Rabu, 23 Mei 2012

ISU PENDIDIKAN : 13 resolusi untuk mantapkan pendidikan kebangsaan


Oleh NIZAM YATIM


SIDANG Meja Bulat Kajian Semula Sistem Pendidikan Kebangsaan yang diadakan di Memorial Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur pada 19 Mei lalu telah meluluskan 13 resolusi.

Ia diluluskan secara sebulat suara oleh para hadirin yang terdiri daripada wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kesatuan guru, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), bekas pegawai kanan Kementerian Pelajaran dan cendekiawan Melayu.

Resolusi berkenaan menggariskan perkara-perkara yang perlu dipatuhi oleh kerajaan apabila melaksanakan sebarang pindaan terhadap sistem pendidikan kebangsaan dan cadangan-cadangan baru bagi memantapkannya.

Berikut adalah inti pati resolusi-resolusi yang diluluskan pada persidangan anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berkenaan.

1. Sebarang pindaan sistem pendidikan kebangsaan hendaklah selaras dan tidak bertentangan dengan Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan mengenai bahasa kebangsaan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 yang antaranya menggariskan bahasa Melayu adalah bahasa rasmi dan digunakan di peringkat kebangsaan.

Istilah bahasa Melayu mesti dikembalikan dan dinobatkan penggunaannya dengan rasmi menggantikan perkataan bahasa Malaysia.

Pengajaran dan pembelajaran di sekolah rendah, menengah, prauniversiti dan peringkat tertiari hendaklah menggunakan bahasa Melayu sebagai pengantarnya.

Mahasiswa institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dikehendaki mengambil bahasa Melayu sebagai subjek wajib lulus dan tuntutan untuk mengembalikan sekolah aliran Inggeris tidak wajar dilayan.

2. Perlu dipelihara dan dikekalkan hak istimewa orang Melayu dan bumiputera Sabah serta Sarawak seperti yang termaktub dalam Fasal 153 Perlembagaan Persekutuan dalam bidang pendidikan tanpa tolak ansur oleh kepentingan mana-mana pihak dan tekanan politik.

Sehubungan itu, kuota biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi melanjut pelajaran melalui Program Ijazah Luar Negara (PILN) dan Program Ijazah Dalam Negara (PIDN) wajar dikembalikan kepada nisbah asal 90 peratus Melayu dan bumiputera serta 10 peratus bukan bumiputera seperti sebelum 2008.

Dasar meritokrasi hanya dilaksanakan sesama atau dalam kalangan Melayu dan bumiputera sahaja, sementara kaum-kaum lain bertanding sesama mereka.

3. Kerajaan tidak seharusnya dari semasa ke semasa meminda atau memperkenalkan dasar baru pendidikan dengan sewenang-wenangnya tanpa merujuk kepada akta dan dasar pendidikan yang sedia ada.

Ini termasuk Penyata Razak 1956, Laporan Rahman Talib 1960, Akta Pelajaran 1961, Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran 1979, Falsafah Pendidikan Negara 1988, Akta Pendidikan 1996 dan Pindaan Akta Pendidikan 1997.

4. Kementerian Pelajaran digesa memperkukuhkan dan memperluaskan kurikulum pendidikan agar sejajar dengan keperluan semasa dan tuntutan antarabangsa.

Perlu dikaji semula dasar penggredan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dimulakan pada 2010 berasaskan A+, A dan A- bagi memilih pelajar tercemerlang daripada kalangan cemerlang kerana ia menimbulkan perlumbaan tidak sihat di kalangan pelajar, ibu bapa, guru dan sekolah.

5. Kementerian Pelajaran digesa mengambil langkah serius, drastik dan pragmatik supaya matlamat memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan yang digunakan dalam pentadbiran awam dan swasta tercapai dengan jayanya.

6. Mengakui bahawa bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di negara ini wajib diajar dan dipelajari oleh semua murid.

Sehubungan itu, perlu digembleng semula tenaga guru-guru bahasa Inggeris yang mendapat latihan di luar negara sejak awal 1970-an bagi mengurangkan kos perbelanjaan membawa masuk tenaga pengajar asing.

7. Kerajaan perlu memperkasakan sekolah kebangsaan sebagai sekolah aliran perdana dengan memberikan peruntukan kewangan, lain-lain perbelanjaan berulang tahunan (LPBT), peruntukan penyelengaraan dan peruntukan mata pelajaran, 100 peratus lebih banyak berbanding Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil.

Harus diperbanyakkan kelas bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa ketiga di sekolah kebangsaan.

Pelaksanaan kurikulum dan pengajaran sekolah kebangsaan perlu lebih fleksibel dan bijak, bukan birokratik dan mengongkong supaya anak-anak daripada semua kaum boleh belajar dengan kreatif di bawah satu bumbung.

8. Sekolah Berasrama Penuh (SBP) perlu terus memainkan peranan bagi melahirkan golongan intelek yang bakal menjadi pemimpin dan golongan profesional Melayu serta bumiputera dalam pelbagai bidang.

Kementerian Pelajaran digesa meneruskan dasar memberi keutamaan kepada pelajar Melayu dan bumiputera cemerlang dari keluarga miskin terutama dari luar bandar dalam pengambilan pelajar SBP.

9. Perlu dipastikan nisbah murid yang mengikuti mata pelajaran sains khusus tidak tergelincir daripada sasaran.

Menggesa Kementerian Pelajaran menyemak semula dasar nisbah 60:40 bagi subjek sains dan sastera yang sehingga kini didapati sukar untuk dicapai.

10. Harus dikawal pembukaan sekolah antarabangsa yang kini berkembang pesat akibat liberalisasi pendidikan swasta kerana ia hanya memberi manfaat kepada golongan berada dan boleh menghakis semangat patriotik terhadap negara.

Perlu dipastikan sekolah antarabangsa dan sekolah swasta yang mempunyai aliran antarabangsa mengajar bahasa Melayu kepada pelajar tempatan.

11. Menggesa kerajaan menarik balik pengiktirafan sijil Peperiksaan Gabungan Sekolah Cina (UEC) kerana ia bertentangan dengan dasar pelajaran kebangsaan.

Pengiktirafan ini akan menebalkan lagi polarisasi kaum kerana ia menggalakkan murid Cina bersekolah di SJKC dan meneruskan pelajaran di Sekolah Menengah Bantuan Cina dan Sekolah Persendirian Gabungan Cina yang kini berjumlah 60 buah dengan 60,481 pelajar.

12. Perlu ditambah bilangan pusat matrikulasi bagi menampung permohonan pelajar cemerlang lepasan SPM yang gagal mendapat tempat di universiti tempatan.

Kerajaan digesa mengekalkan nisbah kuota pengambilan pelajar di pusat matrikulasi iaitu 90 peratus kaum Melayu dan bumiputera serta 10 peratus bukan bumiputera.

13. Subjek Pengetahuan Agama Islam perlu dijadikan mata pelajaran wajib lulus bagi pelajar Islam dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan SPM.

Murid harus memahami bacaan dalam solat dan boleh membaca serta menulis asas-asas jawi pada akhir tahun dua.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan