Oleh Rosmidzatul Azila Mat Yamin
bhagama@bharian.com.my
Masyarakat perlu
bersama memulihara anugerah Ilahi atasi
kemelut kian meruncing
AIR anugerah
Allah SWT yang sangat penting terhadap kehidupan sejagat. Tanpa sumber air
mencukupi adalah mustahil bagi manusia untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Penegasan berhubung kepentingan sumber air banyak dinukilkan dalam al-Quran.
Antaranya firman
Allah bermaksud: “Dan Dia menurunkan air hujan dari langit, kemudian Dia
mengeluarkan dengan air hujan itu pelbagai jenis buah-buahan yang menjadi
rezeki untukmu. Dia juga telah menundukkan bahtera bagimu supaya bahtera itu
belayar di lautan dengan kehendak-Nya, dan Dia telah pula menundukkan
sungai-sungai bagimu.” (Surah Ibrahim, ayat 32)
Secara umumnya
negara kita mempunyai banyak sumber air. Namun, dewasa ini bekalan sumber air
bersih semakin berkurangan sedangkan permintaan terhadapnya semakin meningkat
selari peningkatan jumlah populasi penduduk.
Mungkin timbul
persoalan mengapa situasi sedemikian boleh berlaku sedangkan kita mempunyai
sumber air yang banyak di sekeliling kita.
Sebenarnya,
keadaan ini timbul ekoran peningkatan jumlah penduduk dari semasa ke semasa,
selain pelbagai kegiatan berkaitan mengakibatkan berlakunya pencemaran terhadap
sumber air yang ada. Ia sekali gus meletakkan kita dalam krisis yang meruncing
untuk mendapatkan bekalan air bersih mencukupi bagi menampung segala aktiviti
seharian.
Bukan itu saja,
terdapat pelbagai faktor lain menyumbang kepada berlakunya masalah kekurangan
bekalan air bersih antaranya peningkatan suhu global yang menyebabkan kadar
kehilangan air berlaku lebih cepat akibat proses penyejatan air yang tinggi ke
atmosfera.
Selain itu,
pencemaran akibat pengurusan sisa buangan yang tidak sistematik juga
menyebabkan sumber air bersih tercemar. Misalnya, longgokan sampah di tapak
pelupusan sampah menyebabkan terhasilnya sisa toksik yang seterusnya akan
mengalir ke sungai dan sumber air bersih lain.
Pengaliran sampah
dan sisa toksik ini akhirnya menyebabkan air tercemar dan bekalan air bersih
semakin berkurang. Lebih memburukkan lagi krisis sumber air bersih ialah
apabila simpanan air bawah tanah, sumber bekalan air bersih yang sepatutnya
dipelihara juga semakin berkurangan.
Situasi ini
terjadi kerana kegiatan pembalakan yang kian berleluasa hari ini hingga
menjejaskan kawasan tadahan air. Pembangunan pesat yang berlaku secara tidak
terancang juga menyebabkan air hujan tidak serap ke dalam tanah, sebaliknya
terus mengalir ke sungai.
Keadaan ini
mengakibatkan kuantiti air bawah tanah menjadi semakin berkurangan dan
seterusnya menjejaskan mutu bekalan air.
Kekurangan
bekalan air bersih akan turut menjejaskan kesihatan masyarakat. Contohnya,
akibat kekurangan sumber air bersih untuk minuman menyebabkan berlakunya
dehidrasi (kekurangan air dalam badan) selain menyebabkan berlaku penyakit
seperti taun kerana meminum air tercemar.
Masalah
kekurangan bekalan air turut memberi kesan terhadap sumber tanah iaitu
menyebabkan tanah menjadi kontang. Air yang tercemar turut menjejaskan kualiti
tanah dan ini sekali gus menjejaskan aktiviti pertanian seterusnya memberi
kesan terhadap bekalan makanan serta kadar pertumbuhan ekonomi negara.
Melihat kesan
bakal dihadapi akibat kekurangan bekalan air bersih, seharusnya kita
bermuhasabah diri dan berusaha menanganinya. Kesedaran awal memelihara dan
memulihara sumber bekalan air penting bagi memastikan bekalan air bersih
mencukupi.
Langkah yang
boleh diambil untuk meningkatkan bekalan air bersih ialah dengan
memperbanyakkan loji rawatan air bagi membolehkan air sungai, air tasik dan air
dari sumber lain yang tercemar diproses menjadi sumber air bersih.
Selain itu,
peningkatan dari aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) juga penting bagi
membantu menambah sumber bekalan air bersih. Aktiviti R&D secara proaktif
akan membuka laluan lebih luas kepada penciptaan alatan moden dan canggih bagi
merawat air buangan secara efektif. Melalui R&D juga air laut boleh
diproses untuk dijadikan air minuman.
Langkah
seterusnya ialah menyediakan lebih banyak kawasan tadahan air bagi memastikan
bekalan air bawah tanah dapat dimaksimumkan. Oleh itu, segala aktiviti
pembalakan dan penerokaan hutan perlu dipantau dan dikawal supaya dapat
menyediakan lebih banyak kawasan tadahan air.
Di samping itu,
pembuangan sisa kimia dan toksik juga perlu dikawal bagi memastikan sumber
bekalan air tidak terdedah kepada sebarang bentuk pencemaran. Sudah tiba
masanya kita memikirkan dengan lebih serius isu kekurangan bekalan air bersih
yang bukan saja melanda negara kita, tetapi juga negara lain di seluruh dunia.
Pembabitan
seluruh masyarakat dalam usaha memulihara sumber air penting untuk mengatasi
kemelut ini. Mudah-mudahan kesedaran itu dapat mempertingkatkan lagi tahap
kebersihan sumber air untuk diwarisi anak cucu kita.
Penulis ialah
Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar Institut Kefahaman
Islam Malaysia (IKIM)
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan