Jumaat, 26 Mac 2010

Sastera tempatan terpinggir?

Datuk Dr. Anwar Ridhwan Sasterawan Negara Ke-10

Oleh Aznan Bakar

pengarang@utusan.com.my

SIAPA di kalangan generasi muda kita hari ini yang kenal akan nama seperti Usman Awang, A. Samad Said, Shahnon Ahmad atau Arena Wati? Nama-nama besar dalam dunia sastera ini cukup asing pada mereka.

Malah generasi Internet, ipod dan komputer riba ini merasakan sastera tidak lagi penting dan tidak menyumbang apa-apa dalam kehidupan.

Jadi, tidak hairanlah ruang yang diberikan untuk aktiviti sastera di negara ini semakin hari semakin sempit.

Berbeza dengan masyarakat barat, karya-karya milik penulis besar seperti William Shakespeare terus disanjung hingga hari ini.

Hasil karya tersebut terus dicari termasuk di kalangan generasi muda dan masih dijual secara meluas kerana ia terus diminati.

Tetapi karya penulis lama kita yang bergelar Sasterawan Negara hendak dijadikan buku teks pun tidak layak.

Seolah-olah apabila seorang sasterawan itu meninggal dunia, hasil karyanya yang dianggap tidak ternilai turut dikuburkan bersama.

Jika ada yang mengingati sekalipun hanya oleh kelompok-kelompok kecil melalui majlis tidak rasmi.

Adakah ini bermakna hasil karya tempatan semakin terpinggir?

Jika hendak dikaitkan dengan budaya membaca, masyarakat kita suka membaca. Sebab itu kedai-kedai buku daripada jenama antarabangsa memenuhi setiap pusat membeli belah. Begitu juga dengan kedai-kedai kecil.

Tetapi boleh dikatakan 99 peratus buku yang dijual diimport. Karya sastera penulis luar negara memenuhi rak pameran.

Tetapi jangan tanya buku yang ditulis Arena Wati, Usman Awang, A. Samad Said atau Shahnon Ahmad. Sebabnya pasti anda akan mendapat tenungan yang tajam dari penjaga kaunter. Jawapannya juga pasti tidak ada.

Jika ada sekalipun hanya beberapa naskhah sahaja.

Senario ini memberi gambaran masyarakat kita hari ini tidak tahu menilai jerih payah golongan bergelar sasterawan ini.

Sudah payah mereka berfikir, mencipta dan menghasilkan bahan untuk dikongsi dengan masyarakat tidak diberi layanan yang setimpal.

Sebab itu golongan penulis di negara ini tidak mampu hidup senang apatah lagi bergelar jutawan seperti di Barat. Paling tinggi diberi anugerah bergelar datuk ketika usia memasuki senja.

Hal-hal berkaitan diri dan kerja mereka sekadar dibincang melalui persidangan, seminar atau wacana yang terhad kepada kelompok tertentu.

Kebelakangan ini media cetak juga semakin kurang memberi tempat kepada bahan-bahan bercorak sastera atau aktivitinya. Seminggu sekali dianggap memadai.

Di media elektronik aktiviti berkaitan sastera ini langsung tidak dipeduli kecuali jika tetamu yang hadir adalah orang besar.

Mulai tahun ini juga pelajar sekolah akan mengkaji karya-karya seperti "Budak Rap", "Legenda Budak Setan" dan "Untuk Tiga Hari" yang hanya berkisar kepada kisah-kisah cinta remaja.

Hairan juga kenapa karya-karya mereka yang bergelar Sasterawan Negara tidak diberi keutamaan sebagai buku teks di sekolah. Sedangkan novel-novel mereka sarat dengan semangat perjuangan, patriotisme dan nilai-nilai hidup serta kaya dengan nilai kesusasteraan yang tinggi.

Novel-novel Shahnon misalnya, banyak berkisar tentang kehidupan yang mampu mengajar generasi muda akan pentingnya menghargai apa yang mereka nikmati hari ini kerana ia hasil usaha dan kerja keras generasi dahulu.

A. Samad Said pula banyak mengisahkan tentang hidup di zaman perang. Sementara karya-karya Usman Awang mampu meniup semangat perjuangan dan bersangkut paut dengan peristiwa besar negara.

Adakah ini memberi gambaran bahawa sastera tempatan yang sarat dengan nilai kesusasteraannya semakin dipinggirkan?

Sebaliknya, karya-karya moden yang lebih komersial diangkat semata-mata atas pertimbangan untung dan rugi.

Atau masalah ini berpunca daripada para penggiat sastera itu yang menyifatkan diri mereka sebagai kumpulan elit yang hanya bergaul sesama sendiri?

Sebab itu aktiviti sastera hari ini dikatakan hanya membabitkan kelompok yang sama hingga menyebabkan ia tidak berkembang.

Hanya mereka yang pakar dalam bidang ini dan mereka yang menggelar diri mereka sebagai penggiat sastera sahaja yang mampu menjawabnya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Khamis, 25 Mac 2010

Indahnya peribahasa Melayu yang dilupai

Oleh Tan Sri Abdullah Ahmad

Ramai orang kita tidak tahu atau tidak mahu sedar Bahasa Melayu-Indonesia adalah bahasa kelima terbesar dari segi penggunaan dalam dunia. Nombor satu Mandarin, dua Hindi, tiga Inggeris, keempat Sepanyol dan Melayu-Indonesia.

Dari segi nilai ekonomi pula, walaupun bahasa Inggeris nombor tiga, ia nombor wahid. Terpenting bukan jumlah yang bertutur, tetapi siapa mereka yang bercakap dalam satu bahasa itu yang memberikannya high-added value, nilai ekonomi yang tinggi!

Bahasa ibunda indah, usahkan di tempat lain, di Malaysia sendiri pun, keadaan di Indonesia lebih baik, walaupun ia bahasa rasmi tunggal, bahasa Melayu tidak tinggi nilai ekonominya. Lihat saja iklan, media cetak dan siber dan kelakuan sesetengah pemimpin kita - walaupun bahasa Inggeris mereka lintang-pukang mereka lebih suka bertutur bahasa itu walaupun dalam majlis rasmi, seolah-olah malu mahu bersuara dalam bahasa rasmi. Maklumlah takut nanti orang tidak tahu dia ‘speaking’! Antara pemimpin yang kita tidak malu mereka bertutur Inggeris ialah Perdana Menteri Najib Tun Razak dan Rais Yatim. Shabery Cheek; Bahasa Melayunya baik.

Kalau kita sendiri tidak menghormati dan malu mendaulatkan bahasa ibunda, janganlah harap orang lain berbuat demikian. Saya telah menulis tentang ini berulang kali sejak 1960-an lagi, tetapi impaknya samalah dengan khutbah hari Jumaat. Saya sendiri; menggunakan dwi bahasa, tidak kekok pun! Saya terlintas mahu sekali lagi menulis tentang bahasa rasmi kerana terbaca dalam media hiburan - Abhishek Bachchan membasuh pinggan di Kuil Emas atau Golden Temple, tempat ibadat terpenting orang Sikh di Amritsar, ibu kota Punjab - satu kerja amalnya membasuh pinggan di kuil.

Abhishek adalah suami ratu cantik dan seniwati terkenal Aishwarya Rai. Seniman dan seniwati serta mertua Rai, Amitabh Bachchan juga aktor tersohor, mereka adalah antara manusia terkaya di India dan mereka mempunyai ramai hamba sahaya atau pembantu di rumah-rumah mewah mereka. Ramai orang kaya dan pemimpin suka memasak dan membasuh mangkuk pinggan atau dishes. Tunku Abdul Rahman Putra suka memasak dan pandai pula memasak roast beef. Pelajar-pelajar kita di England, terutama di London dan Amerika – zaman saya 1960-an, mencari wang saku atau pitis bagi bayaran yuran sekolah melalui washing dishes di restoran-restoran di London, New York dan sebagainya masa lapang. Itu perkara lumrah, terutama di kalangan muda-mudi kelas atasan atau pertengahan. Mereka yang malu berbuat demikian adalah mereka yang baru merasai kesenangan sedikit!

Waktu menulis ini memori saya deras kembali betapa indahnya bahasa kita. Kekayaan perbendaharaannya meliputi semua keadaan dan peringkat dalam masyarakat kita. Pinggan tak retak nasi tak dingin adalah satu peribahasa. Betapa ramai antara kita; tua, muda dan murid yang tahu maknanya?

Minggu lepas saya balik ke kampung dan bertanya dua pemuda (tiga puluhan) apa maksud peribahasa tersebut. Kedua-duanya tersipu-sipu. Saya cuba sekali lagi apakah makna kiasan ‘basuh pinggan’? Jawab mereka: "basuh pinggan, basuh pingganlah tiada makna lain!".

Maksud peribahasa pertama (pinggan tak retak) ialah cermat melakukan sesuatu pekerjaan. Saya akan terangkan makna basuh pinggan dalam idiom zaman saya akhir kolum ini. Kan indahnya bahasa kita? Di mana pinggan pecah, di sana tembikar tinggal (zaman sekarang kena buang tembikar kalau terpijak kaki sakit!); seperti pinggan dengan mangkuk, salah sikit hendak berantuk. Perselisihan antara isteri suami lumrah!

Bidalan pertama bermakna di mana orang mati, di situ dikuburkan. Ramai orang percayakan ini. Apabila Tan Sri Mohamed Yaakub, bekas Menteri Besar Kelantan meninggal dunia di Kuala Lumpur dia dikebumikan di Bukit Kiara. Tan Sri Mohamad Nasir juga MB Kelantan kembali ke Rahmatullah di Melbourne dan disimpan di sana. Tunku telah berwasiat kepada keluarganya - andainya dia kembali ke Rahmatullah di Jeddah semasa dia bertugas sebagai Setiausaha Agung OIC, Sekretariat Pertubuhan Islam Sedunia di sana, dia mahu mayatnya dibawa balik ke tanah air, dan kalau dia ditakdirkan ‘hilang’ di Kuala Lumpur dia tidak mahu disemadi di Masjid Negara (sebabnya dia telah bercerita kepada saya, ada pita perbualan kami dalam simpanan saya. Satu hari kelak kita akan siarkan) - dia disemadi di makam Diraja Kedah di Langgar, Alor Setar. Tetapi Tan Sri Nik Daud bin Nik Mat, bekas setiausaha tetap Kementerian Dalam Negeri zaman Tunku dan Tun Razak (di Kelantan dikenali sebagai Dato Aria), sungguhpun dia meninggal di Kuala Lumpur dia disimpan di Banggol, dekat Kota Bharu mengikut wasiatnya. Tan Sri Sulaiman Daud, bekas Menteri Pelajaran yang kembali ke Rahmatullah pada Selasa dua hari lepas dibawa pulang ke tempat kelahirannya, Kuching, Sarawak untuk disemadikan.

Kata mak saya: seperti air basuh tangan - sesuatu yang mudah didapati. Apakah pula signifikan basuh lantai? Zaman saya kecil tahun-tahun 1940-an ia adalah majlis upacara mandi sesudah 40 hari seseorang perempuan melahirkan anak. Mungkin kini tiada relevan lagi bagi Melayu Baru tetapi kalaupun kita tak lagi menerusi adat resam itu, sekurang-kurangnya harus tahu tentangnya. Basuh ertinya mencuci sesuatu; mencuci beras, membasuh kain, bersamak dan lain-lain. Pada zaman saya: pemuda-pemudi bahkan pada orang tua pun ‘basuh pinggan’ juga bermaksud seorang berkahwin atau ‘bergirlfriend’ dengan seorang janda ataupun seorang belum berkahwin tetapi telah ditebuk tupai! Atau bekas girl friend orang lain, bersetubuh dengan pelacur selepas pelanggan lain atau dalam kes rogol atau 'free sex sessions'.

Saya tidak bertujuan menyindir sesiapa pun, baik yang mati atau masih hidup lagi walaupun sindir-menyindir adalah budaya Melayu. Kata seorang Melayu moden pada saya dalam bahasa Inggeris (maklumlah dia orang ‘speaking’): “If a Malay doesn't know how to insinuate or ‘menyindir’ for at least half of his working life I don’t consider him a true Malay.”

Tetapi awas insinuate ada dua makna: Satu: He insinuates that Encik X’s wife has betrayed her husband’s trust in her. Kedua: Eventually he insinuated himself into a key position in the Malaysian Diplomatic Service. Sila terjemah sendirilah.

Bahasa kita kaya dengan peribahasa, kiasan dan simpulan bahasa yang boleh diguna oleh semua golongan tanpa mengira darjat. Bahasa kita sedang tumbuh begitu cepat di seluruh Nusantara yang akan memberikan manfaat pada semua yang cintakan Bahasa Melayu di Indonesia, Brunei, Singapura dan Selatan Thailand dan di mana saja mereka berada. Tiada bahasa Indonesia sebelum ‘Sumpah Pemuda’ akhir 1920-an. Asas bahasa Indonesia adalah Bahasa Melayu! Bahasa Melayu diperkayakan semenjak itu dengan bahasa Jawa dan lain-lain, sekarang dipanggil bahasa Indonesia atau bahasa sahaja!

Manusia yang tidak cintakan bahasanya atau tidak ada bahasa sendiri, pada saya, seperti orang yang tidak ada zuriat: sentiasa berasa kesepian.

Ilmu wajib dikejar dan belajar dalam apa bahasa sekalipun kerana ilmu pengetahuan, mengikut bidalan Cina, adalah aset yang bersama tuannya hingga nafas yang terakhir. Awas, a little learning is a dangerous thing - sedikit pengetahuan berbahaya!

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Kekeluargaan renggang punca masalah sosial

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh

Pendidikan gender, seksualiti dan agama perlu didedah elak remaja terjebak gejala negatif


APABILA cabaran kemodenan global semakin meruncing, moral manusia turut menerima tempias. Pendidikan akhlak yang diterima mungkin tidak setara pengaruh sosial yang tiada sempadan. Malah dunia yang kini boleh dikunjungi dengan hujung jari tidak semuanya menjadi manfaat kepada setiap manusia.

Justeru, golongan muda yang baru mencari identiti perlu dibekalkan ilmu supaya mampu menahan pengaruh kebejatan akhlak dan akidah yang mudah meresap ke minda mereka melalui pelbagai saluran yang sukar dipantau. Gejala arak, dadah, bunuh, buli, merokok, meragut, pecah rumah dan sebagainya adalah antara perlakuan golongan muda bermasalah masa ini. Cara hidup zaman jahiliah kembali menjadi norma dalam masyarakat sekali gus ancaman kepada kemakmuran negara. Kelonggaran ikatan kekeluargaan menjadi antara sebab utama ramai individu bermasalah. Pendidikan agama pula tidak dianggap satu kewajipan dari pemimpin keluarga terhadap anak. Untuk mendepani dunia hari ini, bukan saja dua perkara itu menjadi tunjang mengukuhkan identiti diri malah pendidikan gender dan seksualiti bertujuan membina semula sosial serta budaya setiap individu mengikut acuan agama.

Hari ini, menonton video lucah, kahwin lari, zina serta buang bayi di kalangan remaja sudah melampaui batas kesabaran manusia normal yang inginkan kehidupan berteraskan moral dan agama. Pendidikan seks yang dulunya dianggap remeh bukan lagi usul yang boleh dipandang sebelah mata. Ia sebaliknya perlu dirangka supaya menjadi panduan setiap pelajar di peringkat menengah memahami perkembangan manusia, perhubungan, perkahwinan, keluarga, kemahiran kendiri, kesihatan, tingkah laku seksual, masyarakat dan budaya.

Adalah mengejutkan apabila remaja awal belasan tahun lari mengikut lelaki berkahwin di negara lain, mengamalkan seks bebas serta hamil pada usia kanak-kanak. Walaupun tidak semuanya dengan kerelaan sendiri, ia tetap berpunca daripada kedangkalan ilmu dan longgarnya pemantauan keluarga.

Remaja seperti ini mungkin dapat diselamatkan jika diajar mengenai faktor luaran dan dalaman yang boleh mengancam maruah serta harga diri di samping had batasan agama dalam pergaulan berlainan jantina. Remaja juga perlu diberitahu implikasi hubungan sosial dan seks tanpa nikah serta hukumnya menurut agama serta undang-undang negara. Sikap ingin mencuba sesuatu yang baru serta membuktikan kehandalan sesama rakan sebaya adalah sifat remaja.
Ini adalah sifat yang boleh membawa kecemerlangan kepada remaja jika dilakukan untuk mencapai sesuatu yang baik tetapi jika sebaliknya, mereka akan menghancurkan diri sendiri hanya kerana tidak cukup ilmu menerajui diri.

Banyaknya kes zina dan rogol di kalangan pelajar seawal belasan tahun sungguh mengaibkan dan menjatuhkan maruah golongan dewasa lantaran kegagalan menghalang mereka daripada berkelakuan sedemikian. Mereka mungkin ingin mencuba atau tidak arif dosa dan pahala, malah mungkin kurang memahami ilmu kekeluargaan kerana tiada yang mendidik sehingga tidak sedar wanita dicipta untuk menjadi isteri dan ibu yang melahirkan generasi rabbani, menyenangkan suami, bukan pemuas nafsu tidak halal pada awal usia remaja dan belia.

Hari ini, pembelajaran formal dan khusus penting dalam membentuk peribadi lebih harmoni kepada setiap generasi. Asuhan ibu bapa mungkin tidak mencukupi kerana faktor komitmen terhadap kerjaya yang memaksa seisi rumah tangga memberi keutamaan terhadap perkara lain, bukan lagi mengasuh dan membimbing anak.

Ilmu kekeluargaan yang boleh diterapkan dalam silibus pendidikan gender dan seks perlu menekankan aspek pembinaan keluarga mengikut lunas agama, asas membina sebuah keluarga harmoni, ciri perlu ada dalam mempertahankan kebahagiaan keluarga. Tidak lupa, tanggungjawab setiap ahli keluarga menjamin keseimbangan toleransi dan kepercayaan menjurus kepada kepentingan institusi keluarga, perkahwinan dan komitmen sepanjang hayat serta keibubapaan.

Kes perceraian semakin meningkat. Ia rentetan daripada jalan pintas diambil pasangan suami isteri menyelesaikan konflik keluarga. Segala rasional dan diplomasi dianggap remeh tambahan pula kebergantungan hidup kepada suami semakin berkurangan. Masalah rumah tangga mungkin boleh diselesaikan dengan perceraian, tetapi masalah pembesaran dan masa depan anak, kesan psikologi lantaran perebutan kuasa pemilikan di samping proses pertumbuhan minda kurang sihat akan menzalimi kehidupan anak itu sendiri.

Mengenai ilmu perkahwinan pula, masyarakat mempunyai pengetahuan sangat cetek berkenaan hukum perkahwinan, memelihara dan pembubarannya. Ekoran itu, mungkin ada suami sudah menceraikan isteri tetapi urusan pendaftaran cerai tidak dilakukan mengikut peruntukan Undang-Undang Keluarga Islam, mereka tetap meneruskan kehidupan sebagai suami isteri walaupun tiada niat dan keinginan untuk rujuk.

Tidak boleh dinafikan, ilmu kekeluargaan harus disebatikan dalam diri setiap individu dan ia mudah diamalkan setiap pelajar yang mempunyai keluarga. Melalui pendidikan gender dan seks, setiap individu boleh diberi bimbingan mengenai amalan kehidupan, hak, tanggungjawab yang tergalas di bahu mereka sebagai individu mengikut jantina, ahli keluarga dan masyarakat yang baik.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang , Universiti Sains Islam Malaysia kini melanjutkan pelajaran di United Kingdom.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Rabu, 24 Mac 2010

Kesan beg sekolah berat kepada murid


Oleh Mohd Zhafran Mat Jusoh

Siapa tidak bimbang melihatkan anak-anak kecil membawa beg-beg sekolah yang kadang-kadang lebih besar dan berat dari saiz tubuh mereka sendiri? Sedarkah kita kesan-kesan buruk yang mungkin dihadapi anak-anak kecil ini?

Mungkin ada di antara kita sedar mengenai perkara ini dan sudah menukar beg galas kepada beg beroda yang mudah ditarik. Namun demikian, tidak semua anak-anak kecil ini mendapat keselesaan yang diidamkan.

Dalam satu edisi jurnal saintifik Spine, editornya James N Weinstein cuba mendedahkan kesan-kesan buruk beg berat kepada murid sekolah dan bagaimana ia menyumbang kepada transformasi tidak diingini terhadap tulang belakang mereka.

Penyelidikan ini dijalankan dengan bantuan Resonance Magnetic Imaging (MRI) yang membenarkan pengimejan tulang belakang (lumbar) dalam keadaan berdiri. Tiga kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan sukarelawan berumur sembilan hingga 13 tahun dengan berat antara 35 hingga 52 kilogram juga telah membantu menjalankan kajian ini. Mereka diminta berbaring lurus di atas katil, berdiri tanpa membawa sebarang beg, dan kemudiannya berdiri dengan menggalas beg seberat empat kilogram, lapan kilogram, dan 12 kilogram.

Berat beg-beg tersebut sebenarnya bersesuaian dengan anggaran 10 peratus, 20 peratus dan 30 peratus purata berat badan kanak-kanak normal. Beg-beg itu digalas setiap satu selama 10 hingga 15 minit menggunakan kedua-dua bahu secara seimbang. Keputusannya: Beg-beg itu telah menyebabkan cakera-cakera intervertebrata bertindihan antara satu sama lain secara paksaan, terutamanya pada bahagian tengah dan bawah tulang belakang. Ia juga telah menyebabkan ketidakseimbangan simetri kepada tulang belakang, dengan purata lima kali kesan berat diedarkan kepada bahagian kanan, sementara tiga kali kesan berat diedarkan ke bahagian kiri tulang belakang.

Agak mengejutkan, tidak terdapat kesan-kesan ketara terhadap bentuk tulang belakang. Ini disebabkan oleh kaedah adaptasi automatik oleh badan-badan kanak-kanak tersebut terhadap berat-berat beg yang mereka galas dengan membongkokkan badan. Namun demikian, kaedah-kaedah adaptasi ini telah menyebabkan kesakitan kepada bahagian belakang badan mereka, yang mana kadar kesakitan adalah berdasarkan jumlah berat yang digalas. (Menggalas 12 kilogram lebih menyakitkan tulang belakang berbanding lapan kilogram)

Untuk kesan jangka masa panjang, kemungkinan besar kanak-kanak ini akan menghadapi masalah kesakitan kronik pada tulang belakang mereka. Lebih buruk, mereka mungkin menghadapi masalah tulang belakang bongkok sebelum hari tua mereka! Menurut saintis-saintis yang menjalankan ujian-ujian ini, ia membuktikan bahawa menggalas beg-beg berat memberi kesan buruk kepada tulang belakang kanak-kanak, walaupun hanya berat empat kilogram (10 peratus dari purata berat badan kanak-kanak) sahaja yang digalas.

Oleh yang demikian, bagaimanakah cara untuk mengurangkan beban anak-anak kecil ini?

Pertamanya, pilih beg sekolah yang beroda dan ditarik, daripada beg sekolah yang digalas. Namun demikian, postur badan hendaklah diajar kepada kanak-kanak, iaitu menarik dengan badan yang lurus, bukan membengkokkan badan ke kiri atau ke kanan.

Keduanya, memperkenalkan laci di sekolah untuk memuatkan buku-buku teks yang berat.

Ketiga, memisahkan buku-buku latihan yang perlu dibawa ke rumah dengan buku-buku teks mengandungi pembelajaran. Seterusnya, menggantikan buku-buku teks dengan CD atau DVD interaktif yang boleh dimainkan oleh pemain-pemain DVD atau komputer.

Kelima, memperkenalkan kaedah komputer untuk pelajar di sekolah. Semua latihan dan pembelajaran boleh disimpan dalam kunci-kunci USB yang boleh dibawa ke rumah.

Keenam, setiap subjek diajar secara dua jam persubjek, dari satu jam persubjek. Justeru bilangan subjek yang dipelajari setiap hari akan kurang, tanpa mempengaruhi bilangan jam final untuk setiap subjek.

Kesimpulannya, semua pihak harus berusaha untuk menyelesaikan masalah beg berat kepada kanak-kanak ini. Peranan yang dimainkan ibu bapa adalah sama penting dengan peranan Kementerian Pelajaran. Bersama-samalah menjamin masa depan anak-anak kita.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Selasa, 23 Mac 2010

BELASUNGKAWA TAN SRI SULAIMAN DAUD

Pernah terajui sembilan kementerian


ALLAHYARHAM Tan Sri Sulaiman Daud yang meninggal dunia semalam merupakan seorang menteri Kabinet berpengalaman luas yang pernah menerajui sembilan buah kementerian di antara 1981 sehingga 1999.

Jawatan menteri yang pernah disandang Allahyarham adalah Menteri Wilayah Persekutuan (Mac 1981 - Julai 1981); Menteri Pelajaran (1981-1984); Menteri Kebudayaan; Belia dan Sukan (1984-1985); Menteri Tanah dan Pembangunan Wilayah (1986-1989); Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kehakiman (1989-1990); Menteri Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (1990-1991); Menteri Pendidikan (1991-1995) dan Menteri Pertanian (1995-1999).

Allahyarham merupakan bekas Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak apabila memenangi jawatan tersebut tanpa bertanding pada tahun 2002. Beliau juga merupakan Ahli Parlimen Petra Jaya dari 1995 hingga 2004.

Ketika menjadi Menteri Pendidikan, Allahyarham pada tahun 1994 bertanggungjawab membawa kemudahan Internet di sekolah tempatan. Pelaksanaannya bermula melalui projek percubaan pertukaran maklumat dengan 70 buah negara melalui Internet yang diperkenalkan di 50 buah sekolah terpilih.

Projek berkenaan dikenali sebagai Jaringan Pendidikan Kebangsaan (JPK). Sulaiman ketika mengulas mengenai projek percubaan berkenaan berkata, Internet ketika itu sudah digunakan oleh beratus ribu pelajar di negara-negara maju sebagai satu sumber maklumat yang mudah dan terkini.

Semasa menyandang tugas yang sama, Allahyarham juga merupakan penggerak utama bagi penubuhan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Antara isu-isu yang beliau tangani ketika menjadi Menteri Pendidikan adalah menghantar pegawai dari Kementerian Pendidikan dan Pusat Islam bagi memberikan penerangan secukupnya kepada para pelajar Malaysia di luar negara mengenai tindakan kerajaan mengharamkan pergerakan al-Arqam pada tahun 1994.

Langkah berkenaan diambil selepas Sulaiman mendapati laporan Jabatan Pelajar Malaysia (MSD) menunjukkan para pelajar Malaysia di luar negara ingin mengetahui faktor- faktor penyelewengan al-Arqam dan perkembangan terbaru mengenai pertubuhan itu.

Pada masa itu, beliau menganggap sesi penerangan adalah amat penting supaya tidak timbul rasa simpati oleh para pelajar ekoran pengharaman pergerakan tersebut.

Selain isu al-Arqam, Allahyarham turut bertanggungjawab menangani masalah gejala sosial bohsia di kalangan para pelajar sekolah.

Dalam menangani masalah tersebut, beliau meminta semua pihak termasuk ibu bapa dan masyarakat memainkan peranan masing-masing memandangkan aktiviti bohsia berlaku di luar waktu persekolahan.

Pada tahun 1995, Allahyarham mengarahkan kesemua universiti di negara ini mewujudkan Program Jarak Jauh (PJJ) masing-masing bagi membolehkan rakyat memperoleh pendidikan tinggi di institusi pengajian tinggi.

Ketika mengumumkan perkara berkenaan, beliau berkata, langkah mewujudkan PJJ adalah penting kerana tidak semua negara mampu menyediakan tenaga pengajar dan institusi pengajian tinggi di bandar-bandar kecil.

Semasa menjadi Menteri Pertanian pula, Allahyarham terlibat dalam langkah penyeragaman harga beras dan menjadikannya barangan terkawal pada tahun 1998. Allahyarham juga antara pemimpin yang bertanggungjawab dalam meneroka peluang untuk menceburi sektor pasaran makanan halal.

Langkah tersebut bertujuan menjadikan Malaysia sebagai pusat makanan halal dunia berdasarkan permintaan makanan halal yang tinggi dari Amerika Syarikat (AS).

Beliau turut menggalakkan Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (FAMA) menggiatkan lagi usaha promosi hasil-hasil pertanian Malaysia di luar negara.

Berdasarkan laporan sebelum ini, pada penghujung 1999 Allahyarham meminta Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad supaya namanya digugurkan daripada senarai Kabinet alaf baru.

Sulaiman dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada konvokesyen ke-25 universiti berkenaan di Skudai, Johor Bahru pada tahun 2000. Allahyarham turut dianugerahkan Ijazah Kehormat Dalam Bidang Sains Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) pada tahun yang sama.

Pada penghujung 2000, Allahyarham dilantik sebagai pro-canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk tempoh lima tahun. Dalam Pilihan Raya Umum Ke-11 pada 2004 pula, Sulaiman mengumumkan hasrat untuk tidak mempertahankan kerusi Parlimen Petra Jaya di Sarawak.

Allahyarham kemudiannya mengundurkan diri dari mempertahankan jawatan naib Presiden pada persidangan agung PBB yang ke-11 pada 2007 bagi memberi laluan kepada pemimpin muda.

Allahyarham akan terus dikenang sebagai seorang bekas anggota Kabinet dan pemimpin masyarakat yang berpengalaman luas dan banyak berjasa serta menyumbang kepada pembangunan negara dalam pelbagai bidang. Al-Fatihah.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Isnin, 22 Mac 2010

Insentif khas martabat semula vokasional

Kemahiran, minat pelajar perlu dicungkil peringkat awal agar dapat penuhi pasaran kerja

KENYATAAN Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyediakan insentif khas kepada kelompok pelajar yang tercicir amat bertepatan dengan hasrat untuk meningkat modal insan negara.

Insentif khas ini ditujukan kepada lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang kurang cemerlang dan gagal untuk menyambung pelajaran, berkemampuan untuk menguasai salah satu kemahiran bagi membuka peluang kerjaya kepada mereka. Menurut statistik pencapaian keputusan SPM 2009, seramai 4,626 daripada 465,853 calon yang menduduki peperiksaan, gagal atau memperoleh gred G.

Dua tahun lalu, pihak kerajaan turut melahirkan rasa bimbang dengan lebih 83,000 pelajar sekolah rendah hingga Tingkatan Lima yang mengalami keciciran daripada sistem persekolahan negara. Ini bermakna, setiap tahun seramai 7,545 pelajar tercicir daripada arus pendidikan. Walaupun nampak kecil peratusannya, yang pasti, ia tidak seharusnya berlaku jika semua pihak mengambil langkah pemulihan awal setiap tahun. Justeru, cadangan kerajaan untuk menyediakan insentif khas itu amat baik.

Ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap masa depan pelajar terbabit dan tidak hanya kepada kelompok yang cemerlang akademik semata-mata. Apatah lagi dalam realiti masyarakat yang terlalu memberi tumpuan kepada kelompok pelajar cemerlang akademiknya. Adalah suatu yang mendukacitakan jika kita masih beranggapan bahawa, hanya pencapaian cemerlang dalam akademik saja sebagai penentu kepada kejayaan dalam kehidupan.

Begitu juga, adalah suatu yang amat tidak tepat sekiranya hanya kumpulan yang cemerlang dalam akademik saja mampu menjadi warga berguna. Jika persepsi ini tidak berubah, usaha kerajaan untuk memastikan pembangunan modal insan berjalan dengan sempurna tidak mungkin akan tercapai. Seterusnya, bilangan keciciran setiap tahun tidak akan mempunyai jalan penyelesaian.

Untuk itu, insentif khas berupa laluan pendidikan menitikberatkan latihan kemahiran vokasional difikirkan mampu untuk membentuk individu agar berdikari dalam menempuh kehidupan tanpa mengambil kira pencapaian akademik.

Bagaimanapun, dicadangkan insentif khas itu perlu dimulakan lebih awal lagi dan tidak menunggu sehingga mereka menamatkan Tingkatan Lima. Menunggu sehingga tamat Tingkatan Lima dikhuatiri terlalu lewat untuk kelompok pelajar lemah akademik ini dihalakan minat ke arah kemahiran vokasional. Ini kerana keciciran pelajar berlaku lebih awal lagi seperti dilaporkan sebelum ini.

Justeru, berikut dikemukakan cadangan untuk pihak pelaksana dasar dalam merangka bentuk insentif khas berkenaan. Apa yang penting ialah insentif khas mestilah mampu memastikan setiap insan mendapat pembelaan sewajarnya untuk kepentingan negara di masa depan.

Insentif khas itu perlulah dimulakan pada peringkat lebih awal lagi bagi mengimbangi tumpuan pendidikan pada peringkat sekolah agar tidak menjurus kepada kecemerlangan akademik semata-mata. Untuk itu, sistem pendidikan perlu menjurus kepada eksplorasi minat pelajar. Guru, di samping memberi tumpuan kepada kecemerlangan akademik, harus juga berusaha mengenal pasti kecenderungan dan minat pelajar. Jika perlu, kad minat pelajar perlu diwujudkan untuk setiap pelajar.

Setiap pelajar hendaklah dipastikan tidak harus berasa tersisih atau disisihkan hanya disebabkan pencapaian akademik tidak memuaskan. Oleh itu, insentif khas juga harus diberi setiap tahun di hari penyampaian hadiah kepada mana-mana pelajar yang didapati mempunyai kelebihan, bakat dan kreativiti dalam bidang kemahiran yang dikenal pasti.

Mata pelajaran kerjaya harus diperkenalkan seawal Tingkatan Satu dengan memperkenalkan bentuk pekerjaan dan kepentingannya berdasarkan keperluan negara. Ini akan memberi gambaran awal bahawa keperluan tenaga kerja negara tidak hanya tertumpu kepada tahap pencapaian akademik yang cemerlang.

Dalam tempoh tiga tahun iaitu dari Tingkatan Satu hingga ke Tingkatan Tiga, pihak sekolah harus mengenal pasti kumpulan yang benar-benar tidak berkemampuan dalam akademik. Kumpulan ini harus dibimbing dan didorong untuk mengenal pasti pilihan bidang kemahiran yang diminati berdasarkan kepada corak keperluan tenaga kerja negara di masa depan mengikut sektor.

Laluan kerjaya setiap bidang kemahiran harus diberi gambaran dengan jelas dalam mata pelajaran kerjaya yang diperkenalkan dalam tempoh tingkatan satu hingga tingkatan tiga itu. Ini bertujuan memberi harapan kepada pelajar yang memilih bidang kemahiran tertentu bahawa, di sana masih ada peluang luas untuk meningkatkan tahap kerjaya dari semasa ke semasa.

Guru kaunseling hendaklah bukan sekadar menyediakan maklumat kerjaya ke institusi pengajian tinggi kepada mereka yang cemerlang akademik, tetapi perlu dilengkapkan diri dengan maklumat berkaitan peluang latihan di Institusi Latihan Kemahiran Awam seperti Institut Kemahiran Belia Negara, Institut Latihan Perindustrian, Institut Kemahiran Mara dan Pusat Giat Mara. Institusi ini bakal menjadi pilihan pelajar mempunyai pencapaian akademik sederhana.

Bagi menarik minat pelajar, seterusnya meyakinkan masyarakat keseluruhannya untuk memilih pendidikan vokasional, tiada jalan lain melainkan berusaha memperkasakan dan memartabatkan kembali pendidikan vokasional ini. Kerajaan sedaya upaya perlu memastikan pendidikan vokasional ini tidak menjadi bentuk pendidikan kelas dua.

Untuk itu, kerajaan disarankan untuk mempertimbangkan langkah seperti mewujudkan pelan pendidikan kemahiran vokasional komprehensif; meningkatkan keupayaan pendidikan vokasional dan jika perlu, melakukan penjenamaan semula ke atas institusi latihan kemahiran vokasional tertentu.

Bagi memastikan kemahiran vokasional yang dimiliki diguna pakai sepenuhnya, kerajaan perlu memastikan lulusan vokasional tempatan tidak hilang. Ini boleh dilakukan dengan menggubal polisi tertentu yang mewajibkan setiap sektor mengutamakan pekerja mahir lulusan vokasional tempatan serta, pada waktu sama mengehadkan penggunaan pekerja asing di setiap sektor secara berperingkat.

Bagi memberi keyakinan kepada pelajar supaya memilih pendidikan vokasional, kerangka kerjaya yang jelas khusus untuk lulusan kemahiran vokasional wajar diwujudkan, meliputi skim perkhidmatan menyeluruh dalam perkhidmatan awam.

Insentif juga harus difikirkan kepada guru vokasional atau guru yang bertanggungjawab terhadap mata pelajaran vokasional. Elaun kritikal serta dipermudahkan urusan kenaikan pangkat patut diberi keutamaan dalam perancangan pendidikan, dan institusi perguruan yang menjadikan pendidikan vokasional sebagai keutamaan perlu diwujudkan segera.

Institusi ini akan menjadi medan untuk melatih guru vokasional yang bukan saja untuk sekolah, bahkan juga untuk meningkatkan kualiti tenaga pengajar di institusi latihan kemahiran. Wujudkan panel pendidikan vokasional yang terdiri daripada wakil di setiap kementerian yang mempunyai pusat latihan kemahiran vokasional mengikut sektor.

Ini akan mengeratkan lagi hubungan di antara pihak sekolah dengan institusi latihan kemahiran berkaitan, seterusnya melicinkan lagi proses kemasukan di setiap institusi latihan kemahiran ini.

Kita harus menerima hakikat bahawa latar belakang akademik tidak seharusnya dijadikan kayu ukur dalam usaha pembinaan modal insan. Pembinaan modal insan hendaklah meliputi setiap individu, dan ini harus difahami semua. Hanya pendekatan, corak pendidikan serta penghayatan semua pihak yang menjadi strategi penentu untuk merealisasi misi.

Dengan bilangan yang menamatkan tingkatan lima setiap tahun melebihi 450,000, sudah pasti kita tidak ketandusan insan sebagai penggerak negara masa depan. Justeru, perancangan untuk memulakan langkah pendidikan vokasional lebih awal adalah suatu yang amat bertepatan dan memantapkan lagi kemasukan ke puluhan institusi latihan kemahiran yang sedia wujud dalam negara.

Kita mengharapkan tiada lagi keciciran selepas latihan kemahiran vokasional diperoleh. Moga usaha mengelakkan keciciran dalam pendidikan akan disusuli dengan usaha untuk memastikan tidak berlakunya keciciran kemahiran pula selepas itu.

Penulis ialah Pensyarah, Jabatan Ukur Bahan, Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Kajian untuk wajibkan pelajar asing belajar Bahasa Melayu

NILAI: Kementerian Pengajian Tinggi sedang membuat kajian untuk mewajibkan subjek Bahasa Melayu kepada pelajar asing bagi membina hubungan yang lebih baik antara pelajar itu dengan masyarakat setempat, kata Menterinya, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin.

"Mereka akan mengambil Bahasa Melayu untuk tujuan komunikasi, supaya mereka faham apa yang orang cakap. Bila dia keluar, dia nak beli barang kat kedai, dia boleh cakap. Kita bukan wajibkan mereka ambil Bahasa Melayu ilmiah," katanya selepas merasmikan Majlis Penubuhan Kolej Universiti Linton dalam kawasan Kolej Lagenda di Mantin dekat sini, hari ini.

Kolej Linton hari ini mendapat pengiktirafan daripada kementerian bagi membolehkan kolej yang berasal dari Ipoh itu dinaikkan ke taraf kolej universiti. Mohd Khaled berkata, sekurang-kurangnya mereka boleh bercakap Bahasa Melayu dan ini boleh membantu mereka memberi penjelasan kepada anggota keselamatan jika timbul masalah apabila ditahan akibat masalah komunikasi dengan orang tempatan.

Sementara itu, beliau meminta masyarakat negara ini mengubah persepsi buruk mereka terhadap pelajar asing kerana sumbangan mereka terhadap pembangunan negara ini cukup banyak.

Mohd Khaled berkata, masyarakat negara ini sudah salah sangka apabila menyangka kebanyakan pelajar ini yang rata-rata datang dari Afrika serta Timur Tengah menyumbang kepada kadar jenayah sedangkan peratus mereka yang terbabit adalah sangat kecil.

Katanya, kebanyakan mereka datang dari negara yang kurang membangun dan mahu belajar sesuatu daripada institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Beliau berkata, masyarakat harus ingat semasa mula-mula merdeka, kerajaan terpaksa menghantar ramai anak watan belajar di luar negara dan bayangkan jika mereka ini dilayan dengan buruk sudah tentu Malaysia akan terus ketinggalan.

"Kita sudah lalui pada masa itu dan sekarang ini untuk masa orang lain, keduanya kita harus faham bahawa mereka datang, mereka memberi sumbangan yang besar pada ekonomi negara.

"Kita perlu bangunkan persepsi yang kita menerima apa saja pelajar dari benua mana sekalipun, mereka datang sebagai satu pengiktirafan betapa kukuhnya dan kuatnya penyediaan ilmu yang kita dapat sediakan," katanya.


Sumber : http : //www.bernama.com/