Selasa, 8 April 2014

ISU BAHASA : Laras bahasa bantu rungkai punca tragedi MH370


Oleh : Profesor Teo Kok Seong

Penerbangan MH370 yang sepatutnya ke Beijing dan kini dianggap hilang di Lautan Hindi, bukan sahaja tersasar jauh, tetapi menimbulkan pelbagai soalan. Mudahan-mudahan semuanya terjawab dengan sejelas-jelasnya apabila perakam kedua-dua data penerbangan dan suara kokpit, yang lebih dikenali sebagai kotak hitam, ditemui kelak.

Kotak hitam didapati berjaya merungkai kebanyakan punca nahas pesawat yang telah berlaku setakat ini. Dari perakam data penerbangan, segala maklumat mengenai sesuatu penerbangan itu dapat diketahui. Ini termasuk prestasi dari segenap fungsi, selain keupayaan enjin.

Daripada perakam suara kokpit pula, segala percakapan sepanjang penerbangan, khususnya oleh mereka yang berada di dalam kokpit dengan pihak menara kawalan udara dan sesama mereka dapat diketahui. Bukan itu sahaja, segala bunyi di sekitar kokpit, termasuk bunyi enjin, amaran dan kecemasan turut dirakamkan.

Semua rakaman ini berlaku secara automatik sebaik sahaja enjin pesawat dihidupkan dan berakhir apabila ia dimatikan. Seperkara yang penting tentang kotak hitam ini ialah ia tidak boleh dimanipulasi sembarangan, sama ada secara manual atau sebaliknya.

Ini antaranya kerana ia tidak memiliki suis. Dengan itu, ia sentiasa dalam keadaan sulut. Ia juga dipasang dengan kuat dalam kalangan beberapa buah komputer di bahagian ekor pesawat.

Analisis rakaman suara

Pengajian bahasa atau linguistik sering juga dirujuk untuk menyelesaikan punca nahas pesawat. Ini dilakukan dengan menganalisis rakaman suara kokpit dari pelbagai aspek bahasa. Antaranya penyebutan, pembinaan ayat dan prinsip perbualan.

Justeru, percakapan pada perakam suara kokpit didengar berkali-kali untuk mengenal pasti tahap kewaspadaan dan kecekapan juruterbang dari sudut kebahasaan. Ini dilakukan pada setiap masa atau segmen tertentu sepanjang sesuatu penerbangan itu.

Didapati kebanyakan percakapan ketika penerbangan berlaku pada awal perjalanan, yakni di darat ketika menanti untuk berlepas dan dalam proses pelepasan ke udara.

Perkara yang sama berlaku ketika proses pendaratan dan di darat sebelum pesawat betul-betul berhenti.

Bentuk bahasa penerbangan didapati istimewa sifatnya. Ia bersifat amat ritual, yakni perlu mengikuti pola bahasa tertentu dengan ketat. Ini penting untuk kepastian makna mesej yang diterima dan identifikasi yang perlu dilakukan, seperti yang dimohon menara kawalan.

Bahasa penerbangan ada gaya tersendiri

Semua ini bukan sahaja penting agar segala apa yang diperkata itu difahami dengan jelas. Ia juga mementingkan penggunaan laras bahasa penerbangan, khususnya ketika komunikasi antara juruterbang dengan menara kawalan. Laras ini ada gaya tersendiri yang disarati oleh istilah penerbangan.

Sehubungan ini, percakapan dalam kokpit dianalisis untuk melihat tahap pematuhan kepada penggunaan laras bahasa ini. Sebarang penyelewengan yang berlaku diselidiki. Ia bukan norma wacana yang digunakan.

Selain itu, gangguan pada cara berbahasa juruterbang, yang kadangkala tercermin pada kesalahan pelik pada ayat digunakan, bunyi yang disebut, prinsip perbualan yang tidak dipatuhi, ikut diselidiki.

Pendekatan analisis linguistik begini mempercayai bahasa adalah perkara pertama yang terkesan, apabila manusia menghadapi tekanan, baik yang bersifat mental, misalnya ketika diugut, mahupun sebaliknya, misalnya dipengaruhi bahan beracun seperti gas.

Dalam keadaan begini, kebolehan seseorang itu membina ayat yang gramatis menjadi terhad dan kadangkala hilang langsung. Selain itu, topik yang diperkatakan yang tidak selalunya dibicarakan dalam konteks komunikasi juruterbang dengan pihak di darat, adalah ranah lain yang diselidiki.

Tahap kompleks ayat juruterbang adalah ukuran lain yang penting dalam hal ini. Sehubungan ini, didapati kebolehan juruterbang menghasilkan ayat yang strukturnya kompleks adalah terhad atau terjejas sekiranya beliau berada dalam keadaan tertekan.

Penyebutan adalah aspek analisis lain yang amat penting. Dalam hal ini, penyebutan bunyi bahasa yang sukar dilafazkan walaupun dalam keadaan tidak tertekan, akan menjadi lebih susah penyebutannya atau gagal disebutkan langsung, dalam keadaan begini.

Kekerapan penggunaan bentuk bahasa yang menandakan keraguan, misalnya aa, er dan um akibat keadaan tertekan, adalah petunjuk penting lain dalam analisis sebegini.

Dalam usaha merungkai tragedi MH370, pengajian bahasa dengan penerapan beberapa disiplin di dalamnya, melalui pendekatan dan kaedah tertentu, boleh diikut sertakan jika didapati perlu.

Penulis ialah Profesor Linguistik di Universiti Kebangsaan Malaysia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Ahad, 6 April 2014

ISU PENDIDIKAN : Projek perintis transformasi tingkatan 6 dilaksana


BUTTERWORTH - Projek perintis transformasi tingkatan enam iaitu penjenamaan semula pendidikan tingkatan enam akan dilaksana dalam tempoh terdekat, kata Timbalan Menteri Pendidikan II P. Kamalanathan.

Katanya selain memperkasa tingkatan enam, transformasi itu juga bertujuan memberi pilihan kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) meneruskan pengajian di sekolah sebelum ke institusi pengajian tinggi (IPT).

"Kementerian telah mengenal pasti sekolah yang akan diperkenalkan dengan projek  perintis ini. Selain itu kita juga adakan pelbagai program bagi membantu pelajar membuat  pilihan tepat demi masa depan mereka," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan  taklimat matrikulasi yang diadakan sempena program 'Jom Masuk U' di sini hari ini.

Projek perintis transformasi tingkatan enam itu diumum oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada pertengahan 2012.

Selain dipisahkan daripada sekolah menengah sedia ada, pelajar tingkatan enam juga akan dididik oleh golongan guru yang berbeza dan ini selaras dengan sistem  pendidikan prauniversiti lain seperti di kolej matrikulasi dan pusat asasi sains.

Kamalanathan berkata pada tahun ini sebanyak 28,000 tempat ditawarkan untuk program matrikulasi dan jumlah pemohon pula ialah 109,000  orang.

"Setiap tahun memang ada peningkatan, kita berharap bagi pelajar yang tidak berpeluang mengikuti pengajian matrikulasi boleh meneruskan pendidikan mereka di tingkatan enam. Ini juga satu pilihan yang baik sebelum melanjutkan pengajian ke IPT," katanya.

Sementara itu beliau berkata sebanyak 1,500 tempat ditawarkan kepada pelajar kaum India yang berminat untuk mengikuti pengajian peringkat matrikulasi, program yang dimulakan sejak 2012. - Bernama

Jumaat, 4 April 2014

Isu Pendidikan : Pendidikan negara : Apa yang tak kena?

Dr Frederico Gil Sander

Oleh : DR NAZIL NUHAIRI B ISMAIL

TERSENTAP seketika membaca komen daripada pakar ekonomi Bank Dunia Dr Frederico Gil Sander di dalam satu majlis anjuran Pemandu di Damansara yang memberitahu mutu pendidikan di Malaysia jatuh merudum berdasarkan Program Penilaian Antarabangsa Pelajar (PISA) lebih membimbangkan daripada kejatuhan kewangan.

Tambah beliau, mutu pendidikan di Malaysia lebih teruk daripada Vietnam dengan menduduki tangga ke-52 daripada 65 negara yang terlibat.

Apa yang berlaku kepada pendidikan kita ni? Sehingga dikritik tajam dan pedas oleh masyarakat luar? Adakah ini satu persepsi buruk yang direka ataupun fakta yang nyata? Pelbagai persoalan menerjah kotak fikiran yang menunggu jawapan segera.

Memetik kata-kata Nelson Mandela “Education is the most powerful weapon which you can use to change the world”. Tamadun manusia masa hadapan ditentukan oleh pendidikan hari ini.  Generasi yang kita didik hari ini akan menentukan generasi masa depan.

Sebuah negara perlukan generasi mapan untuk meneruskan kecemerlangan pencapaian kemajuan. Masa depan negara terletak di tangan generasi kini dan acuan bentuk generasi kini ditentukan oleh warna pendidikan.

Dasar pendidikan di Malaysia bermula selepas tarikh kemerdekaan. Bermula dengan laporan Barnes yang mensasarkan pendidikan Malaysia menjadi alat perpaduan kaum dengan mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Selepas itu dasar pendidikan terus mengalami evolusi dan transformasi sejajar dengan kehendak semasa.

Pada tahun 1983, antara perubahan penting pendidikan negara dengan perlaksanaan KBSR bermatlamat perpaduan dan peningkatan penguasaan 3M (menulis, membaca dan mengira) dalam kalangan pelajar.

Dasar ini diikuti dengan dasar KBSM yang menggabungkan antara ilmu dan syahsiah diri pelajar. Di samping itu,  pendidikan kemahiran terus diperkasakan. Ini semua bertujuan memenuhi keperluan semasa perancangan kemajuan negara.

Namun beberapa permasalahan timbul melanda pendidikan negara. Pengenalan Dasar Penswastaan yang tidak terkawal mengakibatkan tumbuhnya kolej dan institusi pendidikan yang lebih bermatlamatkan keuntungan daripada pembinaan insan.

Sekolah dan universiti tumbuh begitu subur bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan sehinggakan graduan lepasan institusi  pengajian tinggi melebihi keperluan dan membuka masalah pengangguran dalam kalangan siswazah.

Fenomena ini menggambarkan seolah-olah pembinaan sekolah  dibuat tanpa kajian kehendak pasaran, sebaliknya dibina untuk mengaut kekayaan hasil daripada  yuran pengajian pelajar.

Bertambah derita lagi apabila  pelajar terpaksa "mendokong biawak" hutang selepas graduasi. Sudahlah tiada pekerjaan yang diharapkan, dikejar pula oleh pengutip hutang tanpa kasihan.

Betapa ramai graduan pelbagai  bidang  khususnya  bidang perguruan menjadi siswazah penganggur. Inilah akibat daripada ketamakan pihak pembuat dasar yang meletakkan keuntungan mengatasi kebajikan rakyat.

Pengenalan pembelajaran Sains dan Matematik  dalam bahasa  Inggeris merupakan satu lagi malapetaka kepada sistem pendidikan negara. Bahasa Malaysia yang diangkat menjadi instrumen penyatu rakyat negara Malaysia selama  ini seolah-olah  diketepikan.

Tanpa sebab yang konkrit, dasar ini ingin diteruskan walaupun mendapat tentangan daripada cendekiawan  bahasa, guru dan NGO yang melihat nasib bangsa Malaysia menjadi taruhan disebabkan oleh keras kepala pemerintah dan kedegilan mereka. Hal ini telah mengundang demonstrasi jalanan yang bersaiz mega menempelak pelaksaann dasar ini. Jutaan wang pembayar cukai dibazirkan untuk persediaan dasar pengajaran bahasa Inggeris ini.

Apa hasilnya sekarang? Generasi hari ini terpaksa mencuci  "kotoran"  yang ditinggalkan oleh orang terdahulu.

Kini heboh pula  program baharu Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Sepintas lalu nampak matlamatnya murni, meningkatkan sistem pendidikan Malaysia setaraf dunia. Penilaian pencapaian murid berdasarkan pemerhatian guru kepada murid  tidak  lagi merujuk kepada markah peperiksaan sebaliknya lebih melihat kepada bakat dan penguasaan akademik pelajar.

Di peringkat perlaksanaan, PBS mendapat tentangan yang hebat daripada warga pendidik. Guru dikatakan dibebani oleh kerja-kerja "kepejabatan" sehingga mengabai kerja hakiki guru iaitu mendidik generasi muda. Sehingga kini, perdebatan perlaksanaan PBS ini panas diforumkan. Sang menteri mengatakan guru tidak terbeban, telah dibuat penambahbaikan sehingga 80 peratus kerja telah dikurangkan. Di kalangan guru, menyuarakan hanya guru sahaja yang memahami beban PBS ini.

Melihat konflik yang melanda pendidikan negara, kita amat  khuatir dan bimbang tentang generasi masa hadapan negara. Masa terus berlalu tanpa menunggu kita. Pencapaian pendidikan yang terus merosot amat merisaukan. Generasi bagaimanakah yang akan menggantikan kepimpinan negara  pada masa hadapan?

Kita amat mengharapkan golongan pemerintah dan cendekiawan pendidikan dapat berbincang dan duduk bersama-sama  untuk merangka pelan pendidikan terbaik Negara, bukannya menunjuk kuasa dan ego keras kepala.

Demi kebaikan negara dan anak cucu kita, sudah-sudahlah bercakaran . Ini bukan masa untuk berkata nista. Ini masa untuk bermuhasabah dan mengatur kerja demi negara tercinta.

Penulis ialah Pengerusi Persatuan Profesional Islam (PROMIS)

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Rabu, 2 April 2014

ISU EKONOMI : Tahun Melawat Malaysia dan cabarannya


Oleh :  M JASNI MAJED

MENURUT Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, promosi Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM 2014) terpaksa dihentikan buat seketika sebagai menghormati tumpuan negara dalam mencari kotak hitam pesawat MH370 yang dikatakan terhempas di Selatan Lautan Hindi.

Kita tidak pasti berapa lama promosi TMM 2014 akan ditangguhkan dan sudah tentu ia bergantung kepada keadaan.

Insiden yang menimpa MH370 mengalih perhatian masyarakat negara kita dan dunia kepada peristiwa tersebut sehingga menenggelamkan TMM.

TMM 2014 menyasarkan sejumlah 28 juta pelancong dengan nilai pendapatan sebanyak RM76 bilion. TMM dilancarkan buat kali pertama pada tahun 1990 dengan mencatat sejumlah 7.4 juta pelancong. Sementara itu, TMM 2007 mencatat sejumlah 20.97 juta pelancong dengan pendapatan berjumlah RM46.1 bilion.

Pada tahun 2011, walaupun di luar kempen Tahun Melawat Malaysia, negara ini berjaya mengumpul sejumlah RM58.3 bilion daripada kedatangan 24.7 juta pelancong asing.

Pelancongan merupakan sumbangan pendapatan ketiga terbesar negara selepas pembuatan dan kelapa sawit. Malaysia juga diiktiraf sebagai negara ke-9 paling kerap dilawati oleh pelancong asing.

Malah kita mendapat pelbagai pengiktirafan dunia menerusi bidang pelancongan termasuk destinasi membeli-belah ke-4 terbaik dunia. Ini bermakna di peringkat global, Malaysia sudah terkenal dalam bidang pelancongan dan pelbagai pihak berusaha untuk melonjakkan lagi industri pelancongan negara.

Pertambahan angka sama ada jumlah pelancong dan pendapatan negara memperlihatkan betapa bidang ini membantu meningkatkan ekonomi negara, membuka peluang pekerjaan yang sangat banyak dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan kerana mempunyai pelbagai tarikan pelancong, selamat dikunjungi dan mesra pelancong.

Pada TMM 2007, sebanyak 1,000 acara dianjurkan dari awal tahun sehinggalah pada Disember termasuk Pameran Aeroangkasa Antarabangsa Malaysia, Pameran Pertunjukan Bunga Api di Tasik Putrajaya, Pertunjukan Udara Antarabangsa di Kuala Lumpur dan pelbagai pertunjukan jalanan di kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan pelancong.

Bagaimanapun, TMM 2007 dilanjutkan sehingga ke tahun 2008 kerana berlaku banjir besar di Johor dan beberapa negeri lain. Menurut menteri berkaitan pelancongan ketika itu iaitu Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, demonstrasi jalanan yang kerap berlaku pada ketika itu merencatkan perjalanan pelancong.

TMM 2014 menyaksikan pelbagai acara disediakan untuk pelancong dalam dan luar negara. Di samping itu, kerajaan berharap seluruh rakyat Malaysia mengambil bahagian dan bersedia menyambut pelancong asing dengan imej dan sikap positif. Rakyat keseluruhannya menjadi duta dalam usaha menjayakan TMM 2014.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bahawa TMM 2014 merupakan misi nasional yang bukan sahaja didukung oleh Kementerian Pelancongan, sebaliknya setiap kementerian mesti memainkan peranan untuk memastikan TMM 2014 mencapai sasarannya.

Katanya, sikap mesra pelancong sangat penting untuk memberi gambaran positif masyarakat kita di mata pelancong asing. Sikap ingin membantu pelancong, keceriaan dan kemesraan akan meninggalkan kesan mendalam kepada pelawat dari luar negara.

Seperti biasa, sebenarnya bukan mudah untuk menjayakan sesuatu program dan tentunya pelbagai cabaran perlu ditempuhi.

Tahun ini sahaja sudah ada beberapa insiden yang berkaitan dengan pelancongan. Antaranya, kehilangan pesawat MH370 yang menjadi misteri beberapa lama turut menjejaskan industri pelancongan.

Apa yang berlaku ke atas pesawat MH370 meninggalkan kesan mendalam terhadap pergerakan orang ramai dari satu destinasi ke satu destinasi yang membabitkan jalan udara. Jika tidak ada keperluan mendesak sama ada urusan kerja atau saudara-mara, tentu ada yang fobia naik kapal terbang.

Dalam pada itu, kemarau dan masalah cuaca kering sedikit sebanyak tentu menjejaskan bidang pelancongan. Jerebu turut membimbangkan pelancong untuk datang ke negara kita kerana berkaitan dengan masalah kesihatan.

Di samping itu, insiden enam remaja maut di sebuah konsert di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil turut memberi imej negatif industri pelancongan tempatan kerana ia berkait rapat dengan masalah keselamatan.

Oleh hal demikian, kita sangat berharap agar segala macam musibah yang melanda negara pulih seperti sedia kala. Industri pelancongan bukan hanya mendatangkan faedah jangka panjang kepada kerajaan malah kepada individu yang menceburkan diri dalam industri ini secara tidak langsung.

Di kampung-kampung, ramai yang mengusahakan kraftangan yang cantik dan berjaya memikat pelancong asing. Malah, perusahaan makanan ringan secara kecil-kecilan seperti keropok, kerepek, kuih tradisional berjaya menjana pendapatan penduduk desa hasil daripada kedatangan pelancong dari luar.

Oleh itu, kita percaya industri ini akan berkembang semula selepas berakhirnya pelbagai peristiwa buruk yang berlaku ke atas negara kita.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Jadikan pengajaran BI lebih menarik


Oleh :  Johan Jaaffar

Tragedi MH370 mendedahkan kita pada kenyataan bahawa kita perlukan penguasaan Bahasa Inggeris (BI) untuk menghadapi media asing. Setiap gerak dan tindakan kita diteropong. Malaysia perlukan jurucakap yang trampil dan berwibawa. Menteri Pertahanan yang juga Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berjaya menghadapi media antarabangsa yang skeptikal dengan cara yang tegas dan bersahaja.

Banyak masalah komunikasi diselesaikan apabila Hishammuddin mengambil teraju utama.

Banyak orang mengatakan penguasaan BI atau bahasa-bahasa utama dunia tidak diperlukan hari ini. Kita boleh menggunakan bahasa kebangsaan masing-masing walaupun berdepan dengan media dunia. Banyak negara maju berbuat demikian. Tetapi hakikatnya, kita perlukan rakyat yang boleh menguasai sebanyak mungkin bahasa-bahasa utama dunia – BI, Arab, Mandarin, Perancis, Jepun, Jerman, apa sahaja. Dalam dunia yang semakin terbuka seperti sekarang, sesiapa yang menguasai bahasa lain mempunyai kelebihan. Dalam menangani krisis MH370 kita perlukan penerangan langsung agar fakta dan maklumat tidak hilang dalam terjemahan.

Penguasaan BI lemah

Pelbagai pihak menyentuh soal kelemahan BI dalam kalangan pelajar-pelajar kita. Mereka belajar BI dari sekolah rendah sehingga Tingkatan Lima tetapi tidak mampu menulis ayat BI yang betul atau bercakap dalam bahasa itu. Ada yang menyalahkan sistem pembelajaran BI. Ada yang mengatakan bukan BI sahaja yang lemah tetapi BM juga menampakkan kemerosotan yang jelas. Ada yang menyalahkan media sosial yang merosakkan bahasa. Krisis bahasa yang digunakan dalam media sosial membabitkan semua bahasa utama dunia.

Apakah pengajaran BI terlalu formal di sekolah hingga membosankan pelajar? Apakah benar pendidikan BI tidak lagi mengajarkan nahu atau ‘grammar’ di sekolah kita? Apakah penekanan pada aspek “komunikasi” sahaja menenggelamkan keperluan lain? Soalan yang boleh ditanyakan ialah mengapakah satu ketika dulu anak-anak kita boleh menguasai BI dengan lebih baik?

Sepatutnya kanak-kanak suka belajar bahasa. Sekiranya sejak awal mereka membenci bahasa, kita akan menghadapi masalah. Maka itu kaedah pengajaran cara lama harus dikaji semula. Mungkin ada baiknya kaedah pengajaran bahasa itu diguna pakai pada masa ini, dengan penyesuaian tentunya.

Pada tahun-tahun 50-an dan 60-an, guru-guru BI ada darjat dan kedudukan istimewa dalam masyarakat. Mereka dipanggil “Master”. Mereka biasanya mendapat pendidikan dari England untuk mengajar BI. Dan kaedah pengajaran mereka ialah menggabungkan disiplin pembelajaran dengan penekanan pada lagu kanak-kanak, puisi, drama dan sebagainya. Bagi guru-guru ini, BI tidak mati atau beku. BI hidup. Maka itu murid-murid sentiasa ingin belajar. Malah setiap mata pelajaran bertolak daripada BI, termasuk sains dan ilmu kira-kira (sebelum dikenal sebagai Matematik).

Sewaktu saya belajar BI bermula pada tahun 1960, saya didedahkan pada ‘nursery rhyme’ atau lagu kanak-kanak dari England. Lagu-lagu dan ungkapan ini menarik walaupun kami tidak faham makna sebenar dan latar belakangnya. Banyak watak-wataknya datang dari negara yang asing dan budaya yang berbeza.

Tetapi itu tidak mengurangkan minat kami untuk menghafal, melagukan dan menyebarkannya pada kawan-kawan.

Satu aspek yang sangat penting ditekankan ialah nahu. Nahu BI sukar dan kompleks. Maka itu sebahagian daripadanya harus difahamkan dengan betul dan dihafal. Frasa akan diajar secara cermat untuk memahami konteksnya – sama ada akan, sedang atau sudah berlaku. Dalam BI terlalu banyak ciri-ciri nahu, susunan kata, kosa kata, morfologi, struktur dan sebagainya yang perlu difahami untuk membolehkan kita menguasainya dengan baik.

Maka itu guru-guru BI kerap menggunakan puisi dan drama bagi membantu memahami kata-kata, frasa dan ayat-ayat yang digunakan oleh penulis yang baik. Shakespeare dianggap dramatis tersohor Inggeris. Karya-karyanya tidak mudah difahami. Tetapi ada versi mudah drama-dramanya yang boleh dilakonkan oleh pelajar pada masa itu. Maka itu kami diajar membawakan watak-watak utama dalam Macbeth, Hamlet, Romeo and Juliet dan sebagainya.

Beri pelajar keyakinan diri

Apa yang lebih penting adalah memberikan pelajar keyakinan diri dan keberanian untuk berdepan dengan khalayak. Ini membolehkan mereka punya keyakinan tinggi. Drama sangat penting dalam pengajaran bahasa. Drama patut digunakan sebagai alat pengajaran bahasa, bukan sekadar dihayati atau digunakan untuk memahaminya seperti dalam KOMSAS sekarang.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Khamis, 27 Mac 2014

ISU BAHASA : Pengguna internet diselar, "bunuh" orang guna kata-kata kesat


KUALA LUMPUR : Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan Tan Sri Dr Rais Yatim menyelar pengguna laman sosial yang menggunakan bahasa kasar semasa membicarakan tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370.

Beliau berkata ini menunjukkan sebahagian pengguna laman sosial sudah hilang prinsip budaya serta nilai timur.

"Internet sudah merubah nilai hidup masyarakat kita pada hari ini, yang kini memilih menggunakan bahasa kasar dan "membunuh" orang dengan kata-kata kesat.

"Saya sebagai penasihat kerajaan akan cuba berunding supaya budaya tidak berbudi bahasa, berbahasa kasar dan tidak mempedulikan orang lain tidak berleluasa," katanya.

Rais, yang juga Penaung Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia Indonesia (Yirmi), berkata demikian dalam sidang media ketika majlis Sepetang Bersama Penaung Yirmi di sini pada hari Khamis.

Turut hadir Pengerusi Yayasan Warisan Negara (YWN) Datuk Seri Kamaruddin Siaraf, Duta Besar Indonesia ke Malaysia Herman Prayitno serta pemimpin Persatuan Banjar Malaysia; Persatuan Bawean Malaysia; Persatuan Halak Mandailing Malaysia; Persatuan Ikatan Komuniti Minang Malaysia; Persatuan Masyarakat Kampar Malaysia; Perhimpunan Masyarakat Indonesia di Malaysia (Permai) dan Ikatan Komunitas Merah Putih.

Rais berkata Yirmi dan YWN dijangka menerbitkan edisi pertama majalah Suara Nusantara bulan depan yang memuatkan penulisan, berita dan jurnal berkaitan warisan serta seni budaya Malaysia dan Indonesia.

Katanya, beliau juga akan meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melihat cadangan bagi mewujudkan Jalan Melayu di ibu negara.

"Brickfields dikenali sebagai Little India manakala Jalan Petaling dikenali sebagai China Town. Jadi Jalan Melayu perlu diambil kira untuk menonjolkan ciri-ciri kemelayuan," katanya.

Sementara itu, Herman berkata Indonesia dan Malaysia perlu melestari budaya nusantara agar tidak luntur dalam kalangan generasi muda yang akhirnya menyebabkan golongan berkenaan dipengaruhi budaya asing.

Sumber : Bernama

ISU BAHASA : Sopannya orang kita bercakap


Oleh : MUHAMMAD DAUD

TIDAK kira orang Melayu atau kaum-kaum lain, terutama yang berpendidikan lebih cenderung menggunakan perkataan atau frasa dalam bahasa Inggeris bagi menuturkan perkara yang dianggap kasar dan menyentuh perasaan.

Antara perkataan dan frasa tersebut ialah stupid (bodoh), breast cancer (kanser buah dada), rape (rogol), go to hell (pergi jahanam), pregnant (mengandung), bullshit (tahi lembu), dan lain-lain lagi.

Kemungkinan mereka menganggap bahawa penggunaan bahasa Inggeris ketika mengeluarkan kata-kata kasar dan menyentuh perasaan ini dianggap lebih lembut berbanding menggunakan bahasa Melayu.

Hal ini demikian kerana masyarakat Malaysia terutama orang Melayu tidak begitu terasa jika dihamburkan kata-kata kasar dalam bahasa asing memandangkan kata-kata itu tidak begitu menyentuh perasaan lantaran sesuatu pertuturan yang menggunakan bahasa ibunda sebenarnya lebih menyentuh perasaan.

Sebenarnya kita mampu menggunakan bahasa Melayu sendiri dalam situasi berkenaan agar kelihatan lebih halus dan sopan. Bahasa yang kita gunakan untuk menggantikan bahasa yang kasar diistilahkan sebagai bahasa halus.

Bahasa halus ialah bahasa atau perkataan yang lebih lembut digunakan untuk menggantikan perkataan yang dirasakan kasar atau menyentuh perasaan orang lain.

Namun, beberapa frasa seperti bodoh, pergi jahanam dan tahi lembu tidak dapat digantikan dengan bahasa halus kerana frasa itu tidak menggambarkan budaya kita.

Bahasa halus digunakan untuk menuturkan sesuatu maksud bagi menjaga perasaan dan emosi orang. Orang Melayu khasnya dan orang Malaysia amnya amat prihatin akan perasaan orang lain. Oleh itu, mereka akan menggunakan bahasa yang lebih halus supaya hati orang yang dilawan bercakap tidak tergores. Antara bahasa halus yang digunakan ialah pulang ke rahmatullah (mati), disimpan (dikuburkan), pegawai perhubungan pelanggan atau GRO (pelayan), pengawal keselamatan (jaga), orang kelainan upaya (orang cacat), operator pengeluaran (pekerja kilang), pembantu rumah (orang gaji), khinzir (babi) dan lain-lain lagi.

Bahasa halus juga digunakan untuk menggambarkan sesuatu yang berkaitan seks dan perkara yang tidak sopan serta menjijikkan. Kita tahu bahawa masyarakat Melayu agak tertutup dalam membicarakan hal-hal yang berkaitan seks. Oleh itu, penggunaan bahasa halus ini mampu menyampaikan sesuatu yang berkaitan seks di samping perkara yang tidak sopan serta menjijikkan. Contohnya, nafkah batin (hubungan seks suami dan isteri), datang bulan (haid), bersalin (beranak), berbadan dua (mengandung), payu dara (buah dada) melabur (berak), buang air seni (kencing), dan lain-lain lagi.

Orang Melayu memang terkenal dengan pantang larang yang banyak dalam kehidupan. Dalam lisan juga, orang Melayu akan mengikut pantang larang ketika berada di tempat-tempat yang berbahaya.

Oleh itu, kita akan menggunakan bahasa halus untuk merujuk sesuatu yang menakutkan apabila berada di sesuatu tempat. Contohnya, kita akan menggunakan bahasa halus seperti orang besar bagi merujuk gajah apabila berada di dalam hutan, Pak Belang (harimau), Sang Rangkak (buaya), tali pinggang (ular) dan lain-lain lagi.

Orang tua-tua juga tidak akan menyebut nama haiwan yang merosakkan tanaman mereka secara langsung tetapi menukarkan dengan nama yang lebih ‘mesra’ kerana percaya haiwan berkenaan akan lebih marah. Kita akan menggunakan Cik Ti untuk merujuk tikus dan Cik Bi untuk merujuk khinzir.

Bahasa halus juga merangkumi penggunaan nama gelaran untuk menunjukkan penghormatan kepada orang yang kita lawan bercakap serta untuk mewujudkan kemesraan dalam hubungan. Antara perkataan tersebut ialah nenda, ayahanda, bonda, kakanda, anakanda, dan lain-lain lagi.

Seseorang yang mempunyai perwatakan yang baik biasanya mempunyai hati yang mulia kerana hati yang mulia mengawal perwatakan seseorang. Begitu juga dengan pertuturan oleh sesuatu bangsa itu menggambarkan peradaban bangsa itu sendiri kerana “Bahasa Jiwa Bangsa” dan “Bahasa Menunjukkan Bangsa”.

Marilah sama-sama kita mengekalkan kesopanan dan kesusilaan bangsa kita buat selama-lamanya walaupun kita menghadapi cabaran daripada pengaruh dunia tanpa sempadan. Akhir kata “Cintailah Bahasa Kita, Bahasa Jiwa Bangsa”.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/