Jumaat, 17 Ogos 2012

ISU BUDAYA WARISAN : Falsafah Di Sebalik Anyaman Ketupat


Melalui nilai kesabaran dan ketekunan, ketupat yang dihasilkan sekali gus jadi karya seni budaya penganyam

Oleh : MUHAMMAD JAILANI ABU TALIB

KETUPAT lazimnya menjadi hidangan wajib bagi segenap orang Melayu di rantau ini setiap kali meraikan Hari Raya Aidilfitri.

Dipadankan bersama dengan hidangan rendang atau kuah sate, ketupat secara tidak langsung menjadi simbol Aidilfitri.

Hari Raya seolah-olah tidak lengkap dan berseri tanpa kehadiran kepulan nasi yang dibungkus rapi dalam daun kelapa.

Betapa istimewanya ketupat bagi masyarakat Melayu, ia malah dikeramatkan keistimewaannya dalam banyak teks kesusasteraan Melayu. Antaranya termasuklah dalam teks Hikayat Maharaja Marakarma yang mencatatkan bagaimana Betara Karma Jaya yang berasal daripada kayangan mengubah anak lelakinya menjadi ketupat.

Ketupat mempunyai sejarah yang panjang di rantau Melayu dan turut dinikmati di Indonesia, Filipina, Malaysia dan Brunei.

Bahkan, di Filipina sendiri, ketupat turut dikenali sebagai puso, bugnoy, patupat dan tamu.

Secara tradisionalnya, ketupat sering dihasilkan dengan menanak nasi yang ditampung dalam anyaman kelongsong daun kelapa.

Biarpun begitu, tuntutan dan hakikat zaman yang berbeza secara bertahap kian menggantikan ketupat tradisional dengan ketupat yang lebih moden.

Bezanya, sedang ketupat tradisional lebih wangi dek haruman daun kelapa, ketupat moden mengemukakan bungkusan plastik semata dan dikenali sebagai nasi himpit.

Membimbangkan, arus kemodenan secara langsung telah mengancam kewujudan teknik penghasilan hidangan tradisional tersebut.

Tanpa dihiraukan segenap pihak, ilmu menganyam ketupat kian semakin jarang diwariskan kepada generasi muda.

Penghasilan ketupat memerlukan penganyam menggunakan daya kreativitinya bagi menjalinkan dua helai keratan daun kelapa untuk dijadikan kelongsong.

Melalui nilai kesabaran dan ketekunan, ketupat yang dihasilkan sekali gus menjadi karya seni budaya penganyam.

Pastinya, ketupat tidak boleh dianyam dalam keadaan tergesa-gesa tanpa menghiraukan unsur seninya.

Di Jawa, tanah kelahiran ketupat sendiri, pada suatu masa dahulu, ia hanya dihidangkan pada hari ketujuh Syawal.

Ini disebabkan kelaziman masyarakat tersebut berpuasa sunat enam daripada hari kedua Syawal hingga ke hari ketujuh.

Dipercayai, tradisi tersebut disebut sebagai Bakda Cilik dan merupakan antara khazanah budaya yang diterajui Sunan Kalijaga.

Ketupat sebenarnya mempunyai makna yang lebih mendalam daripada hidangan semata.

Di Jawa, ketupat membawa makna simbolik sebagai peringatan bagi manusia Jawa agar sentiasa menjaga nafsu dan hati nurani.

Hal ini terpateri dalam daun kelapa yang disebut sebagai janur dalam bahasa Jawa.

Dari sudut ilmu pembentukan kata, janur sebenarnya merupakan singkatan bagi 'jatining nur' yang bererti hati nurani.

Sedangkan janur (jatining nur) merujuk pada hati nurani, beras secara simboliknya dalam budaya Jawa merujuk pada nafsu duniawi. Jelaslah, bagi manusia Jawa, ketupat mengandungi nilai pesan bagi memperingati manusia agar sentiasa membendung kehendak diri dengan hati yang bersih.

Ini sekali gus selari dengan kepercayaan masyarakat Jawa akan konsep hati nurani sebagai alat pengendali nafsu manusia.

Menariknya, di rantau Sunda pula, ketupat dikenali sebagai kupat yang turut membawa makna sebagai peneguran bagi meluruskan akhlak manusia.

Dalam bahasa Sunda, kupat merupakan teguran untuk mengelakkan daripada perbuatan mengumpat, demi menjaga kesejahteraan dunia.

Kupat turut membawa makna moralistik dalam bahasa Jawa agar seseorang segera mengakui kesalahannya apabila berbuat salah.

Secara langsung, hal ini turut menjelaskan falsafah Jawa akan Aidilfitri sebagai peluang untuk lebaran, luberan, leburan dan laburan.

Sedangkan lebaran lebih lazim didengar telinga Melayu dan mudah difahami, luberan, leburan dan laburan mencerahkan permaknaan yang lebih mendalam bagi masyarakat Nusantara.

Dalam hal ini, luberan bererti bersedekah sementara leburan merujuk pada keperluan untuk menyedari taraf diri sendiri dan meminta maaf kepada insan yang lebih tinggi darjat sosialnya.

Apatah lagi, Aidilfitri dipercayai sebagai saat "mugi segeda lebur ing dinten menika" ataupun segala kesalahan yang lalu pasti dimaafkan pada Hari Raya.

Mencapai kemuncak Aidilfitri merupakan proses laburan ataupun penyucian semula diri manusia apabila makna ideal Aidilfitri bagi masyarakat Nusantara terlaksana.

Masyarakat Nusantara yang lebih luas wajar mengenali segala isi falsafah yang mendasari makanan kegemaran mereka.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan