Oleh : Datuk Dr. Aziz Jamaludin Mhd Tahir
SETIAP kali menjelang perayaan
kita dikejutkan dengan berita kemalangan jalan raya sehingga mengorbankan
banyak nyawa, harta benda dan trauma sanak saudara. Tetapi semuanya itu tidak
memberikan kesan dalam mengubah sikap kita untuk mengelakkan tragedi tersebut
berulang.
Bahkan setiap tahun perangkaan
kemalangan maut sehingga menjadikan 'pusara di lebuh raya' dan 'jalan sungai
darah' tidak pernah berkurangan secara drastik. Ia seolah-olah menggambarkan
masyarakat Malaysia hanya insaf seketika apabila dalam kesedihan tetapi
kemudian ia dilupakan begitu saja sehingga kesalahan sama diulangi oleh orang
lain.
Melihat kepada perangkaan
kemalangan maut sejak 2003 hingga 2011 sejumlah 58,352 kematian iaitu 2011 -
6,877 kematian, 2009 (6.872), 2008 (6,257), 2007 (6,282), 2006 (6,287), 2005
(6,188), 2004 (6,228) dan 2003 (6,286). Secara puratanya, 19 kematian akibat
kemalangan maut berlaku setiap hari.
Lebih mendukacitakan lebih
separuh mereka yang mati ialah dalam kategori umur 18 hingga 40 tahun, yang
mana dari sudut ekonomi merupakan kumpulan yang produktif menyumbang pendapatan
keluarga dan negara.
Berasaskan kajian, punca utama
kemalangan adalah sikap pemandu dan pengguna jalan raya yang tidak sayangkan
'nyawa' kerana mahu menguji kecanggihan teknologi kenderaan yang semakin maju.
Keadaan ini didorong oleh pelbagai gimik pemasaran produk kononnya peralatan
canggih itu mampu memberikan keselamatan maksimum menerusi pelbagai ujian
saintifik walaupun realitinya ia tidak memberikan jaminan bahawa kehilangan
nyawa tidak berlaku.
Penghasilan kenderaan moden
dengan kerangka yang lebih ringan dan semakin melimpah ciri-ciri aerodinamik
dan kapasiti enjin yang lebih tinggi menyebabkan pemandu semacam terasa dirinya
terhina bila memandu perlahan. Para pengeluar kenderaan pula menggunakan
'kegilaan manusia terhadap kelajuan' sebagai sebahagian daripada mesej
periklanan mereka kerana boleh memecut laju dan boleh membelok dengan cepat
walaupun dalam keadaan permukaan jalan yang berbukit-bukau menjadikan ia
dorongan utama kenapa 'kelajuan itu membunuh'.
Saban tahun kerajaan
membelanjakan wang besar untuk mendidik pemandu agar lebih berhati-hati ketika
memandu, memandu dengan selamat dan tanpa dipengaruhi alkohol, membuat
pemeriksaan kenderaan sebelum memulakan perjalanan balik kampung dan
mengerahkan penguatkuasaan di jalan raya agar tidak dijadikan 'medan perang',
tetapi ia masih tidak mampu mengurangkan kemalangan maut.
Dalam hubungan kelalaian manusia
yang dikatakan punca kemalangan jalan raya memang ia dianggap sebagai satu
takdir. Namun takdir berlakunya kemalangan jalan raya itu disebabkan oleh
kecuaian dan sikap buruk kita. Sikap seperti ini pada pandangan agama sebagai
'tahlukah' (menuju kebinasaan). Sikap tidak mempedulikan keselamatan diri dan
orang lain kerana akhirnya ia membawa kepada kebinasaan.
Mengenai sikap sedemikian, Allah
SWT berfirman: "Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam
bahaya kebinasaan dan berlaku baiklah sesungguhnya Allah SWT sukakan orang yang
melakukan kebaikan" (Surah al-Baqarah ayat 195).
Memang benar takdir ditentukan
Allah, tetapi kita tidak harus memahami takdir dalam pengertian segala sesuatu
telah ditetapkan perincian kejadiannya oleh Allah, sehingga manusia tidak dapat
mengelaknya. Takdir adalah ketentuan terhadap sesuatu berdasarkan sistem yang
ditetapkan-Nya. Siapa bersandar di tembok yang rapuh akan ditimpa runtuhannya,
dan siapa yang menjauhi tembok itu akan terselamat.
Salah satu usaha tersebut adalah
doa. Justeru kita dapat berkata bahawa ada ketetapan-Nya yang telah pasti dan
ada pula yang bersyarat. Siapa tahu salah satu syarat itu adalah doa, sehingga
apa yang diperolehi mereka yang berdoa, sudah tentu berbeza dengan apa yang
dialami oleh mereka yang tidak berdoa.
Memandu laju tanpa menghiraukan
peraturan dan undang-undang jalan raya sekiranya berlaku kematian, maka
kematian itu adalah sia-sia. Di sini kita perlu memahami konsep takdir yang
sebenar kerana banyak salah faham berlaku di kalangan masyarakat yang
menganggap takdir itu adalah kerja Allah SWT yang maha Esa tanpa sekutu dengan
yang lain-lain.
Memang pada hakikatnya semua yang
berlaku ini sama ada baik atau jahat sudah dalam pengetahuan ilmu Allah sejak
dari azali lagi, sedangkan kita tahu ilmu-Nya tersebut bukan tugasnya
menentukan sesuatu (baik atau buruk) kepada hamba-Nya. Manakala kehendak-Nya
pula bertindak memilih selaras dengan kemahuan hamba-Nya. Justeru, balasan baik
atau buruk hanya bergantung kepada pilihan hamba sendiri .
Manusia adalah kejadian-Nya yang
terpilih, dijadikan lengkap dengan segala keperluannya sebagai tempat yang
boleh melaksanakan arahan dan menerima perintah-Nya.
Kita juga tahu bahawa iradat
(kehendak ketuhanan) itu akan berlaku menurut sunah- Nya yang diletakkan di
dalam kejadian makhluk-Nya. Justeru, bila Allah hendak menjadikan manusia, Dia
tidak mengatakan jadilah kamu lalu kamu terus wujud lengkap dengan
segala-galanya. Tetapi manusia akan dijadikan menurut proses peraturan-Nya
iaitu bermula dari mani kemudian bayi kepada remaja, dewasa dan seterusnya.
Kita tidak boleh mengatakan segala apa yang berlaku itu tanpa ada sebab dan
pendahuluannya. Dalam hal ini Umar r.a pernah mengatakan kita lari dari
qadar-Nya (yang buruk) kepada qadar-Nya (yang baik dan selamat). (Hadis riwayat
Bukhari).
Demikianlah makna qadar bukan
bererti Allah mencabut kemahuan dan pilihan daripada seseorang, sebab dia
sendiri boleh berusaha mengubah sikap sombong, mementingkan diri serta cuai
ketika memandu. Kita selalu diperdengarkan firman-Nya yang bermaksud
"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa (nasib) yang ada pada sesuatu kaum
sehingga mereka sendiri mengubah apa (sikap) yang ada pada diri mereka".
(Surah ar- Radu ayat 11).
Apabila berada di jalan raya
terutama di hari-hari perayaan ini kita diingatkan supaya memastikan segalanya
berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan. Agama menuntut kita
agar jangan terlalu gembira sehingga hilang tumpuan untuk sampai ke destinasi.
Sekiranya kita berasa letih dan mengantuk hendaklah berhenti rehat dan buatlah
sedikit senaman ringan.
Sebagai umat Islam, sebelum
memulakan perjalanan kita digalakkan berdoa. Doa yang diajarkan kepada kita
antara lain ialah 'subhana llazi sakhara lana haza wama kunna lahu muqrinin
wainna ila rabbina lamunqalibun'.
Menurut kata setengah ulama
sesiapa yang membaca doa ini ketika hendak berlepas dari satu tempat, dia pasti
akan dikembalikan ke tempat itu dengan selamat. Insya-Allah.
Biarlah musim perayaan pada tahun
ini kita kuatkan azam tidak akan terjebak dengan sebarang bentuk kemalangan
sama ada kemalangan maut di jalan raya ataupun kebakaran kerana ia membuktikan
bahawa kesalahan besar adalah kerana sikap kita sendiri.
Kita terlalu mengambil mudah dan
tidak berusaha mengawal emosi sehingga kita lupa bahawa kemalangan itu
menyebabkan kita trauma. Kita harus memahami bahawa punca sebenar sesuatu
kemalangan adalah disebabkan kecuaian kita sendiri manakala faktor-faktor di
luar kawalan kita jauh lebih kecil yang menjadi penyebabnya.
Penulis ialah Yang Dipertua
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan