Isnin, 17 Disember 2012

ISU BAHASA : Apa itu buang tabiat?


TANPA isyarat atau tanda-tanda amaran, tidak semena-mena meletup sedentum petir tunggal yang mengejutkan tamu saya; tak lama berderai pula hujan renyai yang terus melebat semahunya…

Ridhwan mengurut dada beristighfar seraya berkata, "Wah! Nampaknya kita harus bertunggu di sini hingga hujan reda baru boleh meneruskan perjalanan; tak mengganggu waktu rehat Tok Alang ke?"

"Mengganggu apa pula?" ujar isteri saya, "Bukan selalu kamu jengah kami di sini. Kalau tak hari raya, tak nampak muka hidung kamu menjenguk tok nenek di sini; jadi apalah salahnya kalau hari ini cicit-cicit embah noyang berlama-lama sikit berbeka jenaka dengan buyut dan embah…"

"Ya tak ya; diam tak diam dah dua hari raya tak kita ziarahi Tok dan Embah Alang;" ujar Radhiah isteri Ridhwan, "tahun lalu, Tok Alang keluar dari spital pulang ke ruman Busu Mamat; tahun ni pula, petang hari raya Tok Alang masuk spital…

"Hari raya haji pula kita buat korban di kampung. Jadi hari ini, terlanjur kita ada peluang, kita bayarlah hutang ziarah dua tahun itu."

"Cakap awak tu, macam orang buang tebiat pulak…" kata Ridhwan.

"Wah! Tadi buyut kata 'buang muka'; ini papa pula kata 'buang tebiat'… apa makna buang tebiat tu, Embah yut?" tanya Ramlah kepada isteri saya.

Pertanyaan Dang Cicit itu dijawab isteri saya dengan pantun:

"Buah ciku penuh seperahu,

Dibawa pedagang Tanjung Jati;

Kalau cicit ingin nak tahu:

Buang tebiat tanda nak mati…"

"Wau! Embah Yut pandai berpantun. Ajarkan Lalah berpantun, Embah…"

"Boleh, boleh… Telefon Yut selalu-selalu, kita boleh belajar berpantun…" jawab isteri saya, "tetapi cerita fasal buang tebiat itu belum selesai lagi."

"Apanya yang belum selesai lagi, Yut? Lalah nak dengar." Tanya Dang cicit pula.

"Ungkapan buang tebiat itu," isteri saya memulakan keterangannya, "ialah sebutan mengikut lidah Melayu. Ungkapan yang sebenarnya ialah buang tabi'at. Bahasa Arabnya thabi'at itu bersinonim dengan kekata resmi, watak atau perilaku seseorang…

"Buang tabiat itu mengungkap perilaku seseorang yang aneh atau luar biasa; pada pandangan orang banyak. Kadang-kadang orang itu berkelakuan ganjil; kadang-kadang bercakap sesuatu yang luar biasa; kadang-kadang tanpa sedar dia mengungkit-ungkit kisah-kisah lama yang tidak seyogia diungkit lagi…

"Orang yang berkelakuan demikian dikatakan sedang buang tebiat…" ujar isteri saya. Terlopong mulut Dang Cicit remaja mendengar keterangan buyutnya…

Wallahu a’lam bissawab…

Sumber : http://cyberita.asia1.com.sg/

Ahad, 16 Disember 2012

ISU PEMBANTU RUMAH : Guna CBM selesai isu pembantu rumah?


Oleh NURUL ANUAR KARI

ISU penderaan pembantu rumah dan terbaru dakwaan penyeksaan sekumpulan warga asing sebagai pekerja bukannya perkara baru mahupun boleh diperkecilkan mana-mana pihak.

Bagi individu, ia satu penganiayaan yang melampau terhadap manusia lain, melanggar norma masyarakat dan paling utama memburukkan nama Malaysia di mata dunia.

Sejak kebelakangan ini, banyak pendedahan dibuat melibatkan penderaan malahan pembunuhan pembantu rumah warga asing khususnya di kalangan agensi dan majikan bukan Melayu.

Baru-baru ini pula, sebuah daripada agensi tersebut disiasat kerana dipercayai melakukan kesalahan pemerdagangan manusia melibatkan 105 wanita warga asing, Indonesia, Kemboja dan Filipina di Klang.

Antara punca masalah, penderaan dan penganiayaan dalam kalangan agensi dan majikan terbabit mungkin akibat perbezaan budaya, agama dan juga bahasa.

Pekerja Indonesia contohnya, mungkin tidak memahami bahasa Inggeris sementara majikan pula tidak memahami bahasa ibunda pekerja, umpama itik bercakap dengan ayam.

Pihak agensi pula cuma sekadar 'tangkap muat' sahaja bagi memenuhi permintaan dan mengambil bayaran tanpa mempedulikan aspek kualiti dan kemampuan pekerja mahupun apa jua masalah yang dihadapi majikan selepas pembantu rumah diserahkan.

Belum lagi mengambil kira kumpulan warga asing yang dibawa masuk menggunakan pas lawatan sosial bagi memenuhi permintaan dengan segera.

Ada antara mereka ditipu dengan bermacam-macam janji tetapi akhirnya menjadi pelayan pelanggan (GRO), pelacur dan segala macam 'pe' lagi yang bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi lebih utama lagi, memusnahkan hidup warga asing terbabit.

Tidak kurang juga yang memang menjadi pembantu rumah seperti dijanjikan tetapi tidak pula dibayar, namun tidak boleh 'bising' kerana mereka masuk dan bekerja secara haram.

Ada pula di kalangan pekerja asing yang dibawa masuk secara haram ini tidak diperiksa sehabisnya pihak agensi sehingga membawa masalah kepada majikan seperti lari, mencuri, menculik anak mahupun berkomplot bersama rakan senegara untuk merompak atau melakukan jenayah lain.

Tidak kira bagaimana situasi yang dihadapi, sama ada ejen di negara asal menipu, ejen di negara ini menipu, pekerja menipu majikan dan bermacam lagi masalah, akhirnya nama Malaysia juga yang menjadi busuk.

Maka, tidak hairanlah bila semakin ramai rakyat di negara asal mereka membenci negara ini dan membuat bermacam bantahan dan demonstrasi seperti yang sering berlaku di Jakarta, Indonesia setiap kali kes baru didedahkan media.

Pada ketika persatuan agensi-agensi tersebut mula menuding jari antara satu sama lain, timbul cadangan agar semua urusan kemasukan warga asing diuruskan antara kerajaan dengan kerajaan (GTG) sahaja.

Bukan sekadar memantau kos sebenar untuk setiap pekerja yang dibawa masuk tetapi lebih utama menjamin keselamatan serta pemantauan hubungan majikan dan pekerja asing agar kedua-duanya tidak teraniaya.

Lebih penting lagi, urusan terus GTG akan membolehkan pemantauan rapi secara telus dan berkala oleh agensi kerajaan kedua-dua negara bagi memastikan majikan menjaga pekerjanya dan pekerja pula menjalankan tanggungjawab setimpal dengan upahnya.

Walaupun mungkin terlalu awal untuk mengambil alih keseluruhan fungsi agensi pekerja asing, kerajaan Malaysia dan juga negara-negara terbabit perlu menimbangkan memulakan inisiatif GTG khusus untuk sektor pembantu rumah yang dilihat paling banyak berlaku kes penganiayaan.

Bagi Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Faisol Keling, senario yang semakin teruk itu sebenarnya sudah ada penyelesaian tersendiri di peringkat ASEAN.

"Antara negara-negara ASEAN, kita mempunyai kaedah dikenali sebagai Confidence Building Measure (CBM) bagi membolehkan kerjasama antara dua atau lebih kerajaan menyelesaikan masalah atau isu-isu berbangkit antara mereka.

"CBM mempunyai lima 'trek' yang mana trek pertama untuk urusan rasmi antara pemimpin dan kerajaan negara-negara dalam ASEAN sementara trek dua hingga lima adalah untuk urusan tidak rasmi," jelasnya.

Menurut beliau, mengikut prosedur, peringkat pertama trek satu CBM melibatkan ketua-ketua negara, peringkat kedua antara kementerian-kementerian terbabit dan peringkat ketiga pula antara pegawai-pegawai yang bertanggungjawab dalam isu tersebut.

Tegasnya, trek satu CBM amat sesuai dijadikan sebuah platform untuk GTG dalam menyelesaikan masalah pembantu rumah warga asing di Malaysia di samping menyekat aktiviti pemerdagangan orang.

"Langkah ini lebih baik daripada diberikan 100 peratus kepada pihak ketiga (agensi) kerana akan menimbulkan permasalahan lain yang sukar diselesaikan kelak.

"Elok jika ada campur tangan secara terus GTG kerana kerajaan negara-negara terlibat tiada matlamat keuntungan seperti pihak ketiga tetapi lebih kepada tanggungjawab sosial ke atas rakyat mereka," ujarnya.

Tambahnya, akibat fokus kepada keuntungan di kalangan pihak ketiga itu juga akhirnya pekerja asing dan majikan mereka yang menjadi mangsa.

Oleh itu, Mohamad Faisol berharap pemimpin Malaysia dan negara ASEAN lain mengaplikasikan kaedah CBM dalam isu pekerja asing dan mungkin boleh meluaskannya untuk menyelesaikan isu-isu lain melibatkan kehendak sosial rakyat mereka.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Sabtu, 15 Disember 2012

ISU SOSIAL : KE ARAH NEGARA BEBAS GEJALA RASUAH


Oleh : MOHD. FAUZI ZULKIFLI

RASUAH adalah satu masalah besar bagi sebuah negara berdaya maju dan bercita-cita tinggi seperti Malaysia. Sekiranya ia tidak dibendung, barangkali segala dasar dan perancangan yang diatur pihak pemerintah akan gagal begitu sahaja.

Diakui juga rasuah merupakan masalah yang menjadi kebiasaan dalam kehidupan masyarakat zaman moden. Sesetengah mereka bersedia untuk menerima rasuah dan memberi rasuah untuk mendapatkan sesuatu yang menguntungkan tanpa menyedari bahawa ia merupakan 'barah' tersembunyi yang boleh meruntuhkan sebuah tamadun dan struktur binaan sebuah negara bangsa.

Namun begitu, rakyat Malaysia sewajarnya bersyukur dan berbangga kerana berdasarkan pencapaian negara dalam Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa (CPI) 2012 yang dikeluarkan oleh Transparency International (IT) menunjukkan bahawa bumi bertuah ini berada dalam kedudukan lebih baik berbanding tahun 2011.

Kedudukan di tangga 54 daripada 176 negara berbanding ke-60 daripada 183 negara telah membuktikan bahawa segala usaha yang dilakukan oleh kerajaan untuk membanteras 'jenayah rasuah' sudah membuahkan hasil dan kejayaan yang baik melalui program-program yang dilaksanakan.

Malah Malaysia berjaya mengatasi  beberapa negara ASEAN lain dengan memungut (49 mata) serta menduduki tempat ketiga selepas Singapura (87 mata) dan Brunei (55 mata). Walaupun jumlah mata dikumpul agak jauh ketinggalan berbanding negara jiran, Singapura, namun yang lebih penting adalah kesungguhan dan komitmen kerajaan untuk mengurus 'jenayah rasuah' dalam dunia tanpa sempadan.

Jelaslah bahawa Pelan Transformasi Ekonomi (ETP), Program Transformasi Kerajaan (GTP) serta Bidang Utama Keberhasilan Negara (NKRA) mula memberi maklum balas positif sepanjang pelaksanaannya.

Kerjasama Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga memberi impak baik terhadap pelbagai sektor di negara ini.

Penulis amat yakin dan optimis bahawa dengan perancangan dan usaha yang berterusan oleh pihak kerajaan pasti akan dapat mengurangkan lagi 'jenayah rasuah' pada masa depan. Sektor awam dan swasta serta masyarakat juga mesti berganding bahu dan bekerjasama untuk menghapuskan 'budaya jijik' ini.

Sekiranya semua pihak sebulat suara dan bertekad untuk bersatu, pasti Malaysia dapat meletakkan dirinya dalam kalangan negara bebas rasuah suatu hari nanti dan ini sudah tentu akan membanggakan kita semua sebagai rakyat Malaysia yang menolak rasuah dan cinta akan negara.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Jumaat, 14 Disember 2012

ISU SOSIAL : Persediaan hadapi risiko dituntut


Oleh : Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail
 
Era globalisasi, perkembangan dunia semakin pesat, dinamik dan penuh persaingan ini, kemungkinan pekerja untuk berdepan pelbagai bentuk kesukaran serta kemungkinan risiko sama ada yang boleh diduga mahupun tidak adalah tinggi.

Justeru, selain merancang dan berusaha untuk mencapai sasaran atau matlamat, pekerja perlu menyiapkan diri dengan persediaan serta kekuatan mengurus risiko. Risiko bermaksud perkara yang tidak dijangka dan ketidakpastian yang memberi kesan buruk atau negatif kepada kita.

Contoh risiko ialah penyakit, bencana, kemalangan dan sebagainya. Risiko boleh berlaku disebabkan faktor manusia sama ada disebabkan kekurangan, kecuaian atau kelalaian, proses kerja, kewangan, sistem dan peralatan.

Persediaan hadapi risiko

Oleh itu, mengurus risiko berkait rapat dengan persediaan menghadapinya, pemantauan dan penilaian yang berterusan untuk mengurangkan kemungkinan berlaku kejadian tak diingini. Ia adalah suatu aspek dalam mengurus kerja yang kadangkala terlepas pandang kecuali apabila ia sudah berlaku.

Jika bidang kerja memang terdedah dengan risiko seperti keselamatan dan pencemaran bak pepatah Melayu mengatakan sudah terhantuk baru tengadah.

Usaha persediaan bagi mengelakkan daripada risiko adalah suatu tuntutan dalam Islam. Sesuai dengan matlamat syariah untuk memelihara umat dan mengembangkan kebaikan serta menghindarkan keburukan.

Tawakal selepas berusaha

Satu hari Rasulullah SAW melihat seorang Arab Badwi meninggalkan untanya tanpa ditambat. Baginda bertanya kepada Badwi itu: “Mengapa kamu tidak menambat untamu? Badwi itu menjawab: “Aku bertawakal kepada Allah SWT.” Kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Tambat unta kamu kemudian bertawakallah kepada Allah.” (Riwayat al-Tirmizi)

Selain menunjukkan maksud tawakal adalah dengan berusaha terlebih dulu kemudian barulah berserah kepada Allah SWT, nasihat Rasulullah SAW juga membuktikan persediaan perlu dalam mengurus risiko.

Dalam konteks ini, risikonya ialah kehilangan unta. Malah, dalam sabda Baginda yang masyhur mengenai merebut lima perkara nikmat juga membuktikan ajaran Islam menggalakkan kita bersiapsiaga sebelum datangnya lima risiko keadaan atau keburukan.

Sabda Rasulullah SAW: “Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara. (Iaitu) muda sebelum tua, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, masa lapang sebelum sempit dan hidup sebelum mati.” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

Sikap hadapi risiko

Justeru, antara pelbagai pendekatan Islam yang boleh diaplikasikan ialah pertama, persiapan sebelum berdepan risiko dan kedua, sikap ketika berdepan risiko.

Persiapan untuk mengurangkan risiko bermula dengan kesedaran dan kefahaman bahawa risiko adalah ujian. Manakala sikap yang perlu ada apabila mendepani risiko ialah tabah dan tidak mudah putus asa atau berpantang mati sebelum ajal.

Pekerja yang faham mengenai ujian dalam kehidupan akan lebih mudah menerima hakikat risiko dan berdepan dengannya secara tenang, tidak mudah berputus asa serta bersikap terburu-buru dalam tindakan atau dengan mudah pula menuding jari kepada yang lain.

Ujian sekadar mendidik

Pemikiran positif yang ditanamkan mengenai ujian ialah ia untuk mendidik bukannya menghukum. Menurut Sheikh al-Imam Ibn ‘Ataillah al-Sakandari dalam al-Hikam, ujian mendidik kita supaya menilai kelemahan diri, tindakan, amalan, mendidik jiwa sabar, taubat supaya bertakwa kepada Allah SWT.

Apabila manusia terdidik melalui ujian ini, Allah SWT akan memberikan pertolongan serta meninggikan pula kedudukannya.

Iktibar boleh diambil dalam peristiwa Perang Badar seperti pertolongan Allah SWT dalam firmanNya: “(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan daripada Tuhan kamu, lalu diperkenankan oleh-Nya bagi kamu: Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bantuan kepada kamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut.” (Surah al-Anfal, ayat 9)

Peluang capai matlamat

Begitu juga dalam konteks risiko. Kejayaan mengurus risiko bererti pekerja berjaya membuka lebih banyak peluang untuk mencapai matlamat disasarkan yang akan membawa kepada peningkatan pencapaian organisasi.

Manakala ketika berdepan dengan sebarang ujian atau risiko pula kita perlu tabah dan tidak mudah berputus asa. Kita diingatkan bahawa berputus asa adalah sikap orang yang sesat lagi dibenci Allah SWT.

Penulis ialah Prof Madya di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Khamis, 13 Disember 2012

ISU KEPENGGUNAAN : Jerat jualan murah


Oleh :  Nor Afzan Mohamad Yusof | afzan@bharian.com.my
 
Pengguna perlu bijak rancang perbelanjaan, elak terperangkap gimik tidak menguntungkan

Promosi hujung tahun boleh dilihat di mana-mana. Perang poster beraneka rupa dan warna, pula ditampal, digantung, dipacak di mana-mana saja lokasinya, selain dimasukkan dalam peti surat dengan tujuan menarik perhatian orang ramai berbelanja dan membuat perbandingan dari segi harga dan kualiti sesuatu produk.

Peniaga berlumba-lumba memberikan potongan harga terhebat. Belian terbaik, beli satu percuma satu dan sesetengahnya diskaun sehingga 90 peratus. Itulah frasa lazim kita saksikan termasuklah ‘Jualan Harga Runtuh’ atau ‘Jualan Penghabisan Stok’ dan 'Jualan Penghujung Tahun’.

Lazimnya banyak promosi itu itu membabitkan jualan kelengkapan rumah seperti perabot, dan barangan keperluan sekolah.

Pada satu sudut, ketika promosi jualan murah itu adalah masa paling sesuai untuk membeli kerana memberi potongan menarik. Namun, jangan pula pengguna terperangkap dengan jerat jualan murah.

Bukan semua promosi ditawarkan benar-benar menguntungkan. Dalam banyak keadaan jualan murah hanyalah ‘topeng’ untuk memerangkap pengguna berbelanja lebih. Dalam keadaan lebih teruk, mungkin terbelit dengan hutang.

Tinjauan FAMILI ke sebuah pasar raya baru-baru ini, seorang jurujual mendedahkan produk jualan murah khususnya pakaian memang dihasilkan khusus untuk jualan murah, dengan menggunakan jenama asal, sesetengahnya stok lama.

“Produk jenama terkenal diskaun tidak pernah lebih daripada 20 peratus. Jika begitu keadaannya, penggunalah menjadi mangsa,” katanya.

Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata ramai pengguna tidak arif mengenai sesuatu promosi barangan dan mudah menjadi mangsa.

Katanya, produk biasa ‘dijadikan’ sasaran potongan harga murah ialah mengenai produk keperluan harian seperti baju, kasut, peralatan sekolah dan beg tangan.

“Sekiranya kita perhatikan, produk berjenama jarang sekali dijual murah pada promosi hujung tahun. Produk berjenama biasanya dijual murah hanya pada jualan penghabisan stok. Ini kerana bagi pengguna berpendapatan tinggi mereka biasanya lebih arif dengan produk ditawarkan,” katanya dihubungi, baru-baru ini.

Tarikan harga rendah

Mohd Yusof berkata, jualan murah juga dijadikan ‘gimik’ tarikan kepada orang ramai untuk membeli, contohnya peniaga mungkin menawarkan hanya 30 peratusproduk untuk jualan murah, sedangkan selebihnya adalah produk dengan harga biasa.

Bagi sesetengah pengguna, mereka akan mudah terpedaya dan terperangkap membeli barangan yang tiada potongan harga.

Malah, ada juga rangkaian pasar raya besar mengeluarkan katalog yang menawarkan pelbagai jenis barang khususnya untuk barangan dapur, makanan, lauk-pauk dan sayur-sayuran dengan harga murah.

“Malangnya, ada kalanya gambar dan produk produk ditawarkan dalam katalog tidak sama dengan yang ditawarkan di pasar raya. Tawaran juga berbeza. Ada menawarkan belian atas belian atau berbelanja sekian banyak untuk mendapatkan cabutan bertuah dan sebagainya.

“Oleh itu, pengguna juga perlu pastikan ketika membayar di kaunter, jumlah perlu pengguna bayar adalah pada harga yang sudah diberi diskaun. Ini kerana ramai pengguna hanya perasan mengenai harga dibayar bukan harga potongan adalah ketika sudah sampai ke rumah.

“Kalau ingin menuntut kembali di pasar raya itu mungkin pengguna malas kerana banyak kerenah. Semua itu perlu pengguna ambil tahu kerana kadangkala sebagai pengguna kita tidak sedar terutama jika membeli dalam kuantiti yang banyak,” katanya.

Hak pengguna

Mengulas mengenai aspek perundangan, Mohd Yusof berkata sesebuah premis tidak boleh menawarkan potongan harga sesuka hati, sebaliknya perlu mendapat kelulusan mengadakan promosi jualan murah dengan 70 peratus daripada produk dalam premis ditawarkan diberikan potongan harga.

Satu notis akan dikeluarkan kepada peniaga dan perlu dipamerkan kepada umum. Sekiranya tidak memenuhi syarat, peniaga boleh dikenakan tindakan.

“Kalau pengguna rasa tertipu, mereka boleh membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Menerusi aduan, pihak berkenaan akan ke premis berkenaan dan mereka akan membuat perbandingan harga barangan dibeli pengguna itu untuk tempoh enam bulan sebelum pengadu membeli sesuatu produk ditawarkan sama ada harga dibeli pengadu, barangan diskaun sebaliknya,” katanya.

INFO

Elak terjerat

* Membuat senarai barangan perlu dibeli.

* Elakkan daripada membeli barangan tidak perlu.

* Pengguna perlu ‘patuh’ kepada senarai itu.

* Elakkan membeli di pasar raya besar, sebaliknya kedai biasa yang menawarkan produk khusus.

* Sekiranya ingin membeli baju sekolah, kunjungi kedai pakaian seragam bukannya pusat beli-belah untuk mengelak terjebak membeli produk lain yang memungkinkan pengguna berbelanja lebih.

* Aduan - Sebarang aduan pengguna boleh disalurkan kepada KPDNKK menerusi talian : 1-800-88-6800 atau Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional atau hubungi 03 7877 9000.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Jawab periksa guna bahasa SMS


Oleh :  Nik Nur Zakia Abdullah

DBP anggap petanda bahaya apabila pelajar guna dalam peperiksaan awam, IPT

Kota Bharu: Penggunaan bahasa ringkas atau Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) kini semakin membimbangkan apabila ia turut digunakan oleh pelajar dalam peperiksaan rasmi, termasuk di peringkat institusi pengajian tinggi.

Penemuan itu hasil kajian yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berhubung penggunaan bahasa ringkas yang memfokuskan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta pelajar universiti.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Awang Sariyan (kanan), berkata isu itu sudah menjadi petanda bahaya kepada pelajar kerana menjawab peperiksaan dengan perkataan singkatan sehingga sukar difahami pemeriksa.

Bahasa ringkas Katanya, kebanyakan pelajar tidak serius dalam penggunaan bahasa dan mereka tidak mementingkan susunan ayat yang betul kerana sudah biasa menggunakan bahasa ringkas dalam perbualan harian, termasuk SMS dan Facebook.

Banyak singkatan tidak difahami, makna berubah

“Justeru, penggunaan bahasa SMS ini memainkan satu bibit atau ragam bahasa bukan saja penggunaan bahasa sangat santai, tetapi banyak singkatan yang tidak difahami dan perubahan makna sangat ketara.

“Selain itu, kajian berkenaan turut mendapati ada pelajar yang menggunakan bahasa pasar seperti 'sedap gila’, 'laju gila’ dan sebagainya,” katanya di Majlis Perasmian Simposium Tun Syed Nasir Sempena Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 Peringkat Kelantan, di sini, semalam.

Masih terkawal

Awang bagaimanapun berkata, penggunaan bahasa SMS itu masih lagi terkawal, tetapi perlu dilihat dalam konteks yang lebih serius kerana hal begitu sebenarnya mengganggu dan menjejaskan bahasa kebangsaan.

“Menghalang bahasa ringkas menular dalam urusan harian bukanlah mudah kerana dalam percakapan harian pun kita sudah menggunakan bahasa pasar dan sebagainya yang sedikit sebanyak mencalarkan imej bahasa ibunda.

“Kalau kita nak gunakan bahasa ringkas, tiada masalah, tetapi mesti digunakan dalam konteks yang sangat kecil. Jika kita menulis atau berhubung dalam konteks yang lebih umum, maknanya bahasa digunakan bersama orang awam hendaklah teratur dan terkawal,” katanya.

Awang berkata, dalam memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu sebagai benteng peradaban bangsa, semua peringkat masyarakat seharusnya berganding bahu supaya mutu penggunaan bahasa sentiasa terkawal.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PERKHIDMATAN AWAM : LHDN sudah buktikan cara betul kepimpinan, keprihatinan


Oleh : DR. AHMAD ZAKI ISMAIL

GAHNYA berita kejayaan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menjadi pengutip dana terunggul negara dengan angka baru memecah rekod yang dicipta pada tahun lepas, RM109.6 bilion. Sehingga ke tarikh ini, kutipan yang sudah direkod sudah menjangkau RM115 bilion dan dijangkakan menjangkau ke RM123 bilion dan ia sangat diyakini mampu dicapai.

Malah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga nampaknya sangat teruja dengan pencapaian itu sehingga berkongsi banyak pengalaman beliau bersama warga kerja LHDN menceritakan peranan LHDN semenjak dahulu dalam perkembangan ekonomi negara.

Banyak perincian dan peranan penting LHDN yang selama ini tidak begitu ketara sudah pun semakin jelas dan nyata kepada para pembaca yang meneliti butirannya secara ikhlas.

Membaca barisan demi barisan yang tercatat telah mengimbau pengalaman penulis berurusan dengan Lembaga ini yang selalunya menakutkan. Kerana sudah namanya pun 'lembaga' tentunya penampilan yang ditunjukkan selalu menimbulkan kegerunan kepada mereka yang pernah bertemu dengannya.

Aura kemesraan dan semangat membantu pelanggan amat terserlah dalam kalangan pegawai dan kakitangan LHDN dan para pembayar cukai tidak lagi dilayan seperti mana pesalah atau penjenayah. Mereka semua dilayani seperti rakan bestari, teman mencari rezeki dan kemesraan yang amat nyata. Sehingga terpacul sepotong ayat yang sangat molek kita jadikan teladan ketika berurusan dengan khalayak "sedangkan musuh pun mempunyai hak inikan pula pembayar cukai yang menyumbang kepada pembangunan negara" .

Menurut apa yang difahamkan bahawa LHDN berhasrat untuk memecahkan rekod kutipan tahun lepas beberapa kali, kerana bukan sahaja sudah mencapai angka kutipan yang serupa pada tahun ini tetapi sudah melebihinya dengan angka puluhan bilion lagi. Ini memang sangat luar biasa dan diluar jangka.

Lantas, tentu ada yang boleh kita pelajari bagaimana cara dan apa formula yang diguna pakai oleh LHDN sehingga sampai ke tahap ini. Mungkin juga banyak iktibar boleh dijadikan ikutan supaya kejayaan yang sama boleh diukir oleh pihak lain tanpa mengorbankan keselesaan dan kesejahteraan rakyat marhaen negara ini.

Perkara pertama yang paling ketara apabila melihat kepimpinan terkanan yang menerajui LHDN ketika ini dilihat terdiri daripada mereka yang sangat profesional dan prihatin. Ini kerana dalam proses rundingan untuk mencapai keputusan menang-menang dilihat mereka mampu menghayati konsep membantu pembayar cukai melaksanakan tanggungjawab mereka dan tidak semata-mata menjadi regulator yang hanya mencari kesalahan dan mengenakan tindakan semata-mata.

Pepatah yang diguna pakai amat menarik yakni 'jangan menyembelih angsa yang bertelur emas' kerana apabila ibu angsa mati, tentunya ia tidak berguna lagi.

Amat hebat impaknya jika diteliti pepatah mudah berkenaan dan alangkah indahnya jika institusi kewangan dan perbankan juga sudi mengaplikasikan pepatah ini dalam membantu para pelanggan mereka yang sedang menghadapi masalah. Bukan mencari jalan membuat untung segera dan menolak risiko hingga ke tahap sifar.

Ia bukan slogan semata-mata malah dibuktikan dengan Ketua Pegawai Eksekutif malah seluruh warga kerja LHDN membantu pembayar cukai untuk menunaikan tanggungjawab mereka dan mengelak malah cuba sedaya upaya tidak menyukarkan proses itu supaya pembayar merasa selesa dan LHDN mampu mencapai sasaran mereka.

Paling menarik apabila pegawai-pegawai tertinggi LHDN mengambil sikap komunikasi dua hala dan tidak hanya mereka sahaja yang benar. Setiap permasalahan yang dikemukakan diberi perhatian khusus meskipun berkaitan perkara yang remeh. Kerana seperti mana yang sedia dimaklumi tidak semua manusia mempunyai tahap intelektualisme yang sama. Sesetengah individu itu sukar memahami malah kadang kala menjengkelkan apabila terpaksa diterangkan secara berulang kali. Namun kesabaran mereka melayan kerenah berkenaan mencerminkan sikap profesionalisme dan kesabaran yang tinggi. Syabas sekali lagi.

Bagaimana agaknya satu revolusi telah berlaku dengan begitu pantas di LHDN setelah begitu lama sunyi selepas generasi Tan Sri Abu Bakar dan Datuk Hassan Ibrahim yang agak popular sebelum ini.

Rupa-rupanya pengurusan baru LHDN telah mengorak langkah dengan pendekatan baru yang sangat radikal tetapi praktikal dengan memperkenalkan perkongsian idea, pemikiran di luar kotak dan penerapan usaha Strategi Lautan Biru bagi melengkapkan transformasi badan pengutip dana utama negara berkenaan supaya roh perubahan bukan sahaja terpamer di atas kertas kerja atau wacana semata-mata tetapi dihayati oleh seluruh warga kerja mereka.

Tidak sia-sia LHDN meletakkan bos baru yang mempunyai gelaran Dr. dipangkal nama itu. Terdapat juga beberapa kepimpinan kanan mempunyai gelaran yang sama dan saling berusaha memperkukuhkan pencapaian LHDN setiap masa dengan pelbagai pendekatan yang sangat kreatif dan berinovasi.

Meskipun kadang-kala ada yang tidak bersetuju bahawa intelektualisme bukan penentu kejayaan tetapi sebenarnya merupakan satu daripada elemen terpenting kerana ilmu umpama suluh di malam kelam. Tentunya, semakin terang suluh semakin terang jalan dan mudah berurusan dan mudah mencari tujuan.

Apa yang menarik hasil daripada pengalaman berurusan dengan LHDN ini adalah pengajaran - tunduk tidak semestinya kalah, undur tidak semestinya rugi. Memang menjadi resam padi makin tunduk makin berisi.

Kalaulah semua jabatan dan agensi kerajaan di negara ini mengamalkan budaya yang serupa tentunya perkhidmatan awam negara kita akan menjadi sebuah tempat yang amat digemari rakyat untuk berurusan dengannya.

Seperti mana peniaga yang bijaksana, pelanggan mestilah diutamakan kerana tanpa pelanggan bagaimana kita mahu menjana keuntungan dan pendapatan. Malahan slogan pelanggan selalunya betul bukannya sekadar hiasan dinding tetapi sepatutnya perlu dihayati makna yang tersirat di sebaliknya.

Lantas, keampuhan modal insan yang dimiliki oleh sesebuah institusi dan organisasi itu perlu sentiasa diberi perhatian. Mereka perlu diasah, digilap dan diberikan peningkatan ilmu supaya mampu melaksanakan amanah yang diberi secara yang lebih kreatif.

Latihan yang berterusan, pendedahan dengan pelbagai pembaharuan serta teknologi tentu sangat membantu. Kerana asas pemodenan adalah memperkenalkan inovasi sebagaimana yang disarankan oleh Perdana Menteri melalui pelbagai wacana yang diperkenalkan lewat mutakhir kini. Ia mesti disambut segera oleh para pentadbir seluruh jabatan dan agensi kerana kita mahu mencapai tahap negara maju. Semuanya perlu bergerak pantas dengan mekanisme yang tepat serta jitu.

Kejayaan, keprihatinan dan daya kepimpinan yang ada di LHDN memang mengagumkan. Sebagai individu yang bergerak aktif dalam badan bukan kerajaan, penulis tabik kerana jarang berjumpa dengan situasi sebegini baik di pihak swasta - tentu lebih sukar di pihak awam.

Kepada para pemimpin negara dan pembuat dasar, diharapkan juga dapat melihat usaha-usaha LHDN ini sebagai sumbangan besar dan jika mungkin diberikan perhatian wajar supaya mereka turut menerima imbuhan hasil kerja keras yang berterusan. Usaha sihat ini akan menjadi dorongan kepada yang lain untuk sama-sama bersaing dalam menawarkan perkhidmatan yang lebih baik pada masa hadapan dan tentunya menggembirakan seluruh rakyat negara kita

PENULIS ialah Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/