Rabu, 24 Jun 2009

PESANAN KEPADA MAHASISWA

Oleh MOHAMMAD ISMAIL dan
DR. SHAIFUL ANNUAR KHALID

SEJUMLAH 128,295 tempat untuk kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), politeknik dan kolej komuniti bagi sesi Julai 2009 ditawarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi. Jumlah tersebut bersamaan dengan 32 peratus daripada sejumlah 400,996 permohonan bagi mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda, program diploma dan sijil.

Ini bermakna 68 peratus atau 272,701 calon yang gagal mendapat tempat perlu mencari alternatif lain seperti kolej swasta atau mencuba nasib mencari pekerjaan.

Lazimnya dalam saat begini, ibu bapa adalah orang yang paling sibuk menguruskan persiapan anak-anak untuk mendaftar di universiti. Tiada kata yang boleh digambarkan mengenai betapa gembiranya mereka apabila mendapat surat tawaran kemasukan anak ke universiti. Kalau boleh mahu dicanangkan ke seluruh kampung atau daerah.

Begitulah gambaran perasaan gembira ibu bapa. Mereka sanggup bergolok-gadai malah sanggup menyewa kereta untuk menghantar anak-anak ke universiti.

Kebiasaannya di kampung-kampung atau di mana sahaja, ada diadakan juga majlis kesyukuran dan sembahyang hajat untuk menzahirkan kesyukuran. Namun dalam kegembiraan tersebut, kami sekadar ingin mengingatkan bakal mahasiswa di menara gading.

Sebagai bakal mahasiswa dan seorang anak, anda pastinya memikul tanggungjawab yang besar. Satu perkara yang perlu selalu bermain dikotak fikiran anda ialah mengimbangi antara matlamat diri, tanggungjawab dan amanah keluarga.

Antara perkara yang perlu diberi perhatian apabila secara rasminya menjadi warga kampus yang akan dipanggil siswa dan siswi universiti ialah seperti berikut.

Utamakan cita-cita bukannya cinta

Walaupun cinta itu akan hadir dalam setiap diri manusia terutama golongan remaja, namun anda perlu ingat, apa yang perlu diutamakan. Jika kita mencapai cita-cita dengan kejayaan nescaya cinta juga akan dinikmati dalam masa yang sama atau bakal datang kepada anda.

Jangan kerana terlalu asyik berjumpa 'rakan baru', kita menjadi 'kelabu mata' sehingga lupa cita-cita yang menjadi matlamat asal.

Hapuskan sindrom backbenchers club

Satu sindrom yang menular di kalangan sebahagian pelajar universiti ialah berlumba-lumba datang awal ke kelas. Tetapi bukan untuk duduk di barisan depan sebaliknya berebut-rebut mengisi kerusi di belakang.

Jika anda ingin menumpukan perhatian kepada syarahan, rebutlah kesempatan untuk mengisi ruang di depan kerana penyampaian pensyarah akan dapat dicerap dengan lebih jelas dan tepat jika anda berada lebih hampir dengan beliau.

Jauhi perangai musang, siang mengantuk malam berjaga

Satu tabiat yang agak biasa di kalangan pelajar adalah bersembang dengan rakan-rakan sehingga lewat malam. Tidak cukup dengan itu terdapat juga segelintir yang menyambung tugas untuk 'berperang' atau 'mengatur strategi' dengan bermain permainan komputer.

Akibatnya pasti ada yang terbabas untuk mengikuti kelas di waktu pagi dan ada juga yang "mengangguk-angguk" ketika di dalam kelas. Bukan kerana faham apa yang diajar tetapi mengantuk.

Antara resipi kejayaan seseorang pelajar universiti adalah mereka yang dapat mengikuti setiap syarahan dengan baik dan juga dapat memberi tumpuan ketika di dalam kelas. Kajian menunjukkan pelajar yang berjaga malam gagal mendapat keputusan CGPA yang tinggi.

Sentiasa menjadi rider bukannya passenger

Satu fenomena sejak dulu lagi ialah setiap kali tugasan diberi untuk dibuat pembentangan dan laporan pasti ada yang mengelak. Ramai yang mahu mengambil jawatan sebagai 'penumpang'.

Sebagai mahasiswa alaf baru, fenomena ini perlu diubah kerana seseorang yang berjaya, berkarisma, berketerampilan adalah terdiri dari golongan mahasiswa yang sentiasa menjadi pemimpin atau rider dan bukannya passenger.

Untuk menjadi pemimpin yang hebat di masa depan kita mesti mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang tinggi dan universiti adalah platform yang terbaik untuk mengasah kilauan bakat untuk membuktikan anda adalah pemimpin masa depan.

Bina hubungan positif dengan pensyarah dan rakan-rakan

Jika kita membaca dan mengkaji antara resipi kecemerlangan seseorang pelajar ialah sentiasa berbincang dengan rakan sekelas melalui kumpulan belajar. Sebaik-baiknya tidak melebihi lima orang.

Selain daripada itu perbincangan dengan pensyarah juga akan membantu kejayaan kerana pensyarah itulah yang akan memeriksa kertas jawapan peperiksaan.

Oleh itu penting untuk mengetahui dan menyelidik tentang kehendak sesuatu soalan serta cara menjawab. Anda tidak boleh menyusuri kampus seorang diri untuk berjaya sebaliknya perlu berbincang dengan rakan dan pensyarah.

Setelah menjalani kehidupan di kampus nanti jangan lupa sekali-sekala bertanya khabar ayah dan ibu. Jangan hanya menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) sekadar untuk meminta bantuan tambahan apabila poket hampir kosong. Sedikit pesanan di atas sekadar mengingatkan bakal mahasiswa agar anda tidak 'menghadiri konvokesyen' lebih awal daripada rakan-rakan seperti buah yang gugur sebelum waktunya.

Mengikut statistik, sejumlah 4,800 daripada jumlah kemasukan pelajar setiap tahun gagal menamatkan pengajian atau diberhentikan daripada IPTA sepanjang tempoh 2005 hingga 2008. Walaupun jumlah tersebut dianggap sedikit tetapi ia masih merupakan satu amaran yang jelas kepada anda semua bahawa ramai yang berkorban dan bergantung harap untuk memastikan kejayaan anda terutama ayah dan ibu, saudara-mara dan sahabat-handai.

Kegagalan anda juga merupakan satu kerugian yang besar kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Walaupun negara menghadapi krisis ekonomi namun kerajaan terus komited daripada segi penyediaan bantuan kewangan apabila sejumlah RM3 bilion diperuntukan menerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional.

Namun begitu, kita percaya dalam diri setiap bakal mahasiswa tidak terlintas akan istilah kegagalan. Bagaimanapun, sedikit kealpaan dan kelalaian akan menghanyutkan anda ke arus kekecewaan.

Seseorang pelajar yang menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian di IPTA perlu bermuhasabah diri. Anda perlu menganggap bahawa tawaran tersebut biarpun mungkin bukan pilihan utama tetapi adalah peluang keemasan yang datang sekali seumur hidup.

Oleh kerana masih ramai yang gagal mendapat tempat, hargailah peluang tersebut dengan sebaik mungkin untuk mengangkat taraf hidup diri dan keluarga. Anda perlu sedar akan peranan dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Untuk berjaya anda perlu bersedia untuk berkorban, menetapkan matlamat hidup yang jelas, pandai mengurus masa dan pandai membawa diri.

Ibarat pepatah Melayu "adat periuk berkerak, adat lesung berdedak". Untuk berjaya juga pelajar IPTA perlu tabah dan rajin. Jadilah sebagai seorang graduan nanti yang "dicampak ke laut menjadi pulau, dicampak ke darat menjadi pepohon yang merendang dan dicampak ke angkasa menjadi bintang yang menyinar". Sekalung tahniah buat yang berjaya!

KEDUA-DUA PENULIS ialah pensyarah dan Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara, Perlis.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

AWASI KESAN H1N1 TERHADAP SEKTOR EKONOMI NEGARA

PEPATAH "Mencegah lebih baik daripada mengubati" merupakan pendekatan terbaik yang perlu diambil dalam menangani krisis wabak selesema babi atau influenza A (H1N1). Ini kerana apa yang berlaku bukan hanya akan memakan korban tetapi juga menjejaskan perkembangan sektor ekonomi tertentu negara.

Pada ketika ini, banyak pihak melihat kerajaan masih lagi bertindak agak perlahan dalam menanganinya di sebalik pelbagai langkah yang dilakukan.

Persepsi negatif ini perlu ditangani segera untuk meningkatkan keyakinan orang ramai bahawa perkara seumpama itu tidak berlaku. Dan kita juga minta rakyat memberi kerjasama supaya angka mereka yang disyaki dijangkiti dikurangkan, sekali gus mengelakkan korban.

Bagaimanapun tindakan kerajaan yang agak perlahan mungkin dipengaruhi oleh kebimbangan bahawa sebarang usaha lebih agresif akan membawa kepada kemungkinan berlaku "panik yang keterlaluan" di kalangan orang ramai.

Namun begitu, kebimbangan di peringkat kerajaan tidak seharusnya berlaku kerana minda orang ramai perlu disediakan untuk menghadapi keadaan terburuk sambil mengharapkan yang terbaik akan berlaku.

Pada masa ini, kita dapat melihat bilangan mereka yang benar-benar serius mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengatasi merebaknya wabak selesema burung masih belum ketara. Kita tidak harus melihat kepada langkah yang diambil di sekolah-sekolah sahaja tetapi juga di tempat-tempat awam yang mana wabak sedemikian mudah merebak.

Langkah-langkah yang lebih meyakinkan dan drastik perlu dilaksanakan kerana kita tidak ingin melihat penularan yang masih di peringkat kecil akan merebak sehingga ke peringkat sektor awam dan swasta termasuk kilang-kilang.

Penularan ini lebih berbahaya berbanding ketika berlakunya selesema burung yang hanya menyebabkan haiwan sahaja terpaksa dihapuskan.

Tetapi jika wabak ini merebak ke dalam sektor ekonomi tertentu, ia bakal memaksa sektor itu ditutup dalam usaha untuk mengelak berlakunya keadaan yang lebih buruk.

Meletusnya kejadian seumpama itu bukan hanya menjejaskan kegiatan ekonomi tetapi juga boleh menyebabkan negara lumpuh lalu terjerumus dalam jurang kemelesetan yang lebih panjang.

Perangkaan yang ada telah pun mengunjurkan penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara empat hingga lima peratus pada tahun ini.

Kita juga perlu sedar keupayaan mengekang wabak selesema burung tidak boleh menyebabkan semua pihak menjadi terlalu leka dan berasa selesa bahawa wabak H1N1 yang baru muncul ini tidak akan menjadi masalah berlanjutan.

Biarpun implikasinya kepada Malaysia tidak ketara, semua pihak harus berwaspada.

Berdasarkan perangkaan, wabak selesema burung yang berlaku sebelum ini telah mengakibatkan kerugian ekonomi berjumlah AS$5.4 bilion (RM18.9 bilion) kepada ekonomi sejagat dalam tempoh setahun sahaja.

Negara-negara yang baru-baru ini terjejas akibat H1N1 secara terkumpul telah mengalami kerugian AS$8 bilion (RM28 bilion) hingga AS$12 bilion (RM42 bilion).

Jika dilihat kepada perangkaan itu, nasib tidak akan menyebelahi kita sekiranya gagal mengambil langkah-langkah berani dan juga tidak popular dalam menghadapi wabak ini.

Kita tidak seharusnya bersikap "sudah terhantuk, baru mahu tengadah" kerana ketika itu segala-galanya sudah pun terlambat.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Isnin, 22 Jun 2009

KURANGKAN KELESUAN BAPA

Oleh NURUL ANUAR KARI
kesihatan@utusan.com.my


BERCUTI bersama keluarga membolehkan bapa berehat dan mengurangkan tahap kelesuan yang teruk.

"KASIH ibu membawa ke syurga, kasih bapa sementara ada." Dalam semua bentuk bahasa, minda dan perilaku, seorang ibu itu sememangnya diletakkan lebih tinggi daripada seorang bapa.

Ini pasti tiada bangkangan dari mana-mana lelaki mahupun wanita yang penah menerima belaian kasih seorang ibu. Namun, tidak pula diabaikan kedudukan bapa, diambil mudah atau tidak dihargai, selagi ada. Walaupun kedudukan ibu yang penuh kasih sayang, lemah lembut dan budi bahasa diutamakan, seorang bapa sebagai penaung dan pemimpin amat penting dalam sebuah keluarga.

Tanpa bapa, bukan sahaja seorang ibu perlu bergantung kepada diri sendiri, anak juga kehilangan bimbingan seorang lelaki dewasa ketika membesar. Pengaruh lelaki dewasa dalam sebuah keluarga juga boleh menentukan hala tuju dan pencapaian anak kelak, yang akan berterusan kepada generasi-generasi berikutnya.

Tegar yang rapuh

Sebagai seorang anak, sejauh mana anda boleh menerima ketiadaan seorang bapa? Sebagai seorang bapa pula, sanggupkah anda meninggalkan keluarga, terutamanya anak-anak?

Memang diperakui terdapat banyak kelemahan di kalangan lelaki, tetapi ini tidak bermakna semua lelaki (bapa) akan sengaja menyerah kalah dalam menjalankan tanggungjawab mereka. Di sebalik agam ego seorang lelaki, hati seorang bapa sama lembutnya berbanding seorang ibu. Di sebalik keutuhan azam dan pendirian, seorang bapa sebenarnya begitu mudah layu dan binasa.

Dunia sebenarnya kekurangan lelaki dan ini jelas dalam perangkaan kasar beberapa pihak sebelum ini yang mendakwa terdapat antara tujuh hingga 17 wanita bagi setiap lelaki.

"Tidak sejauh itu!" Pakar Perunding Perubatan dan Gastroenterologi, Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr. Abdul Malik Jamal Buhari menolak anggaran tersebut tetapi mengakui terdapat lebih ramai wanita berbanding lelaki.

"Kebiasaannya, bilangan lelaki memang lebih sedikit berbanding wanita tetapi ini mengikut negara dan kawasan tertentu.

"Negara seperti China dan India mungkin mempunyai lebih ramai lelaki memandangkan pemilihan jantina oleh ibu bapa," katanya.

Di China, ini jelas berlaku akibat undang-undang yang menetapkan bilangan anak dalam keluarga sementara di India, ia melibatkan tenaga kerja dan aturan perkahwinan.

"Di India, anak lelaki dapat mengerjakan ladang. Anak perempuan pula perlu memberi hantaran perkahwinan kepada pihak lelaki," jelas Dr. Abdul Malik.

Faktor-faktor sebegini telah menyebabkan ramai bayi perempuan digugurkan, seterusnya membawa kepada bilangan lelaki yang lebih tinggi. Di Malaysia pula, pemilihan jantina tidak begitu ketara dan boleh dikatakan tiada pemilihan memandangkan pasangan di negara ini tiada kekangan dan gembira menerima apa jua jantina cahaya mata.

"Nisbah lelaki dan wanita di negara ini juga tidak setinggi yang didakwa. Anggaran kasar mungkin terdapat sekitar 980 orang lelaki bagi setiap 1,000 wanita.

"Bagi India dan China pula, mungkin sekitar 1,200 lelaki untuk setiap 1,000 wanita," dakwanya.

Namun, perbezaan bilangan lelaki dan wanita juga bukan hanya berkait dengan kadar kelahiran. Aktiviti, pekerjaan dan jangka hayat juga memainkan peranan besar dalam menentukan nisbah bilangan ini. Dari sebelum merdeka, kini dan juga anggaran masa depan, jangka hayat lelaki sentiasa di belakang jangka hayat seorang wanita. Buat masa ini, lelaki dijangka dapat hidup sehingga umur 72 tahun sementara wanita melebihi 76 tahun. Menjelang 2020 pula, lelaki dijangka dapat hidup melebihi 75 tahun sementara wanita melebihi 80 tahun.

Secara mudahnya, anda hampir pasti kehilangan bapa sebelum kehilangan ibu, bersesuaian dengan peribahasa 'kasih bapa sementara ada'.

Mencari maut

Mengapa jangka hayat lelaki lebih pendek, atau dalam konteks ini, nyawa bapa lebih pendek dari ibu?

Kerana leteran? Letih membawa barang isteri membeli belah? Atau mungkin juga patah hati kerana kurang mendapat kasih dan perhatian isteri serta anak-anak?

Bagi sesetengah bapa, ada yang mencari maut sendiri. Rokok menjadi antara punca utama ramai anak kehilangan bapa, ramai isteri kehilangan suami.

"Bronkitis kronik dan kanser paru-paru banyak berlaku di kalangan lelaki di negara ini, kebanyakannya akibat rokok.

"Lelaki juga diancam masalah kanser prostat, kanser testis dan masalah mati pucuk, yang menambahkan tekanan fizikal badan kepada tekanan mental yang sudah membelenggu," kata Dr. Abdul Malik.

Lelaki juga sebenarnya malas berjumpa doktor berbanding wanita! Ini mendedahkan mereka kepada ancaman bermacam jenis penyakit, kronik atau yang berjangkit.

"Rokok turut membawa kepada serangan jantung, masalah paru-paru, kematian mengejut dan juga kanser!"

Dari segi pekerjaan pula, lebih banyak lelaki diamanahkan dengan pekerjaan berbahaya seperti buruh binaan, polis, tentera, bomba dan pengurusan mesin berat. Dari rokok, jangka hayat hingga ke pekerjaan, risiko maut lebih tinggi pada lelaki. Jika ditambah dengan gaya hidup tidak sihat, semakin pupuslah jantina ini, bersamanya gelaran bapa kepada ramai anak bangsa.

Dr. Abdul Malik bersetuju golongan lelaki juga banyak menghadapi kesukaran hidup, dari tanggungjawab terhadap keluarga hingga ke tanggungjawab terhadap tugas kerja.

"Hidup lelaki tidak kurang kesukarannya. Lelaki (bapa) biasa akan keluar mencari rezeki untuk keluarga.

"Kerja di luar mendedahkan mereka kepada bahaya jangkitan penyakit dan juga kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja," dakwanya.

Tambahnya, dengan timbunan beban kerja dan memikirkan keperluan keluarga, lelaki begitu mudah mengalami tekanan fizikal dan mental.

Keperluan barangan rumah dan dapur, keperluan anak, keperluan sekolah serta duit belanja anak dan isteri, mungkin juga duit untuk isteri membeli belah.

Semua ini menjadi tanggungjawab lelaki sebagai suami dan bapa untuk menyediakan kemudahan dan perlindungan untuk keluarga. Tinggi tekanannya!

Hargai selagi ada

Semua orang menghadapi tekanan dalam hidup seharian. Ibu, bapa, anak, tidak mengira jantina atau umur.

Namun, tahap dan bentuk tekanan atau stres berbeza mengikut umur, jantina mahupun antara individu.

Para ibu dan wanita mempunyai cara-cara tersendiri melepaskan tekanan di rumah, menjaga anak ataupun tekanan kerja. Membeli-belah, berjalan-jalan, berbual dan sebagainya.

Lelaki, terutamanya golongan bapa pula tidak menghilangkan tekanan dengan cara sama. Cara wanita mungkin hanya menambah tekanan kepada lelaki.

Jika timbunan tekanan bertambah, seseorang itu mungkin mencapai tahap sindrom kelesuan terlampau (burn-out).

"Pada tahap kelesuan maksimum ini, seseorang itu akan kehilangan segala keghairahan hidup termasuklah minat terhadap kerja, rumah dan persekitaran (mahupun orang tersayang).

"Seperti kemurungan, mereka yang kelesuan ini hilang minat kepada hidup seharian. Doktor dan pekerja bidang lain juga boleh mengalaminya," dedah Dr. Abdul Malik.

Tidak kurang juga yang rendah syahwatnya (libido) dan menghadapi kesukaran untuk hamil akibat sindrom ini! Masalah ini sekurang-kurangnya menjelaskan sedikit dakwaan lelaki tidak berminat kepada urusan rumah tangga.

"Jika lelaki (bapa) tidak pedulikan keluarga, mereka tidak akan pergi bekerja untuk mencari rezeki bagi menyara anak dan isteri," tegas Dr. Abdul Malik.

Namun, memang terdapat contoh lelaki yang tidak mempedulikan keluarga. Mereka menghabiskan masa dalam keadaan mabuk, menyuruh isteri bekerja dan merampas duit isteri untuk terus membeli arak.

Ini merujuk kepada sebilangan kecil yang kurang waras mindanya!

Jangan kerana nila setitik itu semua lelaki, terutamanya bapa yang telah banyak berkorban untuk keluarga menerima tempias sehingga terpaksa menghabiskan sisa hidup terbiar di hujung pandangan mata.

Cuti-cuti

Legakan tekanan hidup! Stres adalah sesuatu yang perlu untuk kita memajukan diri, tetapi jika tidak dapat dihadapi dan ditangani, tekanan itu pasti memudaratkan.

"Kita tidak mahu menghilangkan semua tekanan kerana ada tekanan yang baik untuk hidup.

"Tapi, jika tekanan berlebihan dapat dikawal, bukan sahaja risiko penyakit dan kematian dapat dikurangkan, malahan dapat mengelakkan masalah mental!"

Tambah Dr. Abdul Malik, kawalan tekanan hidup dapat mengurangkan ketegangan otot, keresahan dan juga meningkatkan kualiti tidur. Tentu ramai yang tidak sedar betapa kualiti tidur menjejaskan mental dan fizikal badan.

Untuk itu, pengurusan masa menjadi faktor utama. Manusia tidak akan mempunyai cukup masa untuk melakukan segala-galanya, tetapi kebanyakan tugas penting dapat diselesaikan jika masa diperuntukkan sewajarnya.

Jika berkejar ke pejabat, hanya akan membuat diri tertekan. Semua gara-gara gagal bangun awal. Lambat, terperangkap kesesakan lalu lintas dan seterusnya menyumpah orang lain hanya menambah lagi tekanan yang dihadapi.

Tetapkan hari untuk kerja, masa untuk tugas rumah dan juga hari untuk cuti. Jika Sabtu dijadikan hari membeli barang keperluan, Ahad pula masa untuk berehat bersama keluarga.

"Perbanyakkan humor (kelucuan) dan gelak tawa dalam hidup. Agama dan kerohanian juga membantu!

"Khusyuk dalam sembahyang dapat mengasingkan minda, fokus kepada Allah, lupakan seketika apa yang berlaku di persekitaran dan merehatkan otak!"

Dr. Abdul Malik menambah, langkah-langkah ketika sembahyang juga menjadi satu senaman yang dapat mengurangkan tekanan mental dan fizikal.

Dalam mengelakkan kelesuan terlampau, apa yang paling sesuai adalah mengambil masa berehat dan bercuti bagi merehatkan badan dan minda, beberapa kali dalam setahun.

"Jangan ambil mudah! Perlu cuti dan rehat dari masa ke semasa. Pergi mana-mana pun tak apa asalkan dapat lupakan kerja atau punca tekanan.

"Melawat keluarga di kampung juga dikira bercuti. Hilangkan stres, anda akan berasa lebih santai dan tenang selepas kembali," tegas Dr. Abdul Malik.

Walaupun seks mengurangkan tekanan, ianya hanya penyelesaian jangka pendek. Kesan sindrom kelesuan terlampau, syahwat lelaki mahupun wanita semakin rendah, mengurangkan aktiviti seksual. Pengurusan tekanan dengan baik adalah cara paling berkesan bagi mengelakkan kelesuan dalam jangka panjang.

"Dalam keadaan tenang, syahwat lebih tinggi! Pernah pasangan suami isteri yang bekerja tertekan kerana sukar hamil.

"Doktor mereka menasihatkan pasangan itu mengambil cuti panjang dan hasilnya, isteri tadi didapati hamil sekembalinya dari bercuti."

Dr. Abdul Malik menegaskan begitu pentingnya waktu rehat dan cuti sehinggakan dapat mengubah hidup seseorang. Selain itu, belaian isteri dan bermanja dengan anak-anak juga dapat mengurangkan tekanan dan juga kelesuan seorang bapa.

Selain menggalakkan para bapa berhenti merokok dan mengamalkan gaya hidup sihat, pastikan bapa berehat dan bercuti untuk mengurangkan tekanan.

Bagi seorang bapa, setiap aspek hidup keluarga menjadi keutamaan. Selesa, selamat dan bahagia! Bersama kurangkan kelesuan bapa, menjaga hayatnya selagi ada. Bagi para bapa, menjadi bapa yang disayangi dan dihormati adalah lebih baik daripada yang digeruni.


Sumber : http://www.utusan.com.my/

LALUAN KERJAYA PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN

SURAT bertajuk 'Antara Guru, Pegawai Kerajaan' dalam ruangan ini pada 1 Jun lalu dirujuk.

Laluan Kerjaya yang disediakan oleh kerajaan bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melalui urusan pemangkuan dan kenaikan pangkat adalah tersangat istimewa.

Terdapat sepuluh jenis Laluan Kenaikan Pangkat bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) yang merangkumi Laluan Hakiki, Cemerlang dan Time-Based, yang memberi peluang dan pilihan kepada PPPS untuk memilih Laluan Kerjaya masing-masing dengan tepat, terbaik dan menguntungkan mengikut kelayakan yang dimiliki.

- Urusan Pengisian Jawatan Kenaikan Pangkat Tingkatan Enam

Bagi pengisian jawatan kenaikan pangkat gred DG44 di sekolah-sekolah Tingkatan Enam, di bawah fasa 1, calon-calon ditawarkan pemangkuan dan penempatan di sekolah yang sama tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan termasuk lulus Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dan mempunyai opsyen yang sesuai dengan pakej mata pelajaran Tingkatan Enam yang ditawarkan oleh sekolah berkenaan.

Mereka yang tidak dapat ditempatkan di sekolah asal kerana jawatan dan mata pelajaran yang diajar dan opsyen telah diisi penuh akan ditawarkan penempatan untuk mengisi kekosongan jawatan dan kekosongan pakej mata pelajaran di sekolah-sekolah lain yang berhampiran di daerah yang sama atau daerah lain di negeri yang sama.

Jika masih terdapat kekosongan setelah fasa 1 dan fasa 2 dilaksanakan, permohonan dibuka kepada calon-calon yang mempunyai opsyen Tingkatan Enam atau pengalaman mengajar mata pelajaran Tingkatan Enam sekurang-kurangnya tiga tahun bersesuaian dengan pakej mata pelajaran Tingkatan Enam di sekolah berkenaan.

Bagi pengisian jawatan kenaikan pangkat gred DG44, calon yang dipertimbangkan perlu memenuhi syarat tempoh berkhidmat sekurang-kurangnya lima tahun.

Walau bagaimanapun bagi negeri-negeri yang mengalami masalah kekurangan calon, mereka yang mempunyai tempoh berkhidmat sekurang-kurangnya tiga tahun dipertimbangkan juga untuk mengisi jawatan kenaikan pangkat Tingkatan Enam.

Walau bagaimanapun, mereka akan terus memangku gred DG44 sehingga layak dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat ke gred DG44.

Manakala mereka yang memenuhi syarat tempoh berkhidmat lima tahun akan diperakukan untuk kenaikan pangkat ke gred DG44 setelah cukup tempoh memangku enam bulan dan syarat-syarat lain yang ditetapkan.

- Urusan Pengisian Kuota Guru Cemerlang

Bagi urusan Guru Cemerlang, proses pemangkuan Guru Cemerlang bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) Gred DGA32 (KUP) hingga Gred DGA38 (KUP) serta PPPS Gred DG44 (KUP) hingga Gred Khas C (KUP) bermula daripada permohonan calon yang diperaku oleh Ketua Jabatan masing-masing kepada Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK).

Setelah pemantauan dan penilaian dilaksanakan oleh JNJK, senarai calon-calon yang layak akan dikemukakan kepada Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM).

Tapisan seterusnya dilakukan di peringkat BPSM dengan mengambil kira calon-calon yang masih belum dinaikkan pangkat secara KUP ataupun hakiki ke gred yang dipohon serta memenuhi syarat-syarat pemangkuan yang telah ditetapkan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran (LKPPP).

Memandangkan proses pemangkuan Guru Cemerlang melibatkan pemantauan dan penilaian oleh JNJK, hanya calon-calon yang memenuhi syarat-syarat kenaikan pangkat akan dipertimbangkan bagi urusan pemangkuan berdasarkan kekosongan kuota yang ada.

Bagi guru-guru yang telah memohon laluan Guru Cemerlang pada tahun 2007 dan 2008, jumlah yang telah ditawarkan pemangkuan Guru Cemerlang bagi semua gred kenaikan pangkat PPPS adalah seramai 4,801 orang PPPS dan seramai 2,476 orang PPPLD telah ditawarkan pemangkuan ke Gred DGA32 (KUP) dan Gred DGA34 (KUP).

Walau bagaimanapun, pada 16 Mei 2009, Menteri Pelajaran telah mengumumkan kuota Guru Cemerlang bagi PPPS yang juga telah diperluaskan kepada guru-guru Gred DG44 dan Gred DG48 di sekolah rendah.

Pewujudan kuota baru bagi Guru Cemerlang Gred DGA38 (KUP) serta pertambahan kuota bagi Gred DGA34 (KUP) dan DGA32 (KUP) di sekolah rendah telah diumumkan melalui media massa pada 22 Mei 2009.

Sehubungan itu, iklan bagi mengisi kekosongan kuota Guru Cemerlang akan dikeluarkan dalam masa terdekat ini.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
Kementerian Pelajaran Malaysia

Sumber : http://www.utusan.com.my/

BAHAYA GULA

oleh Norlaila Hamima Jamaluddin

Sebenarnya semua orang, tidak kira kanak-kanak, remaja atau orang dewasa, tidak memerlukan gula. Gula hanya perisa yang mengandungi kalori tetapi tiada khasiat. Ia digunakan hanya untuk menaikkan rasa makanan dan sebagai mana yang kita tahu, makanan manis memang lebih mudah diterima, terutama di kalangan kanak-kanak.

Manis dan masin adalah rasa yang dipelajari sejak kanak-kanak. Berbanding rasa masin garam, kemanisan gula lebih memikat selera.

Ini sebabnya ada ibu bapa memasukkan gula dalam makanan anak untuk menggalakkan mereka makan. Namun kesilapan kecil ini merangsang cita rasa anak terhadap makanan manis dan ia biasanya berlanjutan hingga dewasa.

Fruktosa dan Sukrosa

Kajian Kementerian Kesihatan mendapati, rakyat negara kita mengambil kira-kira 125 gram sehari atau 875 gram seminggu; lebih 2 kali ganda daripada had disaran iaitu hanya 50 gram atau tidak melebihi 10 camca teh.

Bukan rakyat Malaysia saja yang mengambil banyak gula, malah ia juga berlaku pada masyarakat Barat, termasuk Amerika Syarikat. Akhbar melaporkan, secara purata rakyat Amerika mengambil antara 900 hingga 1,350 gram gula seminggu!

Namun ini bukan perkara yang perlu dicontohi atau dijadikan saingan kerana banyak kajian menunjukkan pengambilan gula berlebihan hanya memudaratkan kesihatan. Malah, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), SM Mohamed Idris, menyarankan pengguna mengurangkan meminum minuman ringan yang dihasil menggunakan gula fruktosa yang mengandungi lebih 50% gula sukrosa.

Penyelidik mendapati tindakan fruktosa dalam badan berbeza daripada gula jenis lain kerana ia dimetabolismakan dengan cara yang boleh menyebabkan pertambahan berat badan kerana ia tidak menghalang tindakan ghrelin iaitu hormon rasa lapar. Maknanya, fruktosa meningkatkan kecenderungan kita untuk makan dan makan berlebihan itu adalah penyumbang utama kenaikan berat badan.

Gula Adalah Karbohidrat

Gula sebenarnya adalah karbohidrat. Sumber penting tenaga. Nasi, bihun, mi, pasta, roti, sayuran berubi dan buah-buahan adalah makanan yang kaya karbohidrat. Jadi kita tidak perlu risau jika tidak mengambil gula kerana semua makanan yang diambil memang mengandungi gula karbohidrat, sama ada dalam bentuk semula jadi atau diproses. Karbohidrat juga ditukar ke bentuk gula ringkas dulu sebelum ia boleh digunakan sebagai tenaga.

Biasanya apabila bercakap mengenai gula, kita merujuk kepada gula sukrosa daripada tebu atau beet. Antara bentuk gula yang ada di pasaran ialah gula bertapis seperti sukrosa (gula pasir atau halus), dekstrosa (sirap jagung) dan sirap fruktosa (sirap) yang digunakan dalam penghasilan pelbagai makanan seperti roti, bijirin sarapan pagi, mentega kacang, mayonis, sos, kicap dan minuman ringan. Itu belum masuk makanan yang sememangnya manis seperti kek, biskut atau kuih muih.

Malangnya badan kita tidak dapat membezakan antara gula asli atau yang diproses kerana semuanya memberi kesan sama. Secara umumnya semua jenis gula, tidak kira apa jenis dan sumbernya (termasuk daripada karbohidrat) membekalkan tenaga sebanyak 4 kalori bagi setiap gram.

Kita semua maklum, setiap tenaga berlebihan disimpan sebagai lemak. Bagi individu yang ada masalah berat badan, cita rasa terhadap makanan manis memburukkan keadaan dan menyukarkan proses menguruskan badan. Malah, ada yang menganggap gula bertapis (yang berwarna putih) sebagai punca kematian kerana di sebalik rasa manisnya, ia boleh menyebabkan pelbagai masalah kepada sistem imun, berat badan dan kesihatan secara keseluruhan.

Bagaimana Gula Boleh Menjejaskan Kesihatan?

Gula putih menyekat sistem imun. Didapati gula putih boleh mengurangkan hayat dan jumlah sel darah putih yang menjadi ejen utama kepada sistem imun kita untuk menghalang jangkitan atau kemasukan benda asing ke dalam badan. Ada yang mengatakan gula juga membuatkan badan kita bersifat asidik yang menyebabkan kita lebih mudah diserang bakteria dan virus. Malah, gula juga menjadi makanan utama kepada bakteria dan fungus jika berlaku jangkitan.

Gula putih dikategorikan sebagai makanan tinggi glisemik. Maknanya, ia menyebabkan paras gula darah meningkat cepat dan menjejaskan paras insulin. Maka ia dianggap makanan terlarang, terutama bagi pesakit kencing manis, kerana ia menyukarkan kawalan paras gula darah.

Gula juga ada kaitan rapat dengan kanser. Walaupun kebanyakan doktor tidak mengenakan pantang larang makanan kepada pesakit kanser yang menerima rawatan, mengawal kandungan gula dalam darah membantu meningkatkan tahap kesihatan pesakit.

Kawalan paras gula dalam darah melalui penjagaan makanan, senaman, makanan tambahan dan ubat antara komponen penting dalam rawatan kanser.

Mengurangkan pengambilan gula dianggap langkah penting untuk membantu menurunkan berat badan. Masalah dihadapi kebanyakan orang ialah mempunyai bekalan tenaga harian berlebihan daripada makanan dan minuman. Walaupun semua orang tahu bersenam itu penting bagi membakar (menggunakan tenaga), masih ada yang liat mengamalkannya. Tenaga yang berlebihan, ditambah pula tenaga daripada gula dalam minuman, turut menyumbang kepada pertambahan berat badan.

Gula dan makanan manis adalah penyebab utama kepada kerosakan gigi seperti kerap dialami kanak-kanak. Bakteria dalam mulut menggunakan gula ini untuk menjadikan keadaan mulut lebih berasid bagi memecahkan lapisan enamel (lapisan gigi paling luar). Lama kelamaan, gigi akan berlubang. Apabila ini terjadi, banyak masalah lain menyusul, termasuk sakit gigi, jangkitan dan kehilangan gigi.

Tabiat makan yang terlalu kerap juga perlu dihentikan. Ini kerana apabila kita makan (khususnya makanan mengandungi karbohidrat), ia meningkatkan kemungkinan pereputan gigi kerana air liur lebih banyak digunakan untuk menghancurkan makanan, sedangkan air liur penting bagi meneutralkan tahap keasidan mulut.

Dalam kajian lain mendapati, masalah kesihatan gigi boleh menjadi penyumbang langsung kepada masalah jantung. Untuk mengelak masalah kesihatan yang lebih serius, kurangkan pengambilan gula dalam makanan harian.

Langkah Untuk Mengurangkan Pengambilan Gula

* Baca label dan periksa kandungan gula sesuatu produk. Perkataan glukosa, sukrosa, fruktosa, dekstrosa, madu, gula perang dan semua jenis sirap bererti gula.

* Buat catatan, terutama bagi yang suka makanan manis. Catatan ini termasuk minuman manis (kopi, teh atau jus buah ketika sarapan), sajian pencuci mulut (kuih-muih, snek, gula-gula atau kek). Melalui cara ini, anda boleh membuat penilaian berapa banyak makanan manis yang anda ambil dalam masa sehari atau seminggu.

* Amalkan minum air masak setiap kali makan, terutama ketika makan tengah hari atau makan malam. Jika selama ini anda minum minuman manis, kurangkan kemanisan minuman anda. Pastikan anda juga meminta segelas air masak bersama minuman manis bagi menambah pengambilan air masak.

* Kurangkan pengambilan minuman ringan. Setiap 355 mililiter minuman ringan atau karbonat mengandungi kira-kira 10 camca teh gula. Ini bersamaan dengan saranan pengambilan gula harian daripada makanan dan minuman. Minuman ringan adalah sumber gula tambahan paling utama dalam diet kanak-kanak Amerika Syarikat. Senario ini tidak banyak berbeza dengan keadaan kanak-kanak di negara kita yang dibesarkan dengan pelbagai minuman ringan. Justeru, tidak hairan jika masalah obesiti kanak-kanak di Malaysia turut meningkat.

* Ketika membeli, pilih makanan atau minuman yang mempunyai label ‘kurang manis’.

* Gantikan snek makanan ringan atau sajian pencuci mulut kuih muih kepada buah-buahan.

Sumber : http://info-kesihatan-anda.blogspot.com/

Sabtu, 20 Jun 2009

DOA UNTUK IBU BAPA DAN KAUM MUKMININ

-->
Bismillah hirrahman nirrahim

رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ


"Rabbanaghfir Lii Wa Li Waalidayya Wa Lil Mu'miniina Yauma Yaquumul-hisaab"


"Ya Tuhan kami, berilah keampunan kepadaku dan kedua-dua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat)”


"O Our Lord! forgive me, and my parents, and all the Muslims on the day when the account will be established."

Nota Hujung :
-->
Bersempena Hari Bapa ini,
Marilah kita kenangkan dosa kita kepada orang tua kita.
Siapa tahu hidup mereka dirundung nestapa kerana kedurhakaan kita.


Istighfarlah, Istighfarlah...

Barangsiapa yang matanya pernah sinis melihat orang tuanya.

Atau kata-katanya sering menggores hati mereka,

Atau yang jarang mempedulikan dan mendoakan mereka.

Percayalah bahawa anak yang derhaka siksanya didahulukan di dunia ini.

Ayah... Ibu, Ampunkanlah dosa-dosa anakmu...