Isnin, 31 Januari 2011

ISU PENDIDIKAN : Purata rakyat Malaysia baca dua buku setahun

PERSAINGAN...terlalu banyak persaingan bahan penerbitan picisan di pasaran menyebabkan bahan bacaan ilmiah lesu dan terpinggir

Oleh : Ruhaiza Rusmin

USAHA melestarikan kecemerlangan sektor pendidikan negara bukan hanya memerlukan kewibawaan dalam melahirkan golongan bijak pandai malah merangkumi kepelbagaian aspek lain.

Ukuran pencapaian bukan saja diukur melalui kejayaan mengeluarkan pensyarah atau graduan berstatus cemerlang, malah dinilai melalui aspek penghasilan bahan bacaan ilmiah.

Sayangnya, penghasilan bahan bacaan ilmiah yang dianggap tulang belakang dalam proses pembudayaan ilmu itu masih gagal menepati cita rasa masyarakat yang lebih selesa dengan bahan bacaan ringan serta dianggap mampu merehatkan minda.

Ini sekali gus bagai membenarkan tanggapan bahawa bahan bacaan ini memang tidak mampu dikomersialkan, namun dihasilkan bagi memenuhi tanggungjawab golongan tertentu semata-mata.

Persoalannya, mengapakah sukar menembusi minat masyarakat dan warga institusi pengajian tinggi, walhal kandungannya cukup lengkap untuk memenuhi keperluan kepentingan wacana pengembangan ilmu berteraskan pendidikan sepanjang hayat.

Pakar psikologi kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Sulaiman Selamat berkata, kecenderungan mahasiswa dan generasi muda memilih bahan bacaan ringan kerana terdedah dengan budaya generasi baru yang dilahirkan dalam persekitaran mudah, mewah, pantas dan selesa.

Menurutnya, budaya ini menjadikan mereka generasi malas berfikir, kurang berilmu dan hanya memberi fokus pada pendidikan berorentasikan akademik dan peperiksaan semata-mata.

"Inilah timbal balas daripada arus kemodenan dan peralihan zaman yang memperlihatkan semua aspek hanya ditangani secara mudah dan tanpa inisiatif. Hasilnya, banyak perlu dikorbankan termasuk ilmu pengetahuan.

"Budaya membaca di kalangan masyarakat sangat rendah. Bayangkan, jika membaca bahan berbentuk ringan pun tiada minat, bagaimana pula bahan ilmiah?

"Senario ini membimbangkan, apatah lagi sebahagian besarnya adalah golongan muda yang tentunya terdiri daripada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi. Jika kurang membaca, apakah lagi aspek yang boleh dijadikan taruhan?" katanya.

Berdasarkan kajian dilakukan Perpustakaan Negara pada 2005, secara purata keseluruhan rakyat Malaysia membaca dua buku setahun berbanding purata sebelum ini dua halaman buku setahun , terendah antara negara di Asia.

Dalam hal ini, rakyat India mendominasi dengan 35, Thailand (25) dan Indonesia (18).

"Dari situ, kita dapat melihat bagaimana penerimaan masyarakat terhadap aktiviti membaca. Jadi bagaimana ingin melonjakkan diri menjadi masyarakat berilmu jika aktiviti mudah ini sukar dilaksanakan?" katanya.

Pengarah Penerbit UTM Press, Profesor Hishamuddin Jamaluddin berkata, bahan bacaan ilmiah bukanlah menjadi kegemaran kerana fokus utama yang disasarkan lebih menjurus kepada keperluan pemprosesan ilmu berbentuk serius dan terhad.

Secara amnya, mereka lebih menggemari bahan berbentuk ringan dan santai kerana proses pemahaman maklumat menjadi lebih mudah, selain tidak memerlukan ketelitian mendalam bagi memahami fakta.

"Tidak hairanlah, bahan ilmiah sukar menembusi permintaan pasaran berbanding bahan bacaan lain kerana 'sifatnya' yang sangat serius, padat serta banyak membabitkan fakta saintifik.

"Jika diberi pilihan, ramai menolak bahan bacaan ilmiah kerana tidak mahu membebankan otak dengan penjanaan maklumat sangat kompleks. Namun tidak boleh salahkan mereka kerana pilihan di tangan individu.

"Cuma menyedihkan bahan ini seperti terpinggir jika dibandingkan dengan bahan lain berbentuk picisan. Bahan bacaan ilmiah cukup menguji kemampuan intelek seseorang selain menaikkan prestij pengetahuan ke tahap lebih baik," katanya.

Lambakan bahan ilmiah di pasaran kian membimbangkan golongan intelektual kerana bukan saja permintaan berkurangan malah merencatkan industri penulisan subjek kritikal kerana tumpuan lebih diberikan kepada bahan bacaan yang mampu menjana pulangan lumayan.

Dengan kata lain, bahan ilmiah sukar dikomersialkan, sekali gus menghadapi masalah lambakan di pasaran mahupun pengeluaran terhad kerana permintaan yang sedikit.

Suatu ketika, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengehadkan cetakan buku untuk sesuatu tajuk kepada 1,000 hingga 3,000 naskhah saja berbanding 3,000 hingga 5,000 naskhah pada era 80-an.

Mengulas mengenai kelesuan minat dan permintaan, beliau mengakui tiadanya daya tarikan terhadap kandungan mahupun cara susun atur selain penggunaan bahasa Inggeris sebagai antara faktor penyumbang terbesar.

Bagaimanapun, katanya, faktor itu sukar dielak kerana penghasilan bahan bercetak berkenaan dibuat atas sasaran membudayakan peningkatan ilmu secara profesional, berilmiah dan fokus.

"Buku ilmiah memang membosankan, terlalu profesional dan korporat. Namun, itulah identitinya serta sukar dielak kerana tujuan ia diterbitkan untuk membudaya wacana ilmu serta meningkatkan daya intelek individu.

"Bagaimana boleh dikatakan ilmiah jika penyampaiannya dilakukan secara santai? Itu tidak akan mencapai matlamat penulisannya selain akan memporak-perandakan proses pengembangan ilmu yang berpaksikan fakta serta penyelidikan.

"Mesti ada perbezaan, cuma kehendak masyarakat suka kepada buku berbentuk ringan mengehadkan penjualan dan permintaan biarpun susun aturnya menarik," katanya.

"Budaya masyarakat tempatan yang sukar membaca menjadikan bahan ilmiah semakin terpinggir, ditambah pula tanggapan hanya untuk golongan 'pandai'. Kebanyakannya pula dalam bahasa Inggeris.

"Masyarakat menjadikannya alasan untuk menolak sedangkan kini banyak bahan diterjemahkan ke bahasa Melayu. Hakikatnya, kita belum terbuka berbanding masyarakat antarabangsa yang sentiasa teruja dan terdedah dengan pelbagai bahan bacaan berat.

"Namun, mengatakan kita langsung tidak suka, itu tidak benar tetapi jumlahnya kecil," katanya.

Katanya, bahan ilmiah berkaitan pertanian, landskap dan reka cipta dan perubatan sentiasa dicari.

"Mungkin kerana mudah difahami, bergambar atau lama di pasaran menjadikannya diterima dalam lingkungan masyarakat termasuk sebagai bahan rujukan.

"Usaha lebih padu perlu dilakukan bagi menjadikan bahan ilmiah diterima selain mendidik masyarakat jangan terlalu taksub pada bahan picisan," katanya.

>INFO
> PERANGKAAN 2005 mendapati hanya 10,310 judul buku dalam pelbagai bidang didaftarkan setahun berbanding 180,000 judul di China, 116,000 (United Kingdom), 60,000 (Amerika Syarikat) dan 45,000 (India).

Daripada 10,310 judul buku berdaftar setahun itu, hanya 1,273 atau 32 peratus bahan bacaan santai di samping buku teks akademik dan kanak-kanak.

> KINI kebanyakan institusi pengajian tinggi awam mempunyai bahagian penerbitannya sendiri selaras usaha memperkaya dan memperbanyakkan lagi penerbitan bahan berbentuk ilmiah kepada masyarakat.

Antaranya Penerbit Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI).

Sumber : http://www.hmetro.com.my/

Ahad, 30 Januari 2011

ISU BAHASA : Istilah didik hibur kurang sesuai

BESUT - Persatuan Pendidik Bahasa Melayu (PPBMM) meminta Kementerian Pelajaran menggantikan istilah didik hibur dalam pengajian bahasa bagi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).

Presiden PPBMM, Profesor Madya Dr Hashim Othman berkata istilah itu lebih sesuai dan tepat jika digantikan dengan pembelajaran yang memikat.

"Penggunaan istilah pembelajaran yang memikat adalah bagi mengambarkan konsep sebenar pembelajaran yang berkaitan aspek afektif khususnya motivasi intrinsik dalam pembelajaran yang mampu menyokong aspek kognitif dalam pembelajaran bagi meningkatkan kesan dan penghayatan.

"Sekiranya pembelajaran secara didik hibur itu sendiri merupakan terjemahan kepada 'fun learning', ia jelas tidak relevan bagi mengambarkan konsep sebenar pembelajaran," katanya. - Bernama

ISU SOSIAL : KENALI VANDALISME


Apakah itu vandalisme?

  • Vandalisme ialah perbuatan merosakkan atau memusnahkan kemudahan awam atau harta persendirian tanpa sebab yang sah di sisi undang-undang.
  • Vandalisme mengakibatkan pihak awam dan swasta mengalami kerugian kerana terpaksa mengeluarkan kos untuk membaiki dan menggantikan barang-barang yang rosak.
  • Vandalisme boleh dilakukan secara sendirian atau berkumpulan.
Mengapa vandalisme terjadi ?
Sebab-sebabnya adalah:
  • Untuk mendapatkan sesuatu, contohnya duit dari telefon awam
  • Untuk masuk ke sesuatu tempat, contohnya memecah masuk ke dalam rumah
  • Untuk menyatakan sesuatu idea dan kepercayaan
  • Untuk membalas dendam
  • Untuk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap seseorang atau sesebuah organisasi
  • Untuk keseronokan dan kepuasan diri
  • Untuk diterima sebagai kawan dan ahli kumpulan
Mengapa remaja terlibat dalam geng ( kumpulan vandalisme)?
Remaja terlibat dalam geng (kumpulan vandalisme) kerana pelbagai sebab seperti:
  • Keseronokan
  • Rasa megah / status
  • Perlindungan
  • Peluang untuk mencari wang dan sumber pendapatan
  • Rasa diterima oleh ahli kumpulan (sense of belonging)
  • Dipaksa (jarang berlaku)
Apakah ciri-ciri lain yang boleh dikaitkan dengan vandalisme?
  • Remaja yang terlibat dengan vandalisme biasanya menghadapi masalah peribadi sejak kecil dan tidak mendapat rawatan yang sepatutnya.
  • Masalah peribadi yang tidak dirawat boleh mengakibatkan tingkah laku anti sosial
  • Masalah-masalah ini mungkin melibatkan aspek emosi, mental, sosial dan fizikal.
  • Contoh-contoh masalah yang boleh menjuruskan kepada kelakuan vandalisme adalah :
    • Ponteng kelas atau sekolah
    • Melepak di kawasan awam semasa atau di luar waktu sekolah
    • Lewat bangun pagi dan pulang lewat malam
    • Kemahiran sosial yang lemah
    • Mencari perhatian dengan cara yang negatif
    • Jarang berhubung dengan ahli keluarga atau rakan-rakan
    • Tekanan perasaan dan masalah mental yang lain
    • Masalah keluarga
    • Masalah dalam persahabatan
    • Masalah di sekolah
    • Masalah dengan pihak berkuasa dan undang-undang
    • Penyalahgunaan dadah
Apakah akibat buruk menjadi seorang remaja yang terlibat dalam vandalisme?
  • Remaja yang aktif melakukan vandalisme akan mudah menjadi penjenayah apabila dewasa kelak, dan mungkin juga akan terlibat dalam keganasan.
  • Remaja yang melakukan vandalisme biasanya terlibat dalam lain-lain salahlaku seperti gangguan seksual, pencerobohan, kecurian dan pencemaran alam persekitaran (contohnya pembuangan sampah sarap di tempat yang tidak sesuai).
  • Remaja yang melakukan vandalisme selalunya menghadapi masalah dengan pihak sekolah.
  • Remaja yang melakukan vandalisme selalunya mendapat laporan buruk dari pihak sekolah, keadaan ini boleh mengurangkan peluang untuk mereka berjaya dalam hidup.
  • Ini akan menimbulkan lebih banyak masalah ketika mereka sudah dewasa kerana ianya menjuruskan mereka kepada aktiviti jenayah mereka akan menjalani kehidupan yang kurang sihat.
  • Vandalisme akan mengakibatkan kerugian besar dan menyusahkan masyarakat terutamanya apabila kemudahan awam (contohnya telefon awam) tidak dapat digunakan di waktu kecemasan.
  • Vandalisme terhadap harta benda dan perkhidmatan awam mungkin mengakibatkan kehilangan nyawa pada waktu kecemasan yang kritikal
  • Gangguan fizikal dan emosi boleh membawa kepada masalah peribadi dan sosial seperti tekanan, tingkahlaku agresif serta putus hubungan persahabatan.
Bagaimanakah seseorang itu boleh mengelakkan diri dari terlibat dalam Vandalisme?
  • Memahami bahawa vandalisme adalah satu kesalahan jenayah.
  • Tanya diri anda :
    • Bagaimanakah kemusnahan harta benda boleh membantu saya?
    • Apakah kesannya pada saya setelah merosakkan harta benda ini?
    • Apa lagi yang boleh saya lakukan untuk mendapatkan bantuan?
    • Siapa yang boleh membantu saya?
  • Mengawal kemarahan yang mendorong anda untuk melakukan vandalisme.
  • Memupuk kemahiran menyelesaikan masalah secara sihat dan wajar.
  • Mencari cara yang terbaik dan sesuai dalam menyelesaikan masalah untuk mengelakkan vandalisme.
  • Meminta pertolongan dari orang lain ketika menghadapi masalah
  • Sentiasa libatkan diri dalam aktiviti sihat dan aktiviti kurang berisiko seperti senaman, bersukan, hobi dan kerja-kerja sukarela yang boleh membantu anda mengatasi tekanan hidup
  • Jauhi rakan-rakan yang melakukan vandalisme
  • Sentiasa mengawal kelakuan anda sedikit demi sedikit dan mencatatkannya di atas kertas
  • Untuk bantuan dalam hal ini, dapatkan nasihat kaunselor atau pakar psikologi

ISU PENARIKAN BALIK NOVEL SPM : Cerita sebuah tragedi

Khabar mudah yang kita terima ialah novel Interlok terus menjadi buku teks sekolah tetapi perlu disunting bab yang 'menyinggung' orang India. Khabar sukar yang kita fikir ialah siapa orangnya yang berhak untuk menyunting yakni mengubah maksud Interlok?

Siapa orangnya yang sangat arif untuk mengatakan istilah itu atau ini dibuang dan kemudian digantikan dengan istilah pilihan mereka? Siapa mereka?

Saya tidak fikir orang yang mempunyai peribadi tinggi sanggup melakukan kerja ini. Malah saya juga tidak fikir ada kalangan sasterawan rela menyunting Interlok karya Sasterawan Negara Abdullah Hussain.

Bukan kerana mereka takut tetapi mereka faham adab dan susila untuk mengubah isi dan maksud karya orang lain.

Sebagaimana yang sudah jelas ditunjukkan kepada kita, isu Interlok bukanlah isu kandungan karyanya.

Tetapi isu Interlok adalah mempunyai ruang untuk pelobi politik perkauman memainkan peranannya. Memberi wajah seolah-olah Interlok menghina orang India yang datang dengan kapal dari India adalah kerja jahat.

Malah mukadimah mereka juga sangat jahat, mendesak secara biadap, tidak tahu adab sopan, membakar potret pengarang dan membuat provokasi melampau.

Penjahat-penjahat ini akhirnya meraih kemenangan politik apabila diberi kuasa untuk mengoyak sebuah karya sastera yang tidak sejahat mereka.

Abdullah Hussain seorang tua yang tidak punya kuasa, jauh sekali kuasa pendesak atau kuasa politik seperti mereka yang membakar potretnya.

Beliau tidak punya apa-apa kecuali bercakap kepada bangsanya sambil memberi peringatan dari pengalaman dan pengamatan.

Saya membaca Interlok pada akhir tahun 1970-an, kemudian meminjamkan kepada seorang rakan saya orang India dan seterusnya seorang keturunan Siam di Perlis. Mereka tidak mengkritik isi kandungan novel itu tetapi generasi masa ini seolah-olah lebih tajam mata mereka menangkap hal-hal yang buruk.

Sebenarnya saya tidak terkejut apabila novel itu akan disunting semula oleh sebuah jawatankuasa bebas.

Malah, baru tahu bahawa jawatankuasa yang memilih Interlok dianggap tidak bebas oleh pelobi-pelobi politik dan akhirnya jawatankuasa 'bebas' inilah yang akan menentukan bab mana yang perlu dibuang dan sebagainya.

Apabila sesuatu menjadi tawar menawar politik, atau menjadi bahan ugutan politik, kita lebih banyak beralah. Kalau kita sedang duduk, kita akan bangun untuk memberi ruang kepada orang lain duduk.

Inilah yang berlaku kepada Interlok dan sekiranya Abdullah Hussain 'izin dalam paksa' novelnya dikoyak, ini adalah pengorbanan besar seorang rakyat yang mahu melihat gerbang kesejahteraan bangsa dibina daripada jiwanya yang luka.

Selepas ini ruang berkarya khususnya dalam kesusasteraan Melayu akan menjadi semakin kecil. Akan ada lagi pihak yang mengambil kesempatan dan mendakwa karya itu dan ini menghina mereka.

Nah, siapa kata mata pena lebih tajam daripada mata pedang?

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

BINATANG DALAM PERIBAHASA MELAYU

Pendahuluan:

Peribahasa ialah sejenis ungkapan atau kata-kata yang padat, yang biasanya mengandungi perkara-perkara yang berkait rapat dengan pengalaman manusia dalam pelbagai aspek kehidupan dan rempah ratusnya. Ia merupakan kata-kata yang penuh dengan kebijaksanaan. Biasanya ia dibentuk daripada gaya kiasan, menggunakan imaginasi dan mudah dihafal. Ia merupakan ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan yang tetap dan mengandungi pengertian yang tertentu. Peribahasa dalam bahsa Melayu boleh dibahagikan kepada empat bahagian, iaitu perumpamaan, simpulan bahasa, bidalan dan pepatah (Kamus Sastera Melayu terkini 2000: 69).

Perumpamaan ialah perbandingan makna yang sangat jelas dan terang. Biasanya ia didahului oleh kata pembanding seperti bagai, laksana, umpama, bak, ibarat, macam, seperti, seolah-olah, dan seakan-akan. Dalam ayat Budak itu seperti lembu, lembu dan budak itu dianggap menyerupai antara satu sama lain. Perumpamaan menjelaskan penilaian yang dibuat terhadap sesuatu benda itu dan biasanya penilaian itu melibatkan emosi dan perasaan yang kuat (Ainon Mohd & Abdullah Hassan 2003: 3). Contoh perumpamaan adalah seperti yang berikut:
a. Bagai: Bagai ubur-ubur airnya hitam (Daripada tingkahlaku dan bahasanya, kita tahu orang itu jahat).
b. Laksana: Laksana golok kayu (ditetak tak makan, dijual tak laku). Perbandingan ini dibuat untuk menerangkan sesuatu yang tidak mendatangkan faedah.
c. Umpama: Umpama enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing (tidak semuafakat; mementingkan diri sendiri)
d. Bak: Bak birah dengan keladi (Hampir serupa sahaja)
e. Ibarat: Ibarat mencangkul angin (angan-angan yang tidak diserta usaha)
f. Macam: Macam kapal tiga tiang (Rupawan dan anggun).
g. Seperti: Seperti ikan dalam belanga (Keuntungan yang tidak akan terlepas lagi).

Simpulan bahasa pula ialah ungkapan yang biasanya terdiri daripada dua atau tiga perkataan dan mempunyai makna yang berlainan sama sekali daripada makna asal yang dibawa oleh perkataan-perkataan tersebut. Contoh simpulan bahasa ialah seperti makan gaji, bulan madu, simpul biawak, senyum kambing dan sebagainya.

Peribahasa yang dicipta untuk memberi nasihat dan tunjuk ajar pula dipanggil bidalan. Antara contohnya adalah seperti jika pandai menggunting, hendaklah pandai menjahitnya (kerja yang sudah dimulakan hendaklah diselesaikan), dan jangan bijak terpijak, biar bodoh bersuluh (jangan berasa diri bijak tetapi dihina orang, biar bodoh asal suka bertanya, pasti akan berjaya) (Ainon Mohd & Abdullah Hassan 2003: 5).

Pepatah atau perbilangan ialah ungkapan yang berasal daripada pusaka adat resam. Makna ungkapan itu tidak berubah-ubah. Pepatah berfungsi sebagai pedoman hidup anggota masyarakat yang mengamalkan sesuatu adat resam. Pepatah memliki ciri-ciri puisi tradisional Melayu. Contohnya:
a. Nak kaya berdikit-dikit, nak ramai berkabur urai (jimat cermat ialah tangga kejayaan, murah hati ialah tangga tuah).
b. Pada sangka pohon beringin, kiranya tersandar di punggur lapuk (menyangka dapat berkahwin dengan orang kaya, rupa-rupanya miskin).
c. Ringan sama dijinjing, berat sama dipikul, ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni (bekerjasama dan tolong-menolong dalam semua pekerjaan, baik senang mahupun susah) (Ainon Mohd & Abdullah Hassan 2003: 4).

Peribahasa Melayu dicipta berdasarkan dua cara, iaitu melalui perbandingan makna dan perluasan makna. Proses perbandingan makna boleh dilakukan menerusi dua cara, iaitu melalui perbandingan rupa bentuk dan melalui perbandingan sifat. Mengikut cara perbandingan rupa bentuk, sesuatu benda akan dibandingkan dengan benda lain yang mempunayai ciri-ciri rupa bentuk yang serupa. Mengikut cara perbandingan sifat pula, sesuatu benda itu akan dibandingkan dengan benda lain yang serupa sifatnya walaupun rupak bentuknya berlainan (Ainon Mohd. & Abdullah Hassan 2003: 7).

Mengikut kaedah perluasan makna pula, makna sesuatu perkataan diperluaskan supaya meliputi makna-makna baru. Sebagai contoh, daripada perkataan tua, diterbitkan makna-makna lain, yang tidak lagi membawa makna tua. Contoh: ketua,pengetua, yang dipertuan, mertua, pertua dan sebagainya (Ibid: 8).

Binatang dalam peribahasa Melayu
Bangsa Melayu hidup dalam persekitaran yang dipenuhi dengan binatang, sama ada binatang itu binatang buas/liar ataupun binatang ternakan. Kehidupan mereka yang terdedah pada persekitaran yang dikelilingi oleh hutan rimba, kebun dan ladang, sungai dan laut menyebabkan mereka serng bertemu dengan banyak binatang. Kalau ke hutan mereka akan bertemu harimau, gajah, ular dan sebagainya. Kalau ke kebun/ladang, mereka akan bertemu lembu, kambing dan sebagainya yang biasanya dipelihara sebagai punca pendapatan.Dengan itu, mereka dengan sendirinya mengenali binatang-binatang tersebut. Perkongsian hidup mereka dengan bintang-bintang ini membuatkan tempias binatang-binatang itu terpantul dalam peribahasa mereka. Antara binatang yang sering menjadi tumpuan mereka sehingga ia disebut dalam peribahasa mereka ialah harimau, gajah, kera, anjing, serigala, kambing, kerbau, babi, ayam, rusa, kancil, singa, cacing, rama-rama, kura-kura, monyet, belalang, siput, arnab, merak, pipit, enggang, ular, kucing, katak, lembu, kutu, badak, kuda, dan sebagainya.

Beberapa contoh:

Harimau - sebagai simbol untuk raja dan menunjukkan pangkat dan kekuasaan. Antara contoh peribahasa Melayu yang menggunakan perkataan harimau ialah:
1. Anak harimau (anak orang ada kuasa).
2. Harimau ditakuti sebab giginya (pembesar itu ditakuti kerana kuasanya).
3. Harimau memperlihatkan kukunya (pembesar memperlihatkan kuasanya.
4. Harimau menunjukkan belangnya (pembesar memperlihatkan kuasanya).

Harimau – sebagai seorang yang bersifat bengis dan kejam, mengancam orang lain.Contoh:
1. Anak harimau diajar makan daging (orang yang zalim diberi galakan untuk membuat aniaya ).
2. Seperti harimau beranak kecil (sifat orang yang sangat bengis dan garang).

Gajah - Gajah: menunjukkan kuasa dan kekuatan. Contoh:
1. Gajah lalu rumpai layu (perbuatan orang yang berkuasa membawa kesusahan kepada orang yang lemah).
2. Gajah masuk kampung, kalau pohon tak tumbang, rumput layu juga). (orang yang berkuasa dapat berbuat sesuka hati kepada orang yang lemah).
3. Gajah mati tulang setimbun (orang kaya meninggal dunia banyak meninggalkan hartanya).
4. Gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati ditengah-tengah. (kalau para pemimpin berselisih faham rakyat mendapat susah).

Orang yang berpangkat dan berkuasa hilang pengaruh atau kuasa boleh disamakan dengan gajah yang dibinasakan.
Contoh:
1. Gajah dialahkan oleh pelanduk (orang berkuasa dapat dialahkan oleh orang yang lemah).
2. Gajah ditelan ular lidi (Orang berkuasa dapat dialahkan orang lemah).
3. Gajah empat kaki lagi tersaruk (pembesar sekalipun, ada waktunya akan kehilangan kebesarannya).

Naga: dianggap simbol orang besar dan berkuasa.
Contoh:
1. Cacing hendak menjadi naga (orang kecil hendak menyamai orang besar).
2. Cacing menelan naga (orang yang berkusa dapat dialahkan oleh orang yang lemah).
3. Naga ditelan ular lidi (orang bangsawan berkahwin dengan orang biasa).

Anjing dan babi – sebagai simbol kejahatan dan kehinaan. Contoh:
1. Anjing kurap (hina kerana kemiskinan).
2. Anjing biasa makan tahi, jika tidak dimakan, mencium ada juga ( orang yang biasa berbuat jahat, sekali-sekala teringat juga akan mengulangi lagi perbuatan itu)
3. Seperti anjing dengan kucing (selalu bertengkar).
4. Kepala tersangkut dengan kulit babi (mendapat malu besar).
5. Mutiara terkalung di leher babi ( tidak tahu menilai barang berharga, yang mulia jadi hina).

Melalui peribahasa Melayu, dapat dikenal pasti binatang-binatang yang melambangkan kejahatan seperti buaya, lintah, tupai, musang dan ular. Contoh:
1. Buaya darat (penjahat; penggemar perempuan).
2. Adakah buaya menolak bangkai (orang jahat tentu akan berbuat jahat, kalau ada kesempatan).
3. Seperti lintah menghisap darah (membungakan wang dengan bunga yang terlalu mahal, menipu dengan cara yang lemah lembut).
4. Jika kepalanya ular, takkan ekornya belut (yang jahat itu tetap jahat).
5. Sudah tampak kaki ular (telah diketahui tingkah laku seseorang yang buruk (yang dahulunya tidak diketahui).
6. Seperti nyiur ditebuk tupai (anak dara yang diperkosa).
7. Musang berbulu ayam (orang jahat menyamar sebagai orang baik-baik).
8. Musang terjun lantai terjungkat (tempat yang dimasuki pencuri ada juga sesuatu alamatnya).

Lembu – dalam masyarakat Melayu, adalah simbol atau lambang kebodohan. Contoh:
1.Lembu dogol jangan dibalun (orang yang tidak melawan jangan diusik-usik, jika melawan dia bersungguh-sunguh.
Lembu juga dijadikan simbol orang yang tidak seberapa kuasanya.
1. Laksana lembu dogol, tak boleh ditanduk hanya disondol (orang yang hanya suka menggertak tetapi tidak merbahaya; melawan dengan seberapa kuasanya dalam perkelahian.

Kucing: simbol orang yang ditakuti. Contoh:
1. Kucing lalu, tikus tiada berdecit lagi (apabila orang yang ditakuti datang, maka diamlah mereka yang bising.
2. Kalau kucing tidak bermisai, takkan ditakuti tikus lagi (orang besar yang hilang martabatnya (pangkatnya) tiak disegani orang lagi.

Kuda: simbol orang miskin yang berlagak seperti orang kaya. Contoh:
1. Bak rasa kuda pula kukuran (perihal orang miskin yang berlagak seperti orang kaya).
2. Seperti kuda lepas dari pingitan (terlalu gembira sebab lepas dari kurungan atau pembelengguan).

Kambing: simbol orang yang ditakuti. Kambing juga dijadikan simbol kepada orang yang pengecut, orang yang berada dalam ketakutan, orang yang berperangai tidak senonok, keanak-anakan, orang yang malas, orang yang tidak mempunyai kuasa/lemah. Contoh:
a. Kambing keramat (orang yang ditakuti dan bebas membuat sekehendak hatinya).
b. Anak kambing tak akan jadi anak harimau (orang yang pengecut (bodoh) tidak akan jadi orang yang berani (pandai).
c. Bagai kambing dalam biduk (orang yang ketakutan (tidak dapat berbuat apa-apa).
d. Bagai kambing harga dua kupang = menggelinjang bagai kambing berulat (tidak senonoh perangainya, keanak-anakan).
e. Bagai kambing diseret ke air = bagai kambing dimandikan pagi (perihal orang yang malas dan enggan kalau disuruh melakukan sesuatu).
f. Seperti kambing dengan harimau (orang yang lemah bertanding dengan orang yang kuat.
g. Umpama kambing kecil, merentak tidak memutus tali, berantuk tidak melambung bumi (orang yang dianggap ringan kerana tidak berkuasa apa-apa).

Kerbau: simbol kepada orang yang jahat, orang yang bodoh, hina,
1. Bagai kerbau runcing tanduk (orang yang terkenal kerana jahatnya).
2. bagai jelongak kerbau rampung (orang bodoh yang sombong dan tidak sedarkan dirinya diperbodohkan orang).
3. Bermain-main dengan kerbau, dilontarnya muka dengan ekor (berkawan dengan orang bodoh (hina) tentu mendatangkan kerugian).
4. Seperti kerbau dicucuk hidung (orang yang bodoh yang menurut sahaja kemahuan orang lain).

Kancil: simbol kepada kecerdikan/tipu muslihat, lalu dikatakan "akal kancil" (tipu muslihat yang licin, cerdik dengan tipu muslihatnya).

Kijang: simbol kepada negara/tempat asal. Contoh:
1. Kijang dirantai dengan emas, jikalau ia lepas, lari juga ia ke hutan (seseorang itu akan ingat juga negeri asalanya sekalipun senang hidupnya dinegeri orang.
2. Seperti kijang lepas ke rimba (orang yang telah kembali ke tempat asalnya dan sukar dijumpai lagi.

Kera: Simbol kepada orang yang tidak tahu menghargai sesuatu, resah gelisah, orang yang takut bergaul.
1. Kera dapat (diberi) bunga = bagai kera diberi kaca (mendapat (diberi) sessuatu yang tidak tahu (tidak dapat) dipergunakannya).
2. Seperti kera kena belacan (sangat gelisah (resah), tidak senang diam).
3. Seperti kera sumbang (orang yang takut (tidak gemar) mencampuri orang ramai).

Keldai: simbol kebodohan. Contoh:
1. Keldai hendak dijadikan kuda (orang yang bodoh hendak dianggap (dijadikan) orang pandai).

Ayam:
Ayam tak patuk, itik tak sudu (dikatakan kepada seseorang yang hina atau tidak berharga)

Beruk:
Berhakim kepada beruk (meminta hukum kepada orang yang tamak).

Badak:
1. Sayang anak badak tampung, cucu konon badak raya (seseorang yang bukan bangsawan tetapi mengaku dirinya kerabat diraja).

Belalang: belalang telah menjadi helang (orang yang bodoh dan hna telah menjadi cerdik dan panai).

Biawak: mendukung biawak hidup (melakukan sesuatu yang menyusahkan diri sendiri),

Cacing: cacing naik ke muka (kelakuan yang melampau).

Cicak:
Seperti cicak makan kapur (beroleh malu kerana kesalahannya sendiri; bersenang hati (gembira) KD: 239

Merak: tidak ada dalam kamus dewan.

Helang: simbol kebesaran, kegagahan,
1. Helang terbang mengawan, agas hendak mengawan juga (orang miskin mahu meniri kelakuan orang kaya).
2. seperti helang menyongsong angin (gagah dan berani apabila menentang musuh).
3. cerdik helang bingung si kikih, lamun murai terkecoh jua (biarpun cerdik atau bodohnya orang besar-besar, orang yang rendah jua yang terpedaya (menanggung rugi).KD: 449

Burung gagak:
1. Burung gagak itu jikalau dimandikan dengan air mawar sekalipun, tiada akan menjadi putih warnanya (orang yang sudah bertabiat jahat tidak dapat diperbaiki lagi ) KD: 194.

Enggang: simbol kebesaran,
1. pipit meminang anak enggang (orang yang miskin (kecil-kecil dll) meminang anak orang kaya (besar0besar dll) tentu tidak munasabah) KD: 339-340.

Serigala: simbol kejahatan, kecurangan. Contoh:
1. serigala berbulu domba (orang yang kelihatan bodoh dan penurut tetapi sebenarnya culas, jahat lagi curang).
2. serigala dengan buah anggur (orang yang mencela sesuatu yang diingininya kerana ia tidak berupaya untuk mendapatkan benda itu).

Unta: simbol kebodohan, lurus, patuh. Contoh:
1. Bagai unta menyerahkan diri (orang yang sangat patuh menurut perintah; mengaku salah serta bertaubat daripada kesalahan itu; orang yang bodoh dan lurus itu selalu menjadi keuntungan dan kesukaan orang yang cerdik). KD: 1524)

Sumber : http://maharani-mamailham.blogspot.com/

Jumaat, 28 Januari 2011

ISU PERUMAHAN : Memahami ekologi perumahan

Oleh SHAHARUDIN IDRUS

SEJAK kebelakangan ini, isu-isu ketidaklestarian yang menyangkut tentang rumah dan perumahan kembali menghiasi laporan akhbar-akhbar utama di negara ini. Isu yang dilaporkan berkait dengan peningkatan harga rumah yang melampau, kualiti rumah yang begitu rendah, sampah-sarap terbiar serta rumah terbengkalai yang menjadi tempat pembiakan dan sarang nyamuk Aedes yang menyebabkan demam denggi, sehinggalah membawa kepada isu-isu keselamatan warga yang tinggal di kawasan perumahan terutamanya kanak-kanak, wanita dan warga emas di bandar-bandar utama negara ini.

Itu tidak termasuk lagi isu tanah runtuh, banjir kilat dan pencemaran bau busuk yang melanda kawasan perumahan. Kesemuanya menuntut satu penyelesaian konkrit, menyeluruh dan bersepadu. Isu kenaikan harga rumah yang melambung sering kali mendapat perhatian terutamanya kepada bakal pembeli rumah golongan muda yang baru menceburi dunia pekerjaan.

Beralaskan jumlah pendapatan yang tidak seberapa, kemungkinan untuk memiliki sebuah rumah bagi golongan ini adalah agak sukar. Walaupun kini kerajaan menyatakan bahawa deposit 10 peratus daripada harga rumah yang ingin dibeli tidak lagi perlu dibayar kepada pemaju perumahan, namun, harga rumah yang rata-ratanya tinggi jika dibandingkan dengan jumlah pendapatan penduduk dan diiringi pula dengan kenaikan harga barangan keperluan akan membantutkan usaha golongan muda untuk mendapatkan sebuah rumah.

Rumah mewah yang berharga satu juta dan ke atas ditentukan harga pasaran oleh sebilangan individu yang mempunyai modal yang besar dan membuka pasaran kepada orang asing atau luar negara. Oleh kerana kadar tukaran mata wang negara tertakluk kepada kadar tukaran antarabangsa, ini menyebabkan harga rumah mewah yang ditawarkan itu seolah-olah seperti harga sebuah rumah kos sederhana bagi sesetengah pelabur dan pemodal luar.

Justeru, bukanlah menjadi masalah besar bagi warga asing dari negara jiran, malahan terdapat pemilik rumah dari India yang bekerja di Amerika Syarikat membeli rumah di negara ini. Kecanggihan sistem pengangkutan udara dan darat yang terhampar indah merupakan antara faktor utama mereka untuk memiliki rumah di Malaysia.

Namun begitu, spekulasi harga rumah yang berlaku menyebabkan penduduk tempatan terpaksa bersaing dengan warga asing untuk mendapatkan rumah yang diimpikan. Sementara warganegara yang berpendapatan sederhana dan rendah hanya akan termangu dan terpaksa bergelut dengan pasaran terbuka ini semata-mata untuk mendapatkan sebuah rumah yang selesa.

Setelah rumah tersebut diperoleh pula, pelbagai lagi senarai tanggungjawab yang belum selesai terpaksa ditempuh sehinggalah bayaran hutang rumah dilunaskan, malahan mungkin membawa kepada generasi seterusnya dalam kitaran keluarga tersebut.

Isu-isu ketidakpuasan hati yang dibangkitkan oleh penduduk ini telah dan sedang mendapat perhatian daripada pihak yang bertanggungjawab dalam mengendalikan isu-isu berkaitan. Walau bagaimanapun, seringkali pula isu yang dibangkitkan itu tidak mendapat penyelesaian yang tuntas kerana pendekatan yang diambil dalam menyelesaikan isu-isu tersebut dibuat secara terpisah kerana bidang kuasa dan tanggungjawab yang berbeza di antara jabatan yang bertindak.

Kesemua isu ketidaklestarian yang dibangkitkan itu saling berkait antara satu dengan lain yang boleh dirangkaikan dan dilihat dari perspektif dan pemikiran ekologi perumahan bandar. Kedua-dua perumahan di kawasan bandar dan desa pastinya berbeza isu yang dibangkitkan dan cara bertindak yang perlu dilakukan.

Isu perumahan yang ditimbulkan di bandar adalah lebih kompleks, melibatkan banyak pihak berkepentingan, dinamik dan lebih pelbagai sekali gus menuntut satu perspektif yang lebih berkesan untuk merungkai permasalahan yang berlaku. Pemahaman ekologi perumahan ini adalah penting untuk semua pihak yang terlibat tidak berasa terpinggir dan terasing dalam membantu menyelesaikan masalah yang timbul, selain tidak menimbulkan kegusaran yang berpanjangan di kalangan penduduk kawasan perumahan ini.

Peningkatan isu-isu yang bersifat kompleks ini menuntut pemahaman yang lebih tuntas tentang proses yang berlangsung walau di peringkat mana sekalipun isu tersebut berlaku. Isu yang saling berkait di antara satu sama lain ini perlu diteliti, difahami dan dirungkai menurut pelbagai teras disiplin ilmu (multi-disiplin, inter-disiplin dan trans-disiplin) untuk mendapatkan penyelesaian masalah sebenar yang dihadapi penduduk.

Lantaran, untuk memperoleh sebuah kawasan perumahan yang berdayahuni (livable housing), pendekatan kompleksiti iaitu pendekatan yang menyediakan ruang pemikiran untuk memahami perkara yang sebenar-benarnya berlaku berlandaskan skala kawasan perumahan wajar difikir, dilaksana dan diperluaskan.

Isu yang timbul tidak wajar dilihat dari jauh semata-mata tetapi perlu memahami sedalam-dalamnya isu yang diluahkan oleh penduduk tersebut, diletak dan disesuaikan di dalam konteks ekologi perumahan tadi agar penyelesaian yang diambil tidak lagi bersifat ad hoc dan seolah-olah sambil lewa sahaja.

Jika tidak, senarai isu yang sama akan kembali kedengaran dan didendangkan setiap kali kawasan perumahan siap dihuni dan perkara ini akan berterusan tanpa penyelesaian yang benar-benar konkrit dalam jangka masa panjang. Maka setiap kali itu jugalah, pihak pentadbir bandar akan bersuara dan cuba membuat pelbagai perkara untuk menyelesaikan masalah warga di taman perumahan itu. Namun hakikat sebenarnya, penyelesaian yang diharapkan tidak pernah kunjung tiba.

Governans kompleksiti perumahan (complexity governance) perlu difikirkan dengan lebih mendalam agar isu ketidaklestarian perumahan yang berangkaian pula dengan isu-isu sosial lainnya tidak semakin parah natijahnya pada masa mendatang.

Shaharudin Idrus Institut Alam Sekitar dan Pembangunan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU KEMALANGAN JALAN RAYA : Memupuk budaya pemanduan berhemah

Oleh Mahfar Ali
bhnews@bharian.com


Pendekatan lebih menyeluruh perlu bagi ubah sikap pemandu


HARI ini, mungkin sudah ramai mula balik kampung sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina. Kebanyakan sekolah pun cuti seminggu mulai Isnin ini. Bila cuti panjang, tentunya isu keselamatan di jalan raya mendapat perhatian banyak pihak. Apa lagi pada tahun lalu, 6,872 kematian membabitkan 6,260 kemalangan maut dicatatkan dan mengikut laporan akhbar, Khamis lalu, rekod itu adalah yang tertinggi dalam sejarah nahas jalan raya di negara ini.

Perangkaan ini sewajarnya membimbangkan kita dan menimbulkan banyak persoalan. Apakah pelbagai kempen yang dilaksanakan selama ini tidak berkesan dalam meningkatkan kesedaran orang ramai? Sejauh mana pula Ops Sikap yang sudah 23 kali diadakan, dapat mengubah sikap orang ramai? Mungkinkah juga rangkaian lebuh raya dan jalan raya di negara ini tidak selamat? Apakah sistem dan peraturan yang diperkenalkan masih tidak mencukupi untuk mengurangkan kemalangan?

Banyak lagi persoalan boleh kita tanya, tetapi pokoknya ialah sikap pemandu itu sendiri. Kita boleh memperhebatkan kempen dan sediakan kopi percuma sebanyak mana pun, namun ia tidak akan bermakna kalau orang ramai tidak mengikuti nasihat serta panduan yang diberi.

Meningkatkan operasi penguatkuasaan dan mengenakan saman maksimum juga tidak mungkin dapat mengubah sikap orang ramai kerana banyak juga pemandu yang tidak serik sekalipun disaman berpuluh kali. Lebuh raya dan jalan raya kita pula boleh dianggap antara yang terbaik di rantau ini, tetapi kes kemalangan masih tinggi kerana pemandu tidak menggunakannya secara berhemah. Banyak juga peraturan dan sistem sudah diperkenalkan kerajaan, seperti Kejara, tetapi sikap pemandu masih tidak banyak berubah.

Baru-baru ini pun kerajaan mengumumkan akan memperkenalkan Program Penilaian Kenderaan Malaysia (MyVAP) sebagai penanda aras standard dan kualiti keselamatan kereta keluaran tempatan. Menerusi sistem itu yang dibangunkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), semua kenderaan baru akan diberi penarafan satu hingga lima bintang berdasarkan spesifikasi keselamatannya termasuk dilengkapi beg udara atau sistem brek ABS bagi membolehkan orang ramai menilai ciri-ciri keselamatan model kenderaan yang dipasarkan.

Langkah itu memang baik, tetapi sama ada ia dapat mengurangkan kemalangan masih juga bergantung kepada sikap pemandu. Sekarang ini pun ramai pemandu suka mengubah suai kenderaan dengan memasang pelbagai aksesori - ekzos besar hingga bunyi macam guruh, but dipasang ‘spoiler’ sesetengahnya sampai menghalang pemandangan dan ‘skirting’ pula hingga hampir mencecah jalan.
Pengubahsuaian kenderaan secara keterlaluan tentunya membahayakan apa lagi kalau aksesori itu tidak menepati piawaian dan spesifikasi keselamatan serta dilakukan di bengkel yang tidak mempunyai kepakaran memasangnya. Bila sudah ubah suai kenderaan, pemandunya juga pasti teruja untuk memandu laju. Takkanlah hendak memandu perlahan, nanti apa orang kata, gaya aje lebih tapi kereta tak selaju manapun.

Itu ragam pemandu yang suka ubah suai kenderaan. Pemandu yang tidak ambil berat soal penjagaan dan keselamatan kenderaan pun ramai. Tayar sudah ‘botak’ pun tidak diganti, manakala kenderaan jarang dihantar untuk servis. Sekarang ini pula sudah ada minyak pelincir sintetik yang boleh bertahan sehingga lebih 10,000 kilometer atau enam bulan, berbanding minyak pelincir biasa yang perlu ditukar setiap 5,000 kilometer atau tiga bulan.

Jadi bila gunakan minyak pelincir sintetik, maka makin jarang lagilah kenderaan dihantar untuk servis. Servis ini bukan saja hendak ganti minyak hitam atau pelincir, tetapi macam-macam diperiksa termasuklah sistem brek, angin tayar serta skru atau nat yang mungkin longgar dan perlu diperketatkan. Sebab itu penting kenderaan dihantar untuk servis sekerap mungkin yang boleh bagi mengelak sebarang risiko ketika memandu.

Apatah lagi bilangan kenderaan sekarang ini pula semakin banyak dan ini meningkatkan lagi risiko kemalangan. Sehingga Ogos tahun lalu, bilangan kenderaan di negara ini dikatakan berjumlah 19,820,442 dan yang berusia lebih sepuluh tahun pula berjumlah 5,110,326 atau 25.78 peratus. Tahun lalu juga, 496,000 rakyat mendapat lesen memandu sekali gus menambahkan lagi bilangan kenderaan di jalan raya.

Angka ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana sekarang ini bukan susah hendak membeli kereta. Banyak institusi kewangan menyediakan pinjaman pada kadar faedah yang rendah. Malah, ramai juga ibu bapa kini mampu membelikan kereta untuk anak-anak yang masih belajar sehinggakan di sesebuah rumah itu ada lebih dua tiga kenderaan.

Dengan semakin ramai orang kini mampu memiliki kenderaan, maka pihak berkaitan mungkin perlulah juga mengkaji semula dan memikirkan pendekatan yang lebih menyeluruh termasuk memberi penekanan terhadap soal penjagaan dan keselamatan kenderaan untuk memupuk budaya pemanduan berhemah.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/