Ahad, 17 Jun 2012

ISU GLOBAL : Rohingya perlu pembelaan segera



Mustafa Kamal Basri

KRISIS keganasan kaum dan agama di Myanmar sejak 3 Jun lalu yang melibatkan penduduk etnik Rohingya di negeri Rakhine di barat negara itu, kini bukan sahaja menjadi 'duri dalam daging' kepada kerajaan baru Myanmar tetapi juga kepada rantau ASEAN.

Kerajaan baru Myanmar di bawah kepimpinan Presiden Thein Sein kini mengalas tugas berat untuk mencari jalan menyelesaikan segera krisis itu terutama bagi melindungi keselamatan penduduk Rohingya.

Krisis di Rakhine ini memerlukan keikhlasan, komitmen dan kesungguhan daripada kerajaan baru Myanmar bagi mencari punca sebenar, seterusnya menyelesaikannya segera dan untuk selama-lamanya.

Isu utama yang perlu diberi perhatian segera oleh kerajaan baru Myanmar ialah mengkaji semula status penduduk Rohingya yang tidak diiktiraf sebagai rakyat Myanmar, sekaligus menafikan hak mereka untuk menikmati kehidupan sama seperti rakyat Myanmar lain daripada segi pendidikan, kesihatan, sosial, ekonomi dan mengamalkan kepercayaan agama secara bebas.

Maka tidak hairan mengapa Thein Sein mengambil berat terhadap insiden keganasan di negeri Rakhine yang merupakan negeri 'tanah tumpah darah' bagi majoriti penduduk Rohingya yang dinafikan kerakyatannya sejak 1982, semasa zaman pemerintahan junta tentera.

Menggugat

Thein Sein yang mengambil alih pemerintahan awam selepas pilihan raya umum Myanmar pada 2010, berasa bimbang krisis keganasan di negeri Rakhine itu akan merebak kerana ia boleh mengugat dasar pembaharuan yang sedang rancak dilaksanakan oleh kerajaannya yang mula mendapat perhatian daripada masyarakat antarabangsa.

Masyarakat antarabangsa termasuk Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) dilihat sudah mula berlembut dengan Myanmar dan perlahan-lahan menarik sekatan yang dikenakan ke atas Yangoon sebelum ini berikutan rekod hak asasi manusia yang buruk semasa zaman pemerintahan junta.

Thein Sein juga sudah mula dapat merasakan dasar pembaharuannya juga menerima sokongan daripada parti pembangkang termasuk daripada musuh ketat junta tentera sebelum ini, ikon demokrasi Aung San Suu Kyi yang kini mengetuai pembangkang di Parlimen.

Dalam hal ini, Thein Sein mungkin boleh bekerjasama dengan Suu Kyi yang simpati terhadap penderitaan penduduk Rohingya dengan terlebih dahulu menyelesaikan segera masalah kerakyatan penduduk minoriti Islam di Myanmar itu.

Melihat situasi yang berlaku baru-baru ini membabitkan penduduk Rohingya yang beragama Islam dan penduduk negeri Rakhine yang majoriti beragama Buddha menyebabkan Myanmar kini tidak mempunyai pilihan selain menyelesaikan segera isu tersebut.

Kegagalan Myanmar menyelesaikan isu status kerakyatan penduduk Rohingya bukan sahaja akan mengugat dasar transformasi dan pembaharuan demokrasi oleh kerajaan baru Myanmar tetapi juga boleh menggugat perpaduan dan keselamatan Myanmar.

Dasar-dasar penindasan perlu digantikan dengan dasar-dasar keadilan dengan memberi peluang kepada penduduk Rohingya untuk menjalani kehidupan biasa sama seperti penduduk Myanmar yang lain.

Wakil khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi hak asasi manusia di Myammar, Tomas Ojea Quintana turut menggesa kerajaan baru Myanmar segera menyelesaikan 'isu pokok' iaitu diskriminasi ke atas etnik Rohingya.

''Ketegangan (di negeri Rakhine kini) berpunca daripada diskriminasi ke atas etnik dan agama minoriti mengancam pembaharuan demokrasi dan kestabilan Myanmar,'' katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Geneva, kelmarin.

Apa yang penting pada masa ini ialah jaminan keselamatan kerajaan terhadap penduduk Rohingya untuk meneruskan kehidupan seperti biasa dan tindakan segera kerajaan dalam menamatkan konflik berdarah di wilayah itu.

Ini berikutan laporan pelbagai pihak yang menyatakan bahawa keadaan di Rakhine semakin meruncing dengan kejadian pembunuhan masih berterusan, walaupun kerajaan menyatakan situasi kini semakin pulih.

Terbiar


Menurut Pertubuhan Hak Asasi Etnik Rohingya Myanmar di Malaysia (MERHROM), terdapat laporan menyatakan masih berlaku kejadian rogol dan pembunuhan, selain ramai penduduk Rohingya yang hilang serta beribu-ribu terbiar tanpa makanan, air, perlindungan dan perubatan.

Selain itu, terdapat laporan mendakwa tentera Myanmar yang dihantar ke wilayah itu meminta rasuah dengan mengugut penduduk Rohingya.

PBB perlu bertindak segera menghentikan keganasan ini, bagi mengelakkan keadaan menjadi semakin buruk dengan menghantar wakilnya atau pasukan khas untuk menyiasat keadaan yang berlaku di wilayah itu.

PBB perlu menggunakan segala mekanisme yang perlu untuk campur tangan segera menangani isu keganasan itu sebelum ia menjadi konflik yang boleh mengugat rantau ini.

Kerajaan Bangladesh juga perlu bekerjasama dalam situasi genting sekarang dengan membenarkan pelarian Rohingya terutama wanita dan kanak-kanak yang menaiki bot, untuk memasuki sempadan negara itu bagi mendapatkan perlindungan sementara.

Selain itu, isu kedua yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan baru Myanmar ialah isu berbangkit daripada krisis penduduk Rohingya ini yang sebahagian besarnya menjadi orang pelarian di banyak negara jiran termasuk di Bangladesh, Thailand dan Malaysia.

Di Malaysia sahaja, pada masa ini terdapat terdapat antara 10,000 dan 12,000 orang pelarian Rohingya yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR).

Nasib mereka ini terutama kanak-kanak Rohingya terabai tanpa mendapat pendidikan dan kesihatan yang sempurna.

Kerajaan baru Myanmar perlu menimbang membenarkan pelarian Rohingya untuk pulang ke tanah air mereka dan menerima kerakyatan Myanmar serta diberi jaminan keselamatan tinggal di negara mereka.

Jaminan keselamatan merupakan syarat utama bagi penyelesaian kepada isu pelarian Rohingya ini, memandangkan sebahagian besar daripada kira-kira tiga juta penduduk Rohingya, lari meninggalkan Myanmar dan memilih menjadi orang pelarian adalah kerana mereka merasakan keselamatan mereka tidak dijamin oleh kerajaan junta tentera sebelum ini.

Dalam insiden keganasan terbaru di Myanmar itu, yang disifatkan yang terburuk dalam tempoh beberapa dekad, lebih 30,000 penduduk di wilayah itu kini menjadi pelarian.

Menteri Hal Ehwal Sempadan dan Keselamatan bagi Rakhine, Htein Lin berkata, ''Hampir 31,900 etnik Rohingya dan Rakhine kini ditempatkan di 37 khemah pelarian di seluruh Rakhine.''

Beratus-ratus etnik Rohingya, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak pula cuba melarikan diri ke negara jiran Bangladesh dengan menaiki bot sejak beberapa hari lalu.

Isu orang pelarian Rohingya bukan lagi menjadi masalah dalaman Myanmar dan ASEAN lagi tetapi isu global yang perlu mendapat perhatian badan dunia itu.

Kerajaan Myanmar juga perlu bersedia mengiktiraf pertubuhan-pertubuhan yang mewakili penduduk Rohingya untuk mengadakan perbincangan mengenai nasib dan masa depan penduduk Rohingya.

ASEAN sebagai badan serantau yang turut dianggotai Myanmar boleh bertindak membantu merealisasikan rundingan ini dan seterusnya merangka jalan penyelesaian yang boleh mengatasi masalah penduduk Rohingya selama-lamanya.

Malaysia yang turut menghadapi tempias daripada krisis penduduk Rohingya dengan menanggung kedatangan lebih 12,000 pelarian Rohingya boleh memainkan peranan sebagai orang tengah seperti yang berjaya dilakukan oleh Malaysia dalam isu selatan Thailand dan krisis di selatan Filipina.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen