Rabu, 12 September 2012

ISU PENDIDIKAN : Tiga fasa pembangunan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2012-2025



PENYEDIAAN Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2012-2025 melibatkan tiga fasa yang diambil Kementerian Pelajaran dalam memastikan sistem pendidikan negara adalah konsisten, berkesan, dinamik serta memenuhi hasrat dan keperluan semua.

Menurut laporan awal pelan tersebut, fasa pertama yang diambil dalam penyediaan pelan itu adalah melibatkan kajian semula dan ujian menyeluruh tentang sistem pendidikan dengan membuat penilaian terperinci prestasi pendidikan selain memberi tumpuan terhadap keberhasilan murid.

Selain itu, tambah laporan berkenaan, fasa pertama turut mentaksir punca sebenar dan penggerak utama pencapaian tahap prestasi masa kini selain mengenal pasti kecemerlangan yang terdapat dalam sistem pendidikan sebagai model untuk dicontohi.

''Keberhasilan murid, penggerak utama, contoh kecemerlangan, kerja lapangan dan temu bual bersemuka, perbincangan berkumpulan dan bengkel merupakan antara kaedah yang digunakan pada fasa pertama penyediaan pelan tersebut.

''Hasil daripada kajian ini akan disahkan melalui proses penyemakan data (triangulasi) dengan beberapa sumber bebas seperti Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan Bank Dunia selain semua hasil tersebut dinilai secara kritikal oleh satu Jawatankuasa Khas yang terdiri daripada kumpulan pemimpin kanan kementerian," kata laporan itu.

Tambah laporan tersebut, bagi fasa kedua penyediaannya, pelan itu memberi tumpuan kepada penyediaan laporan awal dengan menggunakan input yang diperolehi dalam fasa pertama bagi mengenal pasti bidang keutamaan.

Katanya, fasa kedua turut memperincikan program transformasi yang komprehensif mengenai dasar dan inisiatif yang akan dilaksanakan bagi tempoh 13 tahun akan datang iaitu antara tahun 2013 hingga 2025.

''Fasa ini merangkumi Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN) yang dijalankan pada April hingga Julai tahun ini dalam mendapatkan maklum balas dari orang awam. Selain itu penyediaan Makmal Pendidikan GTP 2.0 yang bakal dilaksanakan dari tahun 2013 hingga 2015 akan menjadi sebahagian daripada pembaharuan Gelombang 1 pelan tersebut meliputi seluruh tempoh 2013 hingga 2025.

''Kementerian Pelajaran kemudian akan mengkaji semua cadangan daripada DNPN dan Makmal Pendidikan GTP 2.0 itu dengan teliti," menurut laporan itu lagi.

Laporan awal itu menambah bahawa fasa ketiga penyediaan pelan tersebut akan memberi tumpuan untuk menyiapkan Pelan Pembangunan Pendidikan dengan melibatkan rundingan serta penglibatan dengan guru, ibu bapa, murid dan pihak berkepentingan yang lain bagi mendapatkan maklum balas mengenai laporan awal pelan berkenaan.

Katanya, rundingan awam secara meluas dan segala maklum balas itu akan disatukan pada penyerahan laporan akhir pelan berkenaan pertengahan Disember tahun ini.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : SEKILAS KANDUNGAN LAPORAN AWAL PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA 2013 - 2025



  • ·         Pelajar pintar selesaikan UPSR dalam lima tahun dan SPM empat tahun.


  • ·         Peperiksaan dan pentaksiran kebangsaan beri fokus kemahiran berfikir aras tinggi. Contoh, 80 peratus soalan UPSR berbentuk pemikiran aras tinggi.


  • ·         Sastera Inggeris diwajibkan di sekolah menengah.


  • ·          Penjenamaan semula Tingkatan Enam - kelonggaran pemakaian pakaian seragam, Majlis Pelajar ditubuh.


  • ·         Bahasa Malaysia standard di SK atau SJK mulai Tahun Empat pada 2014. Kelas peralihan mansuh 2017.


  • ·         Insentif bagi guru besar/pengetua di luar bandar dan sekolah berprestasi rendah, antaranya elaun, laluan pantas kenaikan pangkat.


  • ·         Guru cemerlang boleh dinaikkan pangkat daripada DG41 kepada DG54 lebih cepat berbanding purata ketika ini 25 tahun.


  • ·         Guru yang mencatat prestasi rendah selepas bimbingan, akan diberi tugas lain seperti pentadbiran, pegawai tatatertib atau pengurusan kokurikulum.


ISU PENDIDIKAN : Rakyat dijemput kemuka input Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan


KUALA LUMPUR - Kementerian Pelajaran akan mengadakan hari terbuka untuk membolehkan masyarakat meneliti, mendapatkan penjelasan dan memberi maklum balas kandungan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata program selama dua hari itu, yang akan diadakan pada Oktober, bertujuan menjemput pihak berkepentingan untuk melontarkan pandangan serta perkongsian idea sebelum pelan itu dibentangkan kepada Kabinet dan dimuktamadkan pada Disember.

"Masih terdapat ruang dan peluang untuk pihak berminat mengemukakan perkara-perkara yang mereka fikir perlu dimasukkan di dalam pelan itu. Perkataan kunci di dalam laporan ini ialah peningkatan kualiti bidang pendidikan.

"Kalau cadangan itu dilihat boleh menambah  baik kualiti pendidikan, kami bersedia menerima dan memasukkan cadangan-cadangan di dalam laporan," katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan tinjau peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan Sultan Hisamuddin Alam Shah di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menggariskan 11 anjakan strategik dan operasi untuk mengubah sistem pendidikan negara.
 
Laporan awal pelan itu yang memaparkan visi sistem pendidikan dan pelajar yang Malaysia perlu dan berhak miliki, memperinci anjakan yang diperlukan untuk mencapai objektif itu.

Tambah Muhyiddin, kementerian juga akan mengadakan beberapa sesi penerangan kepada semua peringkat masyarakat agar mereka mengetahui kandungan pelan berkenaan, dan bidang mana pihak kerajaan memberi keutamaan.

"Kami akan cetak bahan penerangan yang mudah, dalam bahasa yang mudah, agar ramai dapat memahami kandungan laporan itu," jelas beliau.

Muhyiddin berkata kementerian akan mewujudkan Unit Penyampaian Pendidikan untuk memacu isu pelaksanaan, menguruskan komunikasi dengan pihak berkepentingan dan mengumpul maklum balas secara berterusan.

"Sebagai langkah susulan, kami mungkin akan menubuhkan jawatankuasa pemantau yang terdiri daripada wakil kementerian, ibu bapa, dan ahli akademik untuk memberi input dan pandangan dari semasa ke semasa tentang apakah yang patut dilakukan dan bidang mana perlu diberikan lebih tumpuan," jelasnya.

Justeru itu, Muhyiddin berkata apa yang penting ialah setiap perakuan perlu diambil kira daripada falsafah pendidikan dan bahasa pelajaran yang dilaksanakan selama ini, dan apa-apa yang dilaksanakan mestilah sesuatu yang praktikal dan munasabah, serta tidak lari daripada tujuan untuk mendapatkan pendidikan yang berkualiti.

Beliau juga meminta orang ramai untuk membaca laporan awal itu sebelum membuat sebarang kesimpulan atau keputusan.

Terdahulu, Muhyiddin ditemani Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Tan Sri Abd Ghafar Mahmud dan guru besar sekolah itu Puan Sarimah Ahmad, meninjau seramai 89 pelajar menduduki peperiksaan UPSR di Sekolah Kebangsaan Sultan Hisamuddin Alam Shah.

Muhyiddin mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon UPSR, dan berharap ibu bapa akan membantu memberi semangat dan dorongan agar anak mereka boleh menumpukan perhatian kepada peperiksaan.

Seramai 517,139 calon yang berdaftar menduduki UPSR di 8,284 pusat peperiksaan di seluruh negara mulai semalam hingga Khamis. - Bernama

ISU PENDIDIKAN : Pendidikan untuk masa depan rakyat Malaysia


Pertamanya, saya ingin menyampaikan rasa kesyukuran yang tidak terhingga terhadap Allah yang telah mengizinkan kita bertemu pada pagi ini.

Bagi seorang yang mempunyai pengalaman sedikit sebanyak dalam menerajui Kementerian Pelajaran, saya menyedari bahawa tugas untuk membentangkan satu Pelan Pembangunan Pendidikan yang bersifat futuristik dan jangka panjang adalah amat mencabar kerana ia melibatkan kepentingan 28 juta rakyat Malaysia dalam hal pendidikan negara.

Malah, bukan itu sahaja tetapi mahu tidak mahu setiap daripada kita mengakui, kita adalah pakar dalam bidang pendidikan.

Justeru, apabila tugas untuk menyediakan pelan ini sudah sampai ke peringkat untuk dibincangkan bersama rakyat, ia merupakan satu pelan yang komprehensif dan demokratik kerana mengambil input daripada pelbagai golongan dan merupakan satu pelan yang telus dan berani kerana mengambil pandangan daripada pakar-pakar dari dalam dan luar negara.

Di samping itu pelan ini dan kedudukan serta pencapaian sistem pendidikan dibench mark dengan pencapaian negara-negara lain dan penilaian dibuat secara objektif. Saya ucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pelajaran dan kementeriannya.

Pembentangan ini kena pada masanya sebab kita mempunyai cita-cita dan impian yang besar.

Ya, jumlah pelaburan penting, ia penambahan perdagangan antarabangsa yang boleh menyuntik kepada pertumbuhan ekonomi negara tetapi kalau segalanya tidak diasaskan kepada kualiti pendidikan. rakyat Malaysia yang mempunyai ilmu dan kemahiran yang mencukupi, nilai, sikap dan pembangunan intelektual kerohanian maka impian mungkin tidak kesampaian.

Sebab itu kalau hendak katakan ada satu bidang yang amat penting lagi kritikal untuk masa depan, tidak lain tidak bukan adalah bidang pendidikan negara kita.

Saya tertarik dengan 11 anjakan paradigma yang dihuraikan kerana ada juga daripadanya penegasan kepada soal nilai-nilai masyarakat.

Sehari dua ini keadaan amat tipikal, demonstrasi jalanan bukan nilai Malaysia yang patut kita pupuk apatah lagi melondehkan seluar di khalayak ramai, ia bukan nilai yang boleh kita banggakan.

Jadi kalaulah dalam rombakan sistem pendidikan kita hendak tekan perkara-perkara seperti ini maka kita berminat untuk melahirkan generasi yang boleh membawa kita ke mercu kejayaan.

Pelaburan kerajaan dalam bidang pendidikan sejak 55 tahun merdeka bukanlah kecil, seawal tahun 1980, Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan peruntukkan yang tinggi daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk pendidikan rendah, menengah dan tinggi. Pelaburan ini adalah antara peruntukan yang tertinggi di rantau Asia.

Pada 2011 perbelanjaan pendidikan merupakan 3.81 peratus daripada KDNK dan 8.7 peratus daripada perbelanjaan kerajaan. Barangkali apabila hendak melaksanakan blue print ini peruntukan perlu ditambah.

Keadaan ini selaras dengan trend negara-negara maju seperti Jepun, Korea, Singapura dan lain-lain dan ia sudah sampai masanya. Kita bukan saja melihat dari segi kuantitatif tetapi juga kualitatif.

Sebagai Menteri Kewangan saya memberi perhatian pada soal value for money dan return of invesment akan kita gunakan untuk memastikan setiap ringgit duit yang datang daripada pembayar cukai digunakan untuk menentukan keberhasilan sebaik mungkin.

Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab kita sentiasa menangani isu pendidikan dan isu ini mesti dilihat sebagai isu yang melampaui politik. Perkiraan pendidikan tidak seharusnya dibuai dengan sentimen kepartian tapi lebih kepada perkiraan nasional.

Matlamat kita adalah untuk memastikan setiap anak Malaysia mampu merealisasikan potensi kurniaan Tuhan yang dimiliki dan apa yang membezakan mereka adalah sama ada mereka sanggup berusaha atau tidak.

Jadi untuk memastikan masa depan yang lebih baik untuk anak-anak Malaysia keseluruhannya, maka kita sebagai pemimpin perlu ada keberanian moral sebanyak mungkin untuk depoliticise bidang pendidikan. Ini bagi memastikan kita membuat keputusan berdasarkan kepentingan anak-anak kita dan negara bukannya bersifat populis.

Laporan yang dilancarkan adalah laporan awal bagi menjemput cadangan, makluman balas, komen, kritikan dan sokongan. Ia sesuai dengan ucapan saya sebelum ini bahawa era kerajaan mengetahui segala-galanya dan memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan telah berakhir. Kerajaan menjemput agar semua rakyat Malaysia untuk bersama memberi pandangan dalam pelan yang amat penting ini.

Rupa bentuk negara pada masa depan akan ditentukan daripada  langkah dan pelan yang diambil hari ini dan kenyataan ini cukup signifikan dalam bidang pendidikan sebab apa yang diputuskan akan menjangkau masa yang lama.

Justeru, kita tidak mampu menangguhkan apa yang kita perlu atau mengambil sikap perubahan yang berdikit-dikit. Untuk mengaut laba masa depan kita perlu berani melabur dan menyemai secara bijak dan perubahan yang perlu dilakukan dalam mencapai keberhasilan yang bersifat lonjakan berganda.

Kemeriahan sambutan kemerdekaan masih lagi terasa. Sejak merdeka hasil sikap pragmatik dan penolakan kita terhadap kaedah yang dogmatik dalam hal ehwal nasional menyebabkan kita telah menempa kejayaan demi kejayaan.

Dalam beberapa dekad di awal kemerdekaan, kita telah berjaya melakukan transformasi daripada ekonomi pertanian yang berpendapatan rendah kepada ekonomi perindustrian yang berpendapatan sederhana tinggi. Setiap dekad kemerdekaan menyaksikan cabaran bitara dan kita telah berjaya mengharunginya.

Era awal kemerdekaan telah menyaksikan bagaimana kita menangani masalah buta huruf diikuti cara kita menangani era ekonomi berasas pertanian dan kemudian perindustrian.

Hari ini Malaysia adalah negara dalam transisi ke arah negara maju berpendapatan tinggi dengan ekonomi berasaskan paradigma yang berbeza dengan ekonomi yang berasaskan pengetahuan dan pada pengamatan saya ada dua corak dalam ekonomi akan datang dan ekonomi dahulu.

Satu, waktu di bangku sekolah apabila belajar krisis ekonomi kita diperkenalkan dengan tradisional factors production tapi hari ini tradisional factors of production telah digantikan dengan pengetahuan dan ia berteraskan tiga nilai iaitu pengetahuan, teknologi dan inovasi.

Jadi apabila merombak sistem pendidikan, kita mesti  memahami  the new economic yang terasnya adalah ketiga-tiga nilai itu.

Jadi sistem pendidikan kita mesti mampu disesuaikan untuk menghadapi cabaran-cabaran semasa.

Dua, mesti lakukan hari ini, kita menyediakan anak-anak kita untuk mengisi pekerjaan yang belum lagi wujud.

Dua cabaran ini penting untuk kita mengolah sistem pendidikan kita supaya mampu menyediakan apa yang dikatakan untuk masa depan era yang berubah dengan perubahan yang begitu pantas.

Dalam laporan, kerajaan mengambil sikap bertanggungjawab, kita tidak rasa segan dan takut untuk mengatakan apabila kita dinilai dalam Ujian Programme for Internasional Student Assessment (PISA) berada di kohort 1\ 3 paling bawah.

Kita sedar adalah lebih baik mengakui daripada menutup dan ini menunjukkan keberanian moral dengan mengakui kesalahan apatah lagi berani untuk melakukan perubahan dan anjakan. Kita perlu mencari penyelesaian yang kreatif dan inovatif.

Kita perlukan komitmen dan kepakaran, perlukan pengorbanan dan sumbangan semua segmen masyarakat dalam menyelesaikan sebarang masalah.

Kita tidak nafikan kita telah melakukan banyak perubahan. Tiang seri utama sistem pendidikan kita telah diterapkan semenjak Penyata Razak diikuti Penyata Rahman Talib dan terkini ditegaskan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan.

Kita bertuah kerana hidup dalam negara yang unik. Kepelbagaian;  kita anggap sebagai satu kekuatan pada negara yang kita cuba tangani sebaik mungkin, walaupun tidak kurang hebatnya cabaran itu.

Kita terima sebagai generasi terkemudian bahawa pengatur, bapa-bapa kita yang telah mengasaskan negara ini melalui kebijaksanaan mereka telah memilih jalan integrasi - berbeza dengan sesetengah negara lain.

Ini jalan yang telah dipilih dan kita tidak boleh berpatah balik tetapi menerima sebagai legasi dan tidak ada bidang yang dapat mencerminkan perkara ini dengan jelas berbanding apa yang kita lihat dalam pendidikan nasional kita.

Begitu banyak jenis sekolah dalam sistem kita. Ada sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Tamil, sekolah agama, sekolah persendirian Cina, sekolah mubaligh, sekolah swasta dan antarabangsa. Saya tidak fikir ada negara lain mempunyai sistem sekolah seperti yang kita ada iaitu banyak jenis sekolah. Kita kena urus perkara ini sebab ia sudah merupakan legasi kita.

Oleh itu melalui pelan yang baru ini, saya telah mendapat penegasan daripada Menteri Pelajaran, setiap perubahan harus membawa manfaat dan kesan yang disasarkan kepada semua jenis sekolah yang ada. Kita tidak mahu ia akan dijadikan bahan politik mana-mana pihak.

Saya hendak sebut setelah 55 tahun merdeka, Kita mesti memastikan setiap rakyat mampu bertutur dalam bahasa kebangsaan dengan baik. Kalau tidak boleh menulis tetapi dari segi pertuturan, cakap dan sebutannya mestilah baik.

Suka saya tegaskan kepada semua, murid  sekolah mesti menguasai bahasa kebangsaan ini. Ini bukan soal politik tetapi nasional. Kita juga hendak meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris.

Saya fikir nak belajar Bahasa Inggeris kena bermula dengan sastera Inggeris secara berperingkat malah penguasaan bahasa ketiga amat digalakkan. Saya sendiri menggalakkan anak-anak saya untuk menguasai Mandarin.

Kita sebuah negara berbilang kaum dan bangsa. Kita boleh menguasai kepelbagaian yang orang lain tak boleh kuasai. Kenapa loose kelebihan itu.

Melalui sistem pendidikan kita tidak mungkin dapat merealisasikan apa yang diharapkan. Oleh itu kita ada banyak aspirasi dan tidak kurang prinsip pendemokrasian pendidikan nasional. Sebab kita mahu akses terhadap pendidikan berkualiti dapat dinikmati semua rakyat tak kira di mana mereka berada. Sama ada di Kampung Bantal Ulu Tembeling atau Rumah Panjang Ulu Lacau di Sarawak.

Semua tempat mesti mendapat akses pendidikan berkualiti . Hal ini bergantung kepada guru besar dan pengetua yang berkualiti tetapi mahukah guru kita ke kawasan luar bandar? Nak?

Jangan pula menulis surat kecil minta ditukar ke tempat lain. Jangan pula datang berjumpa dengan menteri, dengan saya, jumpa dengan wakil rakyat tempatan. Kalau disuruh berkhidmat demi negara, berkhidmatlah.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Selasa, 11 September 2012

ISU PENDIDIKAN : Guru Akan Dijadikan Profesion Berprestij


KUALA LUMPUR: Guru akan dijadikan profesion berprestij dan bertaraf elit, yang hanya mengambil 30 peratus siswazah paling cemerlang di negara ini, demikian menurut cadangan Rangka Tindakan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa, laporan awal tentang rangka tindakan itu menyatakan bahawa Kementerian Pelajaran akan melaksanakan dengan ketat standard kemasukan bagi memastikan setiap pengambilan guru pelatih memenuhi kelayakan akademik minimum yang ditetapkan.

Ini sejajar dengan satu daripada 11 anjakan yang digariskan di dalam dokumen ke arah mentransformasikan sistem pendidikan negara - mentransformasikan jawatan guru agar menjadi profesion pilihan utama.

Rangka tindakan awal itu menyatakan Kementerian Pelajaran akan berganding bahu dengan Institut Pendidikan Guru dan Kementerian Pengajian Tinggi untuk memastikan kualiti kurikulum dan pensyarah dinaik taraf bagi melahirkan para guru seperti yang dihasratkan.

Ia juga menyatakan bahawa mulai 2013, beban guru dalam bidang pentadbiran akan diringankan bagi membolehkan mereka memberi fokus terhadap tugas mengajar.

"Ini akan dicapai dengan memperkemas dan mempermudahkan proses pengumpulan data dan pengurusan sedia ada. Sesetengah fungsi pentadbiran juga akan dipindah kepada pusat perkhidmatan terpusat atau kepada guru khusus pentadbiran di peringkat sekolah," kata laporan itu.

Kementerian Pelajaran juga bercadang melaksanakan kemajuan kerja berasaskan kecekapan dan prestasi menjelang 2016, apabila guru diberi penilaian setiap tahun oleh pengetua masing-masing, dengan inputnya mungkin diberi rakan setugas mereka.

"Malah, guru paling baik mungkin dinaikkan pangkat daripada DG41 kepada DG54 dalam tempoh lebih cepat berbanding tempoh kenaikan pangkat purata sedia ada iaitu 25 tahun," kata laporan itu.

Laporan itu seterusnya berkata guru yang menghadapi masalah untuk mencapai kualiti minimum pula akan diberi bimbingan sokongan tambahan untuk membantu mereka kembali berada di landasan sewajarnya.

"Guru yang sering mencatat prestasi rendah, walaupun sudah menerima sokongan tambahan, akan diberi tugas lain yang mempunyai kaitan dengan fungsi sekolah seperti pentadbiran, pegawai tatatertib atau pengurusan kokurikulum," kata laporan itu. - BERNAMA

ISU PENDIDIKAN : PM Lancar Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025


KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 begitu komprehensif dan menyeluruh.

“Pelan tindakan itu adalah berdasarkan maklum balas yang diterima daripada semua pihak, termasuk pandangan dari pendidik tempatan dan antarabangsa,” katanya ketika melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 di sini, Selasa.

Beliau berkata, pelan jangka panjang itu akan menggariskan 11 anjakan dan akan menjadi cabaran kepada semua pihak berkenaan.

“Tugas yang menanti adalah satu cabaran kerana ia bukan saja melibatkan orang di dalam mahupun luar dewan ini tetapi semua 28 juta rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, pelan itu bukan saja bertumpu kepada pengetahuan dan kemahiran tetapi nilai-nilai yang betul untuk menjamin masa depan negara.

“Demonstrasi jalanan dan menjatuhkan maruah orang lain bukan nilai-nilai kita.

“Kita memerlukan nilai-nilai untuk memastikan generasi muda masa kini berupaya memacu negara ke peringkat tertinggi,” katanya.

Beliau turut berkata, semua pemimpin harus mempunyai keberanian moral untuk mengetepikan politik daripada sistem pendidikan.

“Ini untuk memastikan bahawa kita membuat keputusan demi kepentingan terbaik anak-anak kita dan negara,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran memberikan taklimat selama 25 minit kepada tetamu yang hadir menyaksikan pelancaran pelan tindakan tersebut.

Sebanyak 11 anjakan yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 adalah:

1. Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa.

2. Memastikan setiap murid profisien dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris.

3. Melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai.

4. Transformasi keguruan sebagai profesion pilihan.

5. Memastikan pemimpin berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah.

6. Mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan.

7. Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia.

8. Transformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian pendidikan.

9. Bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas.

10. Memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit.

11. Meningkatkan ketelusan akauntabiliti awam.

ISU PENDIDIKAN : PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN 2013-2025 FOKUS 11 ANJAKAN


KUALA LUMPUR : Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) yang dilancarkan pada Selasa menggariskan 11 anjakan yang diperlukan untuk mentransformasikan sistem pendidikan negara agar setaraf dengan sistem yang dimiliki dalam kalangan negara membangun bagi tempoh 13 tahun akan datang.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program transformasi itu akan dilaksanakan dalam tiga fasa.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kemudiannya melancarkan laporan awal pelan tersebut.

Antara perkara yang boleh dijangka daripada pelaksanaannya adalah:

Gelombang Pertama mulai 2013 hingga 2015

* Peningkatan dalam kemahiran guru

* Kualiti pengajaran

* Keupayaan pegawai di peringkat negeri dan daerah

* Mutu kepimpinan sekolah

Gelombang Kedua dari 2016 hingga 2020

* Berlaku perubahan struktur sistem pendidikan negara yang menyaksikan kesemua 410,000 guru dan 10,000 pengetua atau guru besar menikmati pakej kerja baharu.

* Bahagian-bahagian di Kementerian Pelajaran distruktur semula dan kurikulum sekolah rendah dan menengah disemak semula agar sejajar dengan perkembangan sosial dan ekonomi dunia.

Gelombang Ketiga mulai 2021 hingga 2025

* Semua sekolah, guru dan pengetua atau guru besar akan menunjukkan prestasi melebihi standard minimum..

 Sumber : http : //www.mstar.com.my/