Khamis, 19 Januari 2012

ISU BAHASA : Sukarkah bertutur bahasa Melayu?


OLEH : TAN SRI LEE LAM THYE

BEBERAPA pihak telah membangkit mengenai betapa pentingnya kita memartabatkan semula bahasa Melayu dan memperkukuhkan bahasa Inggeris.

Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Kelapan yang diadakan tahun lepas mahu bahasa Melayu dimartabatkan dan digunakan sepenuhnya termasuk dalam bidang ekonomi, kewangan serta perundangan.

Radio Televisyen Malaysia (RTM) bercadang melaksanakan proses alih suara bagi rakaman suara individu yang menggunakan bahasa Inggeris dalam sesi temu bual berbahasa Melayu sebagai usaha mengukuhkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam bidang penyiaran.

Melalui Bulan Bahasa Kebangsaan yang dianjurkan setiap tahun, semua warga Malaysia diingatkan untuk memartabatkan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan selain daripada usaha membolehkan kita menguasai bahasa Melayu dengan tepat.

Pada pendapat saya mutu penggunaan tatabahasa Melayu dalam pelbagai program yang disiarkan oleh stesen televisyen dan radio milik kerajaan dan swasta masih berada di tahap rendah.

Usaha perlu dilaksanakan dan membabitkan semua stesen penyiaran bagi mempertingkatkan penggunaan bahasa Melayu yang betul.

Suatu perkara yang memerlukan tindakan ialah mengenai pencemaran bahasa Melayu yang berleluasa seperti dalam dialog filem dan perbualan seharian yang mencerminkan fenomena bahasa rojak.

Saya dan ramai yang lain khuatir dengan aliran pertuturan bahasa rojak iaitu campuran bahasa Melayu dan Inggeris yang mencerminkan ketidakyakinan terhadap bahasa Melayu dan penggunaannya dengan betul.

Sukarkah untuk bertutur bahasa kebangsaan dengan betul?

Fenomena bahasa rojak yang kian menjadi-jadi. Bertutur dalam bahasa kebangsaan tetapi dicampuradukan dengan bahasa Inggeris sudah menjadi lumrah dan kebiasaan.

Daripada pertuturan harian sehinggalah kepada program-program televisyen, radio dan iklan kita semakin terdedah kepada bahasa rojak.

Malah sebahagian anggota pentadbiran kerajaan kita juga cenderung menggunakan bahasa rojak termasuk dalam ucapan di majlis dan sidang akhbar yang kemudian disiarkan menerusi televisyen.

Sudah menjadi satu tabiat bagi mereka bercakap bahasa kebangsaan diselitkan bahasa Inggeris. Memang tidak salah - untuk membuktikan kita mempunyai kemahiran bercakap dalam pelbagai bahasa.

Soalannya ialah kalau mahu bertutur bahasa Inggeris gunakanlah sepenuhnya bahasa itu.

Begitu juga semasa bertutur bahasa kebangsaan, gunakan sepenuhnya dan tidak perlu dicampuradukan. Bahasa Melayu adalah bahasa indah dan tidak patut dijadikan mudah tercemar.

Sungguhpun saya bukan pakar linguistik, saya berpendapat masa telah tiba bagi semua pihak untuk memperbetulkan fenomena bahasa rojak ini dan jangan jadikannya suatu budaya atau amalan harian di negara kita.

Mesej yang saya ingin sampaikan ialah kita tidak dapat memartabatkan bahasa Melayu kalau kita cenderung mencampuradukkan percakapan dalam bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris atau kita tidak dapat memperkukuhkan bahasa Inggeris dengan mencampuradukkan percakapan bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu.

Penulis ialah Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Kejujuran penggerak PPSMI dipersoal


Agenda peribadi atau kepentingan pendidikan jadi pendorong

Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my


SEBARANG perdebatan mengenai usaha mengembalikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mesti bertitik tolak daripada landasan sebagai bahasa ilmu dan bukannya soal titik bengit lain.

Ini kerana perdebatan PPSMI perlu berpusat pada landasan apakah bahasa Melayu boleh dianggap sebagai bahasa ilmu dan sejauh mana kebenaran bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu.
Penegasan itu dilontarkan pada Dialog Orang Muda (DOM) - PPSMI: Kita Tewas? di Rumah Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Setiausaha Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI), Dr Mohammad Alinor Abdul Kadir, berkata bahasa Inggeris hanya digunakan sebagai bahasa ilmu sepenuhnya di tanah besar Inggeris apabila kerajaannya yang berpusat di London melaksanakan pengajaran bahasa Inggeris di sekolah dan universiti sepenuhnya pada 1830.

“Prof Dr Shaharir Mohamad Zain dalam kajian terhadap pungutan istilah bahasa Inggeris menunjukkan mereka meminjam 70 peratus daripada bahasa Greek, Latin dan Arab.

“Dalam tempoh 182 tahun itu, bangsa Inggeris hanya mendapat 30 peratus istilah dalam bahasanya sebagai istilah sains,” katanya pada forum yang dipengerusikan Tutor Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Arif Atan.

Justeru bagi Dr Mohammad Alinor adalah tidak adil untuk menolak kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang dilaksanakan sepenuhnya dalam sistem pendidikan Malaysia pada 1983 dan ditamatkan pada 2003, sedangkan bangsa Inggeris mengambil jangka waktu hampir dua abad.

“Malah, kebudayaan Inggeris sendiri kini tersepit apabila Wales dan Scotland menuntut perluasan kuasa politik mereka termasuk bahasanya, manakala dalam konteks ekonomi di Eropah pula, ia dikuasai Jerman dan Perancis.

“Inggeris bertungkus-lumus untuk mengekalkan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu itu pun dibantu oleh Amerika Syarikat yang memiliki 400 juta rakyat,” katanya pada dialog anjuran Biro Penulis Muda PENA dengan kerjasama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

Perkara yang lebih kurang sama turut menimpa Amerika Syarikat apabila ia ditekan oleh bahasa dari Amerika Selatan sehingga konsep baru timbul, iaitu Etnomatematik yang membabitkan matematik dan budaya etnik.

“Ini bermakna sekiranya ia lebih sesuai diajar dalam bahasa Sepanyol, maka kita perlu melantik guru yang mengajarkannya dalam bahasa itu.

“Percaturan ini timbul semata-mata untuk memberi ilmu kepada pelajar dan soalnya apakah percaturan kita dalam isu pengajaran dan pembelajaran dalam apa juga bahasa dengan tujuan yang sama,” katanya yang juga penggerak Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP).

Mengenai pendapat semua jurnal sains dan matematik banyak didapati dalam bahasa Inggeris, beliau menolaknya dengan sinis bahawa ia disebabkan jurnal yang dibeli adalah dalam bahasa Inggeris.

“Saya pernah dilantik sebagai penyelidik pelawat di Trieste, Itali, selama tiga minggu dan mendapati universiti itu mempunyai bahan dalam pelbagai bahasa termasuk laporan teknik dari Jabatan Matematik dan Fizik di Universiti Vietnam dalam bahasa Vietnam,” katanya.

Setiausaha Pusat Pengembangan Kebudayaan Lim Lian Geok (LLG), Ng Yap Hwa, berkata pihaknya berpendapat semua bangsa berhak membangunkan bahasa ibunda sendiri tanpa mengira status bahasanya.

“Pendirian kami ialah pembelajaran bahasa Inggeris mesti dalam subjek bahasa itu sendiri, bukan subjek yang lain dan pelaksanaannya mesti ditinjau daripada segi pendidikan dan bukannya politik semata-mata.

“Pihak kami juga meneliti hujah yang diberikan oleh kumpulan penyokong PPSMI dan mendapati hujah mereka tidak meyakinkan kecuali tanggapan bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa ibunda mereka,” katanya.

Meskipun LLG menghormati hak itu, Lian Geok berkata, pihaknya tidak setuju PPSMI dilaksanakan di mana juga sekolah kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan.

“Kalau kita boleh ubah bahasa pengantar dalam subjek Sains dan Matematik, bagaimana pula dengan subjek lain yang tidak mustahil akan ditukar ke bahasa lain, sekali gus menyebabkan kekeliruan besar dalam sistem pendidikan kita.

“Kumpulan elit yang berminat untuk belajar dalam bahasa Inggeris, mereka boleh pergi ke sekolah swasta untuk mendapatkannya,” katanya.

Felo Himpunan Keilmuan Muslim (HAKIM), Imran Mustafa, berkata Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) menganggap hujah bahasa tempatan tidak mampu menjadi bahasa ilmu sebagai mitos.

“UNESCO pernah menerbitkan kertas kajian pada 2004 yang sebenarnya menolak hampir semua hujah yang diberikan kumpulan pro PPSMI dan merangkumkan ke dalam satu seksyen, iaitu Mitos Pengajaran dan Pembelajaran dalam Bahasa Asing, iaitu mitos bahasa tempatan tidak boleh menyampaikan konsep moden.

“Seksyen itu menegaskan semua bahasa mempunyai kemampuan yang sama untuk menyampaikan pemikiran manusia dan membangunkan istilah serta struktur baru yang diperlukan.

“Leopold Senghor pernah membuktikannya dengan menterjemah Teori Relativiti oleh Einstein ke bahasa Wolof, iaitu bahasa lingua franca Senegal,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Rabu, 18 Januari 2012

ISU AGAMA : Asas tauhid mesti diterap kukuh dalam pendidikan anak


Oleh Mohd Kamel Mat Salleh

Semai sifat mulia dari awal menerusi nasihat yang lembut

SABAN hari pelbagai masalah sosial dipaparkan dalam media cetak mahupun elektronik. Kes buang bayi yang tidak nampak kesudahannya, sumbang mahram, saudara kandung memperkosa ahli keluarga, hilang kewarasan akal hingga ada membunuh dan menyembelih anak sendiri.

Ini menggambarkan betapa masyarakat hari ini sedang mengalami penyakit jiwa yang agak parah.

Pelbagai kaedah penyelesaian dicadangkan bagi membendung kejadian ini daripada terus berleluasa termasuk memperkemaskan sistem pendidikan.

Pemantapan itu termasuk menekankan kepentingan pengajaran berunsur akidah, tasauf dan akhlak terutama dari sudut mempelajari teknik berkesan yang terbukti telah berjaya. Salah satu contoh ialah kaedah digunakan Lukman al-Hakim dalam memberi pengajaran serta pendidikan kepada anaknya.

Lukman atau nama penuhnya Lukman bin Ba’ura’, dari keturunan Azar, iaitu bapa kepada Nabi Ibrahim, dikenali sebagai seorang bijaksana yang diberikan hikmah oleh Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Lukman bukanlah seorang nabi, tetapi dia adalah seorang hamba yang banyak bertafakur, kuat keyakinan, mengasihi dan dikasihi Allah SWT, dikurniakan-Nya kebijaksanaan.”

Kebijaksanaan Lukman ditunjukkan melalui pendidikan diterapkan dalam diri anaknya. Beliau mengguna kaedah sangat lembut melalui nasihat dan perbicaraan secara halus kepada anaknya.

Perkara asas ditekankan Lukman al-Hakim adalah penegasan kepada konsep tauhid melalui larangan melakukan syirik kepada Allah SWT yang bertepatan dengan konsep ‘awal agama ialah mengenal Allah’.

Ini juga berkait rapat dengan amalan azan dan iqamah yang dilaungkan ke telinga bayi sejurus selepas kelahirannya. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Mulakan kepada anak kamu dengan kalimah La ila ha illallah.”

Rasulullah SAW juga bersabda maksudnya: “Didiklah anakmu dengan tiga perkara iaitu mencintai nabinya, mencintai ahli bait (keluarganya) dan bacaan al-Quran kerana ahli al-Quran itu mendapat naungan Allah pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Nya bersama nabi.”

Asas Tauhid ini boleh diterapkan ke dalam diri anak melalui bisikan dan penerangan jelas terhadap perkara yang berlaku di persekitaran antaranya kejadian hujan yang boleh menumbuhkan tumbuhan, pertukaran malam dan siang, kejadian bulan dan bintang serta proses kejadian manusia.

Lukman al-Hakim juga menerangkan kepada anaknya konsep ihsan yang disebutkan Rasulullah SAW sebagai ‘engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat Allah, walaupun engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihat engkau.”

Ayat disebutkan Lukman kepada anaknya menjelaskan bahawa setiap perlakuan hamba dalam pengetahuan dan kekuasaan-Nya juga walaupun sehalus biji sawi tetap dalam ilmu-Nya.

Justeru, anak perlu dididik berbuat kebajikan dan diterangkan kepadanya balasan baik kepada perbuatan baik, serta perbuatan buruk bagi setiap kesalahan dan dosa.

Konsep ihsan jika diaplikasi dalam kehidupan anak sejak kecil pasti akan dapat membentuk sikap jujur, berkata benar dan tidak khianat.

Dalam ayat selanjutnya, Lukman al-Hakim memfokuskan kepada beberapa adab mulia dalam kehidupan sebagai seorang anak iaitu berbuat baik dan menghargai jasa kedua-dua ibu bapa.

Seterusnya beberapa adab dan akhlak mulia diajar Lukman kepada anaknya antaranya suruhan melaksanakan solat, mengajak kepada makruf dan mencegah daripada kemungkaran, bersabar menerima ujian, larangan berlagak dan berjalan seperti orang sombong.

Suruhan melaksanakan solat adalah tanggungjawab besar ibu bapa terhadap anak. Rasulullah SAW menegaskan hal ini berdasarkan sabda yang bermaksud: “Suruhlah anakmu melaksanakan solat ketika mereka berusia tujuh tahun, pukullah jika mereka enggan melaksanakannya jika mereka sudah berusia sepuluh tahun dan pisahkan mereka dari tempat tidur (jika berlainan jantina).”

Begitu juga adab lain yang ditekankan Lukman kepada anaknya itu menggambarkan betapa perlakuan baik ini perlu dimulakan pada peringkat awal kanak-kanak. Bak kata pepatah Melayu, ‘melentur buluh, biarlah dari rebungnya’.

Untuk berjaya mendidik, ikutlah cara mereka yang telah berjaya. Lukman al-Hakim telah menunjukkan jalannya, terpulang bagaimana untuk melaksanakannya dalam kehidupan. Jika semua memahami dan mengambil pendekatan ini, ia dapat menyelesaikan penyakit sosial masyarakat.

Penulis ialah Penolong Pengarah Pusat Pemantapan Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jelebu, Negeri Sembilan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Selasa, 17 Januari 2012

ISU SOSIAL : Kesederhanaan penawar ekstremisme


Saya amat berbesar hati dapat menyertai anda semua hari ini dalam persidangan pertama Gerakan Kesederhanaan Global - Saya difahamkan ramai di antara peserta meredah ribuan batu untuk datang ke sini, dan saya mahu mengucapkan terima kasih atas dedikasi dan komitmen anda terhadap perjuangan kita ini.

Kami mempunyai pepatah di Malaysia, tak kenal maka tak cinta - dan menjadi harapan saya beberapa hari berikutnya akan membuka peluang untuk kita lebih mengenali dan menyayangi satu sama lain, serta menetapkan pemahaman dan empati bersama dalam berdepan dengan ekstremisme dalam apa jua bentuk.

Di Malaysia, kesederhanaan telah lama menjadi jalan pilihan kami. Ia satu bukti kepada bagaimana kami memperolehi kemerdekaan daripada British pada 1957; bagaimana kami memulihkan hubungan dengan Indonesia pada 1965; dan bagaimana kami membantu membina ASEAN pada 1967, pulih daripada tragedi Mei 1969, perhubungan dengan China pada 1972, dan membentuk komuniti ekonomi dan keselamatan ASEAN pada 1993 dan 2009. Setiap satu daripadanya merupakan detik penting bagi negara kami, dan semuanya dicapai melalui debat dan perbincangan sewajarnya.

Tetapi, lebih dan melangkaui pencapaian Malaysia sendiri, kesederhanaan adalah fitrah atau intipati kejayaan utama kemanusiaan; batu asas kukuh di mana semua peradaban dunia telah dibina - tanpanya, kita mungkin sudah lama tewas kepada kenikmatan dan keseronokan epicurean! Namun, kesederhanaan berdiri tegak bukan sahaja mempertahankan keazaman, disiplin dan mengawal diri malah untuk penerimaan, kebebasan, toleransi, belas kasihan, keadilan dan keamanan.

Memilih kesederhanaan bukan bermakna lemah, mengalah atau menginstitusikan prestasi rendah. Dan ia bukan tentang melakukan dengan separuh hati sesuatu yang memerlukan dedikasi penuh. Jauh daripada menjadi ideologi kelemahan jati diri, seperti yang sesetengah pihak mahu kita percaya, kesederhanaan sebenarnya memperkasakan diri kita untuk mara ke hadapan dan meninggalkan kesan kebaikan - menjaga keperluan, kekecewaan dan kebimbangan orang lain dan juga diri sendiri pada masa yang sama.

Seperti kata-kata Robert F. Kennedy, "sejarah manusia dibentuk daripada pelbagai perbuatan berani dan kepercayaan yang tidak terkira banyaknya. Setiap kali seseorang berdiri mempertahankan satu impian, atau bertindak demi kebaikan sekumpulan manusia lain, atau bertindak balas terhadap ketidakadilan, dia memberikan sedikit riak harapan, dan titik pertemuan daripada berjuta pusat tenaga dan keberanian, riak harapan itu akan membentuk satu gelombang yang boleh merobohkan dinding tentangan dan penindasan."

Itu adalah gelombang yang kita mahu bina di sini hari ini - dan jangan kita tersilap, kita bersatu kini di satu persimpangan sejarah dunia yang bermasalah. Wajah baru peperangan, krisis kewangan global dan bencana semula jadi pada satu skala yang tidak pernah dilihat selama ini, kini memberi cabaran yang belum pernah kita hadapi sebelum ini. Tetapi kita tetap perlu menghadapinya, dan jalan yang kita pilih untuk berdepan dengan perubahan-perubahan ini akan menentukan arah tuju masa depan semua peradaban kita.

Skala dan kepantasan peristiwa yang berlaku merentasi Timur Tengah dan Afrika Utara pada 2011 kadang kala hampir sukar diterima, tetapi selepas kekeliruan dan huru-hara beralih kepada kedamaian, seluruh dunia bersatu dengan harapan negara-negara itu dan rakyatnya dapat membentuk kesederhanaan demokratik dan keamanan yang akan memberi mereka kebebasan bersuara, daripada menjadi mangsa tiada toleransi dan ekstremisme yang mengisi kekosongan yang wujud.

Nigeria pula baru-baru ini menjadi saksi pertembungan maut antara komuniti Muslim dan Kristian. Tetapi, kerajaan Nigeria telah menegaskan tiada tolak ansur terhadap sikap sedemikian dan mereka yang cuba menggunakan kepercayaan agama untuk tujuan keganasan akan menerima akibatnya. Perbalahan sebenar bukanlah antara orang Islam dan bukan Islam, mahupun antara negara maju dan negara membangun, tetapi antara golongan sederhana dan ekstremis.

Maka, setiap seorang daripada kita perlu membuat satu pilihan; antara permusuhan dan syak wasangka atau berusaha secara berterusan untuk memahami pandangan dunia antara satu sama lain. Tentu sekali kita tidak seharusnya menganggap lautan dan teluk yang memisahkan kita juga memberikan imuniti daripada konflik pihak lain. Ketegangan di Afrika atau kata-kata kasar dikeluarkan di benua Amerika boleh membawa kesan bukan sahaja terhadap mereka yang menetap di sana malahan terhadap kita semua. Dalam dunia lebuh raya maklumat kini, konflik sedemikian merebak dengan pantas dan tiada siapa memegang monopoli terhadap kebenaran.

Walaupun mungkin seronok mendapat nama atas gerakan ini, saranan seperti yang saya buat untuk satu Pergerakan Kesederhanaan Global bukannya sesuatu yang baru. Kesederhanaan adalah satu nilai berzaman, dan sesuatu yang menjadi asas perjuangan agama-agama utama dunia. Dalam Islam, Nabi Muhammad bersabda bahawa, "kesederhanaan adalah sebaik-baik tindakan"; dalam agama Kristian, kitab Injil menyatakan "biarkan kesederhanaan kamu diketahui atas semua manusia"; dan dalam agama Yahudi, kitab Taurat mengajar kesederhanaan dalam semua perkara adalah satu 'cara hidup' dalam nilai adat Yahudi sebenar.

Bagaimanapun, jike kesederhanaan telah lama bertapak dalam agama-agama dunia, maka yang sebaliknya juga adalah benar: ekstremisme tidak pernah diterima ke dalam masjid, gereja, saumaah dan kuil kita. Mengekalkan rasa benci melalui sifat semula jadinya adalah satu perjalanan sunyi, berterbangan di muka prinsip moral yang disanjung tinggi - dan kebencian yang ditambat ini, bersama keengganan mengiktiraf pandangan dan nilai-nilai pihak lain yang menjadikan ekstremisme satu ancaman kuat.

Namun begitu, berkali-kali kebenaran tetap mencapai kejayaan. Sejarah dicipta bukan oleh mereka mendukung ekstremisme tetapi oleh mereka yang kekal kepada kesederhanaan tanpa menggadaikan kepercayaan diri. Kita semua kenal dengan kekuatan gigih keazaman dan kepimpinan Mahatma Gandhi, Nelson Mandela dan Aung San Suu Kyi tetapi anda tidak perlu menjadi pemimpin dunia untuk menjadi sumber inspirasi. Golongan sederhana membawa perubahan di mana sahaja mereka berdiri - dan sudah tiba masanya golongan sederhana pelbagai peringkat berdiri tegak dan menyatakan dengan satu suara padu bergema, 'tidak', kepada ekstremis.

Satu perkara amat jelas: kita tidak boleh menghapuskan fahaman ekstremis dunia dengan menggunakan kekerasan. Keganasan melahirkan keganasan - maka lebih baik kita memelihara toleransi dan pemahaman, bukannya dengan menutup suara kebencian tetapi dengan meninggikan lagi suara pertimbangan. Pujukan, perundingan dan kerjasama: ini semua mesti menjadi senjata kita berdepan dengan permusuhan dan niat jahat.

Barisan jurucakap dan delegasi di sini hari ini adalah pelbagai dalam semua bentuk, merangkumi pakar dan pemimpin pemikir dari semua benua dan peringkat hidup. Saya fikir ini membawa satu makna: bahawa ekstremisme padu satu peringkat telah memberi kesan kepada setiap negara, setiap kerjaya dan setiap manusia. Tiada sesiapa pun yang terkecuali, tiada tempat tidak dapat dicapai dan tiada had terhadap apa sekalipun - atas sebab ringkas, ekstremis dengan pandangan total dunia mereka, enggan mengecuali atau meninggalkan mana-mana institusi, sama ada sekular atau suci.

Ekstremis kita ketahui didorong oleh golongan ortodoks - sekumpulan idea muluk bercirikan keringkasan bodoh, gambaran salah dan penipuan nyata. Daripada meraikan kesucian kehidupan seperti yang dituntut semua agama, golongan ekstremis menekankan kemegahan hayat selepas mati. Daripada mencari dan menerima perbezaan mereka menyokong kejahilan, menolak toleransi dan kenali diri. Dan daripada menerima perubahan, mereka takut kepadanya dan sesiapa sahaja yang mendokong perubahan itu, membelakangkan diri kepada kemajuan dan mencari perlindungan dalam dunia ideal yang kekal sama sahaja.

Intipati dan mungkin juga tarikan ekstremisme adalah sifatnya yang ringkas - maka ia bergantung kepada pergerakan dan perhimpunan seperti ini untuk menyiasat kebenaran hakiki ini dengan kepekaan, kebijaksanaan dan penuh bersemangat.

Perbincangan tentang ekstremisme dan perbuatan ekstremis membangkitkan imej ngeri pembunuhan, huru-hara dan penderitaan manusia tetapi ekstremisme juga bukan selalunya ganas - dan saya percaya kita menanggung sendiri risiko menyebut tentangnya. Mengambil contoh satu daripada peristiwa yang kononnya tidak ganas tetapi amat ekstrem dalam sejarah baru-baru ini: krisis kewangan global.

Berbanding imej kejam yang mengejutkan yang dipaparkan seluruh dunia ketika kejadian 9/11 - gambaran kemusnahan pada skala epik yang meninggalkan parut pada satu generasi dan membakar nurani dunia - gambar yang diambil di hadapan Lehman Brothers pada satu pagi bulan September beberapa tahun kemudian, biasa sahaja, mungkin pernah dilihat sebelum itu. Seorang wanita muda, cemas dan bimbang, mengangkat barang miliknya di dalam sebuah kotak, keluar dari ibu pejabat firma tersebut. Seorang eksekutif yang malu pula berjalan pantas, masuk ke dalam kereta mewahnya dan memecut laju.

Tiada yang terlalu pelik atau tidak dijangka - namun begitu, tanpa sebutir peluru pun ditembak, sifat ekstrem dan berlebihan Wall Street dalam masa beberapa hari sahaja mengheret dunia yang kita kenali ke hujung tanduk.

Maju ke depan empat tahun kemudian dan nyata sekali tiada penghujungnya. Zon Eropah masih dalam krisis. Berjuta-juta orang hilang pekerjaan, rumah dan jaminan hidup. Dan ditambah kepada kos kemanusiaan, sekitar AS$14 trilion telah dibelanjakan setakat ini untuk pelan menyelamat - sepuluh kali ganda kos kedua-dua peperangan di Afghanistan dan Iraq.

Jika saranan saya untuk kesederhanaan bersifat idealis, ia juga amat realistik. Ramai ilmuwan Islam yang hebat mengambil berat bagaimana Islam sebagai satu pandangan dunia tentang agama, budaya, politik, etika dan ekonomi boleh membantu menyelesaikan antara cabaran paling besar kita hadapi hari ini, dan ini juga adalah antara persoalan yang menarik minat saya - bagaimana kesederhanaan boleh menyelesaikan, bukan sahaja masalah ekstremisme yang ganas malahan mengemudi kita melangkaui krisis ekonomi global ini?

Thomas Jefferson pernah berkata bahawa "jiwa perdagangan yang pentingkan diri tidak mengenal negara, dan tiada rasa belas terhadap prinsip selain daripada keuntungan." Ia satu sentimen yang diperingati berulang kali sejak beberapa tahun dan bulan lalu apabila kejatuhan Lehman.

Pope, satu tokoh yang tidak kurang hebatnya juga telah menyalahkan krisis ekonomi global atas "kurangnya asas etika yang kukuh untuk aktiviti ekonomi." Ketua Rabai Britain, Jonathan Sacks menulis keperluan untuk majikan, pemilik bank dan pemegang saham supaya "mempunyai panduan diri walaupun jika tiada siapa yang memerhati, oleh satu rasa, apakah yang betul dan bertanggungjawab." Dan untuk umat Islam seperti saya, struktur dan dasar kewangan Islam telah lama meletakkan manfaat umum mengatasi keuntungan individu.

Jadi, bagaimana kita membentuk sebuah ekonomi global sederhana yang berkesan demi kepentingan sekumpulan besar daripada sebilangan kecil? Bagaimana kita boleh memikirkan satu sistem yang menyampaikan keadilan untuk 'kumpulan 99 peratus' dan bukan hanya golongan atasan? Secara ringkasnya, kita tidak boleh lagi membenarkan pergerakan pasaran bersifat bebas-nilai atau neutral-nilai. Pasaran, seperti yang kita tahu, merupakan satu-satunya jalan kepada kemakmuran dan pembangunan yang stabil dan mapan - tetapi kita mesti meninggalkan hasil yang tidak adil dan tidak rata yang boleh berlaku jika tidak diperiksa, dan dengan jenis amalan ekonomi yang cuai yang sebelum ini menarik rebah sistem kewangan global kita.

Overleverage melampau. Pertukaran kemungkiran kredit yang sukar dibayangkan. Pinjaman subprima. Seperti raksasa ciptaan seorang saintis gila, amalan kewangan baru yang tidak difahami dengan sewajarnya ini telah bermaharajalela dari Wall Street dan meninggalkan berjuta kehidupan yang musnah di belakangnya.

Bagaimana pula dengan lelaki dan wanita, yang memiliki bank dan pedagang, yang meneruskan kerja dengan pengabaian dan tidak memikirkan selain daripada pengayaan diri sendiri? Barisan gambar muka pesalah laku akan kelihatan berbeza berbanding 'galeri penyangak' ekstremis yang kita telah biasa lihat sejak beberapa tahun kebelakangan ini - berbaju kemas, kerja pejabat dan bergaya berbanding kulit gelap, berjanggut dan dilatih bertempur.

Ini jauh berbeza dengan apa yang diberitahu kepada kita tentang ekstremisme - tetapi ia juga membangkitkan beberapa persoalan penting: apakah rupa ekstremis? Bagaimana kita boleh mengenali mereka? Jawapannya, tentulah ekstremis seperti juga ekstremisme hadir dalam pelbagai bentuk - dan kita hanya boleh mengenali mereka melalui perbuatannya.

Saya percaya dunia perlu beringat, terlalu kerap kebelakangan ini kita melihat ekstremisme dan Islam dibincangkan dalam nada yang sama. Selepas 9/11 contohnya, Asia Tenggara mula dikenali sebagai 'baris hadapan kedua' cuma kerana ia mempunyai jumlah umat Islam terbesar di dunia. Namun begitu, keganasan tidak pernah bertapak dengan kuat di sini seperti mana di bahagian lain dunia.

Dan apabila satu kejahatan besar melewati Norway tahun lalu, mereka yang kononnya pakar membanjiri ruang siaran untuk menyelitkan serangan itu mempunyai ciri-ciri utama ekstremis Islam. Tidak lama kemudian kita mendapati kebenaran yang pahit itu amat berbeza, namun ahli politik, wartawan dan pengulas di seluruh dunia kekal komited kepada idea bahawa keganasan dan Islam adalah dua bahagian pada satu syiling yang sama.

Selepas Timothy McVeigh membawa pembunuhan beramai-ramai kepada jalan-jalan bandar Oklahoma, tiada siapa menggambarkan semua warga Kristian bertanggungjawab. Untuk berbuat begitu akan dilihat sebagai tidak munasabah, tetapi itulah situasi yang dihadapi 1.3 bilion umat Islam hari ini.

Bagaimana semua ini berlaku? Bagaimana tindakan ekstremisme oleh sebilangan kecil umat Islam telah dilihat sebagai gambaran sebenar keseluruhan umat Islam - dan untuk membayangi ekstremisme yang dilakukan di seluruh dunia setiap hari oleh individu pelbagai kepercayaan atau yang tiada kepercayaan? Pandangan jahat seumpama itu tidak boleh dibiarkan berleluasa - dan tidak cukup, seperti yang ramai telah lakukan, sekadar menyatakan penyelesaian ekstremisme adalah dengan lebih ramai umat Islam bersuara. Kita perlu mendengar daripada golongan sederhana semua agama di semua negara dan semua peringkat masyarakat - dan apabila kita mendengar, hadiah keamanan akan muncul untuk semua.

Malaysia telah lama sinonim dengan pemodenan, toleransi, inklusiviti dan juga penerimaan, bukannya ekstremisme. Dalam negara yang majoritinya beragama Islam serta mempunyai komuniti besar Hindu, Buddha, Kristian, Tao dan Sikh, kami amat mengenali 'martabat perbezaan'. Kami mempunyai banyak kumpulan etnik, banyak agama tetapi kami berterusan cuba mengekalkan keharmonian dan negara yang benar-benar bersatu berdasarkan nilai-nilai kesederhanaan dan semangat 1Malaysia.

Kami tahu kami terbaik dan paling kuat apabila kami mendakap perbezaan yang wujud daripada sekadar menerima kehadirannya - dan dengan semangat itulah kami bersama hadir ke perjumpaan pertama Pergerakan Kesederhanaan Global. Tetapi, sebuah pergerakan global sebenar tidak boleh ditekan dari atas - maka kita perlu sedarkan di semua negara dan komuniti akan kemenangan kebenaran terhadap kejahilan, kepalsuan dan ketakutan.

Untuk memajukan perjuangan bersama kita, saya gembira mengumumkan hari ini pembentukan Institut Wasatiyyah di Malaysia, beroperasi sebagai sebahagian daripada Pejabat Perdana Menteri untuk melanjutkan usaha pemodenan dan keseimbangan dalam semua aspeknya - hormat kepada demokrasi, kedaulatan undang-undang, pendidikan, martabat manusia dan keadilan sosial. Melalui kata-kata ilmuwan agung Al-Iman Ibnul Qayyim, wasatiyyah - kesederhanaan atau 'keseimbangan' - "tidak terlalu berlembut atau terlalu ekstrem umpama sebuah oasis di antara dua gunung", dan untuk menggalakkan lebih ramai ilmuan seumpamanya kelak, kami juga akan membentuk Kerusi Wasatiyyah akademik di bawah Universiti Malaya dengan pemegangnya akan diumumkan apabila tiba masanya.

Untuk mempelopori usaha ini di peringkat antarabangsa, saya juga berbesar hati mengumumkan pelancaran satu Pergerakan Global baru Yayasan Kesederhanaan sebagai pusat untuk langkah pertama bagi penggabungan dan penyebaran maklumat serta bahan kempen kepada mereka yang mahu menyertai perjuangan menentang ekstremisme, sama ada kerajaan atau badan bukan kerajaan. Tentu sekali ia amat penting untuk GMM menjadi pelengkap inisiatif-inisiatif lain untuk dialog global dan kerjasama seperti Perikatan Peradaban Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, daripada menjadi inisiatif eksklusif oleh Malaysia.

Ia bukan satu kempen untuk mereka yang lemah semangat tetapi kita tidak boleh membiarkan detik ini dikuasai ekstremis, dengan siapa bersorak paling kuat mendapat untung terbesar. Melalui kata-kata pejuang keamanan, Mahatma Gandhi, 'mata untuk mata membuatkan seluruh dunia buta' - maka, bergantung kepada semua golongan sederhana di mana sahaja untuk berdiri tegak dan megah, untuk melenyapkan tarikan ekstrem dan menidakkan mereka yang di pinggiran daripada bertapak di titik tengah, memastikan kekecewaan yang dirasai di mana jua diambil kira dan suara, di mana sahaja berbunyi, didengar.

Tentu sekali saya berharap persidangan pertama ini akan memberikan peluang kepada kita semua untuk memikirkan, berdebat dan melihat kepada beberapa cabaran praktikal akan datang - persoalan seperti: Apa yang diperlukan untuk sekumpulan nilai-nilai dan idea menjadi satu gerakan global sebenar? Bagaimana boleh disuntikkan kesederhanaan dalam keputusan polisi luar dan langkah ekonomi domestik kita? Dan, apa yang kita boleh pelajari daripada satu sama lain dalam mempromosikan pemahaman, toleransi dan keamanan?

Mungkin saya naif untuk mengharapkan satu dunia tanpa keganasan, tiada toleransi dan semua kebencian serta penderitaan yang dilakukan antara manusia - tetapi harga kegagalan jika kita berimpian terlalu kecil adalah terlalu tinggi untuk dibayar. Maka, marilah kita beranikan diri berimpian besar, mari kita beranikan diri membayangkan apa yang sebelum ini difikirkan mustahil, dan ya, mari kita beranikan diri menjawab seruan untuk bertindak. Penindasan dan kezaliman hanya boleh menang jika lelaki dan wanita hanya berdiri dan lihat, enggan menukar retorik kepada tindakan serta pandangan kepada perbuatan.

Maka, marilah kita di sini, hari ini, bersama, menetapkan diri untuk berubah dan memulakan tugas membina satu perikatan baru golongan sederhana di zaman ini, dan izinkan saya mengucapkan terima kasih sekali lagi atas kehadiran anda dengan harapan semua berjalan lancar dalam perbincangan sepanjang beberapa hari akan datang. Tidak pernah ada perbincangan yang lebih penting sebelum ini, dan ia sesuatu yang kita perlu kita jalankan dengan kesederhanaan, kecekalan dan keberanian.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Isnin, 16 Januari 2012

ISU SUKAN : Chong Wei julang gelaran ke-8 Terbuka Malaysia


KUALA LUMPUR - Kedudukan Datuk Lee Chong Wei sebagai pemain nombor satu dunia terbukti masih belum tergugat apabila meraih kejuaraan badminton Siri Super Terbuka Malaysia buat kali kelapan di Stadium Putra Bukit Jalil di sini hari ini.

Chong Wei mudah menundukkan Kenichi Tago dari Jepun 21-6, 21-13 dalam masa 37 minit di hadapan ribuan penyokong di stadium berkenaan.

Beliau yang menyifatkan perlawanan itu sebagai perlawanan akhir Terbuka Malaysia paling mudah buatnya, berharap dapat mengekalkan semangat dan prestasinya kali ini sehingga Sukan Olimpik London pada Julai ini.

Katanya, beliau juga gembira dapat menumpaskan dua musuh utama dari China iaitu Lin Dan (pada akhir Terbuka Korea minggu lalu) dan Chen Long (ketika peringkat separuh akhir kejohanan) pada awal tahun ini.

"Bagaimanapun, saya tidak menolak kemungkinan China akan bersedia dengan strategi yang lebih kuat pada Olimpik nanti.

"Buat masa ini saya gemberia dapat kalahkan mereka, namun saya juga akan buat persediaan yang lebih bagus," katanya kepada media selepas upacara penyampaian hadiah yang disempurnakan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Chong Wei menerima piala dan wang tunai bernilai AS$30,000 (RM93,990).

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Selepas ini, Chong Wei berkata beliau akan menumpukan pada dua kejohanan iaitu pusingan kelayakan Piala Thomas dan All-England sebelum menghadapi temasya Sukan Olimpik.

"Saya akan kurangkan kejohanan tahun ini supaya boleh memberi tumpuan pada persediaan Olimpik," katanya.

Sementara itu, Wang Yihan dari China menjuarai perseorangan wanita setelah mengalahkan rakan senegara Wang Xin 21-19, 21-11.

Pemain China turut mendominasi kategori beregu campuran apabila Zhang Nan/Zhao Yunlei dari republik itu muncul johan setelah menumpaskan rakan sepasukan Xu Chen/Ma Jin 21-12, 21-9.

Dalam perlawanan sengit beregu lelaki pula, kemenangan akhirnya berpihak kepada beregu Taiwan Fang Chieh Min/Lee Sheng Mu, yang mengatasi Cho Gun Woo/Shin Baek Choel dari Korea Selatan 16-21, 21-16, 21-16.

Selain itu, beregu wanita Denmark Christina Pedersen/Kamilla Rytter Juhl melakukan kejutan apabila menundukkan pilihan kedua Ha Jung Eun/Kim Min Jung dari Korea Selatan 21-19, 21-18 untuk menjuarai kategori itu. - Bernama

ISU UMUM : Tahap pembacaan rakyat kita mundur


Oleh Imlan Adabi

MUNGKIN kita berbangga pencapaian fizikal dengan deretan bangunan pencakar langit, profesional dalam pelbagai bidang dan graf ekonomi seiring pencapaian siasah memberangsangkan.

Kita mungkin juga boleh mendabik dada kerana melahirkan angkasawan negara, memiliki dua syarikat kereta nasional dan industri berat membabitkan kepakaran anak tempatan.

Bagaimanapun mungkinkah kita berpuas hati dengan pengisian minda rakyat Malaysia?

Sejauh manakah budaya membaca menjadi cara hidup kita? Apakah industri buku setanding dengan 28 juta jumlah penduduk? Buku tahap mana dibaca anak Malaysia? Karya popular dan picisan atau ilmiah dan informatif? Kita harus terima hakikat negara maju ekonomi seiring kemajuan ilmu dan intelektual. Buku pelengkap kemajuan.

Lazimnya sebahagian kita menghias rumah tamu dengan perabot mewah – sofa dari Itali atau kerusi kayu jati dari Indonesia, sistem teater rumah dan High-definition television (TV HD) berjenama. Buku tiada di rumah tamu, atau barangkali tersorok di bilik tidur sekian lama.

Budaya membaca belum lagi menjadi rutin di kalangan kita. Kajian membuktikan ramai yang membaca untuk dapatkan sijil dan ijazah, meninggalkan bahan bacaan apabila sudah berkerjaya.

Cara hidup kita berbeza dengan masyarakat negara maju walaupun kita sering klise dengan Wawasan 2020.

Kita ada pesta buku setiap tahun, namun budaya membaca masih rendah. Berbeza pesta tahunan di Edinburgh, London dan Frankfurt yang diadakan pada Mac dan Oktober yang bukan saja membabitkan jualan buku terlaris, juga mengekalkan suasana pembacaan. Mereka juga mesra buku terpakai, karya terbuang yang dibaik pulih.

Pesta Buku Edinburgh tidak pernah sunyi dengan maklumat ‘Bookstart’ iaitu kempen pembacaan untuk kanak-kanak. ‘Bookstart’ kempen diiktiraf organisasi perbukuan seperti International Board on Books for Young People (IBBY). Ia diguna pakai dipelbagai negara untuk melatih dan menggalakkan ibu bapa mendidik anak membaca sejak bayi. Kita kurang usaha sedemikian.

Mereka juga mempunyai Oxfam – peruncit buku lama yang terbesar di Eropah dengan jualannya lebih 11 juta buku setiap tahun. Ada 750 kedai Oxfam di seluruh United Kingdom menjual buku dan lebih 100 daripadanya kedai buku atau kombinasi kedai buku dan muzik. Buku dijual hasil derma orang ramai. Petugasnya pula tenaga sukarela.

Di Jepun pula budaya membaca sehangat sukan judo dan bola sepak di kalangan rakyatnya. Di mana-mana saja buku menjadi teman sejati termasuk dalam tren selaju 250 kilometer sejam.

Budaya membaca diamalkan seawal kanak-kanak di ‘Hoiku-en’ atau ‘Yochi-en’ (tadika). Mereka disogok dengan buku cerita dilengkapi halaman khas (lazimnya di kulit belakang) dipenuhi gambar berulang sebagai info ulangkaji kanak-kanak awal persekolahan. Setiap kali selesai membaca, kanak-kanak diarah mewarna gambar sebagai latihan minda.

Bagaimanapun rakyat Malaysia masih dikategorikan masyarakat kurang membaca. Mengikut kajian Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), kita secara purata membaca dua buku setahun.

Berdasarkan statistik dikeluarkan PNM, 16,044 buku diterbitkan pada 2008 berbanding 10,310 judul pada 2005.

Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia 2005 pula menunjukkan secara purata, rakyat membaca dua buku setahun. Kajian pada 2009 menunjukkan purata rakyat berumur 10 tahun ke atas membaca sembilan hingga 12 buku setahun. Sebanyak 56,676 mendaftar sebagai ahli perpustakaan tempatan di seluruh negara pada 2010 dengan 776,347 buku dipinjam di PNM pada tempoh sama. Bagaimanapun angka itu masih rendah kerana lapan tahun terakhir menjelang 2020, kita masih merangkak dan segan ilmu berbanding bangsa lain di Asia Timur. Di manakah silap kita?

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Sabtu, 14 Januari 2012

ISU ANTARABANGSA : Angkara Mossad dan CIA


Pembunuhan saintis nuklear Iran, Mostafa Ahmadi-roshan dengan bom magnet di keretanya Rabu lalu ada kaitan dengan ketegangan hubungan diplomatik Iran - Amerika Syarikat (AS) ketika ini. Ini kerana Presiden Barack Obama kembali mengenakan tekanan kepada Iran berhubung pelan pembangunan tenaga nuklear Iran.

Menjelang tahun baru yang lalu, Obama mengumunkan sekatan kepada semua institusi kewangan AS daripada berurusan dengan bank pusat di Iran. Ini salah satu bentuk tekanan ekonomi yang dilakukan sendiri oleh AS tanpa penglibatan Majlis Keselamatan PBB. Tidak cukup dengan itu AS menerusi Setiausaha Perbendaharaan, Timothy Geithner semasa mengunjungi Naib Presiden China, Xi Jinping turut mendesak China mengenakan sekatan atas Iran. Ini kerana China antara negara kuasa besar anggota Majlis Keselamatan PBB yang menyokong resolusi menghalang pelan nuklear Iran.

Tetapi China mempunyai pertimbangan lain. Memandangkan China menjadi negara guna tenaga terbesar di dunia, China memerlukan Iran. Ini kerana Iran menyumbang sebanyak 11 peratus import minyak China atau 600,000 tong sehari pada November lalu. Jumlah ini adalah satu pertiga daripada eksport minyak Iran yang berjumlah 2.2 juta tong sehari. Kerana itu AS terpaksa mencari cara lain untuk memberikan tekanan kepada Iran.

Kempen AS itu supaya dikenakan sekatan ekonomi ke atas Iran dijangka akan mempengaruhi pemimpin-pemimpin negara Kesatuan Eropah (EU) yang akan bermesyuarat 23 Januari ini. Mesyuarat itu dijangka bersetuju mengadakan sekatan daripada membeli minyak Iran. Iran adalah pengeksport minyak kedua terbesar dan menganggotai Pertubuhan Negara-Negara Pengeluar Minyak (OPEC).

AS sejak rejim bekas Presiden George W. Bush lagi mahu mengenakan tekanan kepada Iran, selepas berjaya meruntuhkan Iraq dengan dakwaan palsu memiliki senjata nuklear. Kerana itu pembunuhan saintis nuklear Iran ini lebih menjurus kepada penglibatan AS menerusi Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan agensi perisikan Israel, Mosaad.

Sabotaj

Ini adalah pembunuhan keempat saintis Iran sejak 2010. Pada 12 Januari 2010, saintis nuklear Massoud Ali-Mohammadi dibunuh dengan bom magnet kawalan jauh di depan rumahnya di Tehran. Pada 29 November 2010, saintis nuklear Majid Shahriyari terbunuh dan isterinya cedera parah dalam serangan bom. Pada 23 Julai 2011, saintis Darioush Rezal yang berusia 35 tahun ditembak mati oleh seorang yang tidak dikenali di Tehran.

Semua pembunuhan ini mempunyai bukti kukuh penglibatan CIA dan Mossad. Banyak teori menjurus kepada sabotaj membantutkan pelan pembangunan nuklear Iran. Malah ini selari dengan tekanan AS kepada Iran dan kebimbangan Israel terhadap pelan nuklear Iran. Buktinya semua mangsa pembunuhan itu adalah saintis yang mempunyai hubungan dengan nuklear Iran.

Teori konspirasi ini diperkuatkan lagi dengan kenyataan pemimpin tertinggi tentera Israel bahawa, "Iran kena menerima perkara-perkara yang tidak dijangka pada 2012." Dalam kemelut politik Asia Barat, kini hanya ada Iran yang mengekang penguasaan Israel selepas Iraq tumpas kepada AS 2003. Iran juga menjadi faktor penentu penghalang penguasaan dan penyusunan semula politik Asia Barat oleh AS.

Konspirasi penglibatan AS dan Israel disokong oleh pendedahan majalah TIME bahawa sumber perisikan mengakui pembunuhan terbaru itu dilakukan oleh Mossad. TIME turut mendedahkan seorang pegawai kanan Israel menjerit gembira ketika kejadian itu, "Yeah...seorang lagi. Saya tidak bersedih apa yang berlaku kepada dia."

Tahun lalu stesen televisyen Iran menyiarkan pengakuan seorang agen perisikan Mossad, Majid Jamali Fashi yang bertanggungjawab membunuh saintis Massoud Ali Mohammadi. Dia mengaku melihat sendiri model rumah dan kawasan laman saintis Iran itu di ibu pejabat Mossad di Tel Aviv. Majid dijatuhkan hukuman mati selepas didapati bersalah membunuh Massoud pada 12 Januari 2010.

Modus operandi pembunuhan Mostafa sama dengan pembunuhan dua saintis Iran sebelum ini iaitu menggunakan bom magnet. Kesemua mangsa adalah saintis yang merupakan orang penting dalam pelan nuklear itu.

Ini mempunyai persamaan dengan modus operandi Mossad membunuh saintis Jerman yang membangunkan peluru berpandu di Mesir tahun 1960-an dan 1970-an. Sebagai balasan, pejuang Palestin melancarkan serangan komando dan membunuh 11 atlet Israel di Sukan Olimpik 1972 di Munich.

Cara pembunuhan yang sama juga dilakukan Mossad terhadap saintis Mesir dan Kanada yang berkerja dengan program nuklear dan peluru berpandu Iraq semasa rejim Saddam Hussein. Begitu juga cara Mossad menyerang dan membunuh pemimpin Hamas, Mahmoud al-Mabhouh di hotel penginapannya di Dubai pada 2010.

Kenyataan pakar keselamatan, Theodore Karasik dari Gulf Military Analysis bahawa selain perang konvensional, Barat dan sekutunya juga melancarkan perang taktik untuk mengekang pelan nuklear Iran menguatkan teori penglibatan AS dan Israel.

Kritikal

Agensi berita Associated Press pula pernah membocorkan laporan mesyuarat tertutup Jawatankuasa Pertahanan dan Hubungan Luar Negara Israel baru-baru ini di mana Leftenan Jeneral Benny Gantz berkata, "2012 adalah tahun kritikal bagi Iran". Ini merujuk kepada perang taktikal untuk menghalang pembangunan pelan nuklear Iran.

Walaupun pentadbiran Obama dan Israel menafikan terlibat dalam pembunuhan kali ini tetapi hujah mereka sangat nipis. Apakah kita tidak percaya AS dan Israel boleh membunuh saintis Iran sedangkan mereka telah membunuh jutaan orang awam di Palestin dan Iraq?

Tetapi tindakan radikal Mossad dan CIA tidak memberi kesan kepada ketegasan Iran membangunkan pelan nuklear. Sebaliknya insiden terbaru ini menyukarkan AS membebaskan n seorang anggota marinnya yang mendepani hukuman mati di Iran kerana kesalahan mengintip.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/