Oleh : ANGELINA SINYANG
DI Malaysia, rakyat amat beruntung kerana kerajaan mengamalkan langkah
pemberian subsidi kepada barangan keperluan seperti gula, minyak masak, petrol
dan diesel.
Sesungguhnya, subsidi jika dilihat dalam konteks ini jelas menunjukkan
bahawa kerajaan tidak pernah gagal dalam melaksanakan tanggungjawab sosialnya.
Namun, apa yang mengecewakan adalah apabila ada individu tamak dan tidak
bertanggungjawab bertindak menyeludup barang-barang yang disubsidikan itu ke
negara jiran menyebabkan rakyat tempatan yang sepatutnya menikmati pemberian
tersebut dinafikan hak mereka.
Penyeludupan barangan dari luar negara seperti senjata api, mercun,
kosmetik dan makanan mengandungi kimia berbahaya pula mengancam keselamatan
rakyat negara ini.
Memang sukar sekali untuk membendung aktiviti penyeludupan yang sudah
berakar umbi dalam kehidupan masyarakat terutama mereka yang tinggal di kawasan
sempadan Malaysia-Thailand.
Antara laluan penyeludup yang popular adalah Padang Besar di Perlis; Bukit
Kayu Hitam di Kedah, Pengkalan Hulu di Perak serta Rantau Panjang, Pasir Mas
dan Pengkalan Kubor di Kelantan.
Dalam masa sama, kawasan bersempadan dengan Indonesia, Filipina dan Brunei
tidak terlepas menghadapi masalah tersebut.
Aktiviti haram itu memang sukar dibendung apatah lagi apabila berlaku
perkembangan teknologi semasa yang memudahkan penyeludup berkomunikasi dan
menggunakan kaedah canggih untuk mengaburi kegiatan mereka.
Bagi Unit Pencegah Penyeludupan (UPP), kegiatan haram itu perlu disekat
kerana sedar isu penyeludupan yang berlaku di sempadan jika tidak ditangani ia
bukan sahaja boleh memberi kesan terhadap ekonomi dan sosial tetapi turut
mengancam keselamatan negara.
Sehubungan itu, UPP merancang untuk membina stesen pemeriksaan di seluruh
negara memandangkan ketika ini hanya menempatkan anggotanya menjaga pintu
sempadan di Kedah, Perlis, Kelantan dan Perak.
Ketua Pengarah UPP, Datuk Ab. Rahim Ismail berkata, cadangan menempatkan
anggota di semua pintu sempadan adalah satu usaha bagi membanteras aktiviti
penyeludupan dengan lebih menyeluruh dan berkesan memandangkan trend jenayah
penyeludupan pada hari ini sudah berubah berbanding dulu dan menjadi semakin
kompleks.
Beliau yang juga Setiausaha Bahagian Kepolisan dan Keselamatan Sempadan
berkata, aktiviti penyeludupan dulu lebih kepada menyeludup barang keperluan
asas seperti beras, minyak masak serta dadah jenis heroin dan ganja.
Bagaimanapun ketika ini, katanya, trend penyeludupan sudah berbeza apabila
penyeludup beralih kepada kegiatan membawa masuk dadah sintetik, barangan
subsidi seperti petrol dan diesel, jenayah terancang seperti pemerdagangan
manusia, pengubahan wang haram dan penyeludupan senjata api.
Tambahnya, aktiviti penyeludupan juga tidak tertumpu lagi di kawasan
sempadan Malaysia-Thailand, malah turut berlaku secara berleluasa di sempadan
negara ASEAN lain yang berjiran dengan negara ini seperti Filipina, Indonesia
dan Brunei.
Jadi adalah wajar jika kita memperluaskan penugasan di kawasan sempadan
lain di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Di Sabah dan Sarawak misalnya penugasan menjadi lebih mencabar kerana
sempadan yang lebih panjang, manakala aktiviti penyeludupan berlaku dalam
kapasiti yang lebih besar," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui
di pejabatnya di Kompleks D Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya
baru-baru ini.
Ab. Rahim berkata, sejak UPP ditubuhkan pada 1976, pelbagai usaha dibuat
oleh agensi penguat kuasa itu bagi membanteras aktiviti penyeludupan di
sempadan seperti mengadakan sekatan jalan raya, rondaan, risikan, pemeriksaan
mengejut dan operasi khas.
Beliau berkata, pihaknya juga sentiasa bekerjasama dengan agensi penguat
kuasa lain melalui operasi secara bersepadu dan perkongsian maklumat.
Menurutnya, anggota UPP menghadapi pelbagai cabaran dan masalah semasa
menjalankan tugas penguatkuasaan di sempadan seperti menangani persepsi
masyarakat terhadap pasukan keselamatan itu.
Adakalanya, anggota UPP kurang mendapat kerjasama daripada masyarakat
setempat semasa melaksanakan tugas penguatkuasaan di pintu masuk terutama
pemeriksaan jalan raya.
Ada juga anggota yang dimaki hamun dan dihambur dengan kata-kata kesat
semasa pemeriksaan dan sesetengah pihak beranggapan UPP tidak menjalankan tugas
dengan baik berikutan masalah penyeludupan yang berlaku di sempadan walaupun
sebenarnya tugas itu dijalankan dari semasa ke semasa," ujarnya.
Ab. Rahim memberitahu, kebanyakan penyeludup semakin licik dengan pelbagai
taktik dan modus operandi mereka pula sentiasa berubah kerana sudah biasa
dengan bentuk pemeriksaan agensi penguatkuasa di sempadan.
Beliau berkata, pergerakan penyeludup juga tidak mengira waktu dan dibantu
oleh kemudahan teknologi komunikasi yang semakin canggih bagi memudahkan urusan
mereka dalam merancang aktiviti penyeludupan.
Katanya, keadaan ini menyukarkan UPP mengesan penyeludup kerana agensi itu
hanya bergantung kepada risikan dan kerjasama orang ramai untuk mendapatkan
maklumat.
Kita juga menghadapi masalah logistik bagi menjalankan operasi. Contohnya,
pemeriksaan ke atas lori-lori kontena dan kenderaan yang membawa muatan dalam
kuantiti yang besar memerlukan peralatan yang sesuai dan mencukupi bagi
memudahkan proses pemunggahan, manakala kenderaan penunda diperlukan bagi
membawa kenderaan yang dirampas atau ditinggalkan penyeludup," jelasnya.
Menurut Ab. Rahim, sejak Januari hingga Jun lalu, UPP melaksanakan sebanyak
8,109 operasi dan berjaya memperoleh 626 kes membabitkan nilai rampasan
berjumlah RM12.77 juta serta memberkas 276 pendatang asing tanpa izin (Pati).
Beliau berkata, nilai rampasan barang seludup tinggi dicatatkan oleh
kenderaan iaitu RM6,950,040 diikuti kayu (RM3,622,950), diesel dan petrol
(RM504,497.60) manakala minuman keras dan rokok (RM416,980.49).
Turut dirampas adalah haiwan bernilai RM348,775, dadah (RM185,190), mata
wang (RM166,450), lain-lain kes seperti kosmetik (RM119,837), mercun dan bunga
api (RM115,473.13), barangan pengguna (RM114,843.70), beras (RM100,231),
perikanan (RM64,200), pertanian (RM32,600), pakaian (RM11,331.50), penerbitan
dan filem (RM20,500) serta baja dan racun rumpai (RM1,500).
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan