Selasa, 8 Mei 2012

ISU EKONOMI : Hutang negara RM257.2 bilion sehingga Disember tahun lalu


KUALA LUMPUR: Jumlah hutang negara sehingga 31 Disember tahun lalu sebanyak RM257.2 bilion atau 30.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan Senator, Datuk Donald Lim Siang Chai, berkata hutang negara atau hutang luar Malaysia adalah hutang yang ditanggung negara berikutan pinjaman yang diperoleh kerajaan dan swasta daripada sumber luar negara.

"Ini merangkumi hutang luar kerajaan persekutuan, Perusahaan Awam Bukan Kewangan dan sektor swasta," katanya menjawab pertanyaan Senator Datuk Paul Kong Sing Chu dan Senator Datuk Abdul Rahman Bakar yang ingin mengetahui jumlah hutang negara dan langkah diambil bagi membayar hutang itu.

Lim berkata jumlah hutang Kerajaan Persekutuan yang meliputi hutang dalam dan luar negara sehingga tempoh yang sama pula, sebanyak RM456.1 bilion atau 53.5 peratus daripada KDNK.

"Daripada jumlah berkenaan RM438 bilion atau 96 peratus adalah hutang dalam negara manakala bakinya RM18.1 bilion atau empat peratus membabitkan hutang luar negara.

"Jumlah hutang luar negara yang rendah, selaras dengan dasar kerajaan mengutamakan pinjaman dalam negara yang mempunyai kecairan tinggi, kos pinjaman lebih rendah serta meminimumkan risiko pertukaran mata wang asing," katanya.

Lim berkata sumber hutang dalam negara Kerajaan Persekutuan ialah Bil Perbendaharaan, Terbitan Pelaburan Kerajaan, Sekuriti Kerajaan Malaysia, pinjaman Kumpulan Pinjaman Perumahan dan terbitan Sukuk Simpanan Rakyat serta Sukuk 1Malaysia.

Beliau berkata pemegang instrumen berkenaan terdiri daripada institusi kewangan, syarikat insurans dan institusi keselamatan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Katanya sumber hutang luar negara pula diperoleh daripada sumber pasaran modal antarabangsa melalui terbitan sukuk global dan pengeluaran pinjaman projek daripada institusi multilateral seperti Bank Dunia, Bank Pembangunan Asia dan Bank Pembangunan Islam, selain pinjaman dua hala dalam mata wang asing iaitu Dollar Amerika, Yen, Euro, Dollar Kanada dan Dinar.

"Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan pembayaran balik pinjaman dibuat mengikut jadual yang ditetapkan, dan sehingga kini kerajaan telah membayar hutang secara teratur.

"Ini hasil pendekatan pengurusan hutang berhemat. Pada tahun lalu, jumlah bayaran khidmat hutang ialah RM17.7 bilion atau 9.7 peratus daripada perbelanjaan mengurus," kata Lim.

Sementara itu, ketika menjawab pertanyaan Datuk Syed Ibrahim Kader yang bertanya sama ada Bank Negara Malaysia (BNM) mendapatkan maklum balas rakyat sebelum melaksanakan penggunaan duit syiling baharu, Lim berkata spesifikasi syiling baharu itu selari dengan hasil kaji selidik yang dijalankan BNM.

"Kaji selidik ini dijalankan antara Januari dan April 2009 merangkumi perbincangan dengan orang ramai, peniaga dan pihak lain seperti institusi perbankan dan pengendali mesin tunai.

"Rumusan penting kajian itu orang ramai lebih gemar duit syiling lebih kecil dan ringan berbanding dahulu. Duit syiling baharu ini bertujuan meningkatkan keselesaan dan kesenangan orang ramai," katanya.

Beliau berkata trend mengecilkan saiz dan mengurangkan berat duit syiling antara strategi utama diguna pakai bank-bank pusat dunia dalam mempertingkat spesifikasi teknikal sewaktu memperkenal siri baharu duit syiling.

Katanya selain itu, duit syiling baharu Malaysia memenuhi spesifikasi keselamatan yang lebih baik berbanding yang lama, dan syiling yang lebih kecil dapat mengurangkan kos penghasilannya. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan