SIKAP terhegeh-hegeh dan
tergesa-gesa dalam menjalankan kewajipan atau tugasan akan menjejaskan
produktiviti kerja dan membantutkan segala kegiatan.
Terhegeh-hegeh yang selari dengan
sikap berlengah adalah sikap yang sering diamalkan dalam kalangan masyarakat
hari ini yang suka membuang masa dan melambat-lambatkan kerja dengan menunggu
waktu terakhir untuk membuat sesuatu kerja atau keputusan.
Masalahnya nanti, bukan orang
yang berlengah menerima akibatnya, tetapi orang yang menunggu menjadi mangsa
kerana penat menunggu seperti menunggu buah tak masak gugur!
Tergesa-gesa pun satu sikap
menyebabkan hidup menjadi kelam-kabut dan sentiasa merasa bimbang tidak
bertempat, berasa tidak tenteram kerana asyik hendak cepat yang akhirnya hasil
kerja tidaklah sebaik mana jika terlalu hendak menjadi terawal. Pelbagai
penyakit pula akan menyerang satu badan kerana tekanan mental memikirkan hendak
siapkan semua tetapi badan tidak mampu melakukannya.
Di jalan raya saja kita boleh
melihat ramai yang memandu dalam keadaan terhegeh-hegeh dengan mengambil sikap
tidak peduli dengan kenderaan lain apabila tiba-tiba memotong laluan atau yang
tidak dapat membuat keputusan ke mana arah yang hendak dituju.
Kita bukanlah meminta pemandu
memandu dengan laju. Tetapi kesabaran akan hilang apabila melihat kenderaan
yang dipandu terhegeh-hegeh tidak memberi isyarat untuk memotong dan yang
tergesa-gesa pula memberi isyarat terlalu cepat sehingga tidak tahu ke mana
laluan yang hendak dituju.
Kita sedia maklum berhati-hati di
jalan raya amat penting dan sentiasa menumpukan perhatian sepenuhnya semasa
memandu. Maka dalam hal ini, kemalangan boleh dielak dengan mempunyai sikap
bersederhana di jalan raya. Jangan memandu terlalu lambat dan memandu di laluan
yang salah.
Pelbagai program telah
dilaksanakan oleh pihak kerajaan dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan
jalan raya khususnya pada musim perayaan seperti Ops Pacak, Ops Sikap, Ops
Statik, penggunaan helikopter untuk memantau pergerakan kenderaan, pengedaran
poster, kempen kesedaran serta penguatkuasaan dilakukan namun angka kematian
akibat jalan raya sentiasa meningkat.
Analisis dalam beberapa Ops Sikap
sebelum ini mendapati sikap pemandu yang tidak mematuhi undang-undang jalan
raya dan tidak mempedulikan kenderaan lain menjadi punca berlakunya peningkatan
kemalangan.
Jika ditinjau keadaan di pejabat
pula dan di mana sahaja tempat kita bekerja, sikap lambat dan terhegeh-hegeh
merupakan amalan yang tidak baik. Contohnya, pelanggan beratur panjang menunggu
giliran tetapi segelintir pekerja seperti tidak mahu melayan dan bersikap acuh
tak acuh. Pekerja ini kelihatan bersikap terlalu tenang sehingga mengundang
rasa tidak puas hati pelanggan.
Menurut Jasmine yang bekerja di
sebuah syarikat swasta yang baru pulang dari luar negara, sikap rakan sekerja
yang terlalu terhegeh-hegeh menyebabkan dia hilang sabar. Katanya, dia boleh
menyusun sepuluh kotak di bilik stor berbanding dengan rakan lelaki yang baru
menyusun tiga kotak. Namun itulah lumrah yang berlaku di pejabatnya menyebabkan
dia menerima keadaan itu dan akhirnya mula mengikut momentum di pejabat dan
semuanya menjadi perlahan.
Bagaimana pula momentum kerja di
jabatan kerajaan pula? Kakitangan kerajaan harus sedar bahawa sektor kerajaan
merupakan sektor perkhidmatan kerana bertanggungjawab memberi perkhidmatan
kepada rakyat. Mereka seharusnya mengambil perhatian terhadap aduan serta
cadangan orang ramai kerana mereka menjadi penyumbang kepada hasil kerajaan
melalui bayaran cukai dan sektor yang proaktif dalam pembangunan negara.
Pelajar-pelajar di sekolah
rendah, menengah, institut pengajian tinggi awam (IPTA) atau institut pengajian
tinggi swasta (IPTS) suka menunggu saat-saat akhir untuk menyelesaikan tugasan
kerana dikatakan lebih banyak idea dan keadaan yang mendesak itulah yang
memberi inspirasi menyiapkan kerja.
Pelajar-pelajar yang menempuh
peperiksaan juga suka menunggu saat-saat terakhir untuk mengulangkaji
pelajaran. Mereka mendakwa, lebih bersemangat di saat sebegini. Bukankah
perbuatan ini nampak tergesa-gesa sehingga sanggup minum ubat batuk untuk
mendapat kecergasan di saat akhir untuk mendapat ilham belajar. Mereka
mengatakan, boleh tahan tidak tidur dua atau tiga hari. Selepas ketagih ubat
batuk yang harganya mencecah RM150, akhirnya badan menjadi lesu dan wang pun
habis.
Kes terbaru dengan modal RM6,
pelajar-pelajar IPTA dan IPTS dikesan mencipta 'formula lalok' dengan
mencampurkan ubat batuk dan sejenis pil kononnya sebagai minuman kesihatan
tambahan untuk kecerdasan badan dan otak. Tindakan yang tergesa-gesa ini
mengundang maut jika diambil secara berlebihan selain menyebabkan kerosakan
paru-paru, hati, sistem penghadaman, buah pinggang, otot badan mengecut dan
berat badan menurun secara mengejut.
Bercakap tentang makan pula,
semestinya kita digalakkan makan dalam keadaan beradab dan perlahan tetapi jika
makan sehingga berjam-jam lamanya, ini akan menjejaskan kerja manakala makan
dalam keadaan tergesa-gesa memang tidak digalakkan dan membawa kepada masalah
tercekik, sistem penghadaman terbantut dan sebagainya.
Jika makan dalam keadaan yang
tidak berselera juga menyebabkan orang marah kerana nampak seperti tidak
menghargai rezeki manakala waktu makan yang dilengahkan kerana sibuk bekerja
juga tidak baik kerana boleh menyebabkan penyakit gastrik, ulser perut dan
sebagainya.
Terhegeh-hegeh dan tergesa-gesa di
sini adalah sindrom kepada sikap manusia. Sikap yang terlalu berlengah pun
tidak baik dan terlalu tergesa-gesa pula membawa musibah jika tidak dikawal.
Maka, dua perkataan ini perlu
diletakkan satu tiang di tengahnya iaitu 'bersederhana'. Sederhana dalam setiap
gerak laku dan kerja di mana sahaja kita berada kerana yang sederhana itulah
ungkapan terindah yang perlu diamalkan dalam kehidupan kita. Masa itu emas dan
kitalah yang mengawalnya untuk menentukan setiap detiknya. Salam 1Hati.
Penulis ialah Timbalan Pengarah Bahagian Kepimpinan,
Korporat dan Perhubungan Antarabangsa dan Pensyarah Kanan di Universiti
Pertahanan Nasional Malaysia
Sumber : http : /www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan