Jumaat, 19 Jun 2009

CABARAN AYAH ABAD KE - 21

Oleh Shamshul Azree Samshir
sazree@bharian.com.my

Tip lelaki moden pikul tanggungjawab ketua keluarga

ZAMAN sudah berubah. Cabaran lelaki bergelar ayah dalam era digital tidak sama jika dibandingkan waktu bapa membesarkan kita dulu. Biarpun tanggungjawab teras sebagai ketua dan pelindung keluarga tidak pernah berubah, faktor persekitaran yang berpunca daripada perubahan gaya hidup dan kehendak diri boleh mempengaruhi lelaki dipanggil ayah, abah atau papa ini.

Perubahan persepsi dan nilai termasuk fokus keterlaluan dalam mengejar definisi kejayaan dan kesempurnaan hidup, jika tidak dikawal mampu menjadikan bapa tersasar daripada tanggungjawab utama menjadi ketua keluarga. Kehidupan yang dilihat makin kompleks ditambah pula dunia dihimpit isu keruntuhan nilai, akhlak dan beban ekonomi menjadikan tugas sebagai ayah makin mencabar pada abad ke-21.

Tentunya dalam soal ini, bapa moden perlu lebih fokus serta bijak membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga. Lebih-lebih lagi dalam mendidik anak, lelaki zaman sekarang harus memilih kaedah terbaik melahirkan insan seimbang. Tentunya pengalaman sendiri termasuk pengajaran yang diperoleh ketika membesar wajar dijadikan panduan dalam merencana hidup si kecil.

Bapa moden juga harus bijak mengenal pasti bentuk perubahan dalam pendedahan, tuntutan, keutamaan dan keperluan si kecil yang sama sekali berbeza berbanding ketika dirinya membesar. Perkembangan teknologi, kepesatan pembangunan dan peningkatan taraf hidup memberi kesan langsung kepada persekitaran si kecil dan semua ini perlu diawasi agar tidak memberi kesan negatif dalam hidup anak.

Soal keperluan material atau wang ringgit dalam membesarkan anak juga harus ditangani secara bijak oleh lelaki moden. Kuasa RM dalam kehidupan zaman penuh mencabar ini tidak dapat disangkal. Bapa moden perlu bijak menyusun strategi ekonomi, mencari perlindungan dan kebebasan kewangan yang diperlukan setiap kali mengatur bajet untuk si kecil dan keluarga.

Direnung kembali saat bergelar papa, detik itu tentunya memberi seribu makna dalam hidup lelaki matang. Zuriat yang dilahirkan datang bersama pakej tanggungjawab yang bukan kecil.

Sebagai bapa, masa depan si kecil termasuk soal nilai, pendidikan dan tingkah laku yang hendak dipupuk semuanya terletak di bahu ayah. Inilah tanggungjawab tradisi seorang lelaki bergelar bapa yang perlu dilaksanakan dalam apa cara sekalipun dalam melengkapkan pengertian serta aprisiasi dari anugerah yang diperturunkan Allah.

Jika dilihat sekarang (mungkin sesuatu yang boleh dibanggakan), bapa moden lebih banyak menghabiskan masa bersama anak. Istilah participatory fatherhood jelas merungkai karektor bapa moden. Ketepi sifat dan bengis ayah pada zaman silam - walaupun ia sebenarnya menjadi teknik mendidik paling berkesan pada era dahulu kala, bapa moden cenderung mendekati anak sebagai rakan sendiri malah sanggup menggantikan ibu melakukan kerja-kerja rumah.

Bapa moden yang mewakili kelompok usia awal 30-an hingga 40-an sekarang dilihat terbabit secara aktif dalam soal penjagaan anak atau parenting. Mungkin ada juga segelintir lelaki masih terikat dengan identiti ayah zaman silam, lelaki hari ini lebih terbuka dan menyedari pentingnya terbabit secara langsung dalam proses membesarkan anak.

Lelaki moden mula melihat kepentingan terbabit secara aktif dalam proses penjagaan anak, bukannya menyerahkan bulat-bulat kepada isteri atau dalam kes lebih teruk kepada pembantu rumah. Tidak hairanlah lelaki moden hari ini cenderung mencari bahan bacaan panduan membesarkan anak selain sama memikul rutin penjagaan si kecil seperti menukar lampin, membuat susu dan memandikan anak.

Bapa moden juga aktif mengambil tahu perkembangan anak-anak baik dari aspek fizikal mahupun rohani. Jika anak bersekolah, bapa mengambil inisiatif mengambil tahu apa yang dipelajari si kecil atau bertanyakan soal siapa rakan-rakan si anak. Bapa juga mengambil berat soal pencapaian akademik anak di sekolah - amat berbeza berbanding dulu apabila ibu saja yang dilihat sering menandatangani kad kemajuan atau prestasi anak.

Tidak hairanlah, disebabkan terbatasnya peranan ayah dalam proses pembesaran anak, ada antara kita memiliki persepsi bapa sebagai individu yang sukar difahami atau distant figure. Ayah dikatakan individu yang sukar didekati, dingin dan tidak beremosi. Amat malang berlakunya situasi sebegini kerana sedar atau tidak, kesannya dirasai hinggalah si anak sudah berumah tangga dan memiliki keluarga sendiri.

Mungkin banyak puncanya jika disoroti mengapa ayah menjadi insan yang sukar dimengertikan atau umpama terlalu ‘jauh’ dari keluarga sendiri. Mungkin faktor bebanan kerjaya dan tumpuan terhadap usaha mencari wang demi membina keluarga ketika usia mudanya, bapa terlupa soal hubungannya dengan si anak. Selain itu, sifat seperti terlalu mengejar kesempurnaan dan enggan menerima pandangan orang lain misalnya, menambah lagi tekanan dalam hubungan.

Bagaimanapun, ayah biar apapun persepsinya, tetap ayah. Mana mungkin jasa dan pengorbanan ayah dibalas ganti dan jika ayah menjadi insan yang terlalu ‘jauh’, sebagai anak berusahalah memperbaiki hubungan. Ini kerana mungkin apa yang terpendam dalam hati masing-masing perlu dirungkai kerana bak air, kasih sayang dalam sesebuah keluarga tidak akan putus.

Berita baik menunggu golongan papa hari ini ialah kita masih belum terlambat untuk membuat perubahan. Andai diuji godaan zaman moden hingga bapa hilang pertimbangan, segeralah kembali ke pangkal jalan. Tidak ada manusia yang sempurna, namun jadilah bapa penyayang, prihatin dan paling penting, teman baik kepada anak sendiri.

Selamat Hari Bapa!

Tip jadi bapa hip pada abad ke-21!

1. Sayangi wanita bergelar isteri dan ibu kepada cahaya mata anda.

Cukup lojik memulakan senarai 10 tip ini dengan elemen pertama iaitu isteri anda. Jika bukan kerana isteri anda yang melalui tempoh getir sembilan bulan, anda tidak akan menjadi seorang papa. Sayangi isteri dan berikan sokongan dalam apa juga segenap aspek. Jika isteri anda hamil, prihatinlah dengan perubahan fizikal dan emosi yang dilaluinya. Peruntukkan masa privasi bersama isteri biarpun anak sudah beranak lima. Bantu isteri dalam melakukan semua tugas rumah dan menjaga anak.

2. Berbincang dengan isteri setiap masa.

Dalam mencari kerukunan rumah tangga, tidak ada pilihan melainkan anda dan isteri berbincang mengenai apa saja perkara. Jika membabitkan soal penjagaan anak, anda wajar bertanya isteri masalah yang dihadapinya. Jika isteri bekerjaya, atur jadual harian supaya keperluan anak anda dipenuhi setiap masa. Jangan jadikan bebanan kerja di pejabat sebagai alasan menyerahkan segala-galanya kepada isteri.

3. Tunjukkan kasih sayang kepada isteri dan anak.

Bapa moden harus bebas daripada stereotaip sukar didekati atau individu yang tidak beremosi. Tidak ada salahnya memberi ciuman kepada isteri dan anak setiap pagi sebaik bangun dari tidur. Kemesraan dan hubungan erat yang terjalin antara anggota keluarga akan hanya memberi satu keputusan - anda kecapi bahagia sehingga usia tua.

4. Habiskan masa bersendiri dengan anak.

Tidak salahnya anda menghabiskan masa bersendiri dengan anak - hanya anda berdua! Bawa anak melakukan aktiviti yang digemarinya atau sekadar beriadah bersama di taman tema, jogging di pagi hari atau membaca buku untuk anak anda. Dengan cara ini, anak akan lebih mengenali si kecil dan mengesan karektor atau kecenderungan anak.

5. Kongsi hobi anda bersama anak.

Dedahkan si kecil hobi atau kegiatan masa lapang anda. Tidak salah berkongsi minat seperti bermain alat muzik, bersukan, berkhemah atau bermain catur dengan si kecil. Dengan cara ini, anak anda akan lebih bersikap terbuka dan sedia berkongsi apa saja perkara bersama anda.

6. Jangan abaikan si kecil hanya kerana beliau anak perempuan.

Tidak dinafikan, ada bapa cenderung memencilkan anak hanya kerana jantinanya perempuan. Anak perempuan juga memerlukan bapa sama seperti anak lelaki. Tidak salah menghabiskan masa bersama anak perempuan termasuk mengajarnya bagaimana menggunakan peralatan pertukangan. Anak perempuan juga perlu diajar situasi berdepan dengan golongan dewasa baik lelaki atau perempuan.

7. Anggaplah anak sebagai teman sendiri.

Bagaimana mahu mendekati si kecil andai dirinya ketakutan jauh sekali meluahkan perasaan kepada anda? Bapa moden perlu menjadikan anak sebagai rakan dengan perhubungan lebih santai atau tidak terlalu menekan. Namun, jangan terlebih-lebih kerana bimbang anak tidak takutkan anda pula. Biarpun anda boleh menjadi pendengar setia, pastikan anda tegas dan anak mendengar kata.

8. Jadi idola kepada anak sendiri.

Tunjukkan contoh baik kepada anak anda. Jika anda mahu anak berdisiplin, tunjukkan perilaku sama. Ingat, anak cekap memerhati dan meniru perlakuan anda.

9. Makan bersama setiap kali berpeluang.

Bagi anda yang bekerjaya, mungkin sukar untuk pulang ke rumah dan menikmati makan malam bersama anak setiap malam. Namun, setiap waktu terluang terutama pada hujung minggu, pastikan anda makan bersama seisi keluarga. Ketika bersama, bermacam cerita boleh disampaikan kepada anak termasuk perkara berbangkit seperti soal kerjaya anda, persekolahan dan aktiviti mingguan.

10. Ikuti perkembangan semasa dan kecenderungan generasi muda sekarang.

Usah terbelenggu dalam dunia sendiri, bapa moden seharusnya bersifat lebih terbuka dan mengikuti perkembangan dunia terutama yang melingkari kehidupan generasi muda. Kenali apa itu i-Pod, web tv mahupun ruang sembang siber. Ini penting supaya anda dapat mengawal selain mengetahui kecenderungan atau minat anak anda.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

MEMBINA KEUTUHAN KEPIMPINAN KELUARGA

اَلْحَمْدُ للهِ الْقَآئِلِ : وَوَصَّيْنَا الإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ إِحْسَانًا"، أَشْهَدُ اَنْ لآ ِإلَـهَ اِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلـِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوْا اللهَ اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.


MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH,

Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan, marilah kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT, dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Sesungguhnya kebahagian dunia dan kesejahteraan akhirat hanyalah ditentukan oleh iman dan takwa.


MUSLIMIN YANG DIMULIAKAN,

Mimbar hari ini ingin menarik perhatian para jemaah mengenai satu tajuk, iaitu MEMBINA KEUTUHAN KEPIMPINAN KELUARGA.


Umum mengetahui Institusi Keluarga merupakan asas untuk melahirkan generasi yang soleh dan bertakwa. Kejayaan dan keharmonian sesebuah keluarga berkait rapat dengan kualiti kepimpinan ketua keluarga tersebut. Justeru itu, Islam meletakkan bapa adalah pemimpin dan ketua dalam sesebuah keluarga yang bertanggungjawab mempastikan agar mereka yang berada di bawah jagaannya berada dalam keadaan baik serta mengikut landasan yang diredhai oleh Allah s.w.t. Tanggungjawab dan peranan ini telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w dalam sabdanya yang berbunyi:


"كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُوْلٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، اَلإِمَامُ رَاعٍ وَمَسْئُوْلٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ فِى أَهْلِهِ وَهُوَ مَسْئُوْلٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ فِى بَيْتِ زَوْجِهَا وَمَسْئُوْلَةٌ عَنْ رَعِيَّتِهَا."


Bermaksud: “Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu adalah bertanggungjawab terhadap pimpinannya, seorang pemimpin negara adalah pemimpin kepada rakyatnya dan ia bertanggungjawab terhadap mereka, seorang suami adalah pemimpin keluarganya dan ia bertanggungjawab terhadap pimpinannya, seorang wanita adalah pemimpin ia bertanggungjawab terhadap rumahtangga suaminya dan ia bertanggungjawab terhadap pimpinannya.”


MUSLIMIN YANG DIMULIAKAN,

Untuk membina sebuah keluarga yang bahagia, ibu bapa seharusnya mempamerkan contoh dan tauladan yang terbaik untuk di ikuti oleh anak-anak. Keluarga yang ingin anak-anak berakhlak mulia, maka mereka perlulah juga mempraktikkan akhlak yang mulia. Kelakuan keluarga yang buruk akan menjadikan anak–anak itu sendiri berkelakuan buruk. Akhlak yang baik yang dilihat oleh anak-anak akan membentuk mereka secara tidak langsung. Mereka juga secara tidak langsung meneladani tunjuk ajar, budi bicara dan perbuatan yang mulia yang diamalkan oleh ibu bapa. Dengan sebab itu, bapa dan ibu diharapkan dapat menjadi model yang baik yang akan dituruti oleh anak-anak. Segala tingkahlaku, akhlak, tindak tanduk, adab, dan budi bahasa sedikit sebanyak mempengaruhi kehidupan seharian mereka.


MUSLIMIN YANG DI MULIAKAN,

Fenomena hari ini menyaksikan banyak gejala sosial yang merosakkan kehidupan anak-anak dan remaja akibat dari kegagalan kepimpinan keluarga dalam mempamerkan QUDWAH HASANAH dalam keluarga. Perintah ini dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w dengan sabdanya yang berbunyi:


"أَكْرِمُوْا أَوْلاَدَكُمْ وَأَحْسِنُوْا آدَابَهُمْ"


Maksudnya: “Muliakanlah anak-anak kamu dan tunjukanlah kepada mereka adab-adab yang baik.”

(Hadis riwayat Ibnu Majah)


Imam Al-Ghazali berkata: “ Anak-anak adalah amanah atas ibubapa, jika dia terbiasa dengan benda yang baik, dia akan membesar dalam kebaikan dan biasa dengannya. Dan jika di besarkan dalam suasana yang tidak baik dan maka menderitalah dia dan binasa.


MUSLIMIN YANG DIMULIAKAN,

Sebagai merealisasikan hasrat melahirkan generasi yang soleh dan bertakwa dalam sesebuah intitusi keluarga. Maka, bapa sebagai pemimpin keluarga hendaklah mengambil berat terhadap perkara-perkara berikut:


1. Berperanan memberi dan menyediakan pendidikan agama yang sempurna kepada seluruh ahli keluarga.

Tanggungjawab ini telah dinyatakan oleh Allah s.w.t dalam Firman-Nya dalam surah At-Tahrim ayat 6, yang bermaksud :


”Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”


Berdasarkan ayat tersebut Allah memerintahkan orang-orang yang beriman agar menjaga diri dan keluarganya daripada api neraka Allah s.w.t. Hanya dengan roh yang lahir daripada keluarga beriman saja yang dapat menyelamatkan daripada jatuh ke dalam api neraka.


2. Ibubapa hendaklah mempastikan agar sumber rezeki yang di berikan kepada isteri dan ahli keluarga dari sumber rezeki yang halal lagi suci.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 168, yang bermaksud :


Wahai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.”


Setiap makanan yang diberikan kepada anak-anak hendaklah makanan dari sumber yang halal serta menjauhi dari sumber-sumber yang syubhah, apatah lagi dari sumber yang haram seperti rasuah, riba, penipuan dan sebagainya. Rezeki yang halal bukan sahaja membawa keberkatan tetapi sebenarnya dapat melahirkan zuriat yang pintar dan sehat. Dan akhirnya mendorong seseorang ke arah melakukan kebaikan di dunia dan mendapat rahmat Allah di akhirat.


3. Memperuntukkan masa yang berharga dan berkualiti kepada keluarga.


Bagi membentuk keluarga cemerlang kita perlu memperuntukkan dan mempergunakan masa yang berkualiti bersama anak-anak. Jadikan rumah sebagai ‘syurga’ iaitu tempat yang penuh dengan ketenangan, kenikmatan dan kebahagiaan. Ini dapat dicapai dengan mengerjakan sembahyang berjemaah sekeluarga dan menerapkan amalan membaca al-Quran atau bertadarus bersama-sama, membaca buku agama di rumah beramai-ramai, meluangkan masa untuk beriadah dan berkelah dengan anak-anak serta keluarga kerana ini secara tidak langsung dapat menambahkan hubungan kasih sayang dan mengeratkan hubungan kekeluargaan.


MUSLIMIN YANG DI MULIAKAN,

Sempena dengan hari bapa yang disambut pada bulan Jun setiap tahun, marilah sama-sama kita menanam azam untuk menjadi pemimpin keluarga yang melaksanakan perintah Allah dan amanah yang sebenar. Sesungguhnya kejayaan di dunia dan di akhirat sesebuah keluarga hanya dapat di capai dengan melaksanakan perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya.


Janganlah kita sebagai bapa atau ketua keluarga yang menjadi punca kepada masalah dalam keluarga atau melahirkan anak-anak yang akan terlibat dengan masalah sosial di dalam masyarakat dan seterusnya boleh menjadi masalah kepada Negara. Firman Allah dalam surah al-Furqan :74, maksudnya:


“Dan orang orang yang berkata: "wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.”

(Surah al-Furqan : 74)


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هذَا وَأَسْتَغْفِرُوا اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَات فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.

Sumber : www.islam.gov.my/

ISU SELESEMA BABI (INFLUENZA A )

10 langkah cegah H1N1

Oleh Anwar Hussin, Nazura Ngah, Fatin Hafizah Mohd Shahar dan Khairul Azran Hussin
bhnews@bharian.com.my


MUHYIDDIN dan Liow menunjukkan risalah kempen kebersihan bagi menangani H1N1 pada sidang media di bangunan Parlimen, semalam.

  • 1- Wajib isytihar status kesihatan
  • 2- Majlis Keselamatan Negara diberi mandat mengambil tindakan wajar
  • 3- Penjarakkan sosial
  • 4- Pemeriksaan kesihatan dan suhu badan penumpang dalam pesawat
  • 5- Topeng muka dan pelalian influenza bermusim dibekalkan
  • 6- Tingkat kebersihan tandas awam
  • 7- Kempen media
  • 8- Hadkan pelawat di hospital
  • 9- Anggota barisan hadapan menjaga kebersihan diri
  • 10- Sebar maklumat kepada pejabat kedutaan

    KUALA LUMPUR: Kerajaan melaksanakan 10 langkah lebih ketat bagi menangani penularan Influenza A (H1N1), termasuk mewajibkan semua pelancong dan warga Malaysia yang kembali dari luar negara, mengisi borang pengisytiharan status kesihatan.

    Sesiapa yang gagal mengisi borang itu selepas peraturan berkenaan diwartakan minggu depan, boleh dipenjara dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya mengikut Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

    Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Kebangsaan Antara Kementerian Mengenai Pandemik H1N1 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di bangunan Parlimen semalam.

    "Sekarang ini pengisian borang itu tidak dibuat secara mandatori, ia dibuat secara sukarela sejak beberapa bulan lalu. Hari ini kita bersetuju supaya borang ini diwartakan minggu depan.

    "Borang ini akan dicetak dalam pelbagai bahasa bagi kemudahan pelancong dan disediakan di semua pintu masuk negara ini.," kata Muhyiddin pada sidang media selepas mesyuarat dua jam itu.

    Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak itu berada di tahap 6 atau pandemik. Kelmarin, Malaysia turut mencatat kes penularan tempatan pertama H1N1 membabitkan seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun.

    Muhyiddin berkata, jawatankuasa itu juga memberi mandat kepada Majlis Keselamatan Negara yang turut dipengerusikannya, untuk mengambil tindakan wajar jika berlaku jangkitan wabak itu di sesuatu tempat bagi menyekat penularannya.

    Majlis itu boleh mengambil tindakan 'penjarakkan sosial' seperti menutup sekolah, institusi pengajian dan membatalkan majlis perjumpaan awam atau perhimpunan.

    "Pihak lain tidak diberi mandat untuk berbuat demikian kecuali Majlis Keselamatan Negara," katanya.

    Langkah lain yang diambil ialah melakukan pemeriksaan kesihatan dan suhu badan penumpang dalam pesawat dari negara berisiko penularan H1N1, iaitu Amerika Syarikat, Melbourne di Australia dan Manila, Filipina serta meneruskan saringan kesihatan di semua pintu masuk negara.

    Topeng muka akan diberi kepada sesiapa yang dijangkiti wabak itu ketika dalam perjalanan ke negara ini, manakala pelalian influenza bermusim dibekalkan untuk golongan berisiko bagi mengurangkan bahaya dijangkiti H1N1.

    Beliau berkata, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga diminta membantu menguatkuasa undang-undang dengan lebih ketat terutama berhubung kebersihan tandas awam serta memperluaskan kempen menjaga kebersihan diri.

    "Kempen media oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan perlu diteruskan dan digiatkan untuk meningkatkan kesedaran awam," katanya.

    Beliau berkata, pengurusan agensi atau kementerian yang menyediakan perkhidmatan utama pula perlu memastikan anggota barisan hadapan menjaga kebersihan diri untuk mengelakkan jangkitan Influenza.

    Hospital kerajaan atau swasta juga perlu mengehadkan pelawat seperti dua pesakit bagi setiap pesakit dan kanak-kanak umur 12 tahun tidak dibenarkan melawat pesakit.

    Muhyiddin berkata, kerajaan akan sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan wabak itu tidak terus menular di negara ini.

    "Dari segi pelancongan, maklumat akan disampaikan kepada semua kedutaan kita supaya semua pelawat yang datang ke negara ini mengambil langkah berjaga-jaga dan mengikut peraturan yang kita gariskan," katanya.

    Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata kementerian menyediakan pengangkutan bagi mengambil pesakit yang disyaki dijangkiti wabak itu dari klinik ke hospital berdekatan.

    Bagaimanapun, beliau meminta semua pihak tidak panik dengan penularan wabak itu kerana ia masih terkawal.

  • SPMU 2009

    18,113 calon bakal duduki SPMU 2009

    KUALA LUMPUR 18 Jun - Seramai 18,113 calon bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) 2009 yang akan diadakan selama dua hari bermula 23 Jun ini di 251 pusat peperiksaan di seluruh negara.

    Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Pelajaran dalam kenyataannya di sini hari ini berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 10,946 calon mendaftar untuk mata pelajaran Bahasa Melayu sahaja.

    ''Bagi mata pelajaran Matematik pula, seramai 3,315 calon telah mendaftar, manakala 3,852 calon lagi mendaftar untuk menduduki kedua-dua mata pelajaran tersebut,'' menurut kenyataan itu.

    Menurut kenyataan itu lagi, Lembaga Peperiksaan mengingatkan semua calon supaya sentiasa merujuk jadual waktu peperiksaan untuk mengetahui butiran tentang masa serta arahan-arahan dan amaran semasa peperiksaan.

    Semua calon SPMU juga dikehendaki membawa bersama kad pengenalan masing-masing sepanjang masa terutamanya ketika berada di bilik atau dewan peperiksaan untuk memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan.

    Selain itu, calon-calon turut diingatkan supaya bersiap sedia dan mengikuti perkembangan terkini melalui media massa terhadap sebarang kemungkinan berlakunya perubahan pada jadual atau pusat peperiksaan akibat berlakunya perkara yang tidak dijangka seperti banjir.

    Sumber : http://www.utusan.com.my/

    Khamis, 18 Jun 2009

    HIBURAN DALAM ISLAM

    Pada dasarnya Islam mengharuskan hiburan kerana ia menjadi sebahagian daripada fitrah kehidupan manusia. Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a yang bermaksud:

    “Sesungguhnya Abu Bakar masuk kepadaku, sedang di sampingku ada dua gadis hamba daripada orang Ansar sedang menyanyi dengan nyanyian yang dinyanyikan oleh orang Ansar pada hari peperangan Bu’ath. Aku berkata, kedua-dua orang ini bukanlah penyanyi. Abu Bakar berkata, adakah di rumah nabi ini terdapat serunai syaitan? Sedangkan pada hari ini adalah hari raya idul fitri. Rasulullah bersabda, wahai Abu Bakar, sesungguhnya setiap kamu ada hari rayanya dan ini adalah hari raya kita.” (Riwayat Ibnu Majah)

    Berdasarkan Hadis tersebut, nyatalah bahawa hiburan yang menghiburkan jiwa serta menenangkan hati diharuskan oleh Islam. Ini dinyatakan oleh al-Syeikh Yusuf al-Qardhawi bahawa antara hiburan yang dapat menghibur jiwa, menenangkan hati serta menyedapkan telinga adalah nyanyian. Hiburan nyanyian ini diharuskan oleh Islam dengan syarat ia tidak dicampuri kata-kata kotor, keji atau yang boleh memberangsangkan kepada perbuatan dosa. (al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hal. 273).

    Dalam membincang isu ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia dalam persidangan kali ke-2 pada 12 – 13 Mei 1981 telah membuat keputusan seperti berikut:

    a) Nyanyian yang senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap dan tidak mendorong kepada maksiat, tidak bercampur gaul antara lelaki dengan perempuan dan tidak membawa kepada fitnah adalah harus;
    b) Jika nyanyian senikatanya tidak baik, lucah, biadap, mendorong kepada maksiat, bercampur gaul lelaki dengan perempuan dan membawa kepada fitnah maka nyanyian itu adalah haram;
    c) Pancaragam yang melalaikan hukumnya haram;
    d) Mendengar nyanyian dan pancaragam adalah harus dengan syarat senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap, tidak bercampur lelaki dengan perempuan dalam keadaan yang tidak menimbulkan fitnah; dan
    e) Menyanyi untuk menimbulkan semangat jihad adalah harus .

    Garis Panduan Hiburan Yang diharuskan Dalam Islam:

    a) Program Hiburan

    i. Bermatlamatkan kebaikan dan kesejahteraan.
    ii. Diadakan di tempat yang bersesuaian supaya tidak mengganggu ketenteraman awam dan orang ramai.
    iii. Mengambilkira masa yang bersesuaian dengan sensitiviti masyarakat dan ajaran Islam.
    iv. Tidak disertai oleh perbuatan-perbuatan haram atau maksiat.
    v. Tidak mengandungi acara yang bersifat provokasi yang boleh menimbulkan sikap prejudis atau permusuhan.
    vi. Tidak mengandungi unsur-unsur pemujaan atau penyembahan yang bertentangan dengan ajaran Islam.

    b) Persembahan Muzik

    i. Tidak menimbulkan gerak-geri liar.
    ii. Tidak mendorong kepada perbuatan maksiat.
    iii. Tidak melalaikan.

    c) Lirik

    i. Kalimah syahadah dalam bahasa Arab hendaklah disempurnakan.
    ii. Tidak mengandungi sebutan yang boleh membangkitkan nafsu syahwat, perkataan lucah, menggambarkan arak, dan memberi perangsang melakukan dosa.
    iii. Tidak mengandungi unsur-unsur pemujaan kepada makhluk dan peribadi.
    iv. Tidak mengandungi ungkapan-ungkapan yang melanggar adab kesopanan dalam Islam.
    v. Tidak mengandungi ungkapan yang melanggar akidah dan syariat Islam.
    vi. Tidak mengandungi unsur mengutuk nasib dan lucah.
    vii. Tidak mengandungi unsur menghina, mengaib, mencaci, memfitnah dan seumpamanya.
    viii. Tidak boleh menjadikan teks al-Quran sebagai lirik.

    d) Persembahan Artis

    i. Berinteraksi dengan penonton secara sopan dan disertai kata-kata yang boleh membina nilai-nilai kemanusiaan.
    ii. Berpakaian kemas, sopan serta tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan diri kepada eksploitasi penonton dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam.
    iii. Tidak melakukan gerak geri dan perkataan yang boleh menimbulkan perasaan yang mendorong kepada maksiat dan menghina Islam.
    iv. Tidak mengucapkan kata-kata yang menggalakkan perbuatan maksiat atau menghina agama Islam.

    e) Persembahan Tarian

    i. Berpakaian kemas, sopan serta tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan diri kepada eksploitasi penonton dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam.
    ii. Gerak tari yang dipersembahkan tidak menimbulkan fitnah.
    iii. Tidak berlaku percampuran antara lelaki dengan perempuan yang boleh menimbulkan fitnah.
    iv. Tidak bertujuan pemujaan atau penyembahan.
    v. Tidak dipersembahkan dengan gaya yang memberahikan.

    Sumber : http://www.islam.gov.my/

    SPM : 10 MATA PELAJARAN KEKAL

    Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
    pengarang@utusan.com.my

    MUHYIDDIN Yassin bertemu dengan Menteri Pelajaran New Zealand, Anne Tolley di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.


    KUALA LUMPUR 17 Jun – Semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanya boleh mengambil 10 mata pelajaran mulai tahun depan, namun pengecualian diberikan kepada mereka daripada aliran agama sains.

    Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dengan keputusan itu, pelajar aliran agama sains dibenarkan mengambil 11 mata pelajaran, tetapi hanya untuk tahun 2010 sahaja.

    Katanya, kelonggaran itu terpaksa diberikan kepada pelajar aliran tersebut kerana pengambilan 11 mata pelajaran di dalam SPM telah menjadi amalan sejak sekian lama.

    ‘‘Setelah mengambil kira rayuan pentadbir sekolah agama sains, kerajaan memutuskan bahawa pelajar aliran ini (agama sains) diberikan pengecualian dan dibenarkan mengambil maksimum 11 mata pelajaran. Kita memahami kesukaran yang mereka hadapi.

    ‘‘Bagaimanapun, kelonggaran ini kita hanya berikan untuk tahun depan sahaja. Oleh itu, satu bentuk pengubahsuaian perlu dilakukan segera kerana mulai tahun 2011, semua pelajar termasuk aliran agama sains hanya dibenarkan mengambil 10 mata pelajaran,” katanya.

    Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian pada sidang akhbar sebelum menghadiri satu program persidangan Menteri-Menteri Pelajaran Komanwel ke-17 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

    Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.

    Sebelum ini, kerajaan menyedari permasalahan pelajar sekolah menengah aliran agama sains sekiranya mereka dihadkan mengambil 10 mata pelajaran dalam SPM kerana mengikuti pendidikan sains dan agama secara serentak.

    Kerajaan baru-baru ini mengumumkan pelajar yang menduduki SPM mulai tahun depan dibenarkan mengambil peperiksaan untuk maksimum 10 mata pelajaran sahaja.

    Pengumuman itu bagaimanapun mendapat bantahan beberapa pihak seperti MIC yang mendakwa pelajar tidak boleh lagi menduduki kertas Bahasa Tamil dan Kesusasteraan Tamil secara serentak serta perlu memilih salah satu mata pelajaran sahaja.

    Muhyiddin berkata, 11 mata pelajaran yang perlu diambil oleh pelajar aliran agama sains ialah empat mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah dan Matematik.

    ‘‘Tiga lagi mata pelajaran agama iaitu Pendidikan al-Quran dan As-Sunnah, Pengajian Syariah dan Bahasa Arab Tinggi. Empat lagi mata pelajaran sains tulen iaitu Fizik, Biologi, Kimia dan Matematik Tambahan,” katanya lagi.

    Menjawab satu pertanyaan, Muhyiddin berkata, pengecualian itu hanya dibenarkan kepada pelajar aliran agama sains dan bukan pelajar agama.

    ‘‘Pelajar agama tetap tertakluk kepada syarat pengambilan 10 mata pelajaran. Begitu juga pelajar di sekolah persendirian dalam apa jua aliran,” katanya lagi.

    Dalam pada itu, Muhyiddin menjelaskan pada asasnya kementerian telah menetapkan enam mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Sains dan Pendidikan Agama Islam atau Moral.

    Namun, katanya lagi, pelajar yang berada dalam tiga aliran iaitu agama sains, agama dan sains hanya perlu mengambil empat ke lima mata pelajaran teras.

    ‘‘Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, pelajar agama sains hanya perlu mengambil empat mata pelajaran teras kerana mereka tidak perlu mengambil Sains dan Pendidikan Agama Islam.

    ‘‘Pelajar aliran agama pula hanya perlu mengambil lima mata pelajaran teras dan begitu juga pelajar aliran sains kerana mereka tidak perlu mengambil Pendidikan Agama Islam dan Sains. Ini bertujuan untuk mengelakkan wujudnya pertindihan,” katanya lagi.

    Sementara itu, Muhyiddin sekali lagi memberi penekanan bahawa tujuan kerajaan mengehadkan pengambilan 10 mata pelajaran adalah untuk mengelakkan pelajar di negara ini terlalu berorientasikan pencapaian peperiksaan.

    ‘‘Saya percaya melalui usaha mengehadkan pengambilan kepada 10 mata pelajaran, ia mampu membangunkan potensi murid secara lebih intensif dan komprehensif.

    ‘‘Ia adalah kerana guru dan murid mempunyai lebih banyak masa untuk menyeimbangkan antara kegiatan akademik dan aktiviti kokurikulum,’’ katanya.

    Beliau seterusnya mahu melihat perkembangan akal, rohani dan emosi murid lebih seimbang supaya ia selari dengan hasrat falsafah pendidikan kebangsaan.

    Sumber : http://www.utusan.com.my/

    Rabu, 17 Jun 2009

    Henti Aniayai Perut Anda!

    Oleh Melati Mohd Ariff

    KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Rakyat Malaysia gemar makanan yang mengandungi lemak tinggi dan kurang makan sayur dan buah-buahan.

    Mereka juga tiada disiplin dalam waktu makan dan sering terlebih makan.

    "Apa yang dimakan bukan bahagian yang sewajarnya dimakan terutama apabila makan di tempat yang menyediakan menu Barat. Sebagai contoh, ikan dan kentang goreng, hidangan ayam (chicken chop) atau kambing biri-biri (lamb chop).

    "Bahagian yang dihidangkan lebih untuk seorang dan terlalu banyak mentega dan krim digunakan," Mary Easaw-John, Pengurus Kanan, Dietetik dan Perkhidmatan Makanan, Institut Jantung Negara (IJN), yang berkongsi beberapa pemerhatiannya tentang tabiat makanan rakyat Malaysia dalam satu wawancara baru-baru ini.

    PENGANIAYAAN BESAR

    "Pada pandangan saya kita sudah sampai kepada peringkat kita tidak sedar kita sebenarnya terlalu menganiayai perut kita.

    "Sedar tak perut kita mempunyai sistem dan ia bekerja sebagai mesin kilang dengan pengaturan masa yang tertentu. Perlu juga ingat perut manusia hanya boleh menerima sejumlah makanan pada satu-satu masa dan akan lebih membantu jika anda mengunyah makanan dengan sebaik-baiknya," Easaw-John memberitahu Bernama.

    Menurut beliau, selepas makanan melepasi esophagus, ia akan melalui proses pencernaan di dalam perut dan ini akan mengambil masa sedikit. Perut, tambahnya, bertindak sebagai 'pengisar' nombor dua. Dari perut, ia akan melalui usus kecil dalam jumlah yang sedikit-sedikit.

    "Janganlah makan dengan lahap. Sekiranya anda terlampau membebani perut anda, ia bukan sahaja akan mengembang tetapi anda memberinya lebih kerja dan menjadikannya bertambah letih.

    "Lebih buruk jika anda terus-terusan makan sebelum perut selesai dengan proses pencernaan pertama. Jika ada mengambil sarapan pagi pada pukul 8, waktu makan berikutnya ialah sekitar 12.30 tengah hari untuk membolehkan proses pencernaan selesai.

    "Cuba fikir apa yang akan berlaku sekiranya perut anda mogok? Bagaimana makanan anda akan diserapkan? Lebih teruk lagi jika anda menderita ulser perut atau colitis? (radang kolon yang kronik) atau penyakit pencernaan yang lain. Bagaimana anda hendak menangani semuanya ini?" soal Easaw-John.

    TAHU APA YANG ANDA MAKAN

    Menurut beliau, adalah juga penting untuk seseorang itu tahu apa yang dia makan dan ambil sebagai "snek" di antara waktu makan.

    Persoalan utama ialah, kata beliau, sama ada snek yang dimakan itu dalam linkungan jumlah kalori yang disyorkan.

    "Sebagai contoh, jika jumlah harian kalori anda yang disyorkan 1,800, jadi semua tiga makanan utama dan snek perlu berada dalam jumlah 1,800 kalori.

    "Bagaimanapun, sekiranya snek yang anda makan menyumbang kepada lebihan kalori, sebagai contoh dari 1,800 kalori menjadi 2,200 kalori, ini bermakna anda akan menambah berat badan. Lagi teruk jika anda tidak bersenam kerana lebihan kalori ini akan disimpan sebagai lemak," jelasnya.

    Easaw-John mempunyai beberapa tip bagi mereka yang lazimnya mengambil sarapan pagi yang besar.

    "Sekiranya anda menggemari nasi lemak, belilah pek kecil berbanding menghadap sepinggan penuh nasi lemak yang ditambah dengan telur mata kerbau, kacang goreng, sambal sotong atau sambal kerang atau rendang daging atau ayam.

    "Satu paket kecil nasi lemak biasa hanya mengandungi sekitar 200 kalori tetapi sepinggan nasi lemak dengan pelbagai lauk tambahan adalah antara 800 hingga 1,000 kalori. Sama juga halnya dengan mi atau nasi goreng. Kalau nak makan juga, belilah paket kecil tanpa sebarang tambahan lauk," katanya.

    GULA DAN 'GULA YANG TERSEMBUNYI'

    Pakar diet IJN ini juga mengingatkan masyarakat awam negara ini supaya berhati-hati dengan pengambilan gula jika mereka mahu kekal sihat.

    Menurutnya, seseorang itu hanya memerlukan enam hingga tujuh sudu teh gula sehari termasuk 'gula tersembunyi'.

    "Gula sebenarnya ialah bentuk karbohidrat yang mudah berbanding kanji dan serat yang dikenali sebagai karbohidrat kompleks. Gula apabila diserap disimpan di dalam tubuh kita sebagai lemak. Itulah masalahnya dengan gula berbanding sayur dan buah-buahan yang mengandungi galian dan vitamin.

    "Bagaimanapun, gula sahaja tidak akan menyebabkan penyakit kencing manis. Pada asasnya juga, seseorang itu mengalami pertambahan berat badan akibat tabiat pemakanan yang tidak teratur," katanya.

    Bercakap mengenai 'gula yang tersembunyi', Easaw-John memberikan beberapa contoh termasuk roti, kek, biskut manis, jeli, jem, gula-gula kandi dan kaya.

    "Jem adalah 60 peratus gula sementara kaya pula 50 peratus gula. Sepotong kecil kuih mempunyai separuh sudu teh gula, sepotong kek yang sederhana besarnya dengan gula ising mempunyai satu hingga dua sudu teh gula dan setin minuman berkarbonat pula mempunyai antara 8-9 sudu teh gula. Jika anda minum setin minuman berkarbonat ini, bererti anda telah menggunakan sepenuhnya kuota gula anda untuk hari berkenaan.

    "Dari segi kalori, satu sudu teh madu mengandungi 21 kalori, satu sudu teh gula perang pula 16 kalori, satu sudu teh gula pasir 15 kalori dan satu sudu teh jem 16 kalori," katanya, sambil menjelaskan, lemak menyumbang kalori paling tinggi, sambil memberi contoh, satu gram lemak akan memberi sembilan kalori berbanding satu gram karbohidrat atau protin yang memberi 4 kalori.

    Beliau juga meminta masyarakat pengguna Malaysia supaya memeriksa label makanan untuk kandungan gula dan lemak bagi makanan diproses.

    "Sekiranya label menyebut bebas kalori, ini bermakna kurang daripada lima kalori satu hidangan. Kalau di label tertera bebas gula, lazimnya ia kurang daripada 0.5 gram gula satu hidangan.

    "Gula dikurangkan atau kurang gula yang banyak terdapat dalam pasaran Malaysia bererti 25 peratus kurang gula setiap satu hidangan. Ini perkara biasa di negara ini. Jika label menyebut rendah gula, ia bererti 25 peratus kurang gula bagi satu hidangan.

    "Jika label ditulis tiada tambahan gula, ini bermakna tidak ada gula ditambah semasa pemprosesan tetapi mungkin ada ramuan yang mengandungi gula asli, sebagai contoh buah-buahan kering," jelasnya.

    Bagi pengguna Malaysia yang memilih menggunakan 'pemanis' daripada gula pasir (gula biasa atau gula perang), Easaw-John memberi peringatan ia 180 hingga 200 kali lebih manis daripada gula biasa.

    Bagaimanapun, beliau menjelaskan, pemanis mengandungi kalori yang lebih kurang daripada gula biasa.

    "Ambil hanya satu sachet untuk secawan minuman anda. Kebanyakan orang mengambil tiga sachet sehari, untuk pagi, tengah hari dan malam," tambahnya.

    PERLU CAMPUR TANGAN KERAJAAN

    Dalam menyuarakan rasa bimbangnya yang amat sangat terhadap tabiat pemakanan buruk rakyat Malaysia, pakar diet IJN ini berkata kelakuan yang tidak sihat itu dipengaruhi banyak faktor seperti: mengapa dan cara orang makan, makanan apa yang dimakan, dan dengan siapa mereka makan, serta cara orang mendapat, menyimpan, menggunakan dan membuang makanan.

    Menurut beliau, faktor individu, sosial, budaya, agama, ekonomi, alam sekitar dan politik mempengaruhi tabiat makan seseorang.

    "Di Malaysia, di mana-mana sahaja ada tempat makan, di bawah pokok, di tepi longkang, di tepi jalan. Ada yang dibuka 24 jam, jadi apa yang akan menyekat seseorang itu daripada berterusan makan.

    "Tambahan, ada sesetengah orang berkata makanan yang dijual di bawah pokok atau belakang rumah mereka yang terbaik! Ada kalanya, mereka sanggup beratur panjang untuk membeli makanan," katanya.

    Easaw-John turut mempersoal keselamatan makanan yang disaji di tempat-tempat makan yang bersepah di negara ini termasuk di pasar-pasar malam.

    Beliau turut mengeluh dengan sikap sesetengah orang yang tidak memberatkan kebersihan apabila memilih tempat makan.

    "Mereka beritahu saya makanan itu sedap dan apa yang berlaku tempat makan itu terletak di sebelah longkang. Dalam konteks ini, kebanyakan penduduk Asia mempunyai mentaliti yang sama. Mereka tidak berapa kisah tentang kebersihan dan keselamatan makanan.

    Bagaimanapun di Singapura, baginya, senarionya berlainan dan boleh dicontohi.

    "Baru-baru ini saya bercuti dengan keluarga saya di pulau itu dan apabila saya bertanya ada gerai makan, saya diberitahu kalau hendak makan, saya perlu pergi ke pusat membeli belah atau medan makan yang khas.

    "Saya juga diberitahu supaya pergi ke gerai makan yang mempunyai logo piramid berwarna merah yang memaparkan ramuan yang lebih sihat. Penjaja berkenaan adalah peserta Program Makanan Jajaan Yang Lebih Sihat. Program tersebut bertujuan membanyakkan pilihan makanan lebih sihat untuk kepentingan pengguna," katanya.

    Kedai makan di republik itu yang bersih, mendapat sijil daripada Lembaga Promosi Kesihatan Singapura yang menyebut pengendali kedai itu mengamalkan persediaan makanan yang sihat.

    "Mereka juga membuat pemeriksaan audit dan ini akan dicatatkan," katanya.

    KESELAMATAN MAKANAN

    Menurut Easaw-John, makanan perlu disediakan di tempat yang sesuai dan mempunyai bekalan air yang sempurna. Sambil merujuk kepada pengabaian suhu, beliau berkata bahan mentah termasuk daging, ikan dan sayur seharusnya diangkut dan dikendalikan dengan betul.

    Ini, katanya, penting untuk mencegah berlakunya sebarang penyakit yang berpunca daripada bakteria seperti 'E. coli', 'Salmonella', 'Campylobacter' dan 'Listeria'.

    "Bakteria tersebut boleh menyebabkan gejala seperti cirit-birit, demam, kejang perut, loya dan muntah-muntah," katanya, sambil merujuk kepada kekerapan berlakunya kes keracunan makanan terutama di sekolah-sekolah berasrama.

    Makanan yang dimasak, jelasnya, juga mempunyai had luput.

    Sambil memberi contoh, nasi ayam, beliau melontarkan soalan-soalan berikut. Di mana ayam yang sudah dimasak disimpan? Digantung di dalam dapur yang panas, di belakang gerai atau berhampiran tandas?

    Beliau turut mengemukakan isu seperti makanan yang sudah dimasak dibiar terdedah berjam-jam lamanya. Kebanyakan makanan tidak selamat dimakan selepas 4 jam.

    Satu lagi isu yang menjadi kebimbangan beliau ialah memanaskan makanan terutama mengenai penyalahgunaan masa dan suhu.

    "Jika anda mengikut standard keselamatan antarabangsa, makanan perlu dilupus selepas empat jam disediakan. Sekiranya anda memasak makanan, anda mesti menghidangkannya serta merta. Jika ada lebihan, makanan itu mesti disimpan dalam bekas yang tertutup di dalam peti sejuk. Sekiranya anda mahu makan lebihan itu, pada keesokan harinya, anda perlu memanaskan makanan itu pada suhu yang betul.

    "Di sesetengah gerai menjual nasi campur, makanan dibiarkan terdedah dan adakalanya berjam-jam. Jika dibiarkan makanan dalam suhu bilik, bakteria di dalam makanan itu akan membiak dengan cepat," kata Easaw-John sambil menambah pengguna perlu berhati-hati apabila makan salad mentah atau ulam di gerai-gerai berkenaan.

    Menurut Easaw-John, mereka yang mengendalikan dan menghidangkan makanan perlu memahami tiga peraturan asas pengendalian makanan untuk mencegah penyakit yang berpunca daripada makanan, iaitu simpan makanan sejuk, sejuk, simpan makanan panas, panas dan simpan semua makanan secara bersih.

    Satu lagi perkara yang perlu diambil berat ialah pekerja di gerai makanan di mana sesetengahnya memakai pakaian yang kotor serta berkuku panjang. Pekerja-pekerja itu juga tidak menutup kepala dengan topi yang sesuai serta menggunakan kain yang sama untuk mengelap meja dan pinggan.

    Beliau turut mengingatkan masyarakat pengguna Malaysia supaya berhati-hati tentang penggunaan bahan pengawet yang berlebihan di samping bahan perasa, minyak dan sos yang murah oleh sesetengah penjaja makanan.

    Tegasnya, semua bahan itu ialah "sahabat baik untuk pencetus kanser."

    "Lebih selamat jika anda memasak makanan sendiri, meskipun hanya nasi putih, sayur goreng dan telur goreng. Ambil lebih banyak sayur dan buah-buahan. Kandungan seratnya membantu membersihkan perut.

    "Kalau pun anda makan di luar dengan keluarga atau kawan-kawan, pilih tempat yang bersih dan berkongsilah makanan. Bukan sahaja dapat mengurangkan makanan yang anda makan tetapi ia lebih menjimatkan," katanya secara berseloroh.

    Sumber : http://www.bernama.com/