Oleh : Mohd Yaakub bin Mohd Yunus
(Artikel ini diringkaskan dari
buku MENYAMBUT RAMADAN & AIDILFITRI MENURUT SUNNAH RASULULLAH S.A.W.
terbitan Karya Bestari)
Islam adalah satu-satunya agama
yang diredhai oleh Allah serta agama paling sempurna. Firman Allah S.W.T:
Kesempurnaan Islam itu terserlah
apabila ia mampu menangani segala permasalahan manusia secara menyeluruh. Islam
telah membicarakan isu-isu bersifat global seperti sistem ekonomi, sistem
pemerintahan malah ia juga membicarakan sekecil-kecil perkaraseperti adab masuk
ke tandas dan beristinjak. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya Islam juga telah
memberikan garis panduan berkaitan tatacara menyambut hari-hari kebesarannya
seperti hari raya Aidilfitri ini. Adalah penting bagi kita untuk sentiasa
menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai petunjuk dalam mengendalikan upacara
sambutan Aidilfitri kerana inilah masa untuk kita semua membuktikan bahawa kita
benar-benar telah menjadi seorang insan yang bertakwa setelah melalui bulan
Ramadan kerana padanya terdapat ibadah puasa yang berupaya membentuk golongan
muttaqin(orang yang bertakwa). Justeru itu, ada baiknya sekiranya kita
mengetahui apakah amalan-amalan yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w sempena
menyambutketibaan hari lebaran Aidilfitri ini.
i. Bertakbir.
Bertakbir pada tarikh 1 Syawal
bersempena Aidilfitri merupakan suatu amalan yang disyariatkan. Takbir pada
hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir
setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah. Firman
Allah S.W.T:
“Supaya kamu cukupkan bilangan
puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir)
kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur.” –
Surah al-Baqarah:185.
Adalah juga disunnahkan untuk kita
bertakbir disepanjang perjalanan dari rumah kita menuju ke masjid untu
menunaikan solat Aidilfitri. Menurut Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani r.h:
“Mengenai syariat bertakbir (pada
hari raya Aidilfitri) yang perlu dilakukan oleh kaum muslimin ialah bertakbir
dengan suara lantang ketika dalam perjalanan menuju ke tempat solat walaupun
kebanyakan umat Islam mula memandang remeh sunnah ini.” – RujukKitab Meneladani
Rasulullah S.a.w Dalam Berhari Raya, karya Syeikh Ali Hassan bin Ali al-Halabi
al-Atsari, ms. 32
Bertakbir sejak mula keluar dari
rumah bertujuan menyerlahkan syiar Islam di setiap pelusuk jalan yang dilalui
ketika menuju ke tempat solat.
ii. Lafaz ucapan selamat pada
hari raya Aidilfitri.
Majoriti amalan umat Islam di
Malaysia akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari lebaran dengan ucapan
‘Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin’. Namun, apa yang lebih
bertepatan dengan amalan para salafussoleh dalam meneladani sunnah Nabi s.a.w
adalah sebagaimana yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani r.h
yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair r.a katanya:
“Apabila para sahabat Rasulullah
s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain
‘taqabbalullah minna waminkum’ (Semoga Allah menerima amalan kami dan
amalanmu).” – Rujuk Fath al-Bari, al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani, , jil. 5,
ms. 270-271. Menurut beliau hadis ini berstatus hasan.
iii. Meneruskan qiamullail.
Jika sepanjang bulan Ramadan kita
telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah
terutamanya solat qiyam Ramadan (solat tarawih), ia seharusnya diteruskan juga
pada hari-hari berikutnya denga...n mengerjakan solat tahajjud. Saranan ini
tidak bermaksud mengkhususkan pada malam Aidilfitri untuk dikerjakan qiamullail.
Apa yang cuba ditekankan di sini adalah semangat mengerjakan qiyam Ramadan
(solat tarawih) haruslah diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada
hari-hari berikutnyasesudah bulan Ramadan.
iv. Mandi pada pagi hari raya.
Disunnahkan mandi di pagi hari
raya sebagaimana mandi wajib, iaitu sebelum berangkat menuju ke tempat
perlaksanaan solat Aidilfitri. Ali bin Abi Thalib r.a pernah ditanya mengenai
mandi. Adakah diharuskan mandi setiap hari? Beliau menjawab:
“Tidak harus melakukannya. Namun,
mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha
dan Aidilfitri.” - Hadis riwayat Imam Syafie di dalam Musnad al-Syafi’i, jil.
1, ms. 118-119.
v. Makan sebelum solat
Aidilfitri.
Disunnahkan kaum muslimin
menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri. Perbuatan ini
bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya.
Menurut al-Muhallab r.h:
“Mengenai hikmah menjamah makanan
sebelum mengerjakan solat hari raya adalah agar seseorang tidak berpendapat
bahawa dia boleh berpuasa sehingga solat hari raya Aidilfitri dilaksanakan.
Seolah-olah Rasulullah s.a.w ingin menutup prasangka semacam ini.” - Rujuk Fath
al-Bari, jil. 5, ms. 272.
Kebiasaannya, Rasulullah s.a.w
akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari raya. Namun, tidak
bermakna umat Islam perlu menyediakan buah kurma untuk dimakan pada pagi hari
raya Aidilfitri. Mereka bebas memakan apa sahaja. Tetapi, mengikut sunnah itu
lebih baik daripada menyanggahinya. Sedangkan, sunnah itu termasuk perkara
tauqifi (tidak boleh dipersoalkan). Anas bin Malik r.a berkata:
“Rasulullah s.a.w tidak akan
pergi ke tempat solat pada pagi Aidilfitri sebelum memakan beberapa biji
kurma.” Murajja’ bin Raja’ berkata: Ubaidillah menceritakan kepadaku bahawa
Anas r.a berkata: Rasulullah s.a.w memakannya dalam jumlah yang ganjil.” -
Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 953.
Namun, jika tidak memiliki kurma
maka dibolehkan untuk mengisi perut dengan makanan lain terutamanya makanan
yang manis-manis seperti madu. Sekiranya tidak ada makanan sama sekali, memadai
dengan hanya meminum air.
vi. Memakai pakaian yang indah.
Disunnahkan kaum muslimin
menghiaskan diri dengan pakaian yang indah-indah pada hari raya. Imam Syafier.h
berkata:
“Aku lebih menyukai seseorang
memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari
Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis
(seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan
memakai wangi-wangian.” – Rujuk Ringkasan Kitab Al-Umm, Imam al-Syafi’I, jil.
1, ms. 327.
Bagi kaum wanita pula walaupun
disunnahkan memakai pakaian yang terbaik, namun mereka hendaklah menghindari
dari memakai pakaian yang bercorak-corak serta perhiasan yang berlebih-lebihan
sehingga menarik perhatian golongan lelaki. Bagi golongan kanak-kanak pula,
Imam Syafie r.h menambah:
“Mengenai golongan kanak-kanak
pula, mereka boleh memakai pakaian paling bagus yang dimilikinya, baik lelaki
mahupun perempuan dan mereka juga boleh memakaiperhiasan emas atau apa sahaja
perhiasan.” – Rujuk Ringkasan Kitab al-Umm, Imam Syafie, jil. 1, ms. 327.
Semoga di pagi hari raya kita
akan memilih pakaian yang terbaik serta paling mahal mengikut kemampuan
masing-masing menuju ke tempat solat hari raya. Disunnahkan juga bagi kaum
lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak disunnahkan kepada kaumwanita. Sabda
Rasulullah s.a.w:
“Mana-mana wanita yang memakai
wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu
kewangiannya, dia adalah penzina.”- Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya.
no: 5036.
Namun begitu bukanlah bermakna
kaum wanita harus membiarkan dirinya berbau busuk. Islam adalah agama yang
menitik-beratkan kebersihan serta kesihatan diri. Dibenarkan bagi wanita untuk
memakai wangian yang keharuman sekadar untuk menjaga dirinya dari berbau busuk
dan tidak sehingga menarik perhatian orang di sekelilingnya. Haruman-haruman
yang kuat dan boleh menaikkan nafsu berahi hanyalah khusus untuk suaminya.
vii. Berjalan kaki menuju tempat
dikerjakan solat hari raya.
Umat Islam dianjurkan berjalan
kaki menuju ke tempat solat Aidilfitri jika tidak keberatan. Ali bin Abi Thalib
r.a:
“Termasuk sunnah, iaitu engkau
berjalan kaki menuju ke tempat solat ...hari raya dan memakan sesuatu sebelum
berangkat.” - Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunannya, no: 487.
viii. Mengikuti jalan yang berbeza
ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya.
Disunnahkan juga mengikuti jalan
yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya. Jabir
bin ‘Abdullah r.a berkata:
“Nabi s.a.w melalui jalan yang
berbeza pada hari raya.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 986.
Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah r.h
berkata:
“Baginda s.a.w selalu melalui
jalan yang berbeza ketika menuju dan pulang dari tempat solat pada hari raya.
Ada yang berpendapat, hal ini dilakukan agar dapat bersalaman dengan
orang-orang yang melalui kedua-dua jalan itu. Sebahagian lain berpendapat
untukmemberikan barakah kepada mereka. Ada juga berpendapat untuk memberikan
pertolongan kepada mereka yang memerlukannya di kedua-dua jalan itu. Menurut
pendapat lain pula untuk menampakkan syiar Islam di jalan-jalan. Pendapat yang
lebih tepat adalah supaya perjalanan yang ditempuh lebih jauh (banyak
langkahnya). Orang yang berjalan ke masjid atau tempat solat, salah satu
langkah kakinya akan meninggikandarjat. Sedangkan langkah kaki yang lain akan
menghapuskan kesalahan-kesalahannya.” - Rujuk Zaadul Ma’ad, Ibn al-Qayyim
al-Jauziyyah, ms. 49.
ix. Tempat perlaksanaan solat
hari raya.
Sunnah mengerjakan solat hari
raya di kawasan lapang atau musholla (tempat terbuka seperti padang sehingga
khatib dapat melihat semua hadirin) merupakan satu amalan yang jarang dilakukan
di Malaysia melainkan beberapa kelompok kecil yang benar-benar kuat berpegang
kepada sunnah Nabi s.a.w. Apakah musholla itu berbeza dengan masjid? Abu Said
al-Khudri r.a berkata:
“Pada hari Aidilfitri dan
Aidiladha, Rasulullah s.a.w keluar menuju ke musholla. Ketika itu, perkara
pertama yang dilakukan oleh baginda ialah mengerjakan solat hari raya (tanpa
ada sebarang solat sunat).” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no:
956.
Tentang hikmah mengerjakan solat
hari raya di musolla, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan telah berkata:
“Sesungguhnya mengerjakan
kedua-dua solat hari raya di tanah lapang mengandungi hikmah yang besar. Di
antaranya adalah seluruh kaum muslimin setidak-tidaknya mereka boleh berkumpul
bersama (bersua muka) dua kali dalam setahun. Semua orang daripada seluruh
pelosok negeri akan berkumpul di sebuah tempat sama ada lelaki, perempuan atau
kanak-kanak. Mereka semua menghadap Allah dengan hati yang penuh konsentrasi,
dikumpulkan dengan satu kalimat (tauhid), solat di belakang seorang imam,
membaca takbir dan tahlil bersama dan berdoa kepada Allah dengan penuh ikhlas.
Seakan-akan hati mereka terikat menjadi satu, merasa bahagia dan mensyukuri
nikmat Allah yang telah dilimpahkan kepada mereka. Dengan itu, hari raya benar-benar
bermakna bagi mereka.” – Rujuk Koreksi Total Ritual Shalat, Syeikh Abu Ubaidah
Masyhur bin Hasan, ms. 394.
x. Mengerjakan Solat Aidilfitri
Di antara syiar yang palin utama
dalam menyambut Aidilfitri adalah perlakasanaan solat Aidilfitri sebanyak 2
rakaat oleh seluruh umat Islam. Ibn Abbas r.a berkata:
...“Rasulullah s.a.w telah keluar
pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak
dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan sesudahnya.”
- Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 989.
Disunnahkan menyampaikan khutbah
sesudah mengerjakan solat hari raya Aidilfitri. Abu Sa’id al-Khudri r.a
berkata:
“Pada hari raya Aidilfitri dan
Aidiladha, Rasulullah s.a.w akan keluar menuju musolla. Perkara pertama yang
dilakukan oleh baginda (apabila tiba di masjid) baginda akan mengimami solat.
Kemudian, baginda akan berpusing dan menghadap ke arah makmum yang sedang duduk
di dalam saf mereka. Seterusnya, baginda akan memberikan nasihat, wasiat dan
perintah kepada mereka (khutbah).” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam
Sahihnya, no: 956.
Para jemaah tidak diwajibkan
menghadiri atau mendengar khutbah hari raya. Sebaik sahaja selesai mengerjakan
solat hari raya, sesiapa yang tidak ingin turut serta mendengar khutbah maka
dia dibenarkan meninggalkan majlis itu. Abdullah bin al-Sa’ib r.a berkata:
“Aku pernah menghadiri solat hari
raya bersama Nabi s.a.w. Setelah selesai solat baginda bersabda: Sesungguhnya
kami akan berkhutbah. Oleh itu, sesiapa ingin duduk mendengar khutbah, dia
boleh duduk. Sesiapa yang ingin pergi, dia boleh beredar.” - Hadis riwayat Abu
Daud di dalam Sunannya, no: 975.
xi. Bergembira Pada Hari Raya
Aidilfitri
Islam adalah agama yang begitu
praktikal lagi munasabah. Setelah sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya
untuk beribadah kepada Allah, maka kini tiba masanya untuk menyambut kejayaan
itu dengan kegembiraan dan kemeriahan. Oleh itu, usaha-usaha untuk menimbulkan
suasana kegembiraan di dalam keluarga masing-masing pada hari raya Aidilfitri
adalah sebahagian daripada syiar Islam. Suasana kegembiraan ini berbeza
mengikut adat setempat. Bagi kita di Malaysia, kegembiraan sambutan hari
rayaAidilfitri dapat dilihat dengan memakai baju-baju baru yang indah, seluruh
ahli keluarga berkumpul, ziarah-menziarah sesama umat Islam dan pelbagai lagi.
Di sesetengah negara Timur Tengah, cuti umum hari raya Aidilfitri dipergunakan
untuk membawa ahli keluargabersiar-siar serta berkelah di tempat-tempat
peranginan. Semua bentuk suasana kegembiraan dan kemeriahan ini adalah
sebahagian dari tuntutan agama Islam sempena menyambut hari raya Aidilfitri
selagi ia dilaksanakan sesuai dengan lunas-lunas syarak. Syeikh Sayyid Sabiq
r.h berkata:
“Mengadakan permainan serta
kegembiraan yang tidak melanggar aturan agama, termasuk pelbagai bentuk
nyanyian yang baik (dari segi makna), semua itu termasuk syiar agama yang
disyariatkan oleh Allah pada hari raya untuk melatih tubuh jasmani dan memberi
kepuasan serta kegirangan hati.” – Rujuk Fiqh al-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq,
jil. 2, ms. 290.
Rasulullah s.a.w sendiri telah
membenarkan penduduk Madinah al-Munawwarah bergembira apabila munculnya hari
raya Aidilfitri dan Aidiladha. Anas bin Malik r.a berkata:
“Nabi s.a.w pernah datang ke
Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka
bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu
baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari
(raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Sabdanya lagi:
Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebihbaik,
iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” - Hadis riwayat al-Nasaai di dalam
Sunannya, no: 959.
xiii. Mengerjakan Puasa Sunat Enam
Hari Pada Bulan Syawal
Sabda Rasulullah s.a.w:
“Sesiapa yang berpuasa pada bulan
Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia
telah berpuasa setahun.” - Hadis riwayat Muslim di d...alam Sahihnya, no: 1164.
Demikianlah keutamaan puasa sunat
enam hari di bulan Syawal. Cara yang paling afdal untuk melaksanakannya adalah
memulakan berpuasa sesudah hari raya Aidilfitri secara berturut-turut (bermula
pada 2 Syawal) sebagaimana yang ditetapkan oleh para ulama. Ini juga merupakan
pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie r.h. Namun, seseorang bebas memilih
mana-mana hari sepanjang bulan Syawal sama ada di awal, pertengahanmahupun di
akhirnya bahkan dia juga boleh mengerjakan secara berturut-turut atau
berpisah-pisah. Amalan sesetengah pihak yang melakukan puasa qada dan sunat
Syawal secara serentak mengikut formula dua dalam satu merupakan perbuatan
bid’ah yang tidak ada dalilnya dari mana-mana hadis Nabi s.a.w yang thabit.
Oleh itu, afdhal menyempurnakan puasa bulan Ramadan yang ditinggalkan terlebih
dahulu diikuti puasa sunat di bulan Syawal. Perbuatan ini lebih bertepatan
dengan maksud hadis di atas untuk mendapat keutamaannya, iaitu seolah-olah
berpuasa setahun.
PENUTUP
Inilah sebahagian daripada
hukum-hakam dan amalan yang disunnahkan ketika menyambut bulan Ramadan
al-Mubarak dan hari raya Aidilfitri menurut al-Quran dan sunnah yang sepatutnya
dijadikan contoh ikutan bagi seluruh umat Islam. Mudah-mudahan, sambutan hari
raya Aidilfitri yang akan menjelma nanti disambut dengan penuh keikhlasan,
kemeriahan dan selari dengan perintah Allah serta Rasul-Nya s.a.w.
Diedit oleh : Dr. Nasseri bin
Taib
Sumber : http://komuniti.iluvislam.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan