Ahad, 18 Mac 2012
ISU PEMBANTU RUMAH ASING : Mengurus amah Indonesia, seriuslah sikit!
Oleh : Zulkifli Hamzah
RAMAI membantah penetapan gaji minimum RM700 untuk amah dari Indonesia, apatah lagi dengan konsep kerja satu amah satu tugas. Sebagai bakal majikan yang sudah terlalu lama menunggu khabar gembira, ketetapan itu dianggap sebagai tidak masuk akal, tidak munasabah dan tidak boleh diterima.
Tetapi apakah kita di pihak yang mempunyai kuasa mendesak atau sekurang-kurangnya dalam kedudukan yang boleh membuat tawar menawar? Dalam apa juga keadaan Malaysia sebenarnya tidak mempunyai banyak pilihan.
Mahu menggaji amah dari Filipina, lagilah jauh daripada kemampuan. Yang ada pilihan dari Myanmar, India, Sri Lanka mahupun China. Ada yang telah mencuba tetapi nampaknya mereka tidak serasi dengan cara hidup keluarga di negara ini.
Sebelum ini kita juga ada mengambil amah dari Kemboja. Tetapi tiba-tiba negara itu membekukan penghantaran atas alasan yang selalu kita dengar - amah mereka didera.
Jadi, amah Indonesia masih menjadi pilihan yang terbaik. Walau apa pun yang kita rungutkan, kita masih boleh berkomunikasi dengan Tenaga Kerja Indonesia (TKI) ini. Kelebihan ini tidak ada kepada amah dari Myanmar, India, Kemboja, Sri Lanka mahupun China.
Komunikasi dengan mereka macam itik dengan ayam yang akhirnya susah payah dan pengorbanan menggaji amah yang sepatutnya boleh mengurangkan beban, timbul pula beban lain.
Sementara itu, amah Indonesia juga mempunyai pilihan untuk bekerja di negara lain yang permintaannya amat tinggi. Memang benar Malaysia menjadi pilihan tetapi tawaran gajinya kurang menarik. Contohnya di negara Asia Barat mereka menerima RM700, Hong Kong (RM1,400) dan Singapura (RM1,000).
Indonesia sangat memahami kedudukan terdesak Malaysia ini sehingga mereka mampu mengawal keadaan dan menguasai setiap rundingan mengenai pembantu rumah. Kelebihan lain ialah Indonesia tahu dan bertegas dengan apa yang mereka mahukan.
Mereka yang tetapkan satu amah satu tugas - tukang masak, pengasuh bayi, penjaga orang tua dan pengemas rumah. Mereka juga yang tetapkan gaji minimum RM700 walaupun sebelum ini bersetuju dengan kadar antara RM600 dan RM800.
Sementara kita, tidak pernah terdengar pula cadangan dari Malaysia. Yang ada cadangan daripada Indonesia. Dan kita sekadar mampu memberi jawapan balas supaya cadangan mereka dapat dikaji atau dipertimbangkan semula.
Mungkin sebab itu ramai terkejut termasuk Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam. Satu amah satu tugas tiba-tiba muncul dan dikatakan dipersetujui oleh kedua-dua negara melalui rundingan dalam Pasukan Petugas Bersama (JTF) Khamis lalu di Jakarta.
Sekali lagi, kita tidak mendengar reaksi daripada wakil Malaysia dalam mesyuarat itu. Hanya Subramaniam yang menafikan Malaysia ada membuat persetujuan.
Memang kita boleh berasa kecewa dan beralih ke negara lain. Rasanya, bagi kebanyakan bakal majikan di Malaysia penantian selama sembilan bulan tempoh pembekuan amah Indonesia sejak Jun tahun lalu tidak berbaloi.
Jadi, tiba masanya untuk kita mencermin diri sendiri. Benarkah kita mampu menggaji pembantu rumah? Layakkah kita untuk menggaji pembantu? Jika tidak mampu atau tidak layak, carilah alternatif lain.
Jika dalam tempoh sembilan bulan ini kita mampu mencari jalan untuk tidak menggaji amah Indonesia, kenapa tidak untuk tempoh seterusnya? Jika ia benar-benar satu keperluan contohnya untuk menjaga orang tua, berkorban dan bersudah-payahlah sedikit untuk menyediakan RM700 sebulan dengan melepaskan perbelanjaan lain.
Gaji RM700 adalah tinggi, tetapi bukan kadar yang tidak munasabah terutama jika dibandingkan dengan upah yang mereka terima di negara-negara lain. Kita sepatutnya berbangga kerana selama ini amah gred C dan D yang datang dan bekerja di Malaysia.
Kini dengan gaji minimum RM700, Malaysia bakal menjadi negara tumpuan amah berkualiti. Kita juga tidak lagi akan diletakkan sebagai negara lekeh kerana menjadi negara lambakan TKI yang hanya mampu memberi gaji rendah kepada mereka.
Dengan gaji sebanyak itu, majikan boleh menuntut hanya pembantu rumah terbaik dan terlatih sahaja bekerja dengan mereka. Dengan ini diharapkan kes-kes penderaan atau pemerasan tenaga dapat dikurangkan.
Bukan lagi rahsia, ramai amah Indonesia sebelum ini dipaksa melakukan kerja-kerja lain termasuk di kedai atau di rumah saudara mara. Cara layanan majikan seperti inilah yang menyebabkan syarat seperti itu dikenakan oleh pemerintah Indonesia bagi melindungi tenaga kerja mereka.
Begitupun, isu satu amah satu tugas perlu dirundingkan semula oleh Malaysia. Sebagai pekerja yang tinggal dan makan minum di rumah majikan, sangat sukar untuk memisahkan mereka dengan tugas-tugas tertentu sahaja.
Mungkin tugas penjaga bayi atau orang tua boleh digabungkan dengan kerja memasak. Begitu juga mengemas rumah boleh digabungkan dengan tukang masak atau menjaga bayi. Ataupun lebih baik dibatalkan sahaja syarat yang tidak munasabah itu.
Rasanya tidak sukar untuk Indonesia memenuhi permintaan Malaysia ini. Benar, Indonesia boleh terus bertegas untuk membekukan penghantaran amah ke Malaysia, tetapi siapakah nanti yang akan rugi?
Yang lebih rugi dan menderita ialah tenaga kerja mereka yang sepatutnya produktif memberi sumbangan kepada pendapatan dan kesejahteraan negara. Di negara sendiri tiada pekerjaan, mengharapkan bekerja di negara asing tetapi tidak kesampaian.
Isu terbaru ini yang sudah lama tertangguh juga menunjukkan urusan amah bukan perkara mudah untuk diselesaikan. Siapa juga wakil Malaysia yang terlibat dalam JTF harus bijak selain tegas merundingkan setiap butiran perkara.
Silap perhitungan boleh membawa kepada kemarahan rakyat selain sudah tentu menjadi isu yang mengeruhkan hubungan dua negara. Dan setelah sekian lama menjadi kerikil dalam sepatu, kini kita terperangkap lagi dalam polemik berkaitan isu amah ini. Sampai bilakah ia dapat diselesaikan?
Atau sebenarnya ada pihak di Indonesia dan Malaysia yang sengaja tidak serius untuk menangani hal ini walhal ia telah banyak kali dibincangkan oleh pemimpin tertinggi kedua-dua negara.
Sumber : http : //ww.utusan.com.my/
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan