SETIAP kali menjelangnya musim
perayaan, seolah-olah telah menjadi satu ingatan kepada kita semua supaya
memandu dengan cara yang berhemah dan selamat.
Apa tidaknya, jalan raya kita
sudah menjadi medan pertumpahan darah setiap kali menjelang musim perayaan,
malah anggaran rekod kemalangan maut sebanyak 6,000 kes setiap tahun patut
mengingatkan kita semua agar sentiasa memandu dengan bertimbang rasa di jalan
raya.
Benarlah, bukan semata-mata
pemandu yang harus dipersalahkan sekiranya sesuatu kemalangan itu terjadi.
Keadaan jalan, cuaca dan sebab-sebab luaran lain juga mungkin menyebabkan
kemalangan berlaku.
Bagaimanapun, harus diingat
tatkala ada faktor yang tidak mampu kita kawal, masih banyak lagi faktor yang
sebenarnya boleh kita pantau bagi mengelakkan kemalangan terjadi.
Kajian-kajian mendapati bahawa
mereka yang terlibat dengan kemalangan jalan raya ini biasanya memandu secara
laju khususnya di jalan yang lengang, lebih banyak memotong kenderaan lain dan
sangat jarang orang lain memotong mereka.
Semua ini ada kaitannya dengan
personaliti individu itu sendiri. Ahli psikologi mendapati terdapat trait
personality tertentu yang menyebabkan seseorang itu lebih mudah terdedah dengan
kemalangan jalan raya.
Antara yang selalu disebut ialah
excitement seeking personality atau sensation seeking personality. Mereka yang
ada personaliti itu biasanya sangat teruja untuk mendapatkan sensasi dengan
memandu lebih laju, apatah lagi kalau dapat memotong kenderaan lain.
Mereka berasa hebat apabila
memintas kenderaan lain, walaupun dalam keadaan pemandu yang dipintas tadi
tidak pun bersaing.
Kajian-kajian lain pula mendapati
ada individu yang mempunyai sifat pemarah yang cepat. Mereka ini biasanya tidak
sabar. Apabila berlaku kesesakan jalan raya, mereka akan mengambil jalan mudah
dengan memotong di lorong kiri yang membawa kepada kejadian kemalangan.
Semua itu berpunca daripada
faktor-faktor yang ada dalam diri individu itu sendiri. Ia sepatutnya boleh
dikawal.
Menjadi kelaziman pemandu kita
untuk berbual-bual melalui telefon, malah ada yang mengambil masa yang panjang
'berborak' mengenai pelbagai hal ketika memandu.
Mutakhir ini, muncul pula
kehadiran teknologi navigasi yang membolehkan kita melihat peta jalan ke
satu-satu destinasi.
Beban visual dan fizikal
Mungkin ramai tidak menyedari,
bahawa kedua-dua alat itu sebenarnya adakalanya boleh menyebabkan musibah
kepada pemandu.
Dalam kajian terkini di Jepun
menunjukkan bahawa memandang ke tempat lain (looking elsewhere) dan
berfikir mengenai sesuatu (thinking about something) telah menyumbang kepada 27
peratus kes kemalangan maut di Jepun.
Apabila seseorang pemandu
menggunakan sistem navigasi, mereka sebenarnya telah menyebabkan berlakunya
beban visual dan fizikal kepada manusia.
Beban visual berlaku kerana kita
terpaksa mengalihkan perhatian kepada perkara lain, sedangkan pada masa yang sama
kita perlu memberi fokus kepada pemanduan.
Beban fizikal pula berlaku kerana
kita perlu menggerakkan mata dan badan bagi melihat perkara lain yang di luar
aktiviti pemanduan.
Sebaliknya, apabila bercakap di
telefon, minda kita akan berfikir mengenai perkara lain. Ini dikenali sebagai
beban mental (mental workload). Jika dengan hanya berbual di telefon sahaja ia
telah mengubah kapasiti mental manusia, bayangkan pula sekarang ini ada yang
masih sempat untuk menghantar khidmat pesanan ringkas dan berFacebook ketika
memandu.
Semua ini merupakan tabiat
pemanduan yang bukan sahaja membahayakan diri sendiri, tetapi pengguna jalan
raya yang lain.
Dalam banyak keadaan, semua
faktor itu akan menyebabkan proses masa reaksi (reaction time) yang berlaku di
minda kita menjadi perlahan, menyebabkan kita tidak mampu bertindak dengan
lebih cepat apabila ada kejadian tidak diingini.
Semua itu merupakan aspek
psikologikal yang biasa kita hadapi, walaupun tidak kita sedari. Kita perlu
mengubah tabiat dan cara kita memandu di jalan raya.
Ingatlah, pemandu yang hebat
ialah pemandu yang selamat sampai ke destinasi dengan cara yang paling
berhemah. Memandulah dengan selamat!
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan