Ahad, 29 Mac 2009

Dua Kematian Yang Mengejutkan...

Maksud Firman Allah S.W.T:

“dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.”
(Al A’raf : 34)

Demikianlah firman Allah S.W.T dalam Al- Quran tentang kematian. Hakikatnya setiap yang hidup pasti akan menghadapi kematian. Cuma tidak dapat dipastikan bilakah kita akan berhadapan dengannya. Yang penting sebagai insan yang beriman, kita bertanggungjawab untuk mempersiapkan diri kita bagi menghadapinya.

Pada hari Selasa 24 Mac yang lalu, sewaktu penulis berada di Temerloh, untuk menjalankan tanggungjawab yang ditetapkan oleh JPNP, penulis mendapat perkhabaran yang menyedihkan tentang kematian yang menimpa suami Cikgu Salmi salah seorang guru di SMKTPPTM. Khabarnya, mayat arwah ditemui di sebatang sungai tempat arwah pergi memancing, selepas dilaporkan tidak pulang beberapa hari.

Tidak sampai seminggu selepas itu, satu lagi peristiwa kematian berlaku. Kali ini melibatkan rakan guru BM yang berdedikasi, iaitu Cikgu Mohamad Loai Md Lor. Arwah menghembuskan nafas yang terakhir di Hospital Tengku Ampuan Hajah Afzan, pada malam tadi. Sepanjang hayatnya, beliau yang penulis kenali, amat aktif dalam aktiviti kebahasaan di peringkat Daerah Pekan. Kegigihan beliau untuk menuntut ilmu amat ketara apabila beliau yang sebelum itu mengajar di sekolah rendah akhirnya berjaya melanjutkan pengajiannya ke universiti walaupun dalam usia yang semakin meningkat. Setelah itu, beliau mengajar di beberapa buah sekolah menengah di daerah Pekan termasuk di SMK Paloh Hinai dan SMK Ahmad.

Takziah penulis ucapkan kepada keluarga yang ditinggalkan. Marilah sama-sama kita berdoa semoga roh kedua-dua mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh. Amin!

Sabtu, 28 Mac 2009

MENYELAMI MAKSUD YANG TERSIRAT (Siri1)



BERAT SAMA DIPIKUL RINGAN SAMA DIJINJING

Setiap ungkapan menarik atau peribahasa Melayu mempunyai maksud yang tersirat. Untuk siri pertama ini, saya cuba menyelami maksud peribahasa berat sama dipikul ringan sama dijinjing. Peribahasa ini bermaksud kerja yang berat akan menjadi ringan seandainya kita melaksanakannya secara muafakat.

Peribahasa ini meggambarkan semangat gotong-royong dan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat. Maksudnya, sebarang pekerjaan , sama ada berat mahupun ringan, dikerjakan bersama-sama. Amalan gotong – royong sememangnya telah diamalkan oleh masyarakat Melayu sejak turun-temurun. Sebagai contoh, sewaktu mengerjakan sawah bendang, sejak mula mencangkul, menyemai, mengubah hinggalah menuai , mereka bergotong-royong atau bertolong-tolongan antara satu sama lain. Dengan cara demikian, kerja yang berat dapat diringankan. Mungkin dari sinilah orang tua-tua dahulu mencipta peribahasa ini.

Semangat bertolong-tolongan seumpama ini elok disemaikan dan digalakkan dalam kalangan penduduk-penduduk kota atau bandar yang pada umumnya berbilang kaum. Dengan mempraktikkan semangat bergotong – royong, bukan sahaja kerja-kerja yang berat dapat diringankan, malah perbelanjaan juga dapat dikurangkan selain dapat memupuk muhibah dan perpaduan.

Jumaat, 27 Mac 2009

CIRI - CIRI PENULISAN BERKESAN

DEFINISI PENULISAN:

Penulisan ialah satu proses yang melibatkan penyusunan dan pembentangan idea-idea oleh penulis tentang sesuatu isu untuk dipersembahkan kepada pembaca. Setiap idea yang disampaikan itu hendaklah jelas maksudnya iaitu berkemampuan menyalurkan idea kepada pembaca, menerusi penggunaan bahasa yang tepat dan berkeupayaan menggunakan teknik penulisan yang sesuai

CIRI – CIRI PENULISAN BERKESAN:

Karya bermutu dan dikagumi khalayak biasanya diciri oleh kriteria berikut:

a. Mengemukakan persoalan yang menjadi isu besar pada satu masa atau zaman
b. Ciptaan yang unik berasaskan stail atau gaya persembahan pengkarya
c. Dapat menyentuh pemikiran, perasaan, dan membuka minda pembaca atau
khalayaknya
d. Mengandungi falsafah yang menyentuh soal kehidupan, nilai kemanusiaan
serta mencabar hukum/ peraturan dan nilai yang dipakai/ sedia ada
e. Mengandungi unsur hiburan dan pengajaran/ pendidikan yang bermutu tinggi
f. Mendatangkan reaksi tertentu dalam masyarakat, sesebuah organisasi atau
pemerintah.
g. Dapat menyelesaikan permasalahan umum, menjadi ikutan ramai dan
rujukan kepada cendekiawan.
h. Menggunakan bahasa (sebagai medium) yang bernas dan mempunyai
nilai-nilai estetika.
i. Memenangi pertandingan.
j. Menjadi polemik kebangsaan atau antarabangsa
k. Bersifat avant-garde ( baru dan progresif)

( Hamzah Ismail,Jabatan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa, UPSI, 2004)

KRITERIA PENULISAN CEMERLANG SPM:

Bagi memenuhi keperluan peperiksaan SPM, pelajar-pelajar perlu berusaha untuk menghasilkan penulisan cemerlang serta dapat memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan sebagaimana berikut:

PENULISAN BAHAGIAN A :

TEMA:
 Menepati tema & tugasan bahan rangsangan

BAHASA:
 Gramatis dari segi kata dan ayat
 Tanda baca betul dan tepat
 Ejaan mengikut Sistem Ejaan Rumi Baru
 Kosa kata luas dan tepat

WACANA:
 Lengkap
 Unsur bahasa bervariasi
 Menggunakan ungkapan yang menarik

IDEA:
 Relevan dengan tema & tugasan bahan rangsangan
 Dihuraikan dengan jelas dan matang


PENULISAN BAHAGIAN B :

 Kosa kata sangat luas dan tepat penggunaannya
 Struktur ayat pelbagai dan gramatis
 Ejaan dan tanda baca betul
 Laras bahasa yang sesuai
 Idea yang relevan, dihuraikan dengan jelas dan matang dan
disertakan contoh yang bersesuaian
 Pengolahan istimewa, sangat menarik dan berkesan
 Pemerengganan seimbang
 Wacana lengkap
 Wujud pertautan idea yang jelas antara perenggan
 Terdapat penggunaan unsur bahasa yang bervariasi
 Terdapat penggunaan ungkapan menarik
 Kesalahan tatabahasa tidak ketara

DILEMA GURU DALAM MENDISIPLINKAN PELAJAR

Profesion perguruan merupakan profesion yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan untuk melahirkan rakyat masa hadapan yang serba canggih sebagai jentera penggerak negara. Tanggungjawab profesion perguruan menjadi semakin berat kerana rakyat masa hadapan yang hendak dihasilkan itu bukan sahaja perlu diterapkan dengan pelbagai ilmu pengetahuan tetapi perlu juga diseimbangkan dengan nilai sosial yang baik dari segi moral dan etika yang murni. Oleh yang demikian, disiplin dalam bentuk formal perlu dirangka di sekolah-sekolah.

Namun begitu, dalam kerangka merealisasikan niat murni pihak sekolah ini, guru terpaksa berhadapan dengan pelbagai risiko. Berita segelintir mereka memukul murid sering menjadi bahan berita sensasi pihak media tetapi apabila pihak media dan masyarakat bersimpati dengan mereka, kereta mereka pula yang dirosakkan oleh pelajar. Jelas sekali gurulah yang lebih rela memikul tanggungjawab mendisiplinkan murid, lantas menghadapi pelbagai risiko keganasan pelajar. Layaknya mereka disanjung atas kesudian mereka bukan dikutuk sebagai pendera.

Justeru , semua pihak termasuk ibu bapa dan media perlulah bersikap lebih adil dan rasional apabila berhadapan dengan kes guru memukul anak mereka. Hakikatnya, tidak ada seorang guru pun yang mahu memukul muridnya sesuka hati tanpa sebarang sebab. Guru adalah pendidik dan berpendidikan. Mereka tahu kesan jika mereka memukul murid.

Sebagai langkah penyelesaiannya, profesion perguruan hendaklah diberikan pengiktirafan sejajar dengan tujuan dan objektif pendidikan semasa. Dalam hal ini, perlu diterima hakikat bahawa status profesion perguruan dan pengiktirafan masyarakat terhadap profesion itu adalah unsur terpenting menentukan keupayaan guru untuk merealisasikan tujuan dan objektif pendidikan.

Sehubungan dengan itu, ibu bapa harus sedar bahawa tugas guru bukan sekadar memberikan ilmu pengetahuan dan mendidik. Lebih dari itu, mereka bertanggungjawab mendisiplinkan para pelajar, satu proses pembudayaan yang jarang diterima pelajar sewaktu di rumah.

Khamis, 26 Mac 2009

MAKLUMAN UNTUK AHLI MGC DAERAH KUANTAN

KEPUTUSAN MESYUARAT PEMANDUAN GC BIL 1/2009

Ahli Mesyuarat telah membincangkan dan memutuskan perkara yang berikut:

Persidangan GC tahun 2009
a) Persidangan GC tahun 2009, akan diadakan pada 21-24 Julai 2009
b) Tempat Persidangan kemungkinan Negeri Terengganu atau Negeri Sembilan
c) Kertas sidang selari sebanyak 16 buah. Tiga sidang pleno ( Singapura, Indonesia, dan Brunei )
d) Kertas sidang selari mesti sampai ke tahap jurnal dan boleh diterbitkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia .Penulis akan diberi bimbingan penulisan kertas kerja ke tahap jurnal di RECSAM pada bulan Mac 2009.

Penglibatan Guru Cemerlang Di Luar Sekolah
a) GC hendaklah merujuk Buku Terma GC berkenaan bilangan hari yang dibenarkan
membuat kerja di luar sekolah
b) Dicadangan agar dalam seminggu sehari, GC yang dikenalpasti dikosongkan jadual waktunya supaya dapat memberi sumbangan kepada pihak lain . Ini dilakukan supaya kelas GC tersebut tidak tertinggal.
c) Walaupun GC sering terlibat kerja di luar sekolah didapati kelas GC tersebut masih lebih baik daripada kelas yang lain dan sukatan pelajaran dapat dicakupi dengan baik.

Penubuhan Pakar Runding Guru Cemerlang Mata pelajaran
a) Dapat mengelakkan guru yang sama terlibat dengan bahagian KPM telalu kerap.
b) Menerbitkan modul P&P untuk kegunaan semua pelajar di Malaysia dan seterusnya
memuatkan modul-modul tersebuat dalam blog-blog GC.
c) 15 mata pelajaran telah dikenal pasti sebagai projek rintis dan setiap mata pelajaran akan dikendalikan oleh 5 orang GC di peringkat Kebangsaan.
d) GC yang tidak terlibat di peringkat kebangsaan boleh menyalurkan modul-modul mereka melalui blog-blog MGC negeri masing-masing.

Hal-hal lain
a) Bilangan GC pada tarikh 6 Febuari 2009 adalah seramai 9734 orang . Semua Kuota telah dipenuhi.
b) Guru - guru baharu yang berminat menjadi GC hendaklah menunggu iklan kerana kuota
telah dipenuhi dan kuota baru telah dikemukakan kepada pihak JPA.
c) GC DG 48 dan GC 32 lantikan Bahagian Sekolah akan mengikuti Orientasi Ala BTN mulai MAC 2009 mengikut Zon.

(Sedutan daripada Laman Web MGC Malaysia bertarikh 8 FEBRUARI 2009)

Rabu, 25 Mac 2009

BAHASA JIWA BANGSA

BAHASA JIWA BANGSA

Gunakanlah Bahasa Kebangsaan Kita
Marilah Amalkan Ramai-ramai
Bahasalah Menyatukan Kita Semua
Yakinlah Bahasa Jiwa Bangsa

Marilah Mari Rakyat Semua
Buktikan Taat Setia dengan Satu Bahasa
Maju Bangsa dan Maju Negara
Megahkan Bahasa Kita
Bahasa Jiwa Bangsa

Lagu/Lirik: Dol Ramli

Lagu ini sering dikumandangkan setiap kali kita menyambut Bulan Bahasa Kebangsaan. Senikata lagu ini perlu kita hayati dan sengaja saya muatkan untuk membangkitkan semula nostalgia kita akan kepentingan bahasa Melayu yang menjadi jiwa bangsa Malaysia, negara tercinta. Semarakkan semangat perjuangan memartabatkan bahasa kita setiap masa."BAHASA JIWA BANGSA".

Selasa, 24 Mac 2009

TERATAK ZA'BA : MEMORABILIA PEJUANG BAHASA


Tanggal 22 Mac yang lalu, dalam perjalanan menghantar anakanda Hanif untuk mendaftar di Sekolah Menengah Sains Seremban, penulis bersama-sama keluarga telah sempat singgah di Teratak Za,ba, yang terletak di Kampong Bukit Kerdas, Batu Kikir, Jempol, Daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Dalam hayatnya, Pendeta Za'ba( Zainal Abidin Bin Ahmad)sangat dihormati sebagai seorang pakar bahasa, pujangga dan seorang yang tahu bahasa Arab dan Agama Islam. Dalam usaha Za'ba untuk meninggikan taraf bahasa Melayu yang dianggap sebagai wajib diketahui oleh semua orang Melayu, Za'ba telah memberi perhatian yang tidak putus-putus kepada aspek ini. Hal ini dapat dikesan semenjak tahun 1916 lagi dan berakhir bersama hayatnya sendiri pada tahun 1973. Cita-cita Za'ba untuk menghasilkan sebuah kitab mengenai bahasa Melayu sejak berpuluh-puluh tahun yang lampau tercapai dengan terbitnya buku-buku 'Pelita Bahasa Melayu' I, II, III pada tahun 1949.

Pada peringkat pertama, 1916 - 1920, Za'ba telah banyak memperkatakan tentang kelemahan bahasa Melayu dan memberi pendapat-pendapat untuk membaikinya. Pada peringkat kedua Za'ba memulakan penulisannya mengenai bahasa Melayu dengan serius lagi dengan menerbitkan buku-buku mengenainya, walaupun usaha murninya itu telah mendapat halangan. Pada peringkat ketiga terhasillah karya Za'ba yang sebenarnya mengenai bahasa Melayu, iaitu Tatabahasa Melayu yang lengkap pada zamannya. Pengaruh tatabahasa Za'ba ini amat besar sekali terhadap pelajaran dan pengajian bahasa Melayu di Tanah Melayu.