Oleh : M Jasni Majed
JUMLAH belia di negara kita bukanlah sedikit. Mengikut
statistik, golongan yang berusia antara 15 hingga 40 tahun seramai 11.9 juta
iaitu 41.5 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia.
Tidak dinafikan bahawa dalam sebuah negara yang sedang
membangun seperti negara kita, pelbagai cabaran hebat mengitari golongan belia.
Pelbagai gejala negatif kebanyakannya membabitkan golongan belia.
Golongan belia menghadapi pelbagai masalah terutamanya isu
dadah dan gejala sosial lain. Dalam kes dadah, statistik menunjukkan bahawa
setiap tahun berlaku peningkatan bagi kes ini yang membabitkan belia. Amat
malang bagi golongan ini kerana merekalah yang bakal menerajui negara pada masa
akan datang.
Golongan belia juga terbabit dengan pelbagai isu yang
membimbangkan masyarakat dan pihak berkuasa. Contoh paling jelas adalah gejala
mat rempit, gengsterisme, vandalisme dan lain-lain lagi.
Di samping itu, masalah-masalah sosial lain seperti
pergaulan bebas, buang bayi dan anak luar nikah turut membabitkan golongan
belia. Malah, golongan belia jugalah yang rata-rata terbabit dengan demonstrasi
jalanan di ibu negara yang menjadi topik hangat media massa sejak hujung April
sampai kini.
Untuk menangani masalah golongan belia, pelbagai pihak mesti
memainkan peranan demi memastikan golongan belia terbela dan tidak mendatangkan
masalah kepada negara.
Paling penting adalah institusi pendidikan mampu menyemai
nilai-nilai murni yang sedikit sebanyak mampu mengekang gejala tidak sihat
dalam kalangan murid sebagai bekalan apabila mereka melangkah keluar dari alam
persekolahan.
Golongan belia yang tahan diuji adalah golongan yang tidak
mudah terpengaruh dengan segala anasir negatif yang boleh menjejaskan maruah
mereka, masa depan mereka dan cita-cita murni mereka.
Mereka mestilah mematuhi norma-norma hidup yang murni sesuai
dengan hasrat kerajaan mahu melahirkan golongan belia yang mampu membawa negara
ke arah kecemerlangan kelak.
Oleh itu, golongan belia mestilah mencari jalan agar mampu
mengubah landskap negara menjadi sebuah negara yang lebih maju.
Golongan ini mesti mementingkan ilmu, meningkatkan
produktiviti negara dan menghormati setiap undang-undang yang telah ditetapkan
demi kedaulatan sebuah negara.
Golongan belia yang memandang enteng kepada setiap peraturan
dan tidak memperlihatkan sahsiah yang baik akan menjerumuskan negara ke arah
kemunduran.
Mereka mestilah mendukung Rukun
Negara, menghormati pemimpin, taat akan perintah agama dan paling penting
adalah Sambutan Hari Belia yang diisi dengan aktiviti-aktiviti positif harus
menjadi wadah memperjuangkan cita-cita memajukan diri dan negara.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan