Ahad, 20 Disember 2009

MELAKAR TITIAN HIJRAH

Semusim telah berlalu
meninggalkan seribu
kenangan
menempuh onak dan ranjau
bahagia semanis madu
derita sepahit hempedu
segalanya tetap ditempuhi
dalam pasrah dan reda.

Dan kini tiba ke
penghujungnya
menyusun setulus doa
memohon keampunan-Nya
moga dapat mendidik hati
dalam mencari kasih dan
cinta-Nya.

Hijrah kembali bertamu
melakar titian baru
menyusun warna-warna
pelangi
bertebaran di segenap alam
mewarnai taman kehidupan
indah berseri
berbunga harum mewangi.

Teruskan perjuangan!
dalam meniti titian Hijrah ini.

Salam Maal Hijrah 1431.

NUR AIN HANIS
Seri Rawa, Kedah

Sumber : http: //www.bharian.com/

Rombakan menyeluruh sistem pertahanan kembalikan kredibiliti


Pesawat pemintas JET F-5E

MISTERI berhubung kes kehilangan enjin pesawat pemintas F-5E bernilai RM50 juta perlu dirungkai segera. Tindakan tegas mesti dikenakan terhadap semua yang bersekongkol melakukan jenayah itu. Langkah segera perlu diambil bukan saja kerana nilai enjin J-85 keluaran General Electric (GE) itu besar, tetapi juga kerana implikasinya. Kita akur bahawa perbuatan mereka yang terbabit dalam jenayah itu satu pengkhianatan kepada negara. Bagaimanapun, yang lebih membimbangkan ialah ia seolah-olah memberi gambaran wujud kelemahan dalam aspek pertahanan negara. Kita tidak boleh menyalahkan jika ada pihak yang kini gusar kerana berpendapat jika enjin sebesar itu boleh ‘lenyap’ daripada kawalan pihak tentera, bagaimana pula dengan maklumat sulit atau rahsia ketenteraan. Tambahan pula, dokumen rekod penyelenggaraan enjin jet F-5E itu yang sepatutnya berada dalam kawalan ketat tentera, turut lesap. Ini tentunya menyebabkan ada yang yang membuat tanggapan tahap keselamatan negara mudah dikompromi. Sebab itu, susulan kejadian kehilangan enjin itu, satu rombakan wajar dilakukan terhadap keseluruhan proses, operasi dan sistem keselamatan pertahanan negara jika tidak pun struktur kepemimpinan pasukan terbabit. Tanpa sebarang niat atau prejudis, perubahan yang dilakukan mesti menjurus ke arah memulihkan keyakinan rakyat terhadap kredibiliti dan kewibawaan pertahanan negara.

Kita akur kejadian kehilangan enjin pesawat F-5E itu yang kini dikesan dijual kepada sebuah syarikat antarabangsa berpangkalan di Amerika Selatan, adalah kes terpencil. Kita juga amat menghargai kepantasan dan kecekapan pihak berkuasa menyiasat kejadian itu serta melakukannya secara senyap. Bagaimanapun, pendedahan bahawa ia berlaku berikutan syarikat itu berjaya mengupah ejen daripada kalangan ‘orang dalam’ pasukan tentera untuk melarikan enjin terbabit, tetap membimbangkan. Apa yang penting sekarang ialah proses dan prosedur berhubung kait bidang strategik ketenteraan, khususnya berkaitan maklumat sulit keselamatan negara perlu diketatkan. Mungkin prosedur sedia sudah agak ketinggalan, atau mungkin juga ia terkini, tetapi wujud kelemahan dari segi pematuhan. Dalam pada kita bersyukur kerana yang hilang dalam kes ini sekadar sebuah enjin yang sudah usang, kita mesti berusaha meyakinkan semua pihak dan diri sendiri bahawa tiada data lain lebih penting yang sudah terlepas ke tangan pihak yang tidak sepatutnya. Kejadian ini mesti dijadikan pengajaran untuk semua pihak memastikan sebarang aset, khususnya maklumat strategik negara dijaga sebaiknya. Selain mengetatkan prosedur, semangat patriotik yang menjadi teras roh pasukan ketenteraan perlu diperkukuhkan di segenap lapisan warganya bagi memastikan ia tidak dapat dijual beli. Walau mungkin tidak ketara, kita mesti insaf ancaman terhadap kedaulatan negara sentiasa ada dan semua pihak tidak harus alpa walau sedetik pun. Pelanduk mungkin melupakan jerat, tetapi jerat tidak pernah melupakan pelanduk.

Sumber: http: //www.bharian.com.my/

Meneroka makna hijrah

Sambutan tahun baru Hijrah sepatutnya memperkukuh usaha umat Islam mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

Alhamdulillah, kita diizinkan Allah SWT untuk memasuki tahun hijrah yang baru. Umat Islam menyambutnya dengan cara yang berbeza. Ada yang hanya menyedari ketibaannya kerana ia ditentukan sebagai cuti umum.

Ramai juga yang menyambutnya dengan mengatur pelbagai majlis dan acara termasuk berkumpul di masjid dan surau dengan pengisian seperti bacaan doa akhir dan awal tahun, bacaan al-Quran, selawat dan tazkirah.

Semoga Allah SWT menerima niat baik dan doa-doa mereka yang tentunya merangkumi kebajikan dan kesejahteraan negara dan umat Islam seluruhnya dalam tahun baru ini.

Kepekaan terhadap peredaran masa dan zaman memang suatu tuntutan Islam. Penggantian tahun dalam kalendar Islam turut diraikan kerana ia terkait dengan suatu peristiwa besar dalam sirah junjungan kita, Nabi Muhammad SAW iaitu peristiwa Hijrah.

Hijrah memang mengandungi pelbagai makna dan erti. Sudut yang sering mendapat sorotan ramai adalah peralihan fasa risalah Islam daripada dakwah kepada fasa dawlah atau pembinaan negara.

Tanpa menafikan kepentingan dimensi luaran peristiwa ini, adalah perlu diinsafi bahawa hijrah luaran dan fizikal ini tidak akan berhasil dan bermakna tanpa disertai hijrah rohani dalam hati dan jiwa umat.

Hakikat ini ditegaskan dalam sabda Nabi SAW dalam hadis yang masyhur mengenai niat dan amalan, "Sesungguhnya amalan itu ditentukan oleh niat, dan bagi seseorang itu apa yang diniatkannya. Maka sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa yang berhijrah kepada dunia yang ingin diperolehinya atau wanita yang ingin dikahwininya maka hijrahnya adalah kepada apa yang menjadi maksud hijrahnya".

Sangat jelas dalam hadis ini yang merupakan antara induk segala hadis bahawa sebesar mana pun amalan agama seseorang itu, penentunya adalah niat dan maksud dalaman di sebalik amalan tersebut.

Hijrah Nabi SAW adalah episod yang begitu hebat dan sangat menentukan kerana ia adalah suatu projek keagamaan yang dijayakan oleh sekelompok insan agung yang memiliki hati paling suci dan ikhlas di bawah pimpinan penghulu para mukhlisin, Nabi Muhammad SAW.

Menyedari hakikat ini, janganlah dimensi kerohanian ini diabaikan dalam kita menyambut Maal Hijrah. Dimensi Islam, iman dan ihsan dalam agama kita sentiasa utuh dan terkait.

Tidak hairanlah, dalam salah satu karya terbesar dalam dunia kerohanian dan tasauf iaitu kitab Al-Hikam oleh Sheikh Ibnu 'Atoillah al-Sakandari, hadis ini dan persoalan hijrah dalaman ini ada dinukilkan dan dihuraikan pula oleh para ulama tasauf yang mensyarahkan kata-kata hikmah tersebut.

Sheikh Ibnu 'Atoillah al-Sakandari menegaskan perlunya berlaku hijrah dalam diri kita keluar daripada keterikatan dengan alam-alam (kawn/ akwan) menuju kepada Sang Pencipta alam (Al-Mukawwin).

Beliau berkata: "Janganlah kamu bergerak dari satu alam hanya ke satu alam yang lain maka jadilah kamu seperti keldai pengisar yang berjalan di sekitar pengisarnya sahaja; tempat tujuan perjalanannya sama dengan tempat asal perjalanannya.Tetapi hendaklah kamu bergerak (berpindah) dari semua alam kepada Sang Pencipta alam. Sesungguhnya kepada Tuhanmulah puncak segala tujuan".

Perhatikanlah sabda Rasulullah SAW, "Dan sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya …(hingga akhir hadis)"

Inti kepada peringatan Sheikh Ibnu 'Atoillah al-Sakandari ini adalah agar kita membulatkan keikhlasan kita kepada Allah SWT dalam segala amalan kebaikan kita.

Tumpuan hati kita dalam beribadat adalah keredaan Allah SWT semata-mata. Hendaklah dielakkan ingatan kepada yang selain Dia hatta terhadap soal perhatian dan pandangan mulia oleh makhluk, karamah, ganjaran pahala, mahligai atau bidadari syurga walaupun ini adalah sunnah Ilahi bagi mereka yang bertakwa.

Kesemua perkara ini hakikatnya masih merupakan alam dan makhluk. Kita masih belum berhijrah menuju Allah SWT dengan sebenar-benarnya jika masih terikat tumpuan kepada alam dan makhluk.

Dalam ilmu tasauf, kalimah al-aghyar yang berakarkan kata ghayr yang bermakna 'selain' sering digunakan kepada segala sesuatu yang selain daripada Allah SWT untuk menjelaskan maksud prinsip ini.

Harus diingat bahawa sesungguhnya Allah SWT itu amat cemburu. Dia tidak suka dan reda jika seseorang yang menuntut-Nya turut mencari sesuatu yang selain Dia di samping-Nya.

Oleh itu, tidak akan sampai kepada-Nya seseorang yang masih terdapat di hatinya keinginan hawa nafsunya.

Salah seorang ulama yang terkenal dengan syarahnya terhadap Hikam Ibnu 'Atoillah, Sheikh Ibnu 'Ajibah ada menyebut bahawa seseorang yang berjalan dari satu alam ke satu alam yang lain ialah orang yang berjalan dari selain Allah kepada selain Allah juga.

Seseorang yang zuhud di dunia tetapi menuntut kerehatan badan dan perhatian dunia kepadanya masih termasuk dalam golongan ini

Hijrah dalam erti kata ini juga bolehlah dirumuskan sebagai berpindah dari tiga negeri kepada tiga negeri iaitu:

  • Dari negeri maksiat ke negeri taat.
  • Dari negeri kelalaian ke negeri kesedaran.
  • Dari alam asybah (jasad) ke alam arwah (roh).

Sheikh Ibnu 'Ajibah juga meriwayatkan pesanan gurunya bahawa jika kita hendak menilai sama ada kita sedang benar-benar berpindah dari alam dunia menuju alam malakut atau tidak, kita hendaklah membentangkan segala keinginan dan kecenderungan kita satu persatu.

Jika kita mendapati bahawa kita telah meninggalkannya dan perasaan kasih terhadap kesemuanya telah keluar daripada hati kita maka barulah kita boleh bergembira.

Mengeluarkan kecintaan dan keinginan terhadap selain Allah SWT bukanlah suatu yang mudah dan akan terjadi dengan sendiri. Ia menuntut keazaman, kesungguhan, perancangan, panduan dan bimbingan.

Satu perkara yang tidak harus luput daripada perhatian kita dalam merenungi hijrah adalah bagaimana peristiwa tersebut menagih perancangan, keperitan dan pengorbanan yang tinggi daripada Rasulullah SAW dan generasi awal Islam yang merupakan generasi para kekasih Allah.

Jika mereka yang paling dikasihi Allah ini pun terpaksa bersusah payah merancang dan berkorban demi mendaulatkan Islam, maka sudah tentu kita hari ini perlu bersedia untuk berkorban dan berjerih payah jika kita benar-benar serius dengan agama kita.

(Rujukan utama: kitab Cahaya yang Lurus: Syarah Hikam Sheikh Ibnu ‘Atoillah al-Sakandari oleh Sheikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki (Kuala Lumpur, Sofa Production, 2007)

Sumber: http://www.utusan.com.my/

Jumaat, 18 Disember 2009

Mengekang tabiat merokok

Oleh Shukri Matt Ali

am@hmetro.com.my

BAHAYA merokok tidak hanya membabitkan penghisapnya, tetapi juga mereka yang menyedut asap yang dihembus atau berada dalam lingkungan penghisap rokok. Apabila merokok sudah menjadi ketagihan dalam kalangan remaja terutama mereka yang masih bersekolah, bagaimana tindakan ibu bapa untuk menghalang tabiat yang sudah jadi ketagihan itu?

Ikuti 10 perkara berikut yang boleh dijadikan bimbingan sekeluarga:

· Jadikan diri untuk dicontohi.Ibu bapa yang tidak merokok menjadi model yang kuat bagi anak kerana kajian mendapati anak akan mengikut jejak ibu bapa yang suka merokok.


· Jadikan rumah sebagai zon tiada asap rokok. Jika anda kaki merokok, mempunyai kawan atau saudara-mara yang merokok, elakkan daripada mendedahkan anak kepada asap rokok.Dianggarkan hembusan asap perokok menyebabkan kira-kira 3,400 kematian akibat barah paru-paru dan 22,700 hingga 69,600 kes kematian penyakit jantung setiap tahun dalam kalangan orang dewasa yang tidak merokok di Amerika Syarikat. Kanak-kanak akan terdedah kepada risiko yang lebih tinggi untuk menghidap penyakit lelah dan jangkitan telinga manakala bayi pula lebih kepada sindrom kematian kejutan bayi. Kesan buruk asap rokok yang dihidu orang lain adalah serius dan tidak akan berkurangan.


· Berusaha berhenti merokok. Jika seseorang perokok cuba berhenti merokok, anda tidak sendirian. Sebanyak 70 peratus perokok berazam untuk berhenti merokok, tetapi hanya lima peratus yang berjaya berbuat demikian dalam tempoh yang lama. Berusahalah untuk berhenti demi kesihatan diri sendiri dan ahli keluarga. Sokongan ahli keluarga turut membantu kerana apabila mereka berasa betapa sukarnya bagi anda berhenti, ia mungkin mempengaruhi mereka untuk tidak merokok.

· Jangan merokok di depan anak termasuk dalam kereta. Sejumlah 77.6 peratus rakyat Amerika Syarikat tidak menghisap rokok dalam kenderaan ketika bersama keluarga. Tindakan sedemikian menjadikan kereta sebagai zon bebas asap rokok dan akan melindungi penumpang termasuk anak.

· Mendidik anak supaya tidak terpengaruh dengan iklan media. Satu cara ialah mengurangkan pendedahan anak terhadap iklan rokok menerusi televisyen. Satu laporan Kerajaan Persekutuan Amerika Syarikat merumuskan iklan merokok dalam filem menyebabkan remaja mula merokok dan filem berkaitan remaja pula mendorong kira-kira 200,000 remaja menjadi perokok baru setiap tahun.

· Maklumkan kepada anak mengenai risiko kesihatan akibat merokok. Ibu bapa perlu memaklumkan kepada anak remaja atau dewasa mereka merokok akan memberi kesan terhadap keupayaan mereka termasuk kesan negatif dalam jangka panjang terhadap kesihatan dan penampilan diri.

· Kenali rakan anak. Dorongan rakan sebaya adalah faktor kuat yang mempengaruhi tindakan remaja untuk merokok, minum alkohol dan mengambil dadah. Ibu bapa perlu tahu jika anak berkawan dengan mereka yang merokok. Galakkan mereka menjadi model tidak merokok agar dapat diikuti rakan sebaya dan anak lain dalam keluarga.

· Dengar dengan teliti pandangan anak. Apabila ibu bapa mewujudkan suasana dalam rumah yang mendorong perbincangan dan perbahasan sesuatu topik, ia membolehkan anak belajar dan memahami fakta, berdepan dan menyelesai masalah supaya mereka dapat hidup bebas daripada rokok.

· Bina kemahiran membuat keputusan awal. Menerusi amalan membuat keputusan sejak peringkat awal, anak akan berupaya membuat pilihan bijak apabila berdepan dengan perkara yang penting seperti merokok.

· Beri dorongan kepada mereka untuk segera berhenti merokok. Manusia boleh menambah jangka hayat mereka tanpa perlu merokok. Berhenti merokok juga adalah keputusan yang dapat menyelamatkan nyawa. Bukan mudah berbuat demikian, tetapi setiap langkah percubaan untuk berhenti merokok perlu dianggap sebagai suatu kejayaan.

Sumber : http: //www.hmetro.com.my/

SUKAN SEA MELABUHKAN TIRAINYA

Pertunjukan bunga api mengakhiri penutup Sukan SEA XXV Laos yang dibuat penuh gemilang di Vientiane, malam tadi dan akan membuka tirainya semula di Jakarta, Indonesia pada 2011

JUMPA LAGI DI INDONESIA

VIENTIANE – Edisi ke-25 Sukan SEA melabuhkan tirainya, semalam dengan meninggalkan kenangan terindah buat Malaysia yang bukan saja melepasi sasaran pingat, malah merampas kembali mahkota sukan paling berpengaruh, bola sepak selepas 20 tahun.

Di Stadium Utama Kompleks Sukan Nasional, upacara penutup Temasya 2009 berlangsung gilang gemilang dan penuh meriah, semeriah kontinjen Malaysia meraih kejayaan meraih 40 pingat emas, sekali gus mengatasi sasaran 30 hingga 35 emas yang ditetapkan Majlis Sukan Negara (MSN).

Walaupun pungutan 40 emas, 40 perak dan 59 gangsa sekadar meletakkan kita di tangga keempat di belakang Thailand (86-83-97), Vietnam (83-75-57) dan Indonesia (43-53-74), namun keseluruhannya ia masih pencapaian terbaik kontinjen negara dengan mengambil kira jumlah atlet dan acara yang disertai.

Malaysia menghantar 383 atlet untuk bertanding dalam 21 jenis sukan, dan tiada satu pun daripada acara yang kita sertai pulang tanpa sebarang pingat, sekurang-kurangnya gangsa.

Sebelas daripada 21 sukan yang ditandingi Malaysia berjaya menuai emas. Akuatik mengetuai senarai penyumbang terbanyak dengan 15 emas (sembilan renang, enam terjun), olahraga enam, karate enam, silat empat, wushu tiga, badminton dua, tinju dua, manakala memanah, taekwondo dan bola sepak masing-masing satu emas.

Ada banyak sejarah tercipta di Laos sepanjang 10 hari Temasya berlangsung - bola sepak merangkul emas pertamanya sejak 1989, tinju memenangi pingat emas pertama di luar Kuala Lumpur, badminton merampas gelaran berpasukan wanita dalam tempoh 34 tahun dan renang mengulangi pencapaian terbaik di luar Kuala Lumpur dengan meraih sembilan emas.

Walaupun kemenangan bola sepak negara menjadi tajuk perbualan sebahagian besar wartawan di Laos, malah mendapat perhatian luar biasa daripada seluruh rakyat Malaysia, namun hakikatnya akuatik menjadi penyumbang emas paling gemilang buat kontinjen negara.

Bukan saja ada 15 emas terhasil di kolam renang - sembilan dari renang, enam lagi dari acara, malah keseluruhannya, ada 15 rekod kebangsaan dipecah perenang negara, diketuai Daniel Bego, yang menjadi pemenang pingat emas lelaki terbanyak Sukan SEA XXV.

Malah, perenang kelahiran Sarawak itu turut memecah empat rekod Temasya, empat rekod kebangsaan (individu) dan dua rekod berganti-ganti kebangsaan.

Semalam, lebih 20,000 penonton membanjiri Stadium Utama sejak awal petang untuk menyaksikan upacara penutup yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Laos, Somsavat Lengsavad, yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA XXV.

Upacara bermula dengan persembahan pancaragam daripada polis Laos, diikuti persembahan oleh penyanyi terkenal 11 negara, yang mana Malaysia diwakili Shafinaz Selamat.

Sejurus semua kontinjen memasuki stadium dan mengambil tempat masing-masing, Somsavat berucap bagi pihak tuan rumah, diikuti upacara menurunkan bendera Laos dan bendera Sukan SEA dilakukan.

Bendera Sukan SEA kemudian diserah kepada tuan rumah Sukan SEA 2011, Indonesia yang diwakili oleh Menteri Sukan, Andi Alifian Mallarangeng. Sejurus bendera bertukar tangan, pertunjukan kebudayaan Indonesia mengambil alih kehangatan stadium, diselang seli dengan pertunjukan kebudayaan Laos.

Stadium Utama bermandikan cahaya penuh warna warni, sekali gus menjadi penutup paling sempurna buat edisi ke-25 Sukan SEA, yang berlangsung lancar dan bebas daripada sebarang kontroversi.

Walaupun baru semalam Sukan SEA XXV ditutup, namun semua 11 negara bertanding sudah bersiap sedia untuk menghadapi temasya yang dijangka lebih mencabar dan kompetitif di Indonesia, yang mana tuan rumah menjanjikan 37 jenis sukan akan dipertandingkan - 12 sukan lebih banyak daripada di Laos.

Malah, edisi ke-26 Sukan SEA juga mampu memberi cabaran tambahan kepada negara-negara yang mengambil bahagian kerana ia akan diadakan di empat wilayah berbeza - Semarang, Bandung, Jakarta dan Palembang.

Khop Chai (Terima Kasih) Laos kerana memberikan pengalaman yang cukup menarik dan istimewa sepanjang 9-18 Disember ini, Sampai Jumpa lagi di Indonesia.

Sumber : http: //www.utusan.com.my/

Kerajaan Diminta Selaras Definisi, Data Kemiskinan Di Malaysia


KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat meminta kerajaan menyeragamkan definisi dan pangkalan data kemiskinan bagi memudahkan kementerian itu melaksanakan tugas memberi bantuan kepada golongan sasar.

Menterinya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata definasi kemiskinan yang ada kini berbeza-beza antara satu kementerian dengan kementerian yang lain.

"Sekarang ini definisi kemiskinan berubah-ubah mengikut kementerian dan data kemiskinan Jabatan Kebajikan ada, ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan) ada, untuk Orang Asli ada, kementerian lainpun ada dan syor kita biar ada satu sahaja pengkalan data dan definisi untuk yang miskin," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata saranan itu termasuklah penyelarasan kepada definisi keluarga miskin tegar iaitu berpendapatan RM440 ke bawah, definisi keluarga miskin pula iaitu berpendapatan RM750 ke bawah manakala definisi keluarga berpendapatan rendah pula iaitu yang mempunyai pendapatan RM2,000 ke bawah.

"Setakat ini di bawah data e-Kasih kita mempunyai 49,413 keluarga miskin tegar, 68,033 keluarga miskin dan 2.1 juta keluarga berpendapatan rendah," katanya.

Beliau berkata kini kementerian itu akan memberi fokus kepada soal menghapuskan keluarga miskin tegar dengan memberi bantuan kebajikan, perumahan dan peluang pekerjaan keusahawanan.

"Kita jangka dapat mengeluarkan golongan miskin tegar daripada belenggu hidup mereka pada akhir 2010. Kita ada 18 agensi di bawah kementerian untuk membantu golongan ini dari segenap sudut," katanya.

Sumber : http://www.bernama.com/

Khamis, 17 Disember 2009

Hijrah lestarikan alam sekitar

Wap dan asap kelihatan jelas di loji kuasa arang batu Gelsenkirchen, Jerman. Loji kuasa arang batu adalah antara pengeluar terbesar karbon dioksida yang dipercayai menyebabkan perubahan iklim

Oleh ROSMIDZATUL AZILA MAT YAMIN

KEDATANGAN tahun baru 1431 Hijrah mengingatkan kita kepada rentetan peristiwa penting yang pernah berlaku dalam sejarah Islam. Peristiwa tersebut merupakan hari bersejarah yang cukup istimewa bagi seluruh umat Islam dan menyingkap rahsia yang tersendiri.

Ia bukan sahaja membawa kepada bermulanya perkiraan Takwim Hijrah, bahkan ia juga merujuk kepada penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Kota Mekah ke Kota Madinah pada tahun 622 Masihi.

Hari bersejarah ini disambut setiap tahun oleh seluruh umat Islam di Malaysia bagi memperingati peristiwa penghijrahan tersebut. Konsep sambutan kebiasaannya dengan mengadakan solat sunat di masjid-masjid di seluruh negeri.

Sambutan sedemikian merupakan satu inisiatif dan pendekatan yang baik kepada seluruh masyarakat Islam dalam mengimbau kembali sejarah penghijrahan Rasulullah SAW.

Intipati semangat cekal yang ditonjolkan oleh Rasulullah SAW semasa penghijrahan baginda wajar diteladani dan diaplikasikan oleh seluruh umat Islam, terutamanya dalam mengemudi bahtera kehidupan ke arah yang lebih baik demi mencapai keredaan Ilahi.

Jika diimbas kembali sejarah penghijrahan Rasulullah SAW, pelbagai laluan sukar, risiko berbahaya dan cabaran genting yang terpaksa baginda harungi terutamanya dalam menangkis serangan musuh demi mencapai keadaan yang lebih baik.

Cabaran-cabaran yang dihadapi tidak pernah mematahkan semangat baginda, malah ia berjaya ditangani dengan baik melalui perancangan, strategi dan tindakan bijak baginda dan para sahabat sehingga membawa kepada kejayaan penghijrahan tersebut.

Tidak dapat dinafikan bahawa dalam konteks hari ini tiada lagi corak penghijrahan seumpama yang dilalui oleh Rasulullah dan para sahabat. Namun demikian, konsep hijrah tetap berterusan di kalangan umat Islam. Ia tidak hanya statik kepada penghijrahan dari satu tempat ke destinasi yang lain sahaja. Bahkan ia mempunyai pengertian yang lebih luas dan menyeluruh mencakupi semua aspek kehidupan.

Dalam erti kata lain, konsep penghijrahan pada hari ini menjurus kepada hijrah daripada kejahatan kepada kebaikan dan daripada kebaikan ke arah yang lebih baik. Konsep penghijrahan pula perlulah secara istiqamah (konsisten) dan berterusan dalam meningkatkan iman kita menerusi usaha membersihkan sifat keji (mazmumah) dan melazimkan diri dengan sifat terpuji (mahmudah).

Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah, sesudah mereka dianiaya (ditindas oleh musuh-musuh Islam), Kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempatnya yang baik, dan sesungguhnya pahala (amal mereka yang baik itu) lebih besar di akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahuinya.Mereka itu ialah orang-orang yang bersabar (menanggung kezaliman) dan berserah diri kepada Tuhannya. (Surah an-Nahl, ayat 41-42).

Jika diamati secara terperinci, konsep hijrah dewasa ini menuntut umat Islam memanfaatkan segala peluang yang ada dan meningkatkan jati diri bagi memantapkan lagi keimanan untuk menghadapi pelbagai onak duri dalam era globalisasi yang serba mencabar.

Ia merupakan aspek penting yang perlu ditekankan bagi menggapai kemajuan mengikut acuan berlandaskan syariat Islam.

Dalam konteks ini, umat Islam perlu sentiasa bermuhasabah diri dan berusaha memperbaiki diri serta kehidupan dari semasa ke semasa. Jika usaha memperbaiki diri serta kehidupan dapat dilaksanakan secara berterusan dan memberi impak positif, ia memberi gambaran bahawa pengertian hijrah berjaya dihayati dan dilazimkan dalam kehidupan seharian.

Titik peralihan hijrah tidak hanya terhad kepada perubahan sikap diri sendiri dan kehidupan sahaja. Malah ia juga turut merangkumi titik perubahan terhadap persekitaran yang didiami. Misalnya, sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini kita diancam oleh perubahan iklim global yang cukup serius sehingga membawa kepada beberapa bencana alam yang besar.

Masalah ini tidak pernah lekang walaupun telah banyak usaha dan persidangan dilakukan bagi memperolehi jalan penyelesaian yang sewajarnya. Malah, usaha tersebut seperti dipinggirkan dan tidak membuahkan kejayaan ekoran tidak mendapat kerjasama daripada beberapa negara termasuk negara yang tergolong sebagai ‘gergasi dunia’.

Namun demikian, persidangan yang berlangsung di Copenhagen, Denmark yang dijadualkan berakhir pada hari ini diharap dapat memacu penghijrahan sikap yang besar terhadap usaha penggemblengan isu perubahan iklim yang kian meruncing dari hari ke hari.

Daripada komitmen yang telah ditunjukkan oleh semua negara anggota (dengan kehadiran 15,000 peserta dari 192 negara) sepanjang persidangan berlangsung, ia telah menampakkan petanda dan titik peralihan positif dalam tindak balas antarabangsa berhubung isu perubahan iklim.

Mesyuarat tersebut yang beragenda untuk mencapai perjanjian baru mengenai pelepasan gas rumah hijau serta mengumpul berbilion-bilion dolar dana bagi menyalurkan bantuan dan teknologi hijau kepada negara-negara miskin diharap mampu mencapai matlamatnya tidak seperti usaha-usaha sebelum ini yang hanya termateri di atas kertas dan ‘hangat-hangat tahi ayam sahaja’ dek kerana tidak mendapat kerjasama yang sewajarnya daripada semua negara anggota.

Justeru, dengan kedatangan tahun baru hijrah ini diharap agar semua negara anggota terutamanya negara-negara Islam mengambil ‘roh’ hijrah Rasulullah agar matlamat mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan melestarikan alam sekitar dapat direalisasikan dengan jayanya.

Sikap curiga antara negara miskin dan negara kaya dalam berkongsi kos pengurangan gas rumah hijau perlu dikikis agar tidak mencabuli matlamat asal penganjuran sidang kemuncak tersebut.

Sudah tiba masanya untuk setiap negara Islam menghayati pengertian konsep hijrah untuk disuaipadankan dengan aspek penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar demi kepentingan bersama. Tidak ada ruginya negara-negara pengeluar utama membuang sikap egoistik mereka demi mencapai satu penyelesaian kepada permasalahan yang tidak pernah menemui titik noktahnya.

Dengan menginjaknya tahun baru hijrah ini, setiap negara khususnya negara Islam perlu menanam azam dan tekad yang kukuh untuk berhijrah daripada teknologi yang tidak mesra alam kepada teknologi hijau yang lebih selamat dan sihat kepada alam sekitar.

Hijrah ke arah pelestarian alam ini penting bagi menghentikan rintihan derita alam yang telah lama menagih sekelumit belas ihsan dan pengertian daripada sang khalifah.

Mudah-mudahan secangkir keprihatinan khalifah bumi dapat melorongkan penghijrahan yang tulus bagi memberi nafas baru kepada alam untuk terus teguh berdiri dan menyumbang bakti kepada seluruh penghuni bumi.

Tugas pelestarian alam tidak hanya terletak di bahu tampuk kepimpinan negara semata-mata, sebaliknya ia juga perlu digalas oleh setiap individu. Sudah sampai masanya setiap umat Islam berhijrah dari segi sikap iaitu mengusir sikap pesimis terhadap alam dan menyuburkan sikap optimis dengan disusuli niat kerana Allah SWT.

Firman Allah S.W.T. bermaksud: “…Sesungguhnya aku berhijrah kepada Tuhanku” (Surah al-Ankabut, ayat 26). Bahkan, dari segi pembangunan dan kemajuan umat, ia juga perlu selari dengan tuntutan agama dan dikembangkan secara berperingkat dan teliti demi meraih hasil yang positif.

Justeru, sempena ulang tahun 1431 Hijrah, setiap umat Islam perlu menetapkan tekad dan iltizam baru sejajar dengan matlamat serta aspirasi agama, bangsa dan negara.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Pusat Sains dan Teknologi, Institut Kefahaman Islam Malaysia

Sumber : http: //www.utusan.com.my/