Pandangan IKIM
HARI Raya Aidiladha mempunyai
makna yang cukup besar kepada seluruh umat Islam di dunia. Ia juga dikenali
sebagai hari raya haji, sempena umat Islam yang sedang menunaikan ibadah haji
di tanah suci Mekah.
Salah satu keistimewaan Aidiladha
ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari
bermula selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum
tenggelam matahari pada hari ke 13 Zulhijjah.
Dari segi bahasa, korban
bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah
agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.
Menjelang hari mulia ini juga
kita sering teringat kepada sejarah Nabi Ibrahim menyembelih anaknya Nabi
Ismail selepas menerima wahyu daripada Allah supaya berbuat demikian. Pada
suatu hari Nabi Ibrahim bermimpi, dalam mimpinya itu Allah menyuruh Nabi
Ibrahim menyembelih anaknya yang bernama Ismail.
Selepas mendapat mimpi itu, Nabi
Ibrahim pun memberitahu isterinya yang bernama Siti Hajar. Maka berbincanglah
Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan Ismail. Siti Hajar berkata:"Mungkin mimpimu
itu hanya mainan tidur saja tetapi kalau mimpi itu merupakan wahyu, wajiblah
dituruti."
Apabila mendengar kata-kata
ibunya, Ismail berkata kepada bapanya: "Ayahku,
sekiranya ini merupakan wahyu dari Allah SWT, aku sedia merelakan diriku untuk
disembelih". Setelah persetujuan dicapai, keesokan harinya Nabi Ibrahim
pun membawa puteranya Ismail untuk disembelih.
Perkara Nabi Ibrahim hendak menyembelih anaknya telah
sampai kepada pengetahuan orang ramai. Hal ini membuat orang ramai takut
sehingga ada yang mengatakan: Nampaknya
Nabi Ibrahim mungkin sudah gila hinggakan mahu menyembelih anaknya sendiri.
Kalau kita biarkan perkara ini, nanti kitapun akan dibunuhnya".
Walau apa pun tuduhan orang
terhadapnya, namun Nabi Ibrahim tetap menjalankan tugas yang diperintahkan oleh
Allah SWT terhadapnya. Setelah Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail sampai pada tempat
yang dituju, berkatalah anaknya: "Wahai
ayahku, aku fikir cara yang baik untuk menyembelih adalah dengan cara aku
disembelih dalam keadaan menelungkup tapi mata ayah hendaklah ditutup. Kemudian
ayah hendaklah tahu arah pedang yang tajam dan ayah kenakan tepat kepada
leherku."
Kemudian Nabi Ibrahim pun
melaksanakan perintah yang Allah SWT perintahkan dalam mimpinya. Baginda pun
mengucapkan kalimah atas nama Allah lalu memancungkan pedangnya pada leher
anaknya itu. Maka terperciklah darah mengenai badan Nabi Ibrahim. Sebagai
seorang manusia biasa, Nabi Ibrahim pun menggeletar dan membuka penutup
matanya.
Tetapi alangkah terperanjatnya
apabila melihat yang disembelihnya itu bukanlah anaknya melainkan seekor kibas.
Dengan memuji kebesaran Allah SWT kedua-duanya pun berpeluk-peluk sambil
bersyukur kepada Tuhan kerana memberi kekuatan sehingga dapat melaksanakan
amanat daripada Allah SWT.
Seharusnya peristiwa pengorbanan
yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s ini diceritakan
berulangkali agar ia tidak dilupakan, terutamanya oleh generasi muda. Berapa
ramai agaknya anak muda di zaman ini yang sanggup berkorban merelakan diri
disembelih oleh ayah sendiri?
Peristiwa pengorbanan Nabi
Ibrahim menyembelih anak kandungnya Nabi Ismail, mempamerkan sifat ketakwaan
dan ketaatan seorang hamba Allah demi menegakkan agama Islam walaupun terpaksa
mengorbankan anak kesayangan sendiri. Setiap orang Islam sepatutnya memahami
dan menghayati makna di sebalik peristiwa tersebut.
Peristiwa tersebut memberi makna yang
cukup besar terutamanya dalam kehidupan hari ini di mana kebanyakan manusia
semakin sibuk mengejar kemewahan dan kesenangan hidup. Pengorbanan bukanlah
suatu perkara yang senang dilakukan, sebaliknya ia adalah sesuatu yang amat
sukar.
Ibadat haji itu sendiri merupakan
suatu pengorbanan apabila seseorang sanggup berkorban masa, tenaga dan wang
ringgit untuk menunaikannya. Pengorbanan di antara sesama manusia contohnya,
apabila seorang suami berpenat lelah mencari rezeki dan mendidik keluarganya
serta pengorbanan seorang isteri terhadap suami dan anak-anak.
Seorang ibu yang sanggup tidak
tidur semalaman kerana menjaga anaknya yang sakit juga telah berkorban. Tidak
terkecuali pengorbanan ibu yang terpaksa bangun di tengah malam membancuh susu
untuk anaknya. Walaupun nampak kecil, ia sebenarnya bukan sesuatu yang mudah
untuk dilakukan jika tidak sanggup berkorban serta mengharapkan keredaan Allah
semata-mata.
Dalam aspek kemasyarakatan,
individu yang sanggup berkorban bakal mewujudkan suasana yang bahagia, aman dan
tenang di dalam sesebuah masyarakat. Sikap tolong menolong, saling bantu
membantu akan mengeratkan lagi hubungan silaturrahim di antara satu sama lain.
Sikap bekerjasama dan mengambil
berat ini akan dapat mengikis perasaan mementingkan diri sendiri. Seterusnya ia
bakal menjadikan umat Islam kuat serta mampu menangkis sebarang anasir yang
tidak sihat dari mempengaruhi masyarakat. Namun pengorbanan haruslah ikhlas
kerana Allah yakni, bagi mendapat keredaan Allah semata-mata, bukan dengan
tujuan bermegah-megah atau menunjuk-nunjuk.
Harus diingat bahawa setiap dari
kita berpotensi untuk melakukan pengorbanan. Memetik kata-kata seorang
cendekiawan: Isteri jadilah Siti Hajar walau
suami bukan Nabi Ibrahim dan jadikan anak-anak kita Nabi Ismail".
PENULIS ialah
Pegawai Penyelidik,
Pusat Kajian
Syariah, Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan