Isnin, 20 Februari 2012

ISU BAHASA : DBP Sedia Jadi Urus Setia Audit Bahasa Melayu


Oleh IWAN SHU-ASWAD SHUAIB

KUALA LUMPUR: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sedia untuk menjadi urus setia kepada program audit bahasa Melayu bagi memantau penggunaan bahasa kebangsaan dalam sektor awam sekiranya badan itu diminta untuk berbuat demikian.

Ketua Pengarah DBP, Profesor Dr Awang Sariyan berkata, perkara itu akan diperbincangkan namun apa yang penting DBP sendiri akan melalui sistem audit bagi mewujudkan satu model sebagai mekanisme audit yang mantap.

“Kita sendiri mempunyai bahagian audit di DBP untuk melaksanakannya. Apabila sudah lengkap, contoh itu akan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Di peringkat kerajaan, ia bergantung pada JPA untuk melantik DBP sebagai urus setia (program audit). Jika tidak, JPA sendiri akan menjadi urus setia dan DBP sebagai perunding,” katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Turut hadir adalah Naib Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Dr Md Salleh Yaapar.

Dr Awang berkata, pada masa ini DBP sedang memantapkan sistem audit dan draf mengenai mekanisme itu dijangka akan diserahkan kepada JPA pada Jun ini.

“Ia selaras dengan pekeliling yang dilancarkan oleh JPA pada 28 Oktober 2011 dan DBP secara proaktif mengikutinya untuk membantu kerajaan dalam melaksanakan dasar itu,” katanya.

Pekeliling JPA itu merupakan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 2011 mengenai Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam.

Menurut Dr Awang, cadangan program audit bahasa Melayu akan menyaksikan lonjakan kesedaran penjawat sektor itu terhadap penggunaan bahasa kebangsaan.

“Ia akan selaras dengan peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Malaysia agar bahasa Melayu diwajibkan dalam semua urusan rasmi kerajaan seperti surat rasmi dan surat pekeliling,” katanya.

Beliau menambah, audit itu akan sampai ke Kabinet dan menjadi perhatian mengenai tahap penguasaan dan mutu bahasa kementerian dan jabatan kerajaan.

“Mungkin masih banyak kesalahan dari segi ejaan, tatabahasa dan laras bahasa maka ia (kesalahan) dapat diperbaiki.

“Audit bahasa ini bukan bertujuan untuk menghukum (mana-mana kementerian atau jabatan kerajaan) tetapi sebagai penambahbaikan,” katanya lagi.

Sidang media Dr Awang itu merupakan sesi pertemuan khas bersama pemberita selepas pelantikannya sebagai ketua pengarah DBP yang baru, berkuat kuasa pada 1 Februari lalu.

Tokoh bahasa itu menggantikan Datuk Termuzi Abdul Aziz yang tamat perkhidmatan sebagai ketua pengarah DBP pada 31 Januari lalu.

Dr Awang sebelum ini pernah menyandang Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di Republik Rakyat China, yang berpangkalan di Beijing Foreign Studies University dari Januari 2008 hingga Julai 2011.

Sebelum itu, beliau juga merupakan pengarah Jabatan Bahasa, DBP.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

ISU BAHASA : Peluang Melayu dalam industri perkapalan


Oleh Adli Shahar
adli@bharian.com.my


WACANA Industri Perkapalan di Kepulauan Melayu: Peluang dan Cabaran di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), merumuskan masyarakat di Kepulauan Melayu mempunyai peluang yang besar untuk menyertai industri perkapalan antarabangsa kerana keperluan yang semakin meningkat dalam industri itu.

Pakar Runding Maritim, Dr Sean M Trafford berkata, pelaut dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei Darussalam mempunyai peluang yang sama besar seperti pelaut dari Filipina yang mengisi 20 peratus daripada tenaga buruh industri berkenaan pada ketika ini.

“Masyarakat dari kepulauan Melayu memiliki sejarah pelayaran yang hebat dengan kemampuan untuk menerokai lebih 18,000 pulau di kawasan ini. Pelaut dari Kepulauan Melayu masih berpeluang menyertai industri ini walaupun sebahagian besar pemilikan kapal dikuasai syarikat dari Greece dan China, manakala Jepun serta Korea menjadi pengeluar kapal utama dunia ketika ini,” katanya ketika membicarakan perkara terbabit di Bangi, baru-baru ini.

Dr Trafford yang juga penulis buku, Marine Safety: The Human Factors berkata, pelaut Filipina menjadi pilihan agensi untuk merekrut anak kapal kerana beberapa faktor utama seperti kemahiran sebagai pelaut dan kemampuan untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris asas.

“Kebolehan untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris diperlukan terutama oleh pegawai pengemudi kerana mereka perlu berkomunikasi dengan kapal lain atau dengan stesen pengesan kapal di bahagian pantai selain kebanyakan manual ditulis di dalam bahasa itu.

“Bagaimanapun, pihak berwajib biasanya meminta kod keselamatan di atas sesebuah kapal ditulis dalam bahasa yang difahami oleh kebanyakan anak kapal. Malah, bahasa pengantar di atas sesebuah kapal juga sebenarnya berbeza-beza bergantung kepada bahasa yang dituturkan oleh anak kapal,” katanya.

Sungguhpun demikian, bahasa Tagalog adalah salah satu bahasa yang paling banyak digunakan dalam industri perkapalan antarabangsa kerana jumlah pelaut Filipina banyak terbabit dalam industri ini.

Dr Trafford yang juga Felo Institut Kejuruteraan, Sains dan Teknologi Marin (IMAREST), United Kingdom (UK), berkata, pada ketika ini industri perkapalan antarabangsa mengalami kekurangan 100,000 tenaga buruh profesional dan ia merangkumi pelbagai tugasan seperti pegawai pengemudi, pegawai kejuruteraan, ataupun tukang masak.

“Oleh sebab kekurangan ini, Akademi Laut Malaysia (ALAM) ada mewujudkan skim bagi melatih graduan dalam bidang kejuruteraan sebagai jurutera maritim dalam masa 15 bulan. Skim seperti ini boleh dimanfaatkan mereka yang berminat untuk menyertai industri perkapalan sama ada dengan syarikat perkapalan tempatan atau pun antarabangsa,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Ahad, 19 Februari 2012

ISU BAHASA : Menyemarakkan budaya debat


SAIFUDDIN ABDULLAH

Pada 15 Februari lalu, saya menghadiri pertandingan Debat Diraja antara universiti yang dihoskan oleh Universiti Sains Malaysia (USM).

Sebagai antara pengasas pertandingan ini dan Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM), iaitu penganjurnya dan selaku penasihat Alumni Debat Institusi Pengajian Tinggi (ADI) serta bekas pendebat dan jurulatih debat, saya amat teruja serta puas menghadirinya.

Pertandingan ini bermula pada 1995 dengan kategori Bahasa Melayu dan Inggeris. Kini, telah ada kategori bahasa Arab dan ada cadangan untuk ditambah dengan bahasa Mandarin dan Perancis.

Terdapat lebih 10 pertandingan debat antara universiti dalam Bahasa Melayu. Begitu juga dalam bahasa Inggeris. Justeru, universiti mempunyai lebih daripada satu pasukan untuk mengambil bahagian dalam pertandingan-pertandingan itu. Tetapi, pasukan terbaik dihantar ke Debat Diraja kerana ia pertandingan paling berprestij.

Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada johan dan naib johan tahun ini, iaitu bagi Bahasa Melayu: Universiti Malaya (UM) dan USM; bahasa Inggeris: Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM); dan bahasa Arab: UIAM dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).



Namun, debat tidak terhad hanya dalam bentuk pertandingan. Ia juga bukan semata-mata soal menang dan kalah. Terdapat debat dalam bentuk lain. Ada yang menggunakan istilah lain, iaitu forum, diskusi, wacana dan sebagainya.

Debat melibatkan sekurang-kurangnya dua pihak yang membicarakan sesuatu tajuk di hadapan khalayak. Ia wahana untuk mengemukakan dan mempertahankan idea bagi menghasilkan idea yang lebih baik. Ia antara teras dalam disiplin dan budaya ilmu dan digunakan dalam banyak bidang.

Debat antara pendekatan dalam dakwah Islamiah, iaitu seperti dinyatakan an-Nahl:125, “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka (yang engkau seru itu) dengan cara yang lebih baik...”.

Dalam tradisi Islam, terdapat perdebatan ilmu yang hebat di antara para sarjananya. Buku-buku besar ditulis berdasarkan perdebatan tersebut. Sekolah-sekolah agama mempunyai pasukan debat yang kuat.

Debat telah diterangkan dengan sistematik oleh Aristotle dalam bukunya Ars Rhetorica (Seni Retorika). Menurutnya, pendebat perlu memiliki sifat ahli logik dan ahli psikologi.

Mesej dan pembuktian yang dibawa pendebat boleh dicapai melalui tiga elemen utama, iaitu hujahannya, keperibadiannya dan emosinya. Ini serupa dengan tiga elemen utama perdebatan moden, iaitu isi, penghujahan dan penyampaian.

Meskipun Aristotle orang pertama menulis tentang debat, tetapi Socrates telah lebih awal menggunakan debat, iaitu dengan menyoal pelajar-pelajarnya sehingga menimbulkan perdebatan. Kaedah ini dikenali sebagai Soalan Socrates.

Ia adalah asal-usul pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam dunia pendidikan hari ini. Debat pendekatan paling klasik dan efektif untuk mengasuh dan memperkukuh pemikiran intelektual dan memupuk akal budi dalam kepetahan, kejelasan dalam pemikiran dan luahan serta keadilan dalam penilaian.

Dari segi modal insan, debat memenuhi tiga objektif, iaitu, kemampuan berkomunikasi dengan efektif, berfikiran kritikal dan memberi alasan bermoral. Dalam dewan legislatif, debat adalah proses memutuskan peruntukan dan perundangan.

Dalam perundangan, debat adalah kaedah mencari kebenaran dan keadilan. Politik baru yang sihat, segar, progresif dan matang, menggunakan debat untuk memberi peluang kepada rakyat, yang semakin cerdik, menilai dasar dan program ditawarkan pihak-pihak bertanding. Debat ada adab dan etikanya. Ia budaya yang perlu disemarakkan.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Sabtu, 18 Februari 2012

ISU KENEGARAAN : Kaji semula dasar terlalu terbuka visa, pas lawatan pelajar


Oleh Anwar Patho Rohman
wananwar@bharian.com.my

Bendung Malaysia jadi hab dadah antarabangsa


LAPORAN Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), November lalu, mendedahkan kumpulan mafia dadah antarabangsa dari Afrika dan Iran semakin aktif dalam pengedaran methamphetamine di Asia Tenggara hingga ke Asia Timur.

Pil rangsangan (ATS) termasuk amphetamine dan methamphetamine atau syabu menjadi dadah pilihan di kebanyakan bahagian di Asia Tenggara dan Asia Timur, khasnya sejak 1990-an, menggantikan dadah berasaskan tumbuhan seperti heroin, candu dan ganja.
Ia mudah dihasilkan di mana saja dan memberi keuntungan lumayan menerusi pelaburan kecil. Peningkatan penggunaan dadah itu dilaporkan oleh kebanyakan negara di rantau ini terutama pada 2010 dan tahun lalu.

Penjenayah Afrika yang terbabit dalam jual beli kokain dan heroin beralih kepada penyeludupan ATS, manakala kumpulan Iran dikenal pasti sebagai ancaman besar penyeludupan dadah di rantau ini.

Tidak hairanlah Malaysia berjaya menahan seramai 228 penyeludup dadah dari Iran pada 2009 hingga 2010 kerana menyeludup methamphetamine.

Sepanjang tahun lalu saja, Kastam Diraja Malaysia (KDRM) merampas pelbagai jenis dadah seberat 187.45 kilogram (kg) bernilai lebih RM34 juta selepas mematahkan 39 cubaan menyeludup masuk bahan terlarang itu ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang.

Rampasan paling banyak membabitkan dadah jenis methaphetamine atau syabu iaitu 125.2kg (RM31.78 juta), diikuti ketamin 47.55kg (RM666,585); eramin sebanyak 9.5kg (RM958,000); heroin 3.21 kg (RM640,000) dan ganja 1.8 kg (RM4,320).

Sepanjang tahun lalu, KDRM KLIA menahan 30 suspek, sembilan warga Nigeria, enam rakyat Malaysia, lima India, tiga Iran, dua Cyprus dan masing-masing seorang warga Vietnam, Sweden, Pakistan, Sierra Leone serta Azerbaijan kerana disyaki menjadi keldai dadah sindiket penyeludupan dadah antarabangsa.

Dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini saja, ada tiga kes warga asing khasnya dari Iran ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan KDRM kerana kesalahan menyeludup dadah di KLIA atau memproses dadah di banglo mewah di ibu negara.

Ada beberapa faktor yang mendorong kepada perkara ini berlaku antaranya, tahap keselamatan di pintu masuk negara yang lemah di samping sikap ‘tidak apa’ di kalangan pegawai yang menjaga keselamatan pintu masuk negara.

Mungkin tidak adil menuduh pegawai jabatan kerajaan bersikap sambil lewa, tetapi penyeludupan dadah boleh dihalang jika semua pihak mempunyai inisiatif untuk mengetatkan pemeriksaan dan pemantauan di setiap pintu masuk negara ini.

Justeru, cadangan KDRM sebelum ini yang mahu menempatkan mesin pengimbas canggih dan berteknologi tinggi amat dialu-alukan bagi mengatasi jenayah penyeludupan dadah berleluasa di lapangan terbang atau pelabuhan di negara ini.

Pada masa sama, pakar kriminologi, Datuk Akhbar Satar, berkata agensi penguatkuasaan mempunyai pelbagai alternatif untuk mengekang jenayah ini seperti menambah pegawai risikan yang cekap dan berpengalaman serta berintegriti tinggi.

Katanya, pegawai risikan ini perlu bertanggungjawab, tidak mudah digoda dengan rasuah sehingga bersikap ‘tutup mata’ dengan tidak memeriksa barang atau bagasi suspek yang disyaki penyeludup dadah.

“Agensi keselamatan perlu memiliki alat pengesan atau pengimbas dadah untuk mengawal kemasukan dadah atau barang larangan lain. Walaupun begitu, kita tahu penjenayah juga bijak. Mereka akan mencari jalan untuk mengatasi masalah ini.
Kita hanya perlu memiliki alat lebih canggih,” katanya.

Beliau mengambil contoh, pihak keselamatan lapangan terbang di luar negara seperti di Melbourne, menempatkan pegawai berserta seekor anjing pengesan untuk menghidu dan memeriksa bagasi yang disyaki mengandungi bahan larangan seperti dadah.

Satu lagi kelemahan yang perlu diambil perhatian sistem saringan dan keselamatan kemasukan warga asing ke Malaysia, kata Akhbar, ialah dasar terlalu terbuka dalam pemberian visa atau pas lawatan pelajar kepada warga asing khasnya dari Iran dan Afrika.

“Ada yang menyalahgunakan pas pelajar untuk menjalankan kegiatan pengedaran dadah. Kementerian Pengajian Tinggi juga perlu membantu pihak penguatkuasa bagi mengatasi masalah ini," katanya.

Beliau juga tidak menolak kebanjiran warga asing ke negara ini seperti Iran di Nilai 3, Negeri Sembilan, mendorong warga negara itu menyeludup dadah ke negara ini bagi memenuhi keperluan rakyat negara itu yang diketahui bebas mengambil dadah di tempat mereka.

Mengulas mengenai kecenderungan warga asing ini menjadikan banglo mewah atau kondominium untuk dijadikan makmal memproses dadah, Akhbar berkata, ia menunjukkan penjenayah asing sudah mengkaji kelemahan sistem keselamatan negara ini.

Justeru, beliau mencadangkan supaya pihak berkuasa di pintu masuk negara supaya membuat laporan profil terhadap warga asing yang disyaki menjadi kumpulan pengedaran dadah ke negara atau rantau ini.

Beliau berpendapat, permintaan dadah methamphetamine yang tinggi di Malaysia dan rantau ini mendorong mafia dadah berlumba-lumba menyeludup dadah menerusi negara ini, yang akhirnya mencemar dan memburukkan nama negara.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PERKHIDMATAN AWAM : Bekerja dengan suka hati bukan kerja ikut suka


Oleh Sharifah Hayaati
bhagama@bharian.com.my


Kerja bersistem jamin kelancaran urusan, elak salah guna kuasa dan penyelewengan

SETIAP majikan dan pekerja pasti inginkan yang terbaik daripada apa yang diusahakan sepanjang kerja seharian. Semakin baik usaha dilakukan, secara fitrahnya semakin baiklah penghasilannya. Usaha yang dianggap baik itu pula hendaklah selaras dengan sistem kerja yang digariskan.

Tidak dapat dinafikan, setiap individu, mempunyai cara, pemikiran, pendekatan dan kehendak masing-masing yang kadangkala berbeza dalam melakukan tugasan, mendepani isu serta membuat keputusan.

Justeru, untuk mencapai hasil kerja yang baik, bukan sekadar faktor persekitaran kerja yang kondusif dan menyeronokkan tetapi juga ditentukan faktor pematuhan dan pemantauan sistem kerja berasaskan prosedur serta peraturan bersesuaian dan mesra pekerja-pelanggan.

Walaupun biasanya sifat semula jadi manusia lebih cenderung kepada yang mudah dan tanpa kongkongan peraturan, undang-undang, dasar dan proses kerja, namun sistem kerja ini yang akan memelihara hak pekerja agar tidak diabai, dieksploitasi atau dicerobohi.

Ia juga menjamin kelancaran proses kerja, mengelakkan birokrasi serta menghasilkan kerja berintegiti dan berkualiti serta mengelakkan salah guna kuasa dan penyelewengan.

Ajaran Islam amat menekankan aspek amalan berteraskan hukum sama ada wajib, sunat, haram, harus atau makruh. Semua ini melambangkan sistem, kaedah, peraturan dan panduan sama ada yang umum mahupun khusus dalam segenap aspek kehidupan.
Contohnya dalam mengerjakan solat, umat Islam ditentukan kaedah dan peraturannya melalui rukun dan syarat sah solat. Seperti kaedah berwuduk, jenis airnya, jumlah rakaat, bacaan dalam solat, niat, arah kiblat, waktu serta perkara yang boleh membatalkan solat itu.

Semua ini jika diteliti dan dihayati adalah satu bentuk sistem beramal yang sangat istimewa daripada Allah SWT. Walaupun jika diikutkan rasa hati manusia itu lebih suka untuk mengikut cara sendiri, namun sebagai bukti ketaatan, kesyukuran dan matlamat untuk mencapai kesempurnaan iman dan amal serta membentuk kecemerlangan peribadi, maka setiap ibadat yang utama itu, Allah memerintahkan hukumnya wajib dilaksanakan.

Tujuan disyariatkan itu termasuklah untuk melahirkan insan ikhlas, bersih hati dan fizikal, sihat, memiliki daya tumpuan tinggi dan berdisiplin.

Begitulah halnya dalam memahami pelaksanaan sistem kerja berpandukan prosedur, panduan dan peraturan. Ia diwujudkan untuk mencapai kejayaan (al-falah) dan kebaikan (al-khair) serta gesaan ke arah penguatkuasakan kebaikan dan menghindari segala bentuk keburukan untuk mewujudkan kualiti kerja dan integriti pekerja.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu kelompok yang menyeru manusia kepada kebajikan dan yang menyuruh manusia berbuat segala perkara baik serta melarang manusia daripada segala perkara buruk. Dan manusia yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya.” – (al-Imran: 104)

Untuk tujuan itulah, maka Nabi serta sahabat sentiasa memantau urusan umatnya supaya menjadi peniaga atau pekerja jujur dan amanah termasuk dalam hal sukatan dan timbangan.

Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pada satu ketika berjalan melalui satu longgokan makanan (di pasar), lalu Baginda Rasulullah SAW memasukkan tangannya ke dalam longgokan itu, jari Baginda SAW tersentuh sesuatu yang basah lantas Rasulullah SAW bertanya kepada penjual berkenaan: “Apakah semua ini?” Jawab penjual itu: “Makanan ini terkena hujan.” Nabi Muhammad SAW bersabda: “Kenapa engkau tidak meletakkannya di atas supaya dapat dilihat oleh orang ramai, Baginda SAW menyambung lagi: Sesiapa yang menipu maka dia bukan dari kalangan kami.” – (Riwayat al-Tirmizi)

Selain itu, Rasulullah SAW dalam hadis Baginda diriwayatkan Muslim memberi tiga panduan asas kaedah bagi menguatkuasakan sistem pemantauan kerja iaitu kaedah mengubah dengan tangan. Kaedah ini boleh melambangkan maksud penggunaan kuasa terutama pihak berkuasa.

Kedua, jika tidak berkemampuan maka hendaklah mengubah dengan lisan. Ia boleh membawa maksud menggunakan kaedah seperti berdakwah, nasihat, memberikan pandangan, teguran, amaran dan pujukan.

Ketiga, jika tidak berkemampuan hendaklah menolak sesuatu keburukan dengan hati. Ia boleh membawa maksud kebencian, kemarahan dalam hati terhadap sesuatu yang dibenci oleh Allah dan Rasul. Maka kaedah itu adalah selemah-lemah iman.

Justeru, bagi merealisasikan kerja yang mengikut sistem, maka jika ada peraturan dan prosedur kerja yang rumit dan panjang, perlu dipermudahkan, yang kurang jelas perlu diperjelaskan, yang sudah tidak sesuai, diperbaiki; yang tidak diperlukan, dihapuskan atau dinilai semula untuk menjamin kerja yang berkualiti.

Pendek kata, bekerja mengikut sistem adalah bekerja dengan suka hati dan bukan bekerja ikut suka kerana bekerja ikut suka boleh membawa kepada mengikut kemahuan dan kepentingan diri semata-mata, kejayaan jangka pendek serta bahaya terjerumus dalam penipuan, penyelewengan, rasuah dan bekerja tanpa kualiti seperti kecuaian dan kelewatan.

Justeru, peraturan dan prosedur jelas, mudah difahami dan mampu diamalkan boleh membuat pekerja bekerja dengan senang hati, memudahkan serta memelihara akhlak diri. Sistem juga dapat merealisasikan hasrat majikan dan menterjemahkan aspirasi organisasi. Justeru, marilah kita jadikan kerja bersistem sebagai budaya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Pendidikan vokasional jadi bidang arus perdana 2013


Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI

KUALA TERENGGANU 18 Feb. – Bidang Vokasional bakal menjadi pendidikan arus perdana apabila langkah menaik taraf 78 buah sekolah menengah vokasional di seluruh negara siap sepenuhnya menjelang tahun depan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, beberapa elemen tambahan akan dimuatkan di dalam kurikulum pendidikan itu antaranya berkaitan latihan keusahawanan.

Katanya, elemen latihan ketika bekerja akan dilaksanakan selari dengan transformasi pendidikan negara.

Dalam usaha memberi nilai tambah, bidang-bidang baru akan turut diperkenalkan termasuklah bidang hospitaliti, pengangkutan, industri sukan dan pengurusan acara.

"Ia bagi menjadikan pelajar itu nanti lebih kreatif serta inovatif bagi memenuhi keperluan pasaran kerja pada masa akan datang.

"Justeru kita berharap dengan adanya kolej vokasional ini nanti mampu melahirkan tenaga mahir dan berkemahiran bagi membolehkan mereka bersaing di peringkat global," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Konsolidasi, Transformasi Pendidikan Vokasional Terengganu/Kelantan di Dewan Teknokrat, Sekolah Menengah Teknik Kuala Terengganu, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Sektor Pengoperasian Sekolah Bahagian Teknik Dan Vokasional (BPTV), Zainuren Mohd. Nor dan Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Hashim Mohd. Zin.

Mengulas lanjut, Mohd. Puad memberitahu, setakat ini, sebanyak 15 sekolah telah dikenal pasti bagi menyediakan Program Asas Vokasional (PAV) dan 15 lagi untuk kolej vokasional dalam usaha memantapkan lagi sistem pendidikan negara terutamanya bidang kemahiran.

Bagaimanapun tambahnya, 10 buah sekolah teknik masih lagi dikekalkan bagi memberi peluang pelajar-pelajar yang meminati bidang kejuruteraan dan perdagangan meneruskan persekolahan mereka.

"Kita akan melihat perkembangan ini dari semasa ke semasa dan buat masa ini, hanya 10 buah sekolah dikekalkan bagi memberi ruang kepada pelajar-pelajar yang ingin menyambung pelajaran khusus dalam bidang-bidang kemahiran ini," katanya. - UTUSAN

ISU KESIHATAN : 30% pemandu bas sukar tidur, undang risiko


KUALA LUMPUR - Tiga puluh peratus daripada 300 pemandu bas didapati mengalami masalah kesukaran tidur malam, dengan lapan peratus kronik, dan keadaan ini membimbangkan kerana dikhuatiri memberi kesan kepada keselamatan pemanduan mereka.

Presiden Pertubuhan Penyakit Tidur Malaysia (SDSM), Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata, statistik itu diperolehi dalam kajian yang dijalankan oleh badan itu dengan Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR) baru-baru ini.

"Kajian itu dilakukan ke atas 300 pemandu bas dari lima syarikat pengangkutan di seluruh negara, dan lebih mengejutkan apabila lapan peratus berada di peringkat teruk," katanya kepada Bernama pada majlis pertemuan saintifik - Masalah Tidur Masyarakat Malaysia- Ke arah Tidur yang Lebih Sihat di Malaysia'di sini, hari ini.

Pensyarah kanan dan pakar psikiatri Fakulti Perubatan Universiti Malaya itu berkata, golongan yang sukar tidur malam dan mengalami gangguan tidur teruk termasuk 'sleep apnea' (nafas terhenti ketika tidur), berisiko untuk terlibat dalam kemalangan industri mahupun jalan raya.

Untuk itu, satu usaha perlu dilakukan bagi memastikan pemandu yang mengalami masalah kesukaran tidur ini diberi rawatan untuk mengatasi masalah yang dihadapi memandangkan mereka perlu memandu dalam tempoh yang panjang, katanya.

"Masalah gangguan tidur terutamanya insomnia berpanjangan dan sleep apnea didapati kemungkinan menjadi antara punca kemalangan serta kecederaan serius kerana mereka boleh tertidur di siang hari termasuk ketika memandu dan ia amat membahayakan nyawa sendiri dan orang lain," katanya.

Muhammad Muhsin berkata, sebagai langkah pertama, pemandu bas dan lori seharusnya diwajibkan membuat pemeriksaan kesihatan untuk memastikan sama ada mereka mengalami gangguan tidur terutamanya sleep apnea.

"Mereka yang disahkan menghidapi sleep apnea atau gangguan tidur di peringkat yang teruk perlu dirawat dahulu hingga pulih sebelum dibenarkan untuk memandu kembali," katanya.

Beliau juga berkata, kajian salah seorang profesor di Universiti Kebangsaan Malaysia yang merupakan anggota pertubuhan itu, mendapati lebih daripada tujuh peratus rakyat Malaysia mengalami masalah berkaitan tidur.

"Namun, kami percaya angkanya sangat tinggi daripada ini kerana ramai mereka di luar sana yang tidak pernah membuat rawatan dan menemui pakar kerana menganggap masalah itu remeh dan bukan penyakit berbahaya," katanya.

Beliau berkata, penyakit gangguan tidur ini bukan sahaja memberi kesan kepada produktiviti dan ekonomi kerana menyebabkan ketidakhadiran, kelembapan dan kurang tumpuan terhadap kerja, tetapi juga pertambahan berat badan, diabetes, tekanan darah tinggi, serangan jantung dan juga saluran pernafasan sumbat, katanya.

Katanya, tidur mempunyai kesan pemulihan terhadap proses fizikal dan mental, malah tidur juga adalah komponen penting dalam kesihatan fizikal dan mental yang baik, di samping penting bagi fungsi kognitif yang optimum. - Bernama