Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my
Tanggungjawab,
kasih sayang orang tua usah dibeza
SAMBUTAN Hari Bapa
mungkin tidak sehebat Hari Ibu daripada segi promosi serta cara meraikannya
tetapi itu sedikitpun tidak mengurangkan rasa taat, hormat serta kasih sayang
sepatutnya dicurahkan seorang anak kepada bapa.
Allah SWT
berfirman yang bermaksud: “Tuhanmu telah memerintah supaya engkau tidak
menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik
kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada kedua-duanya atau kedua-duanya
sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah
engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan
‘ah’, dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi ucapkanlah kepada mereka
perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (Surah al-Isra’, ayat 23).
Jelas kepada kita
tanggungjawab anak kepada kedua-dua ibu bapa tidak sepatutnya berbeza walaupun
tidak dinafikan kebanyakan anak lebih rapat dengan ibu berbanding bapa disebabkan naluri keibuan yang menyentuh jiwa anak secara langsung.
Walaupun kita
sering merujuk hadis yang popular iaitu bagaimana Rasulullah SAW mengulangi
kewajipan mentaati ibu sebanyak tiga kali selepas mentaati Allah ketika
ditanyakan sahabat Baginda, itu tidak bermakna kedudukan bapa tidak penting
seperti ibu.
Pakar Motivasi
yang juga Perunding Utama Fitrah Power Resources, Ahmad Shukri Yusoff, berkata
keutamaan anak mentaati ibu bapa tidak sepatutnya terpisah kerana kebanyakan
ayat Allah menggabungkan hak kedua-dua ibu bapa.
Oleh itu katanya,
apabila sesuatu perintah atau tanggungjawab diberi kepada anak untuk
disempurnakan terhadap kedua-dua ibu bapanya, bermakna ibu dan bapa sewajarnya
menerima hak yang sama.
“Keutamaan kita
lihat sentiasa diberikan kepada ibu kerana pengorbanan serta cabaran terpaksa
ditempuhi mereka daripada mengandungkan, melahirkan serta memelihara. Lagipun,
sikap ibu yang sentiasa bersedia berkorban membuatkan anak lebih rapat dengan
ibu mereka.
“Mungkin juga
keadaan berlaku disebabkan bapa lebih cenderung dilihat sebagai ketua keluarga
yang bertanggungjawab menyediakan keperluan hidup. Kesibukan itu menjadikan
mereka tidak rapat, namun ini mungkin saja kerana ada juga anak lebih rapat
dengan bapa berbanding ibu,” katanya.
Beliau berkata,
budaya mengutamakan ibu bukan berlaku kepada masyarakat di negara ini tetapi ia
adalah fenomena bersifat sejagat kerana di mana saja, dapat dilihat anak lebih
senang meluahkan perasaan atau mengadu dengan ibu mereka.
Katanya, dari
sudut tanggungjawab membimbing serta mendidik anak juga tiada beza kerana
kedua-dua ibu bapa wajib memenuhi amanah itu. Jadi, dari sudut layanan juga,
tidak ada istilah anak emak atau anak bapa.
Ahmad Shukri
berkata, sama seperti kata-kata popular biasa di dengar, ‘di sebalik kejayaan
setiap lelaki ada wanita yang menjadi pendorong’, anak-anak boleh menyemat satu
lagi kata-kata indah iaitu ‘di sebalik kejayaan seorang anak, ada ibu yang
mendoakan’.
Justeru, anak
tidak boleh bermegah bahawa semua kebahagiaan atau kejayaan dicapai adalah atas
usaha dirinya sendiri kerana tanpa reda Allah serta kedua ibu bapa, mungkin
mereka tidak berada di mana mereka
berada sekarang.
Sabda Rasulullah
SAW yang bermaksud: “Reda Allah bergantung pada reda dua ibu bapa dan murka
Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa.” (Hadis riwayat al-Hakim)
Melihat keadaan
masyarakat hari ini, suka atau tidak, kita terpaksa menelan hakikat wujud anak
yang tidak menghargai jasa kedua ibu bapa hingga sanggup membiarkan mereka
hidup bersendirian tanpa jagaan sempurna.
Tanggungjawab anak
terhadap kedua-dua ibu bapa terbahagi kepada dua iaitu tanggungjawab sewaktu
mereka masih hidup dan tanggungjawab selepas mereka meninggal dunia.
Ketika kedua-dua
ibu bapa masih hidup anak hendaklah berbakti dan berbuat baik kepada mereka
kerana ibu bapa adalah orang yang paling banyak berjasa kepada anak. Apabila
kedua-dua meninggal dunia, menjadi tanggungjawab anak mendoakan kesejahteraan
ibu bapa mereka.
Sesungguhnya bagi
setiap anak, meskipun sudah mempunyai keluarga sendiri, tetap wajib mentaati
dan menghormati kedua-dua ibu bapa. Anak yang tidak mentaati ibu bapa dianggap
anak derhaka dan kesalahan menderhaka termasuk dalam dosa besar.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan