Ahad, 18 Mac 2012

ISU PEMBANTU RUMAH ASING : Kalau semua nak berkira


Oleh Marhani Kamaruddin

TAK logik! Tak masuk akal! Rata-rata itulah reaksi rakyat Malaysia berhubung pengumuman syarat baru pengambilan amah Indonesia Khamis lalu.

Gaji minimum RM700, satu amah satu kerja khusus dan tambahan RM27 sehari jika bekerja hari rehat!

Memang pelik bin ajaib mendengarkan syarat-syarat yang diumumkan itu.

Soal gaji minimum RM700 tidaklah mengejutkan sangat sebab memang pernah disebutkan sebelum ini, tetapi bab satu amah hanya buat satu kerja yang membuatkan ramai rakyat Malaysia berang.

Jika mengikut pengumuman yang dibuat oleh Ketua Pengarah Bahagian Pembinaan Penempatan Tenaga Kerja Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia itu, terdapat empat kerja khusus iaitu memasak, mengasuh bayi, menjaga orang tua dan mengemas rumah.

Kalau hendak diikutkan skop bidang tugas amah, keempat-empat kerja itulah yang memang menjadi tanggungjawab mereka yang bekerja sebagai pembantu rumah atau orang gaji.

Kalau kerjanya hanya memasak, dia bukan amah tetapi tukang masak. Kalau hanya mengasuh bayi, pun bukan amah tetapi pengasuh atau nama glamor di barat ialah nanny.

Kalau hanya mengemas dipanggil tukang cuci manakala kalau hanya menjaga orang tua, kerja itu selalunya dilakukan misi atau jururawat khas. Lazimnya mereka ini tak lebih sekadar peneman sebab kebanyakan masa hanya dihabiskan menghadap televisyen menonton sinetron.

Tukang cuci, tukang masak dan pengasuh ini kecuali mungkin peneman orang tua, biasanya tidak tinggal sekali dengan majikan kerana mereka bukan amah.

Di Malaysia, sudah ada khidmat tukang cuci warga Indonesia yang datang ke rumah dengan bayaran sekitar RM50 sehari. Maklumlah rumah bukan perlu dicuci setiap hari. Setakat hendak mengemas, mengemop lantai dan menyapu sampah tidaklah mengambil masa terlalu lama. Jadi tukang cuci atau kemas rumah ini selalunya tidak datang setiap hari, paling tidak pun tiga kali seminggu. Ruang lingkup tugas mereka pula biasanya termasuk membasuh dan menggosok baju.

Begitu juga dengan memasak, apa sangatlah yang hendak dimasak sepanjang hari di rumah kecuali majikan itu menjalankan perniagaan makanan. Itupun mereka sepatutnya mengambil pembantu kedai bukannya pembantu rumah.

Kerja mengasuh bayi pula, jarang sekali tugas itu dilepaskan 100 peratus kepada pembantu rumah sebaliknya hanya ketika majikan pergi bekerja. Sebab itu untuk membayar RM700 kepada seorang amah hanya untuk mengasuh bayi memang sukar diterima. Apatah lagi upah pengasuh di Malaysia rata-ratanya sekitar RM250 sebulan.

Sekali lagi yang pasti, pengasuh tidak tinggal sekali dengan majikan kerana mereka bukan amah.

Jadi apabila ketetapan satu amah dengan hanya satu kerja khusus tetapi perlu dibayar gaji minimum RM700 belum dikira tambahan RM27 hari cuti diumumkan – tidak hairanlah ramai yang naik angin.

Toleransi

Penulis percaya tidak ada seorang majikan pun yang gembira dengan syarat baru itu.

Walaupun Menteri Sumber Manusia yang bertanggungjawab dalam rundingan penetapan syarat baru itu menafikan Malaysia pernah bersetuju dengan ketetapan tersebut malah menegaskan; “Ia sesuatu yang tak berasas” – sukar untuk menelan penafian itu apatah lagi pengumuman keluar dari mulut bukan calang-calang pegawai tetapi berpangkat tinggi dalam Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia. Tentulah kata-katanya sudah dianggap dasar oleh rakyat Indonesia.

Persoalannya macam mana beliau boleh sewenang-wenangnya mengumumkan ketetapan rundingan Pasukan Petugas Khas Bersama antara dua kerajaan jika ianya tidak benar? Adakah seperti yang sudah-sudah, kenyataan dibuat sekadar untuk meraih sokongan politik, untuk mendapat pujian kerana menjadi pembela nasib perempuan negara itu yang bekerja sebagai amah di rantau orang?

Peliknya, seorang sahabat di Jakarta memberitahu berita tentang ketetapan terbaru tersebut tidak mendapat tempat pun di muka utama akhbar-akhbar republik itu. Malah isu satu amah satu kerja tidak disentuh langsung. Apa yang diberi tumpuan hanyalah soal gaji minimum RM700.

Apakah media negara itu benar-benar tidak peduli dengan isu ini? Mustahil kerana merekalah yang sebelum ini beria-ia memperbesarkannya.

Walau apa pun permainan media seberang dalam isu amah ini, apa yang pasti, pengumuman tentang ketetapan baru oleh pegawai tinggi buruh Indonesia itu menyerlahkan sikap sebenar sesetengah pihak termasuk pemimpin negara itu.

Ada yang sanggup menangguk di air keruh dengan membuat kenyataan mengelirukan, tanpa mengambil kira kesannya terhadap hubungan baik dua hala, semata-mata untuk meraih sokongan. Toleransi dan semangat setiakawan sebagai negara tetangga yang sepatutnya saling memakmurkan diketepikan,

Kenyataan tentang ketetapan baru itu sama ada berasas atau tidak, sudah meledakkan impaknya.

Sebagaimana pihak Indonesia dilihat berkira dalam skop kerja amah negara itu, pihak majikan di sini pun nampaknya sudah menimbang untuk bertindak serupa. Ada yang mengungkit hendak mengenakan caj bilik, makan minum, bil air dan elektrik menonton sinetron selain tiket balik kampung yang selama ini ditanggung dengan sukarela oleh mereka.

Memandangkan selepas ini, amah Indonesia yang kerjanya mengemas, mengasuh bayi atau menjaga orang tua tidak dibenarkan lagi masuk dapur memasak, tentu payah hidup mereka jika majikan mula berkira dengan mencatu makan minum mereka.

Malang sekali platform yang diwujudkan oleh kedua-dua kerajaan untuk merundingkan ketetapan yang sepatutnya disepakati bersama menjadi medan untuk menekan sebelah pihak sahaja.

Kita akui ada segelintir majikan yang melayan pembantu rumah mereka umpama hamba. Namun lebih ramai yang menerima mereka seperti keluarga dan tidak pernah berkira soal duit yang keluar untuk makan minum amah, tambah nilai telefon prabayar, barangan penjagaan diri, baju raya dan sebagainya.

Jika benar ketetapan baru yang diumumkan itu hendak dilaksanakan, ia hanya mewujudkan suasana tidak harmoni antara majikan dan amah Indonesia.

Jalan terbaik menangani suasana tidak harmoni ini tentulah dengan tidak mengambil amah dari negara itu.

Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA) sudah pun berkira-kira hendak beralih arah mengambil lebih ramai pembantu rumah dari negara sumber lain seperti selatan Thailand, Filipina dan Kemboja.

Di pihak kerajaan Malaysia, sebenarnya beberapa langkah boleh diambil untuk mengurangkan pergantungan kepada amah ini. Mungkin sudah tiba masanya kerajaan sendiri mengambil inisiatif melatih rakyat kita, golongan ibu tunggal dan anak gadis dari kampung, empat bidang kemahiran khusus itu. Memandangkan rata-rata liat tinggal di rumah orang, tempatkan mereka di asrama.

Untuk menyelesaikan masalah pengasuh pula, mungkin kerajaan perlu mewajibkan nurseri atau pusat asuhan kanak-kanak dibuka di setiap premis pejabat kerajaan mahupun swasta. Setahu penulis, kerajaan telah menawarkan insentif pelepasan cukai kepada majikan yang menyahut seruan itu tetapi sambutannya kurang memberangsangkan.

Pinggan tak retak nasi tak dingin. Kalau pihak Indonesia menunjukkan sikap hendak tak hendak dengan menetapkan pelbagai syarat amah yang tidak munasabah, rasanya tidak perlulah kita terhegeh-hegeh membentang hamparan merah menyambut kedatangan mereka ke sini.

Sebagai majikan, kita juga mempunyai hak dan yang pasti, pilihan ada di tangan kita!

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan