memberi garis panduan yang jelas dan membenarkan hubungan kasih sayang sesama manusia dalam kerangka syariat. Hubungan kasih sayang kepada ibu bapa, sahabat dan sesama masyarakat boleh dilakukan setiap hari dan tujuh golongan manusia yang akan mendapat lindungan `Arasy ialah salah satunya mereka yang berkasih sayang ( bertemu dan berpisah ) kerana Allah SWT.

Firman Allah SWT : 'Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja) dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal.' (Surah Al-Ghaafir : 39)

Sumber :
http://www.islam.gov.my/

Pengurusan krisis jamin kesinambungan urusan

Pelan kesinambungan sumber manusia relevan bagi menjamin keselamatan kakitangan.

Oleh NAZHALINA NAZRI

APAKAH yang organisasi anda akan lakukan sekiranya premis kerja anda terbakar atau tidak boleh dimasuki kerana menerima panggilan ancaman bom?

Mampukah anda meneruskan tugas-tugas seperti biasa? Adakah organisasi anda mempunyai pelan tindakan sekiranya situasi tersebut berlaku kepada mereka?

Bagi organisasi yang berasaskan keuntungan, gangguan terhadap fungsi perniagaan yang kritikal boleh mengakibatkan kerugian bernilai jutaan ringgit.

Kebiasaannya, organisasi yang berasaskan keuntungan ini mempunyai pelan Kesinambungan Pengurusan Urusan atau Business Continuity Management (BCM) yang dibangunkan bagi menjamin kesinambungan fungsi-fungsi kritikal organisasi walaupun ketika dilanda krisis.

Selain organisasi yang berasaskan keuntungan, sebahagian daripada Prasarana Maklumat Kritikal Negara atau Critical National Information Infrstructure (CNII) juga telah merangka pelan BCM bagi organisasi mereka.

BCM adalah satu pendekatan pengurusan holistik bagi melindungi fungsi-fungsi kritikal organisasi dengan mengenal pasti impak dan ancaman yang mungkin boleh mengganggu fungsi-fungsi kritikal melalui penyediaan satu rangka kerja dalam memastikan organisasi tetap teguh dalam menghadapi ancaman.

Rangka kerja ini meliputi analisis impak terhadap fungsi-fungsi kritikal organisasi, penilaian risiko, pembangunan strategi dan pelan kesinambungan yang relevan.

Antara pelan yang sesuai untuk dibangunkan adalah Pelan Kesinambungan Teknologi Maklumat, Pelan Kesinambungan Fungsi-fungsi Kritikal serta Pelan Pengurusan Krisis.

Di peringkat awal pengenalan BCM, ia lebih dikenali sebagai Pelan Pemulihan Bencana (Disaster Recovery Plan). Ia juga banyak dikaitkan dengan pelan pemulihan bencana teknologi maklumat (IT Disaster Recovery Plan).

Walaupun pada hakikatnya kita sangat bergantung kepada teknologi maklumat untuk menjalankan tugas seharian, kita juga perlu sedar bahawa terdapat aspek lain dalam organisasi yang sama penting dengan teknologi maklumat sistem, aplikasi dan lain-lain transaksi.

Aspek tersebut adalah keselamatan nyawa manusia. Dalam BCM keselamatan nyawa pekerja amat diutamakan.

Oleh sebab itu, langkah menyelamatkan nyawa pekerja lebih diutamakan sebelum langkah-langkah seperti pemulihan infrastruktur, teknologi maklumat, sistem atau fungsi-fungsi lain diambil kerana tanpa pekerja, pemulihan fungsi-fungsi lain tidak akan dapat dilaksanakan.

Pelan pandemik

Kita ambil contoh senario penularan wabak Influenza A H1N1. Jika sesebuah organisasi dilanda wabak Influenza A H1N1, BCM boleh dilaksanakan bagi memastikan urusan penting organisasi tidak terhenti.

Bayangkan jika seorang dua daripada kakitangan organisasi anda tidak hadir bekerja kerana jangkitan H1N1, anda tidak akan merasa kesannya.

Tetapi jika sekumpulan kakitangan mengalami jangkitan yang kritikal diberi cuti sakit atau dikuarantin, satu fungsi kritikal organisasi akan terganggu atau terhenti sepenuhnya dan impaknya akan dirasai oleh seluruh organisasi.

Pada ketika inilah organisasi tersebut akan terfikir alangkah baik sekiranya telah wujud satu pelan pandemik atau sekurang-kurang pelan kesinambungan sumber manusia, yang mampu mengawal dan mengurangkan impak terhadap masalah ini.

Rujukan utama bagi pembangunan pelan pandemik ialah Pelan Kesediaan Pandemik Influenza Kebangsaan(NIPP) yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

Jabatan Sumber Manusia di setiap organisasi perlu mengambil langkah untuk membangunkan pelan pandemik atau pelan kesinambungan sumber manusia yang relevan bagi menjamin keselamatan kakitangan.

Ia sekali gus memastikan kelangsungan fungsi-fungsi kritikal organisasi.

Jabatan Sumber Manusia juga perlu memberikan khidmat nasihat kepada kakitangan tentang langkah-langkah yang perlu diambil ketika dilanda wabak penyakit atau pandemik.

Pewujudan senarai kakitangan kritikal berserta penggantinya (backup) yang memahami serta mampu mengambil alih tugas kakitangan kritikal tersebut semasa ketiadaannya berupaya mengatasi masalah kekurangan sumber manusia ini.

Dalam situasi bencana sebegini, cara kerja alternatif seperti bekerja dari rumah atau di pusat pemulihan bencana perlu dirancang bagi membolehkan fungsi kritikal diteruskan walaupun premis organisasi tidak dapat dimasuki atau diakses.

Satu lagi insiden yang boleh dijadikan iktibar ialah sewaktu sambutan Hari Raya Aidilfitri September lalu yang mana sistem pesanan ringkas (SMS) telah mengalami kesesakan ekoran dari meningkatnya penggunaan SMS secara mendadak pada ketika itu.

Sistem tersebut seterusnya mengalami gangguan yang serius sehingga menyebabkan sistem tersebut tergendala selama beberapa hari.

Gangguan ini menyebabkan SMS lewat sampai pada penerima atau pun tidak diterima langsung oleh penerima.

Ekoran daripada insiden tersebut, syarikat telekomunikasi mengambil beberapa langkah untuk memastikan insiden tersebut tidak berulang pada waktu-waktu puncak seperti, musim perayaan dan sebagainya.

Bank Negara Malaysia (BNM) telah memulakan langkah yang proaktif dengan penghasilan Garis Panduan BCM yang digarap khusus bagi semua institusi kewangan di bawah seliaannya.

Objektif utama garis panduan tersebut adalah untuk memastikan kesinambungan fungsi-fungsi kritikal dan pemulihan perkhidmatan penting lain dalam satu jangka waktu yang ditetapkan semasa gangguan yang serius.

Garis panduan tersebut juga telah menetapkan keperluan minimum BCM yang perlu dipatuhi oleh kesemua institusi kewangan.

Garis panduan ini, pastinya diformulasikan oleh Bank Negara Malaysia apabila menyedari betapa penting dan kritikal transaksi yang dijalankan oleh institusi-institusi kewangan dan kerugian yang akan dialami oleh institusi kewangan ini dan seterusnya kepada negara sekiranya berlaku gangguan atau krisis terhadap fungsi-fungsi kritikal ini.

Inti pati pelan

Standards Malaysia juga telah menghasilkan satu standard berkaitan BCM iaitu MS: 1970:2007 BCM Framework bertujuan untuk membantu organisasi-organisasi yang merancang untuk melaksanakan BCM di organisasi mereka.

MS 1970:2007 memberi satu rangka kerja bagi mengimplementasikan BCM di peringkat organisasi, tetapi memberi kebebasan bagi organisasi untuk memilih kaedah yang sesuai bagi mengimplementasikan BCM.

BCM merupakan disiplin proaktif dalam memastikan organisasi terus beroperasi ketika berhadapan dengan sesuatu insiden atau krisis.

Namun, apa jua pelan yang dibangunkan tidak akan mencapai matlamatnya sekiranya tiada usaha untuk menyampaikan inti pati pelan tersebut kepada kesemua kakitangan daripada peringkat tertinggi sehinggalah ke peringkat kakitangan sokongan.

Semua kakitangan perlu menyedari kewujudan pelan-pelan ini, kegunaannya serta tanggungjawab masing-masing apabila pelan-pelan tersebut perlu diaktifkan.

Sumber : http: //www.utusan.com.my/

'Konon pandai bahasa Inggeris!'

Oleh Nurul Farina Nazlan
nfarina@bharian.com.my
KETIKA bahasa Melayu berdepan dengan pelbagai hambatan dalam usaha memartabatkannya di negara yang mengiktirafnya sebagai bahasa rasmi negara, tidak bermakna rakyat negara ini apalagi pelajar tidak perlu menguasai bahasa asing apalagi bahasa antarabangsa.

Amukan gelombang globalisasi yang memaksa seseorang itu menguasai lebih daripada satu bahasa dilihat menidakkan kemampuan diri apabila individu itu hanya menguasai satu bahasa, lalu kelebihan orang lain dilihat sebagai suatu yang perlu dimusuhi dan dijadikan bahan ejekan tidak bertempat.

Pasti sebahagian besar daripada pembaca biasa mendengar atau pernah melalui pengalaman diejek ketika bertutur dalam bahasa Inggeris, hatta biar pun dengan rakan yang boleh berkomunikasi dalam bahasa terbabit, sehingga dilempar dengan tuduhan mengada-ngada, menunjuk-nunjuk dan perasan hebat.
Sikap suka memperlekehkan keupayaan orang yang boleh berbahasa Inggeris dengan baik terutama dalam kelompok taksub bahasa Melayu ini seolah-olah menjadi suatu perkara biasa sehingga tampil sebagai budaya negatif bangsa terbabit berterusan sehingga kini.

Pengalaman ini pernah dilalui pelajar Komunikasi Massa, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd Fariz Azhar apabila kelebihannya berbahasa Inggeris di salah erti rakan sekelasnya sehingga ada yang menuduhnya berlagak dan tidak kenal akar umbi bahasa ibunda sendiri.

“Pada awalnya, saya sedih apabila diperlakukan sebegitu, tetapi saya kuatkan tekad untuk tidak mempedulikan sikap negatif sesetengah rakan sekolah dalam bab ini, sebaliknya manfaatkan kelebihan itu untuk membantu rakan yang dalam bahasa Inggeris.

“Semua sindiran tidak menjejaskan saya kerana saya hanya menggunakan bahasa Inggeris untuk tujuan pelajaran dan bukannya untuk berbangga diri atau berlagak seperti tuduhan beberapa rakan sekelas, sehingga akhirnya mereka senyap sendiri,” katanya pada pertemuan dengan Sastera, baru-baru ini.

Pensyarah Jabatan Pendidikan Kaunselor dan Psikologi Kaunseling, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Sidek Mohd Noah, berkata dari sudut psikologi senario mengejek kelebihan orang lain itu berpunca daripada perasaan ‘cemburu’ dengan kelebihan orang yang menguasai bahasa Inggeris itu.

“Perasaan cemburu ini berpunca daripada kekurangan diri iaitu tidak tahu atau kurang pandai berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, lalu cemburu yang keterlaluan membawa kepada ‘perasaan hasad dengki’ yang akhirnya boleh berkesudahan dengan fitnah,” katanya.

Dr Sidek menjelaskan, perlakuan ini ada kaitan dengan mekanisma bela diri yang dipanggil ‘projeksi’ iaitu satu perbuatan menyalahkan orang lain di atas kekurangan diri sendiri dengan mengatakan orang lain juga mempunyai sikap tidak baik seperti yang ada padanya.

“Bagi mereka yang mengkritik pula, kesannya bergantung kepada konsep kendiri iaitu sekiranya ada konsep kendiri yang positif, dia secara senyap akan berusaha memperbaiki penguasaan bahasa Inggerisnya, tetapi bagi individu dengan konsep kendiri negatif, mereka akan terus dengan sikap tidak akan berusaha untuk memperbaiki diri,” tegasnya.

Sastera diberitahu, ada dua kemungkinan akan berlaku kepada individu yang fasih berbahasa Inggeris, tetapi bergantung sama ada konsep kendirinya kuat atau rapuh dengan kelompok pertama tidak mungkin tunduk pada kritikan.

“Bagaimanapun, kelompok kedua berkemungkinan hilang semangat, motivasi dan keyakinan diri untuk berbahasa Inggeris. Dalam masalah ini, kita perlu belajar menerima kenyataan iaitu belajar menerima kekurangan diri dan berusaha memperbaiki diri,” katanya.

Beliau tidak menafikan bukan mudah untuk membuang segala sifat tidak baik yang ada dalam diri seperti kata pepatah ‘yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang’, tetapi segala-galanya boleh diusahakan jika ingin berubah.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Karim Harun, pula berpandangan sikap kurang berpuas hati melihat kelebihan orang lain dalam masyarakat Melayu sebenarnya turut berlaku kepada semua manusia tanpa mengira bangsa, tetapi darjah ketidakpuasan berbeza.

“Justeru, dalam masyarakat Melayu apabila ada sesetengah orang yang tidak berpuas hati melihat rakan mereka mampu berkomunikasi dan menggunakan bahasa Inggeris dengan baik, ia disebabkan sikap negatif seperti hasad dengki dan iri hati, bukannya budaya mereka,” katanya.

Dr Karim juga menyifatkan segelintir masyarakat Melayu memang sukar menerima hakikat kelebihan rakan sebangsa dan masalah berkenaan akan melahirkan pandangan negatif atau cakap belakang berkenaan kelebihan itu berbanding jika ia dimiliki bangsa lain.

“Mereka jarang sekali mengutamakan perspektif positif, misalnya peluang untuk mempelajari bahasa Inggeris daripada rakan sendiri. Masyarakat lain ada juga sikap cemburu dan iri hati, tetapi sikap itu menjadikan mereka saling bersaing dan bukannya untuk menjatuhkan orang lain,” katanya.

Baginya, masyarakat Melayu perlu mengelakkan budaya negatif dan perlu saling sokong-menyokong antara satu sama lain, malahan berpegang kepada peribahasa ‘jadilah aur dengan tebing bukan enau dalam belukar’ di samping perlu mengiktiraf serta menghormati kelebihan orang lain agar ada amalan saling memahami.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/