Sabtu, 4 Julai 2009

Islam garis kaedah berkesan atasi penularan wabak

Oleh Mohd Zamri Shafie

PENYAKIT yang menjangkiti penduduk dunia hari ini adalah qada’ dan qadar Allah yang perlu dimengerti dan difahami individu Muslim. Islam mengajar umatnya menerima dengan lapang dada musibah yang menimpa dengan keinsafan dan kesedaran.

Namun kita tidak boleh berserah diri semata-mata kepada takdir tanpa usaha diiringi dengan doa, sifat sabar serta rimbunan taubat kepada Allah atas segala kesilapan yang tidak tahu mensyukuri nikmat akal kurniaan Allah.

Penyakit yang menyerang manusia tidak dapat dinafikan berpunca atas kesilapan membuat percaturan hidup tanpa landasan syariat ditetapkan Allah. Kesalahan itu membuka jalan bagi manusia menilai semula cara hidup mereka dengan menggunakan Islam sebagai kayu ukur dan bermuhasabah kenapakah penyakit datang silih berganti ‘mengganggu’ hidup manusia.

Di samping itu, sebagai manusia yang dikurniakan kecerdasan dan kewarasan akal sewajarnya menggunakan ‘kesempatan’ ditimpa penyakit, melakukan pelbagai penyelidikan secara efektif dan proaktif mengenai kaedah rawatan seterusnya menghasilkan ubat atau vaksin menghadapi ancaman penyakit yang tidak dapat digambarkan keadaan pada masa hadapan.

Firman Allah yang bermaksud: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan dan kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar, orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada-Nyalah kami kembali. Mereka itulah orang yang dilimpahi dengan kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 155- 157)

Sewajarnya umat Islam merenung kembali kisah daripada Abdullah bin Abbas: “Pada suatu hari tatkala Saidina Umar bin Khattab pergi ke Syam, apabila sampai di Sargha, datang pemimpin tentera bersama Abu Ubaidah bin Jarrah dan sahabatnya memberitahu Umar mengenai wabak taun yang sedang melanda kawasan itu.

Lantas Saidina Umar berkata: Panggil ke sini orang Muhajirin pertama (berhijrah) (dengan tujuan mendapatkan pendapat dan berbincang. Aku memanggil mereka, lalu Umar bermesyuarat dengan mereka.

Umar berkata: Wabak penyakit berjangkit sedang melanda kawasan ini. Jadi apa pendapat tuan-tuan mengenai perkara ini? Seorang demi seorang memberi pendapat. Kata seorang daripada mereka: Tuan sudah keluar untuk satu tugas penting, adalah tidak layak tuan meninggalkannya.

Kemudian berkata pula sahabat lain: Tuan datang dengan membawa angkatan besar dan angkatan tuan itu pula dari sahabat Rasulullah SAW, dan kami fikir adalah tidak patut tuan menghadapkan mereka kepada wabak penyakit ini.

Apabila Umar mendengar pendapat orang Muhajirin, beliau memerintahkan dipanggil orang Ansar. Apabila mereka semua berkumpul, Umar bertanya soalan sama dan menerima jawapan sama seperti diberi orang Muhajirin.

Lalu Umar menyuruh mereka berundur. Selepas itu Umar memanggil pula orang Quraisy yang berhijrah sebelum penaklukan Makkah. Apabila tiba orang Quraisy itu, Umar pun bertanya pendapat seperti ditanya pada orang Muhajirin dan Ansar. Ternyata jawapan diterima Umar sama.

Mereka berkata kepada Umar: Pada pendapat kami, adalah lebih baik tuan membawa angkatan tuan itu balik dari menghadapkan mereka kepada wabak penyakit. Umar pun bersetuju meninggalkan tempat itu sambil memberitahu sahabatnya: Oleh sebab kita akan bertolak esok pagi, maka aku harap dapatlah kita bersiap sedia untuk pulang.

Sebaik saja Umar habis berkata, Abu Ubaidah bin Jarrah pun bertanya: Apakah kita hendak lari dari qadar Allah? Oleh kerana pertanyaan itu daripada Abu Ubaidah, maka Umar tidak mahu membantah dan sebaliknya menjawab: Ya, kita lari dari qadar Allah.

Sebagai penjelasan, Saidina Umar membuat analogi dengan contoh mudah, katanya: Apa akan kamu buat jika kamu mempunyai seekor unta, lalu kamu sampai pada suatu lembah yang ada dua keadaan iaitu satu subur dan satu kering?

Sudah tentu kamu akan memilih tempat subur. Bukankah kamu mengembala dengan qadar Allah dan jika kamu memilih untuk mengembala di tempat kering, kamu juga mengembala dengan Allah.

Sebaik saja Umar habis menerangkan kepada Abu Ubaidah, tiba-tiba datang Abdul Rahman bin Auf, lalu berkata: Aku faham masalah ini dan aku sendiri pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Apabila kamu mendengar ada wabak penyakit berjangkit merebak di negeri itu, maka janganlah kamu masuk ke negeri itu, dan jika wabak terjadi di negeri kamu, maka janganlah kamu keluar dari negeri itu kerana hendak melarikan diri.

Selepas mendengar apa diperkatakan Abdul Rahman bin Auf itu, Umar pun mengucapkan puji-pujian kepada Allah kerana memberi petunjuk kepadanya. Selepas itu Umar dan orangnya meninggalkan tempat itu.”

Antara pengajaran daripada kisah itu ialah pencegahan daripada penyebaran penyakit boleh dilakukan dengan cara kuarantin seperti disebut Baginda SAW dan dipraktikkan Saidina Umar.

Inilah langkah paling besar impaknya dan berkesan dalam kaedah perubatan umat terdahulu dan umat zaman moden ini bagi menghadapi ancaman penularan wabak penyakit. Penjagaan kesihatan baik amat dituntut di samping mengamalkan kesederhanaan dalam aktiviti kehidupan.

Setiap individu mestilah bertanggungjawab terhadap negara didiaminya dan tidak wajar menimbulkan suasana panik yang boleh mengkucar-kacirkan keadaan dengan menyampaikan maklumat salah.

Setiap permasalahan hendaklah diselesaikan melalui perbincangan serta percambahan idea melalui saluran betul supaya tidak menggugat kestabilan negara.

Setiap penyakit ada ubatnya. Umat Islam perlu mempertingkatkan usaha meneroka bidang perubatan untuk manusia sejagat.

Qada’ dan qadar adalah ketentuan Allah yang mempunyai hikmah besar dalam mengembalikan hati manusia ingatkan Allah dalam apa juga keadaan sama ada ketika senang atau susah, sihat atau sakit.

Umat Islam hendaklah sedar dan insaf penyakit berpunca daripada manusia sendiri seperti tidak menjaga kebersihan diri.

Daripada Abdullah bin Umar, katanya: “Rasulullah SAW memegang bahuku lalu bersabda: Jadikanlah dirimu di dunia ini seolah-olah engkau orang dagang atau musafir.”

Sejak itu, Ibn Umar selalu berkata: “Apabila engkau berada pada waktu petang janganlah engkau tunggu datangnya waktu pagi dan apabila engkau berada pada waktu pagi, janganlah engkau tunggu datangnya petang dan ambillah peluang dari kesihatanmu itu membuat amal untuk masa sakitmu dan masa hidupmu berbekal untuk matimu.” (Hadith riwayat al-Bukhari)

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Jumaat, 3 Julai 2009

INSAN PEMAAF BEBAS SIFAT BURUK SANGKA, DENDAM

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

Kejahatan dibalas kebaikan mampu redakan api kemarahan, keharmonian dapat disemai

SIFAT pemaaf adalah satu daripada sifat luhur yang perlu ada pada diri setiap individu Muslim. Ada beberapa ayat al-Quran dan hadis yang menekankan keutamaan bersifat pemaaf yang disebut sebagai sifat orang yang hampir di sisi Allah.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah mencintai orang yang berbuat kebajikan." (Surah Ali-Imran, ayat 134)

Orang yang bersifat pemaaf adalah golongan berjaya menahan nafsu amarahnya terhadap orang lain tanpa ada rasa dendam dan rasa sakit hati.

Perasaan insan pemaaf selalunya bebas daripada perasaan buruk sangka dan dendam.

Salah dan silap dalam sebarang tingkah laku yang berlaku sebelum ini akan saling diberi kemaafan dengan melupakan apa juga kepahitan terjadi dengan menganggapnya sebagai satu rencah kehidupan.

Perlu difahami, walaupun setiap insan Muslim digalakkan menyuburkan diri dengan sifat pemaaf, namun diingatkan bahawa Allah juga menegaskan seseorang yang dizalimi diizinkan untuk membela diri serta membalas kezaliman itu.

Kejahatan perlu dibalas dengan kejahatan, tetapi setiap pembalasan hendaklah terhindar daripada perasaan untuk membalas dendam. Ini kerana kezaliman tidak wajib dibalas dengan perlakuan zalim juga.

Sebaliknya, dituntut untuk menyemai sifat maaf dan bertolak ansur. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan bagi orang yang dizalimi mereka akan membela diri. Dan balasan sesuatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa. Maka sesiapa yang memaafkan dan berbuat baik, maka pahalanya adalah tanggungan Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang zalim." (Surah as-Syuara', ayat 39-40)

Setiap individu Muslim juga perlu menyedari bahawa kebaikan kita kepada seseorang tidak seharusnya akan lenyap begitu saja lantaran kejahatan orang lain kepada kita seperti sikap Saidina Abu Bakar as-Siddiq sewaktu berlakunya peristiwa berita dusta menimpa anaknya Aisyah yang juga isteri Rasulullah SAW.

Umum mengakui penyebaran fitnah dan pembohongan adalah satu perbuatan keji yang boleh meruntuhkan kemakmuran dan keharmonian hidup insan seluruhnya.

Lantaran itu, ketika berlaku peristiwa itu, Saidina Abu Bakar begitu marah kepada orang yang membuat fitnah berkenaan.

Saidina Abu Bakar juga memberhentikan layanan baik yang diberikan kepada sahabat handai serta rakan taulan yang terbabit dalam peristiwa penyebaran khabar dusta itu.

Tindakan Saidina Abu Bakar itu tidak disukai Allah.

Lalu, turunlah wahyu yang bermaksud: "Dan janganlah orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahawa mereka tidak akan memberi pertolongan kepada kaum kerabatnya, orang miskin dan orang yang berhijrah di jalan Allah. Hendaklah mereka sentiasa memaafkan mereka dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu? Dan Allah adalah maha pengampun lagi maha mengasihi." (Surah An-Nur, ayat 22)

Demikianlah tegasnya Allah dalam menyempurnakan kehidupan hamba-Nya.

Sesungguhnya putik kejahatan yang tumbuh sebenarnya hanya akan terus membangkitkan persengketaan berterusan untuk tempoh masa lama.

Sebaliknya jika kejahatan itu di balas dengan kebaikan, nescaya akan padamlah api kemarahan dan terurailah rasa dendam yang terpendam dalam diri.

Aisyah pernah menyatakan: "Rasulullah SAW tidak pernah memukul sesiapa pun, tidak juga kepada isteri dan pembantu Baginda, kecuali dalam berperang di jalan Allah. Dan dia tidak pernah membalas sedikitpun kepada seseorang yang menyakiti hatinya, kecuali dalam hal larangan Allah." (Hadis riwayat Muslim)

Anas menceritakan: "Ketika saya sedang berjalan bersama Rasulullah SAW dan pada waktu itu Baginda sedang mengenakan selimut tebal dari Najran. Seorang Arab Badwi mengetahui hal itu lalu menariknya dengan kasar sambil berkata: Hai Muhammad, serahkan padaku harta Allah yang kamu miliki. Maka Rasulullah pun tersenyum dan Baginda pun memakbulkan permintaan orang itu." (Hadis riwayat Muttafaq Alaih)

Ulama menyifatkan pemaaf boleh merujuk kepada dua sempadan yang sudah ditentukan Islam dalam menghadapi sesuatu kejahatan. Pertama, memaafkan kesalahan orang lain bagi yang terlanjur berbuat dosa.

Kedua, dihukum setimpal dengan kesalahannya. Hukumannya yang lebih berat mungkin boleh diambil termasuk qisas.

Hukuman itu sebagai pengajaran dan iktibar kepada mereka yang terbabit dan kepada semua umat Muslimin secara keseluruhannya.

Sifat pemaaf juga suatu tarbiah kepada seseorang yang terlanjur melakukan kesilapan dan kesalahan sehingga boleh membuatkan pelaku merasa malu, seterusnya mula menyedari akan kesilapan tindak-tanduknya itu.

Marilah kita sama-sama bermuhasabah dalam menangani konsep bermaafan ini.

Beruntunglah orang yang memiliki sifat pemaaf kerana dalam sifat pemaaf itulah terkandung kemuliaan, keberanian dan kekuatan.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

JADILAH INSAN YANG RETI BAHASA

Yang disebut reti bahasa
Kehidupan yang membawa berkah
Amanah dipikul membawa tuah
Tunjuk menjadi telaga budi
Pengajaran menjadi suluh hati
Menunjuk kepada yang elok
Mengajar kepada yang benar

Yang disebut reti bahasa
Orang yang pandai mencelikkan mata
Orang yang pandai menyaringkan telinga
Orang yang pandai membersihkan hati
Orang yang pandai menyempurnakan budi
Orang yang pandai membaikkan perut

Yang disebut reti bahasa
Merujuk dengan ilmu
Belajar dengan guru
Menunjuk pada yang perlu
Mengajar supaya tahu
petunjuknya berfaedah
Pengajarannya berguna

Yang disebut reti bahasa
Memberi manfaat kepada manusia
Petunjuknya mengandungi tuah
Pengajarannya berisi maruah
Kehidupannya berisi berkah
Amanahnya berisi hikmah
Nasihatnya berisi manfaat
Pesannya berisi iman
Kajinya mengandungi budi
Contohnya pada yang senonoh
Teladannya di jalan Tuhan

Ingatlah kalian
Jadilah insan yang reti bahasa

(Sumber : Mohd Rosli Saludin: Teromba, Hubungan dengan Pendidikan Kesusasteraan)

Khamis, 2 Julai 2009

KAITAN SAMPAH DENGAN CARA HIDUP

Oleh ABU BAKAR YANG

HIDUP dikelilingi oleh sampah memang tidak menyenangkan. Tetapi hakikatnya, hidup kita sering 'diwarnai' oleh beraneka jenis sampah-sarap.

Manusia membuang sampah tidak kira tempat. Natijahnya, sampah ada di mana-mana. Ia disebabkan oleh sikap sesetengah daripada kita yang gemar membuang sampah di merata-rata tempat.

Munculnya sampah dalam kehidupan disebabkan adanya aktiviti atau tindakan manusia itu sendiri.

Penulis ingin mendefinisikan sampah sebagai simbol masyarakat. Sebagai simbol, ia memiliki nilai makna yang luas, baik daripada segi kebendaan mahupun sosial.

Pertama, sampah sebagai tahap kepenggunaan seseorang.

Jumlah sampah boleh dirujuk sebagai petunjuk mengenai banyaknya penggunaan seseorang. Begitu juga dengan jenis sampah. Jenis sampah memberi gambaran mengenai budaya dan pola kitaran hidup seseorang itu.

Jenis sampah di kawasan perumahan pastinya berbeza dengan sampah di kawasan industri. Begitu juga jenis sampah yang dibuang dari rumah bujang, ia berbeza daripada sampah yang dihasilkan dari rumah yang didiami oleh keluarga.

Kedua, sampah sebagai simbol gaya hidup individu atau masyarakat.

Ini lebih berkaitan dengan kesihatan, iaitu sama ada gaya hidup sihat atau sebaliknya. Rata-rata sampah dikaitkan dengan kekotoran. Sampah itu kotor, sampah boleh mendatangkan penyakit, sampah busuk, sampah menyakitkan mata dan seribu satu macam keburukan sampah.

Corak pemikiran itu akan menegaskan bahawa sampah adalah simbol kepada gaya hidup, sama ada boleh digelar seorang pengotor atau pembersih berdasarkan gaya menguruskan sampah di sekitarnya.

Di Malaysia, urusan tadbir sampah masih tidak memuaskan. Ia masih dilihat sebagai tanggungjawab kumpulan tertentu dan bukan tanggungjawab bersama seluruh ahli masyarakat berbanding sikap penduduk di negara maju.

Memang benar, ada yang kerjanya mengutip dan membersihkan sampah tetapi mereka tidak bertugas di semua kawasan.

Mereka tidak dibayar untuk mengutip sampah sehingga ke dalam rumah atau halaman rumah kita. Urusan selebihnya sebenarnya terletak di bahu kita semua.

Sekiranya kesedaran mengenai kebersihan tinggi, maka bersihlah persekitaran kita. Namun tahap kesedaran yang tinggi masih belum wujud dalam gaya hidup masyarakat Malaysia ini.

Ketiga, keberkesanan menguruskan sampah-sarap.

Di Malaysia, purata setiap penduduk bandar menyumbang sekurang-kurangnya 1.5 kilogram sampah sehari berbanding 0.8 kilogram bagi penduduk luar bandar.

Berdasarkan statistik itu, jumlah sampah di bandar-bandar utama di negara ini ialah sekitar 18,000 tan metrik! Ia terus meningkat saban tahun.

Mungkin tidak keterlaluan jika kita mengambil iktibar daripada peristiwa runtuhan sampah di kawasan setinggan Leuwigajah di Bandung, Indonesia pada 21 Februari 2005.

Runtuhan sampah dari tempat pembuangan sampah di kawasan itu yang menimbus kawasan setinggan tersebut telah mengorbankan lebih 100 nyawa. Ia merupakan satu tragedi.

Mungkin kejadian itu boleh memberi pengajaran kepada kita bahawa pengurusan sampah bukanlah satu perkara yang boleh dipandang dengan sebelah mata. Tanpa pengurusan yang baik dan tersusun maka nyawa menjadi taruhannya.

Sementara itu, lihat sahaja kepada masalah denggi di negara ini. Sampah merupakan penyebab utama pembiakan nyamuk aedes, punca demam denggi tersebut. Aedes membiak di dalam air bertakung dan biasanya di kawasan yang banyak sampah-sarap.

Keempat, sampah sebagai cabaran keilmuan dan peluang kewangan kepada golongan yang kreatif.

Sejak kebelakangan ini, sampah telah bertukar sebagai sumber rezeki kepada golongan yang tahu memanfaatkannya. Teknologi terkini mampu menukar sampah dan najis kepada baja untuk pertanian dan penghasilan gas untuk penjanaan kuasa.

Dengan kata lain, sedikit daya pemikiran kreatif yang dibantu oleh teknologi telah memindahkan status sampah kepada bahan berfaedah untuk manusia.

Kini sudah ada pula teknologi untuk mengitar semula sampah untuk dijadikan pelbagai bahan bermutu yang dapat diguna semula.

Perkembangan sebegini memperlihatkan kepada kita bahawa masyarakat yang berilmu dan produktif akan menganggap sampah sebagai satu cabaran dan peluang. Bahkan kepada yang kreatif berupaya pula menjadikan sampah itu sebagai sumber ekonomi.

Ini bermakna apabila sampah ditakrifkan sebagai takdir terakhir untuk satu perjalanan penggunaan kebendaan, maka perkembangan intelektual keilmuan kita akan menjadi beku dan jumud.

Kelima, bagaimana untuk "mengupayakan" sampah menjadi sesuatu yang positif dan bukannya satu konflik.

Kita tidak mahu sebagai satu simbol masyarakat, sampah dilihat sebagai penunjuk gaya kepenggunaan yang keterlaluan selain memaparkan imej pengotor ahli masyarakat kerana ia adalah sesuatu yang tidak sihat.

Oleh itu, kita perlu berhemah dalam berbelanja dan memastikan tahap kepenggunaan kita tidak keterlaluan. Dalam hal ini, sampah juga perlu diuruskan secara berhemah. Jadikan kebersihan sebagai satu daripada keutamaan hidup kita.

Namun kesimpulan mudah terhadap gaya hidup masyarakat kita ialah kita baru sampai kepada tahap teknologi "buang" dan belum berupaya sepenuhnya untuk sampai ke tahap teknologi "mengupayakan" sampah sebagai bahan kitar semula dan menjadi komoditi.

Konflik berpanjangan antara "ya" ataupun "tidak" di kalangan ahli masyarakat terhadap teknologi pelupusan sampah adalah antara beberapa episod yang menggambarkan tahap pencapaian teknologi "buang" yang dimaksudkan.

Masyarakat kita belum sampai ke peringkat "urus tadbir" sampah secara sewajarnya.

Namun ia bukan sesuatu yang mustahil kerana jika ada kesedaran, kita semua mampu melakukannya. Kewajarannya terletak kepada kesedaran dan kerjasama menyeluruh daripada semua lapisan masyarakat.

Kita boleh menangani masalah sampah ini sekiranya kita mahu. Jangan hanya mengharapkan orang lain, kesedaran dan tindakan perlu bermula daripada kita sendiri. Kita mesti bijak menguruskan sampah.

PENULIS ialah Felo, Pusat Sains dan Teknologi,
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Program titipan Za'ba bentuk minda generasi muda

JEMPOL 2 Julai - Individu bernama Tan Sri Zainal Abidin bin Ahmad atau Za'ba merupakan pejuang dan cendikiawan Melayu terkenal khususnya dalam mengangkat martabat bangsa Melayu sama ada dalam pendidikan mahu pun politik tanah air.

Namun, hari ini tidak ramai generasi muda mengingati Za'ba sehingga ada di antara mereka menggelengkan kepala dan terlopong apabila diajukan soalan berkaitan biodata pejuang bahasa Melayu ini.

Sumbangan pemikiran beliau kepada bangsanya adalah banyak dan amat bererti mencakupi aspek budi pekerti dan agama, ekonomi dan hal kemiskinan orang Melayu.

Menyedari begitu besar sumbangan Za'ba sehingga disebut sebagai 'peneroka' tatabahasa Melayu, maka kerajaan negeri bersama Lembaga Muzium Negeri telah menganjurkan program Titipan Za'ba di Teratak Za'ba, Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir, di sini hari ini.

Pengarah Lembaga Muzium Negeri, Drs. Shamsuddin Ahmad berkata, program Titipan Za'ba bertujuan menyemai dan membentuk minda generasi hari ini dengan ciri positif yang dimiliki oleh Pendeta Za'ba, sama ada dari segi keperibadian yang sejati mahu pun kerjaya.

''Sebagai agensi kerajaan yang diamanahkan untuk menjaga dan memelihara warisan negeri, kita sentiasa memastikan tokoh agung yang bernama Za'ba ini sentiasa dikenang oleh lapisan masyarakat.

''Untuk itu, kita sentiasa menganjurkan program bagi mengisi aktiviti di Teratak Za'ba agar anak-anak faham betapa hebatnya tokoh ini," katanya di sini hari ini.

Program sehari itu turut melibatkan pertandingan mewarna, tulisan khat, pameran surat-surat Za'ba, pengkisahan yang disampaikan oleh Kolonel Profesor Datuk Dr. Kamarudin Kachar, deklamasi puisi dan memancing.

''Lembaga Muzium Negeri juga memasukkan perancangan pembangunan Teratak Za'ba dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) meliputi Muzium Tokoh, pejabat, pentas dan lain-lain untuk menjadikan kompleks ini sebuah pusat keilmuan dan pelancongan," ujar Shamsuddin.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri, Shamsulkahar Mohd. Deli berkata, jasa Pendeta Za'ba amat besar dalam bidang bahasa, sastera, sosio-budaya, agama, politik dan pendidikan.

''Menerusi program Titipan Za'ba ini aSdalah menjadi harapan saya agar generasi muda hari ini menjadikan ketokohan Za'ba sebagai pembakar semangat untuk terus memajukan diri dalam apa jua bidang yang diceburi," ujarnya.

Kata beliau, penduduk Jempol harus berbangga kerana di kawasan itulah lahirnya tokoh itu yang telah 'menanam pokok yang rendang' di mana 'buahnya' telah dimakan oleh bangsanya sendiri sebagai pedoman dalam menikmati kejayaan hidup.

''Kita harus ingat Pendeta Za'ba telah memberi sumbangan yang besar dalam meningkatkan tamadun bangsa melalui penulisannya yang bernas," tegas Shamsulkahar.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

CARA PENGGUNAAN TANDA NOKTAH DALAM PENULISAN

Bilakah tanda noktah digunakan dalam penulisan?

Pertama, tanda noktah dibubuh di akhir ayat penyata. Contohnya:

1. Dia guru.

2. Kami diundang ke rumahnya.

Kedua, tanda noktah digunakan di akhir ayat perintah, sama ada ayat perintah jenis ayat suruhan, ayat larangan, ayat silaan, atau ayat permintaan. Lihatlah beberapa ayat contoh yang berikut ini:

3. Awak siapkan kerja ini sekarang. (ayat suruhan)

4. Tak usah kauambil tahu akan hal aku. (ayat larangan)

5. Silalah datang ke rumah saya. (ayat silaan)

6. Minta tuan-tuan jelaskan yuran persatuan. (ayat permintaan)

Ayat perintah yang terdiri daripada satu perkataan sahaja hendaklah dibubuh dengan tanda noktah di akhirnya. Contoh:

7. Berhenti.

8. Silakan.

Ketiga, tanda noktah dapat juga digunakan bagi mengakhiri ayat seruan yang tidak menggunakan tanda seru. Contoh:

9. Amboi, pandai sungguh budak ini.

10. Malang, sudah jatuh, ditimpa tangga.

Keempat, tanda noktah perlu digunakan juga di akhir ayat yang bukan ayat tanya, tetapi menggunakan kata tanya atau kata yang berfungsi sebagai kata tanya kerana ayat jenis ini tidak menggunakan tanda tanya di akhirnya. Contoh:

11. Kami tidak peduli siapa yang akan memenangi pertandingan itu.

12. Usah ditanya mengapa aku pergi.

Ayat tanya yang berbentuk retorik, yang tidak memerlukan jawapan, tanda noktah dibubuh di akhir ayat tersebut. Contohnya:

13. Mengapa kita tidak meneruskan perbincangan ini dengan lebih lanjut lagi.

14. Mengapa baru sekarang aku sedar akan muslihatnya berbaik-baik denganku.

Tanda noktah juga digunakan sebagai penamat ayat tanya dalam ragam ayat cakap pindah.

Misalnya:

15. Dia bertanya siapakah nama saudara, dan di manakah saudara tinggal.

Kelima, tanda noktah digunakan selepas kependekan atau singkatan nama. Contohnya:

16. T.S. Lanang

17. YBhg.

18. s.k.

19. A.M.N.

Keenam, tanda noktah digunakan dengan nombor atau huruf urutan. Dalam hal ini, noktah dibubuh di belakang angka atau huruf yang menjadi rujukan berurutan itu. Tanda noktah tidak dibubuh di belakang angka atau huruf jika angka atau huruf itu dikurung dengan tanda kurung. Perhatikan contoh yang berikut ini:

21. 7. atau (7) bukan (7). atau (7.)

22. ii. atau (ii) bukan (ii). atau (ii.)

23. III atau (III) bukan (III). atau (III).

24. 1.1 bukan 1.1.

25. 1.1.2 bukan 1.1.2.

26. a. atau (a) bukan (a). atau (a.)

27. B. atau (B) bukan (B.) atau (B).

Jika angka ringgit dan sen, tanda noktah menjadi pemisah angka ringgit dengan angka sen. Misalnya, RM4.50 sen. Tanda noktah menjadi tanda perpuluhan atau pecahan dalam Matematik. Contoh: 2.5 peratus, 5.6 juta, 5.2 x 1.05

Ketujuh, tanda noktah digunakan untuk memisahkan angka jam, minit dan saat. Misalnya: Pukul 3.45.40 (Pukul tiga empat puluh lima minit empat puluh saat). Harus diingat, penandaan masa dalam jam digital menggunakan tanda titik bertindih (:) sebagai pemisah di antara angka jam, minit dan saat. Contohnya: Pukul 3:45:40

Sumber : http://www.tutor.com.my/

AJAR BAHASA GUNA PENDEKATAN BARU

Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my


UngkU Aziz (kanan) dan Abdul Raof (tengah) pada kolokium Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa inggeris, baru-baru ini.

Kaedah yang diguna pakai dalam sistem pendidikan negara ini sudah lapuk

KEMENTERIAN Pelajaran dicadangkan merangka pendekatan baru dalam pengajaran bahasa Melayu dan Inggeris dengan menggunakan teori terkini kerana kaedah yang diguna pakai pada masa ini sudah lapuk.

Cadangan berkenaan dikemukakan mantan Naib Canselor, Universiti Malaya (UM), Prof Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid, ketika membentangkan ucaptama Pendekatan Demi Rungkaian Dilema Dasar Pembangunan Bahasa di Malaysia.
“Sistem pengajaran dan pembelajaran bahasa kita berpandukan pendekatan berasaskan teori yang dipelajari pentadbir kementerian dan universiti ketika mereka melanjutkan pengajian ijazah doktor falsafah (PhD) di luar negara pada 20 tahun lalu.

“Mereka lupa apa yang dipelajari dulu sebenarnya sudah pun diubah oleh sarjana luar sehingga sekiranya kita ke universiti di Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Perancis, teori lapuk sudah digantikan dengan pendekatan terkini,” katanya pada Kolokium Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) serta Implikasinya Terhadap Pembangunan Modal Insan Murid.

Kira-kira 150 pengetua dan pendidik dari seluruh negara menghadiri kolokium anjuran Pemuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina) yang berlangsung di Bangunan Umno Bahagian Shah Alam, Shah Alam, baru-baru ini.

Prof Diraja Ungku Aziz berkata, pengetahuan baru dalam teori dan pendekatan pengajaran bahasa Melayu dan Inggeris, hanya boleh diperoleh sekiranya pentadbir memperluaskan hubungan dengan pengkaji dan sarjana masa kini.

“Pengajaran bahasa sewajarnya menggunakan pendekatan didaktif iaitu berasaskan prinsip bahasa terlebih dulu kerana setiap bahasa seperti Melayu, Inggeris dan Arab mempunyai nahu serta tatabahasa tersendiri.

“Saya lihat di sekolah, buku teksnya mengandungi ratusan perkataan sehingga pelajar mengambil langkah menghafaznya untuk mendapatkan gred A, tetapi pada masa sama tidak memahami tatabahasa,” katanya pada kolokium yang turut dihadiri Pengarah Eksekutif Pembina, Datuk Abdul Raof Hussin.

Baginya, pendekatan yang menganggap pelajar dapat mengenal ribuan perkataan itu dengan sendirinya mengenal tatabahasa adalah salah dan perlu diubah dengan menekankan kerangka bahasa terlebih dulu.

“Bagi saya Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak berupaya meningkatkan penguasaan pelajar dalam bahasa itu. Pendekatan baru perlu membabitkan penambahan masa untuk kedua-dua subjek itu pada semua peringkat persekolahan dan universiti.

“Masa untuk belajar sama ada bahasa Melayu atau Inggeris perlu ditambah kepada sekurang-kurangnya tiga jam seminggu bermula daripada peringkat sekolah rendah hingga menengah,” jelasnya.

Baginya dengan cara itu pelajar yang mencapai usia 17 tahun boleh bercakap dalam kedua-dua bahasa terbabit dengan menggunakan tatabahasa betul, tanpa perlu merojakkannya seperti yang berlaku pada masa ini.

“Pelajar di sekolah perlu diberi masa yang cukup untuk mencapai kematangan dalam berbahasa sehingga berupaya menggunakan ayat yang canggih dan kompleks bagi mendorong minda mereka lebih terbuka,” katanya.

Selain itu, Prof Diraja Ungku Aziz turut menekankan penguasaan sekurang-kurangnya dua bahasa dengan bahasa Melayu sebagai bahasa tunggal bagi tujuan perhubungan dan perpaduan dalam masyarakat majmuk, manakala bahasa Inggeris untuk memperoleh ilmu.

“Sebagai warga negara, mesti ada satu bahasa agar semua orang boleh berhubung hanya dalam bahasa Melayu kerana perpaduan tidak mungkin dicapai melalui penggunaan dua tiga bahasa. Bagaimanapun, peluang untuk belajar bahasa lain perlu diberikan semua warganegara,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa tidak boleh dibuat secara terburu-buru dan menggunakan masa yang singkat, sebaliknya memerlukan pembabitan ramai pihak khususnya daripada kalangan sarjana dan pakar bahasa serta pendidikan.

Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron, pula berkata peruntukan masa untuk pengajaran bahasa Inggeris pada peringkat rendah mesti ditambah dan menggunakan kaedah pengajaran bahasa alternatif yang lebih berkesan.

“Kajian kami menunjukkan penggunaan bahasa Inggeris dalam Matematik dan Sains gagal untuk meningkatkan pembelajaran dan prestasi murid dalam mata pelajaran terbabit dan penggunaan bahasa Inggeris untuk kedua-dua subjek itu bukan cara untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar,” katanya ketika memperincikan Kajian Kesan Dasar PPSMI di Sekolah Rendah dan Menengah.

Sumber : http://www.bharian.com.my/