Sabtu, 28 Januari 2012

ISU BAHASA : Pensyarah Korea bimbang tulisan jawi semakin dilupakan


KUALA LUMPUR: Pakar tulisan jawi berbangsa Korea melahirkan kebimbangan tulisan itu semakin dilupakan terutama di kalangan generasi muda di negara ini.

Prof Dr Kang Kyoung Seok, dari Pusan University of Foreign Studies, mula mengkaji tulisan jawi sejak 1974 dan menganggapnya sebagai satu keunikan milik Malaysia.

Katanya, tulisan jawi sedang "tenat" dan jika keadaan itu berterusan, ia mungkin pupus satu hari nanti.

"Malaysia perlu mendidik generasi muda dalam tulisan jawi. Sekarang terlalu ramai pakar saya kenali sudah bersara tanpa ada pengganti. Bila pakar sudah tiada, siapa akan menerajui usaha pemeliharaan tulisan jawi nanti?," katanya yang fasih berbahasa Melayu kepada Bernama.

Beliau yang juga pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris, menegaskan media memainkan peranan penting dalam memastikan tulisan jawi digunakan secara lebih meluas.

Beliau berharap akhbar yang menggunakan tulisan jawi seperti Utusan Melayu diberi nafas baru untuk menarik minat rakyat di negara ini membacanya. - BERNAMA

ISU SOSIAL : Facebook, Twitter antara punca cerai


Oleh Lokman Ismail
bhagama@bharian.com.my


Perhatian, penuh kasih sayang, setia elak perangkap cinta siber

KADAR perceraian di Malaysia mengikut statistik Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) pada 2009 ialah satu kes pada setiap 15 minit. Kes perceraian membabitkan pasangan semua peringkat taraf pendidikan, kekayaan, status dan usia perkahwinan. Golongan kaya dan selebriti yang dianggap menikmati kehidupan ‘sempurna’ di mata masyarakat turut tidak terlepas mengalami keruntuhan rumah tangga.

Soal nikah dan cerai tidak boleh dipandang mudah kerana memberi kesan yang besar kepada individu, keluarga, masyarakat dan negara.

Perceraian ialah perkara halal paling dibenci dalam Islam, yakni perkara perlu dielak daripada berlaku melainkan untuk mencari keadilan dan menyelesaikan kemelut yang berlaku dalam rumah tangga.

Hidup berumah tangga banyak cabarannya, umpama melayari bahtera di lautan gelora dan luas tanpa tepian. Justeru, setiap pasangan suami isteri perlu menggunakan pendekatan berhemah dan berlapang dada dalam mendepani rencah kehidupan berumah tangga.

Allah SWT menjanjikan kebahagiaan hidup suami isteri melalui perasaan kasih sayang. Semua makhluk berhak mendapat kehebatan erti kasih sayang jika mereka benar-benar memahami anugerah yang Allah SWT berikan ini.

Firman Allah SWT bermaksud: “Antara tanda-tanda kebesaran Allah SWT ialah Dia telah mencipta untuk kamu pasangan daripada golongan kamu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram. Dan dijadikan antara kamu perasaan cinta dan kasih sayang.” (Surah ar-Rum, ayat 21)

Tanpa perasaan kasih sayang, kekayaan tidak dapat menjamin kebahagiaan rumah tangga. Banyak pasangan bertaraf jutawan mengakhiri perkahwinan dengan perceraian. Selepas perceraian, harta pula menjadi rebutan sehingga dibawa kes tuntutan ke mahkamah.

Hal ini berlaku akibat terlalu terpengaruh dengan budaya masyarakat Barat yang mana apabila berlaku perceraian, soal pembahagian harta menjadi agenda utama.

Satu fenomena baru melanda masyarakat sekarang hingga menyebabkan perceraian ialah suami atau isteri mempunyai hubungan ‘pasangan maya’ di laman sosial seperti Facebook dan Twitter.

Ledakan rakan maya menyebabkan banyak individu teruja dan ’lupa diri.’ Golongan ini asyik berhubung melalui alam siber khususnya berborak di laman sembang berjam-jam setiap hari.

Bermula dari alam siber lalu bertemu di dunia nyata. Bagi individu belum berkahwin, ada yang bertemu jodoh dengan rakan maya dan kekal bahagia. Masalahnya bagi mereka yang telah berkahwin menjalin cinta gelap dengan rakan maya menjadi punca keretakan rumah tangga.

Rakan maya mudah mesra, kononnya tidak ada sekatan perasaan malu kerana tidak perlu melafazkan kata-kata. Malah reaksi wajah atau gerak badan tidak diperlukan. Medium menjadi penghubung adalah bait kata yang tertera di skrin komputer atau telefon.

Dalam hubungan itulah, ada yang mengambil kesempatan atau terperangkap dengan cinta maya. Perkara ini lazimnya mudah berlaku membabitkan bekas kekasih, rakan lama dan tidak kurang dengan mereka yang sememangnya menjadikan ruang siber untuk berlagak Romeo mahupun Juliet.

Hubungan maya ini dikesan menjadi punca perceraian apabila suami atau isteri mengetahui pasangan mereka mempunyai hubungan cinta lain.

Tidak kurang juga mereka sanggup meminta cerai daripada pasangan apabila terlalu yakin dan sayang kepada pasangan maya yang dirasakan lebih sesuai dan mencintainya.

Untuk mencegah perkara ini, persahabatan maya perlu ada batasannya. Bagi mereka yang telah bergelar suami atau isteri, perlu bijak menilai tahap hubungan dengan rakan maya berlainan jantina.

Haram bagi isteri menjalin ‘hubungan mesra’ dengan lelaki lain biarpun hanya dalam alam maya. Suami perlu tegas melarang isteri jika perkara itu terjadi. Dayus jika suami mengetahui perkara itu tetapi tidak melakukan apa-apa tindakan untuk mencegahnya.

Riwayat Tabrani, dari Ammar Yasir berkata: “Dia mendengar dari Rasulullah bersabda: Tiga golongan yang tidak memasuki syurga sampai bila-bila iaitu si dayus, si wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak.”

Lalu sahabat berkata: “Wahai Rasulullah, kami telah faham erti orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu dayus?”

Lalu Rasulullah bersabda lagi: “Iaitu orang yang tidak mempedulikan siapa yang masuk bertemu dengan ahlinya (isteri dan anak-anaknya).”

Setia kepada pasangan dan sentiasa menyimpan hasrat untuk kekal hidup bersama sehingga ke akhir hayat amat penting dalam rumah tangga.

Jangan biarkan rumah tangga dilanda badai sehingga menggagalkan impian yang diikat ketika akad nikah dilakukan.

Sesungguhnya pahala amat besar bagi isteri yang mentaati suaminya. Sabda Rasulullah bermaksud: “Apabila seseorang isteri solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadan, memelihara kehormatan serta menutup aurat dan taat kepada suami, lebih berhak baginya masuk ke syurga daripada sebarang pintu yang dia kehendaki.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban).

Suami dan isteri boleh mencegah hubungan jika masing-masing memberi perhatian dan mengambil berat.

Hubungan maya biasa terjadi disebabkan terasa diabaikan oleh pasangan. Bermula suka-suka dan mengisi masa lapang, akhirnya mereka terjebak dengan cinta maya yang mengundang masalah dalam rumah tangga.

Sebab itu amat penting cinta dan kasih sayang suami isteri sentiasa dipupuk dan dijaga agar tidak terdorong melakukan perkara yang dilarang agama.

Langkah JAKIM ingin menganjurkan kursus pasca perkahwinan adalah satu langkah proaktif untuk membendung gejala perceraian termasuk dalam kalangan mereka yang telah lama berumah tangga.

Tentunya satu perkara amat malang jika perkahwinan yang telah berlangsung puluhan tahun berakhir dengan perceraian berpunca perkara kecil yang sebenarnya boleh dielak.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Estetika dalam karya sastera


Oleh Aminudin Mansor
(amimasra@gmail.com.)


KARYA sastera memang mempunyai nilai estetika, sama ada tahap tinggi atau bertaraf rendah. Nilai estetika ini seharusnya dapat dinikmati sebagai nikmat ketika membaca, menghayati dan memahami setiap hasil karya. Begitulah, bagi karya novel, cerpen, puisi, (pantun, syair, gurindam, seloka dan sajak), drama dan sebagainya ada terselit nilai-nilai estetika dan keindahan.

Justeru, sentuhan rasa dan fikir dapat dirasakan oleh pembaca dengan melihat kecerdasan dan jalinan keindahan bahasa seseorang pengarang. Luahan hati dan getar jiwa seni pengarang melalui kata-kata dan bayangan alam budaya kehidupan masyarakat. Ini telah diakui oleh banyak sarjana sastera. Nilai seni ini akan dapat dirasakan oleh pembaca yang cekap menangkap dengan mata akal dan mata fikir hasil seni sastera.

Istilah "keindahan" (indah) merupakan salah satu istilah pokok dalam sistem estetika kesusasteraan Melayu. Konsep keindahan dalam tradisi dan budaya Melayu menurut V.I. Braginsky (1994:16). Dia merumuskan terdapat tiga aspek yang dengan terang dinyatakan dalam karya-karya sastera menerusi penggantian perkataan "indah" dengan kata-kata yang seerti.

Menurutnya, keindahan sesuatu karya sastera dipercayai boleh mempengaruhi jiwa seseorang, mempunyai kuasa penyembuh; tetapi kesan keindahan itu yang lebih penting dan lebih utama ialah faedah (manfaat) yang terkandung di dalamnya.

Faedah ini selalu dihubungkan dengan akal, manakala keindahan pula selalu dihubungkan dengan perasaan atau hati. Keindahan dengan itu menimbulkan kesan psikologi tertentu, rasa tenang dan nikmat bergantung pada keadaan atau persediaan jiwa seseorang.

Aspek pertama, bersangkut paut dengan asal usul keindahan, atau sumbernya. Pengertian "indah" di sepadan secara tertentu dengan konsep kuasa Tuhan (kekayaan Allah). Ia meliputi kekuasaan Allah mencipta sesuatu tidak terbatas. Dan Allah juga suka kepada keindahan.

Manakala aspek kedua, estetika Islam membezakan keindahan mutlak daripada keindahan fenomena (jamal lawan husn), dengan menggunakan perkataan "elok" dan "indah" dalam karya sastera dan karangan tasawuf Melayu.

Aspek keindahan ketiga, estetik atau keindahan tersembunyi, tetapi "bentuk", iaitu susunan kata yang baik, makna yang berlapis-lapis akan menyerlahkan keindahan sehingga dapat dihayati. Tanpa bentuk yang baik, yakni apabila dilahirkan dengan gaya ungkapan yang tidak menarik, isi kandungan akan kehilangan daya tarikannya.

Aspek teori keindahan dan estetika sangat kuat untuk dibincangkan. Dalam bidang penulisan novel, keindahan ini dapat ditemui dalam novel Keris Mas (Saudagar Besar dari Kuala Lumpur), Ishak Haji Muhammad (Putera Gunung Tahan), ,Shahnon Ahmad (Lamunan Puitis Sebuah Triogi dan Ranjau Sepanjang Jalan), Abdullah Hussain (Konserto Terakhir) A. Samad Said (Salina dan Hujan Pagi), Ibrahim Omar (Desa Pingitan), Azizi Haji Abdullah (Kawin-Kawin), Anwar Redhwan (Penyemberang Sempadan), Rahman Haji Yusof (Tak Seindah Impian), dan Khaidir Ahmad (Khuluk) serta beberapa novel lain yang memaparkan keindahan kepada alam dan kehidupan manusia dengan nilai kehidupan masyarakat, sarat dengan metafora dan gaya bahasa yang menarik serta indah. Keindahannya terletak pada tema, persoalan, watak dan perwatakan yang hidup dan lincah, plot, latar masyarakat, nilai dan pengajaran yang disampaikan.

Manakala dalam cerpen terdapat gaya keindahan ungkapan bahasa, kata-kata dan makna yang berlapis-lapis maknanya. Ini dapat diselami melalui cerpen-cerpen penulis veteran seperti A. Samad Ismail, A. Samad Said, Shahnon Ahmad, Usman Awang (cerpen Menonton) ( "Budak perempuan ini banyak boy friendnya, bebasnya tak ada tabik kecuali lagi." Azizi Haji Abdullah,(Tulang Pekasam Ikam Puyu), S.M. Zakir, (20 Cerita Tentang Tuhan), Pena Mutiara (Cerpen Pak Da Beristeri Muda), dan beberapa penulis lain. Kata-kata seperti "Pan Ngah Ca tersenyum. "Kau mana tau tanahnya besar dan subur. Kau dah tengok ke? Tanya Pak Ngah Ca dalam senyum...(petikan Cerpen Pak Da Beristeri Muda di Mingguan Malaysia 22 Januari 2012). Langgam penceritaan dan gaya humor dalam masyarakat ditonjolkan dalam cerpen-cerpen ini.

Pembaharuan


Begitu juga dalam bidang puisi keindahan dan estetik dapat dikesan melalui keseimbangan bentuk luaran dan dalaman. Isinya juga mengalami transformasi ke arah pembaharuan nilai. Keindahannya, seimbang dalam nada, diksi, rima, ritma, matra suku kata, asonansi, simile, merupakan elemen-elemen penting khususnya dalam karya sastera khususnya puisi iaitu sajak. Selain itu, ada nilai falsafah yang sederhana, kekuatan idea dan pemikiran serta kekuatan penguasaan bahasanya membawa dan memilih gaya baharu. Antaranya penyair Usman Awang (Pak Utih, Bunga Popi, Penjual Pisang di Kaki Lima, Balada Terbunuhnya Beringin Tua dan Pantun Moden), A.Latiff Mohidin (Rawa-Rawa dan Mangkuk Sejarah Mangkuk Berdarah). T. Alias Taib (Tukang Gunting dan Pasar Pengalaman) dan beberapa sajak penulis lain yang tidak dapat disebutkan di sini.

Jika ditinjau, hasil karya sastera iaitu pantun digunakan seluas-luasnya dalam masyarakat Melayu pada zaman lampau dan juga masih digunakan pada masa kini. Ia meliputi bentuk komunikasi harian yang formal dan juga tidak formal. Keunggulan dan keutuhan pantun kekal sampai hari ini.

Pantun yang baik , indah dan ada nilai estetika sarat serta mempunyai nilai-nilai kehidupan masyarakat. Pembayang pantun biasanya menggunakan imej alam, tumbuh-tumbuhan dan latar masyarakat Melayu. Manakala maksudnya pula mestilah menyentuh seluruh kehidupan masyarakat, memberi pedoman kepada unsur kehidupan dan alam persekitaran masa depan.

Begitu juga dengan gurindam, seloka dan lain-lain. Semuanya mempunyai nilai estetika sama ada bertaraf tinggi atau rendah. Nilai-nilai ini juga mestilah menyentuh seluruh kehidupan manusia yang mengajar, mendidik dan membentuk peribadi manusia ke arah kebaikan.

Menurut pandangan Sidi Gazalba, seni sebagai penjelmaan rasa keindahan umumnya, rasa keterharuan khususnya, untuk kesejahteraan hidup. Rasa ini disusun dan dinyatakan oleh fikiran sehingga ia menjadi bentuk yang dapat disalurkan dan dimiliki.. Dalam pengertian "menciptakan bentuk-bentuk yang menyenangkan adalah tiap orang terlibat dengan kesenian dalam kehidupan sehari-hari".

Justeru, setiap karya yang dicipta mestilah meliputi keindahan dalaman isi, keindahan alam fizikal, keindahan fenomena, keindahan dalaman, keindahan luaran, keindahan mutlak dan keindahan rohani yang kesemuanya dapat diseimbangkan dalam karya yang dicipta.

Begitulah, sukar dan payah setiap pengkarya sastera menghasilkan karya yang baik disertai dengan nilai-nilai keindahan dan estetik yang unggul. Kekuatan bahasa dan keindahan pengarang menggunakan bahasa yang indah dan berkesan akal kekal dalam ingatan para pembaca yang akhirnya memberikan teladan yang baik kepada mereka.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU ANTARABANGSA : Konflik tentera dalam Parlimen Mesir


Ku Seman Ku Hussain

Parti perikatan Ikhwan Muslimin yang diharamkan pada era rejim bekas Presiden Hosni Mubarak menguasai Parlimen apabila mendapat 47 peratus kerusi Parlimen Mesir. Ini menunjukkan perikatan Ikhwan Muslimin dan parti Kebebasan dan Keadilan memenangi 235 daripada 498 kerusi Parlimen dalam pilihan raya berakhir 23 Januari lalu. Ini merupakan pilihan raya demokratik pertama sejak 60 tahun iaitu selepas era Presiden Anwar Sadat hingga ke era rejim Mubarak.

Pilihan raya ini mempunyai makna sangat besar dalam politik Mesir. Dari satu sudut, ia merintis ke arah pendemokrasian politik selepas era diktator Mubarak. Pada masa yang sama keputusan pilihan raya ini juga mencetuskan konflik apabila tentera masih menguasai Parlimen.

Keengganan pemerintah tentera memberi kuasa penuh kepada Parlimen mencetuskan kemarahan rakyat. Rusuhan anti campur tangan tentera dalam kerajaan mengakibatkan 40 terbunuh pada pusingan pertama pilihan raya November lalu. Tentera melengah-lengahkan peralihan kuasa sepenuhnya kepada Parlimen. Hakikatnya Mesir kini masih bawah undang-undang tentera sekalipun Ikhwan Muslimin telah menguasai Parlimen. Wakil tentera dalam Parlimen baru Mesir menunjukkan Ikhwan Muslimin tidak boleh menjadi kerajaan yang bebas. Buktinya pemerintah tentera, Jeneral Hussein Tantawi telah melantik 10 ahli baru mewakili tentera di Parlimen. Pertembungan kerajaan pilihan rakyat dengan tentera meletakkan Mesir dalam keadaan tegang. Pada masa yang sama golongan liberal akan terus mencetuskan ketegangan apabila golongan salafi perikatan Ikhwan Muslimin yang konservatif Islam menguasai Parlimen.

Mesir terperangkap dalam rusuhan kebangkitan rakyat sejak setahun lalu selepas mendapat semangat dari Tunisia. Dataran Tahrir menjadi mercu tanda perjuangan menuntut demokrasi. Tidak seperti Presiden Libya, Muammar Gaddafi yang sanggup “berjuang hingga mati”, Mubarak lebih cepat mengaku kalah. Rakyat Mesir berjaya menumbangkan Mubarak yang mempunyai hubungan rapat dengan Amerika Syarikat (AS) dan juga Israel. Mesir adalah satu-satunya negara di dunia Arab yang menyokong Israel dan memusuhi Palestin.

Tetapi yang tumbang bersama Mubarak bukanlah AS. Ini kerana apabila melihat kemaraan rakyat menuntut Mubarak dijatuhkan, AS meninggalkan Mubarak walaupun selama ini Mesir sekutu AS dalam agenda penyusunan semula politik Asia Barat. AS beralih menyokong gerakan rakyat dan menyalurkan dana kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan pejuang hak asasi.

PERJANJIAN

Sebelum ini bekas Presiden, Anwar Sadat meraih Hadiah Nobel Keamanan 1978 kerana menyokong Perjanjian damai negara-negara Arab dengan Israel yang diusahakan oleh bekas Presiden AS, Jimmy Carter. Semua negara Arab menolak pelan damai itu. Anwar Sadat menandatangani perjanjian damai di bawah pelan Camp David dengan Perdana Menteri Israel, Menachem Begin pada 26 Mac 1979.

Tragedi penutupan sempadan Mesir - Palestin pada 2008 selepas Israel melancarkan serangan atas Palestin membuktikan Mesir menyokong Israel. Ketika itu beribu tan makanan terbiar dan rosak di sempadan kerana pihak berkuasa Mesir menutup laluan ke Palestin. Mubarak adalah orang yang bertanggungjawab atas kekejaman Israel kepada Palestin.

Ini menunjukkan Mesir sejak era Anwar Sadat lagi memusuhi negara Islam terutama Palestin. Maka kemenangan konservatif Islam sudah pasti tidak disenangi AS kerana akan ini memberi tekanan kepada Israel. Mesir akan menjadi negara yang akan ditekan AS kerana kemenangan perikatan Ikhwan Muslimin.

Selepas tercetus kebangkitan rakyat, AS mulai lepas tangan dan Presiden Barack Obama secara terang-terangan mengenepikan Mubarak. Padahal sebelum itu AS menyalurkan tidak kurang AS$1.3 bilion setahun untuk menampung keperluan ketenteraan Mesir.

Maknanya kebangkitan rakyat bukan sepenuhnya kerana kesedaran rakyat. Tetapi ia juga hasil campur tangan asing di sebalik NGO dan kumpulan hak asasi yang dibiaya AS. Menerusi pilihan raya ini AS mengharapkan golongan liberal berjaya membentuk kerajaan. Tetapi yang berlaku adalah sebaliknya. Kejayaan golongan salafi perikatan Ikhwan Muslimin bertentangan dengan agenda AS di Mesir.

Cabaran Ikhwan Muslimin untuk mengubah Mesir juga besar. Mesir terperangkap dalam krisis ekonomi berpanjangan sejak era Mubarak lagi. Pada 2010 misalnya kadar pengangguran di Mesir mencatatkan kadar 9 peratus sementara 20 peratus rakyat berada bawah paras kemiskinan. Kadar inflasi pula mencapai 11.1 peratus.

Gerakan kebangkitan rakyat mulanya diterajui oleh pejuang demokrasi Mohamed El Baradei yang pernah memenangi Anugerah Nobel dan bekas diplomat. Sebelum ini banyak pihak membayangkan Mohamed akan menggantikan Mubarak. Malah Mohamed berkempen di seluruh negara sebagai calon Presiden. Tetapi menjelang pilihan raya Mohamed menarik diri kerana protes campur tangan tentera. Tentera tidak mahu melepaskan kuasa sekaligus menjadikan pilihan raya Mesir kali ini tidak bebas dan imej Mesir sebagai “negara tentera” tidak dapat dipadamkan.

Inilah konflik baru yang didepani Mesir selepas merana bawah rejim Mubarak. Penganalisis membayangkan konflik tentera dalam Parlimen akan meletakkan Mesir dalam kedudukan tegang selain menjejaskan tumpuan memulihkan ekonomi. Apa lagi selepas tokoh seperti Mohamed tidak berada dalam senarai ahli Parlimen baru Mesir. Ini belum lagi penentangan terhadap golongan konservatif Islam oleh puak liberal. Parti liberal seperti Al Wafd dan Blok Mesir walaupun hanya meraih 14 peratus undi atau 69 kerusi Parlimen tetapi mampu mencetuskan keadaan tidak stabil.

KEMPEN

Suasana politik yang menyelubungi Mesir ketika ini tidak memberi jaminan wujud kestabilan sekaligus melangkah ke tahap baru. Tidak ada maknanya rakyat memilih pemimpin menerusi sistem yang demokratik tetapi akhirnya tentera menggunakan kuasa veto untuk ke Parlimen. Pada akhir November lalu ketika kempen pilihan raya pusingan pertama, rakyat marah dengan poster di ibu pejabat pemerintah tentera dengan slogan Egypt Above All.

Walaupun jeneral tentera itu menafikan terlibat dengan kempen pilihan raya tetapi banyak pihak percaya tentera akan terus menguasai Parlimen. Buktinya pada pengundian pusingan pertama 28 November lalu, Hussein Tantawi menegaskan, kedudukan tentera dalam Parlimen tidak akan berubah walaupun selepas perlembagaan yang baru digubal.

Persoalannya mampukah perikatan Ikhwan Muslimin mengatasi wakil tentera di Parlimen? Sekiranya tidak, Mesir tidak akan berubah dan demokrasi tidak dapat dipulihkan sekalipun Mubarak telah dijatuhkan dan kini sedang dibicarakan. Setahun telah berlalu tetapi sinar demokrasi masih belum menjelma di Mesir. Adakah ini hukuman kepada Mesir yang mengkhianati jirannya, Palestin?

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Jumaat, 27 Januari 2012

ISU AGAMA : Persekitaran manusiawi galak kecemerlangan budaya kerja


Oleh Sharifah Haayati
bhagama@bharian.com.my


Hubungan baik kakitangan, majikan hindari tekanan

PERSEKITARAN manusiawi dengan nilai insani adalah faktor utama merangsang suasana ceria kehidupan termasuk di tempat kerja. Walaupun bekerja dalam bangunan tinggi mencakar langit, luas, disediakan segala kelengkapan dan teknologi canggih, belum menjamin keseronokan bekerja.

Tanpa persekitaran manusiawi antara rakan sekerja dan majikan yang baik, ia boleh menyebabkan pekerja berasa tertekan atau tidak bermotivasi untuk datang ke pejabat. Persekitaran manusiawi dimaksudkan yang mengamalkan nilai saling hormat menghormati, berbaik sangka dan bekerjasama.

Tiga nilai utama ditekankan Rasulullah SAW itu juga membentuk ketakwaan. Apabila nilai saling menghormati diamalkan, seseorang akan menjaga lidah daripada mengeluarkan kata-kata kasar, kesat dan sindiran antara satu sama lain walaupun dengan pekerja bawahan.

Sifat berbaik sangka pula, akan menghindarkan pandangan negatif, fitnah dan dendam sementara sifat saling bekerjasama menghindarkan hasad dengki, mementingkan diri sendiri serta egoisme.

Semua sifat negatif ini boleh berlaku di tempat kerja sehingga mewujudkan ‘politik pejabat’ yang tidak sihat secara senyap dan budaya kerja menjejaskan kualiti.

Sabda Rasulullah SAW: “Jangan kamu saling berdengki, bersaing dalam menawar harga untuk menjatuhkan orang lain, benci dan bermusuhan serta jangan kamu menjual barangan untuk merugikan yang lain. Jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara. Orang Muslim itu saudara Muslim yang lain, tidak boleh menzaliminya, menghina mahupun merendahkannya. Takwa itu ada di sini (Rasulullah menunjuk ke dadanya tiga kali). Cukuplah seseorang itu dianggap jahat sekiranya menghina saudaranya yang Muslim.” (Hadis riwayat Muslim)

Sejarah Rasulullah SAW membuktikan faktor persekitaran manusiawi bukan sekadar mampu membina kejayaan sebuah organisasi atau individu tetapi hasil menggembleng tenaga antara kaum Muhajirin dan Ansar berjaya membentuk negara Madinah makmur yang diurus tadbir Rasulullah SAW dalam masyarakat berbeza puak serta kabilah.

Walaupun dengan segala kekurangan material, apabila manusia bersatu hati, saling menghormati dan bekerjasama, ia berjaya direalisasikan. Gambaran sifat kaum Ansar diceritakan kaum Muhajirin kepada Rasulullah SAW menggambarkan persekitaran manusiawi yang unggul.

Diriwayatkan Imam Ahmad dalam Musnadnya daripada Anas, mereka berkata: “Wahai Rasulullah, kami belum pernah bertemu dengan satu kaum yang sangat pemurah, jika sedikit yang mereka ada, mereka tidak berkira. Jika banyak yang mereka ada, mereka memenuhi segala keperluan kami serta berkongsi kegembiraan mereka dengan kami, sehinggakan kami bimbang mereka akan membolot semua pahala. Nabi bersabda: Tidak, selagi kamu memuji mereka dan selagi kamu berdoa kepada Tuhan untuk mereka.”

Antara sifat mereka juga ialah saling mendoakan seperti firman Allah yang bermaksud: “Dan orang yang datang sesudah mereka berkata: Wahai Tuhan kami, ampunkan kami dan saudara kami yang sudah mendahului kami dalam beriman dan jangan Engkau jadikan dalam hati kami perasaan iri hati terhadap orang beriman. Wahai Tuhan kami, sesungguhnya Engkau Maha Mengasihani.” (Surah al-Hasyr, ayat 10)

Anas bin Malik, pembantu Rasulullah SAW juga menceritakan bagaimana beliau tidak pernah dikasari Baginda walaupun sekali selama lebih daripada 10 tahun menjadi pembantu Baginda. Baginda tidak pernah sekalipun mengeluarkan kata-kata kasar kepadanya seperti menyebut ‘cis’ dan mengapa kamu tidak buat begitu? (Hadis Muttafaq ‘Alaih)

Hubungan majikan dan pekerja antara Rasulullah SAW dan Anas adalah model hubungan manusiawi yang hebat untuk dicontohi sesuai perkembangan peradaban manusia. Justeru, persekitaran manusiawi dengan nilai insani, sikap, cara bekerja boleh mempengaruhi serta membantu orang lain mencapai keselesaan dan keseronokan bekerja.

Beruntunglah jika kerana kita pekerja lain merasa gembira untuk bekerja dan bimbanglah jika berlaku sebaliknya kerana menurut sabda Rasulullah SAW memasukkan kegembiraan dalam diri seseorang itu adalah akhlak mulia.

Justeru, mengurus kerja dan organisasi juga bermaksud mengurus hubungan secara manusiawi dengan membudayakan kerja cemerlang berdasarkan amalan nilai insani.

Penulis ialah pensyarah di Jabatan Siasah Syar’iyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU ALAM SEKITAR : Malaysia tempat ketiga EPI


Oleh Syed Mohd Ridzuwan Syed Ismail
smohd@bharian.com.my


Kejayaan negara urus pelestarian alam sekitar beri kesan kepada pelabur

JOHOR BAHRU: Malaysia mencatat kedudukan terbaik dalam Indeks Prestasi Alam Sekitar (EPI) apabila diiktiraf sebagai negara ketiga terbaik di rantau Asia Pasifik dan 25 terbaik daripada 132 negara seluruh dunia.

Pada 2010, EPI Malaysia berada pada kedudukan 54 di kalangan 163 negara seluruh dunia dan keenam di rantau Asia Pasifik.

Antara aspek dinilai adalah perubahan iklim, pertanian, perikanan, perhutanan, pencemaran air dan pencemaran udara yang memberi kesan kepada hidupan.

Di rantau Asia Pasifik, New Zealand berada di tempat teratas, diikuti Jepun sebelum Malaysia.

Manakala pada peringkat dunia, EPI Malaysia berada setaraf dalam kumpulan negara berprestasi EPI terbaik setanding Jerman, Iceland, Finland, Denmark, Belgium dan Jepun.

Ketua Pasukan EPI Malaysia, Datuk Prof Dr Zaini Ujang, berkata kedudukan EPI itu diumumkan dalam Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzeland kelmarin dan penanda aras EPI itu memberi imej baru kepada negara.

Katanya, kajian penanda aras penunjuk dan polisi pelestarian alam sekitar dunia itu dilakukan kumpulan penyelidik Universiti Yale dan Universiti Colombia, Amerika Syarikat dengan kerjasama Suruhanjaya Eropah dan Forum Ekonomi Dunia bagi menilai pelestarian sesebuah negara melalui dua objektif utama iaitu kesejahteraan alam sekitar dan kesan pencemaran terhadap kesejahteraan hidup manusia.

“Berdasarkan petunjuk dikeluarkan, prestasi Malaysia berada pada kedudukan amat baik daripada segi kesan udara kepada kesihatan manusia iaitu 97.3 peratus, pertanian (95 peratus) dan biodiversiti serta habitat (90.1 peratus).

“Bagaimanapun, langkah proaktif bagi menambah indeks perubahan iklim dan perhutanan perlu diambil yang masing-masing dinilai pada kadar 28 dan 17.4 peratus saja,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

EPI juga bagi memberi kesedaran kepada perancang dan pembuat dasar negara di dunia berkaitan pentingnya menetapkan sasaran dan menyediakan data telus bagi mengukur kelestarian berasaskan 25 penunjuk prestasi alam sekitar.

Dr Zaini yang juga Pengerusi Majlis Kualiti Alam Sekeliling Malaysia, berkata peningkatan EPI itu juga disebabkan insentif kerajaan ditadbir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang memberi penekanan kepada kelestarian Model Ekonomi Baru (MEB).

“EPI penting kerana ia memberi gambaran kejayaan negara mengurus alam sekitar dan sumber alam dengan baik, selain kesan kepada pelabur dan pelancong.

“Peningkatan ini hasil usaha dilakukan pasukan EPI Malaysia yang mengumpul data pelbagai jabatan dan kementerian serta memberikan data komposit daripada data sebelumnya,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU UMUM : TIP AGAR BERTAHAN DI PEJABAT



Pejabat ibarat rumah kedua bagi ramai antara kita. Apakah cara yang boleh anda usahakan agar anda mampu bertahan sepanjang ketika bekerja?

Rehatkan mata

Pada setiap 30 minit, cubalah memandang ke arah lain dan hindarkan daripada asyik memandang skrin komputer anda itu secara terus-terusan. Sebaik-sebaiknya, pandanglah ke luar tingkap. Dengan itu, anda dapat membantu merehatkan mata anda buat seketika setelah berjam-jam menghadap komputer.

Snek sihat


Elakkan daripada mengambil snek-snek yang tidak menyihatkan seperti coklat dan kerepek kentang setiap jam. Jika anda sering ingin mengunyah semasa bertugas, pilihlah snek berkhasiat seperti buah-buahan kering, tairu atau yogurt rendah lemak dan salad.

Senaman ringan

Ketika dalam perjalanan ke tempat kerja, anda boleh menaiki tangga ke pejabat daripada menggunakan jalan pintas dengan menaiki lif. Cubalah berjalan-jalan di sekitar kawasan pejabat anda terutama jika anda telah duduk agak lama. Anda juga boleh membuat senaman ringan atau regangan (stretching) ketika duduk.

Jauhi kopi


Minumlah jus-jus buah-buahan atau air putih dan elakkan daripada meminum kopi. Tidak dinafikan bahawa setelah meminum kopi, anda tidak akan berasa mengantuk dan akan berasa segar kerana ia mengandungi kafein. Tetapi tahukah anda bahawa kopi boleh menyebabkan kerosakan jantung jika anda meminumnya dalam jumlah yang berlebihan dan ia juga boleh menyebabkan jantung anda berdegup pantas. Jika anda penggemar kopi, minumlah secara sederhana.

Kerusi yang selesa

Kerusi pejabat adalah sangat penting bagi anda yang bekerja di meja pejabat sepanjang hari. Kerusi yang selesa dan baik akan menghindarkan diri daripada mengalami sakit tulang belakang. Atau, anda boleh membeli bantal ortopedik atau kusyen tempat duduk kerana ia boleh memberi sokongan pada tulang belakang.

Suhu pendingin hawa

Suasana kerja yang sihat tidak harus terlalu panas atau sejuk kerana keadaan yang terlalu sejuk akan membuatkan anda berasa mengantuk. Sementara persekitaran yang terlalu panas pula akan membuatkan anda hilang fokus ketika berkerja.

Cara mewujudkan keceriaan di pejabat


i. Memelihara pokok-pokok bunga di dalam pejabat bukan sahaja mencantikkan ruang pejabat bahkan juga membantu membersihkan udara dan meningkatkan kadar oksigen.

ii.Kajian menunjukkan pencahayaan semula jadi atau natural lighting boleh mengurangkan stres.Jika pejabat anda tidak mempunyai tingkap, anda boleh menggantikan mentol lampu neon dengan lampu spektrum. Ini kerana lampu spektrum mempunyai pencahayaan yang seakan - akan sama dengan cahaya semula jadi.

iii.Muzik pula memainkan peranan bagi memberikan motivasi dan merehatkan minda pekerja. Tetapi anda perlu memilih muzik yang bersesuaian kerana memainkan muzik yang membingitkan akan hanya membuatkan orang di sekeliling hilang tumpuan kerja.

iv. Golongan pekerja pejabat dinasihatkan agar mengambil waktu rehat sekurang-kurangnya dua kali sehari. Pemandangan yang berbeza dan hirupan udara segar di luar pejabat dipercayai dapat meningkatkan kreativiti dan minda pekerja.

Sumber : http : //www.cyberita.asia1.com.sg/