Oleh : ANIS YUSAL YUSOFF
Menjelang PRU 13
MALAYSIA sebagai sebuah negara demokrasi yang dihormati di rantau ini, tentunya tidak terlepas daripada menjadi fokus dunia apabila amalan demokrasi di Asia Tenggara diperkatakan.
Lebih ketara lagi apabila yang diperkatakan itu adalah
mengenai prinsip keadilan dalam pilihan raya yang menjadi alat rasmi untuk
mengesahkan kewujudan sesebuah kerajaan/pemerintah.
Di negara ini mereka yang layak boleh mengundi untuk memilih
wakil mereka di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) sekali dalam lima
tahun.
Mana-mana parti atau pakatan yang mempunyai majoriti wakil
akan memerintah negara atau membentuk kerajaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai badan bebas dan
berkecuali dipertanggungjawab untuk menentukan pilihan raya diadakan dengan
bebas, adil dan saksama agar sesiapa juga yang menang atau kalah tidak
mempertikaikannya.
Sesuai dengan tanggungjawab yang di pikul, SPR menjadi badan
yang diharapkan rakyat untuk mengadili pertandingan antara parti-parti politik
atau calon bebas yang berhasrat untuk menawarkan diri bagi mewakili mereka.
Oleh yang demikian, ekspektasi rakyat kepada SPR menjadi
sangat penting dalam kita menilai keberkesanannya pada masa ini.
SPR dengan moto Cekap dan Telus mempunyai sejarah
tersendiri. Ia telah berjaya menguruskan 12 pilihan raya umum di Malaysia serta
berapa puluh atau ratus kali pilihan raya kecil.
Ini rekod yang tidak ada siapa pun boleh ragui. Namun
demikian entah kenapa terutama di ambang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), SPR
dilihat agak lemah terutama dalam menangkis dan menangani kritikan dan tohmahan
yang dilemparkan ke atasnya.
Apakah agaknya isu-isu yang perlu kita amati bersama dalam
usaha untuk mencari jalan agar orang ramai tidak terus sangsi dengan ketelusan
SPR?
Ketika ini, SPR dilihat mempunyai masalah imej bebas dan
telus kerana dianggap memihak dan dilihat seolah-olah menjadi jurucakap
kerajaan yang memerintah dalam banyak tindak-tanduknya.
Imejnya turut terjejas apabila membiarkan isu tuntutan
Bersih berlarutan sehingga menjadi polemik politik sedangkan ia boleh
diselesaikan pada ketika ia mula ditimbulkan dulu. Juga pada ketika Pengerusi
dan Timbalan Pengerusi SPR dituduh menjadi ahli Umno, cara kedua-duanya menjawab tuduhan tersebut juga tidak
menunjukkan kesungguhan bahawa mereka benar-benar ingin memisahkan diri
daripada dikaitkan dengan mana-mana parti politik.
Terkini, cara SPR menjawab penemuan-penemuan Projek Analisis
Daftar Pemilih Malaysia atau MERAP menjadikan kita lebih sangsi daripada menjawab
kesangsian.
SPR pada waktu ini dilihat berada dalam 'defensive mode' dan
ada kalanya dalam 'denial mode' pada pandangan ramai.
SPR sebenarnya mempunyai tanggungjawab yang sangat besar dan
penting terutama ke arah menentukan maruah negara Malaysia terus dijaga dan
tidak tercemar di mata dunia.
Selain dari menentukan integriti daftar pemilih bersih dan
terkini, SPR juga mempunyai tugas-tugas lain. Kesemua ini harus dijelaskan
dalam satu kerangka demokrasi yang telus.
Pada waktu ini, sekiranya satu kajian persepsi dibuat dalam
kalangan rakyat, sudah pasti majoriti tidak tahu peranan sebenar SPR. Ini yang
menyebabkan semua masalah diarahkan kepada SPR termasuk yang bukan dalam bidang
kuasa dan bidang tugas mereka.
Dalam beberapa perkara terutama tentang maklumat yang tidak
lengkap dalam daftar pemilih sebenarnya adalah di bawah bidang kuasa Jabatan
Pendaftar Negara dan sesiapa juga yang datang dengan kad pengenalan yang sah,
maka SPR bertanggungjawab untuk mendaftar mereka sebagai pemilih dan tidak
boleh menolaknya.
Dalam era sosial media di mana maklumat diperoleh hanya
dengan sentuhan jari sahaja, adalah tidak wajar untuk memberi alasan tanpa
mengambil kira bagaimana teknologi dapat menyelesaikan masalah yang
dibangkitkan.
Sistem di Jabatan Pendaftaran Negara perlu diselaraskan
dengan SPR, malah perlu diselaraskan dengan semua kementerian bagi memudahkan
perkhidmatan kerajaan agar sistem penyampaian akan lebih berkesan.
Dengan ini apabila ada kesangsian bahawa terdapat lima nama
yang sama dalam daftar pengundi makadengan mudah pihak SPR dapat menunjukkan
bahawa mereka sebenarnya adalah individu yang berlainan berdasarkan
gambar-gambar dan alamat serta nombor kad pengenalan.
Bukanlah sesuatu yang pelik bagi sebuah negara dengan 28
juta penduduk untuk mempunyai dua atau lebih rakyat yang mempunyai nama dan
tarikh lahir yang sama. Cuma cara kita menjelaskan perkara ini yang perlu
diperbaiki.
SPR mungkin sudah melakukan ini, tetapi sekiranya belum,
adalah sangat wajar untuk SPR melatih beberapa orang jurucakap bagi pihak badan
ini dalam pelbagai bahasa (Melayu, Inggeris, Mandarin, Tamil, Iban, Kadazan dan
lain-lain) yang bukan sahaja mempunyai maklumat yang tepat tetapi mahir untuk
berkomunikasi dan memberi penjelasan yang logik.
Pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam perlu melihat SPR
sebagai sebuah agensi penting dalam negara dan menghantar pegawai-pegawai yang
terbaik dalam kerajaan untuk bertugas di sini.
Agensi seperti Mampu perlu dipanggil untuk memberi cadangan
bagaimana untuk memodenisasi SPR dan menentukan ada koordinasi dan integrasi
dengan jabatan-jabatan lain.
Jangan nanti kegagalan kita berkembang mengikut arus
kemodenan sistem demokrasi di dunia mengakibatkan orang ramai yang mahukan
perubahan dan pembaharuan dalam amalan-amalan pilihan raya yang semakin lapuk
membuat desakan yang lebih kuat.
Kita sedia maklum, di sebalik kesulitan yang dihadapi, SPR
masih dapat mengawal keadaan serta bertindak dengan cemerlang dalam
bahagian-bahagian penting melaksanakan proses pilihan raya sebenar, iaitu
pencalonan, pengundian, pengiraan dan pengumuman keputusan pilihan raya.
Satu tahap kecekapan dan ketelusan yang tinggi dicapai dalam
perkara-perkara berkenaan, walaupun hakikatnya ialah pihak SPR terpaksa
bergantung pada kejujuran dan keadilan pegawai-pegawai kerajaan dalam
melaksanakan fungsi-fungsi tersebut.
Dari segi kebertanggungjawaban, pada waktu pilihan raya
nanti, pegawai-pegawai kerajaan yang bertugas perlu bersikap neutral. Sukar
untuk SPR mendapatkan keyakinan rakyat dan lebih sukar lagi untuk mengekalkan
keyakinan parti-parti pembangkang sekiranya mereka mendapati pegawai-pegawai
SPR memihak kepada parti yang memerintah.
Bersandarkan elemen yang agak menonjol ini dalam sistem
pilihan raya, SPR harus menjaga keseimbangan bagi mengekalkan laluan bersih
agar perjalanan pilihan raya yang bebas dan adil dapat dicapai.
Sebarang kelemahan dan kekurangan dalam sistem pilihan raya
dan proses pengurusan pilihan raya akan mengakibatkan rakyat Malaysia dan juga
masyarakat luar merasa sangsi terhadap kesahihan kerajaan yang kita pilih serta
prinsip kebebasan memilih yang diamalkan di negara ini.
Adalah penting untuk mengatasi kelemahan-kelemahan tersebut
kerana ia boleh mendatangkan keburukan kepada prinsip kebebasan memilih yang
diamalkan di negara ini.
* Anis Yusal Yusoff, Felo Utama Institut Kajian Etnik, UKM
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan