Selasa, 9 Oktober 2012

ISU SOSIAL : Didik masyarakat jauhi jenayah


Oleh : Shamrahayu A Aziz
 
Apabila bercakap mengenai undang-undang, secara dasarnya kita faham tujuan diwujudkan undang-undang ialah untuk mengawal selia sistem kehidupan. Lebih tepat lagi, undang-undang diwujudkan untuk menjadikan dunia dan akhirat tempat yang baik, selamat dan selesa untuk dihuni. Oleh itu, undang-undang diwujudkan untuk menjadikan semua makhluk, termasuk manusia, alam sekitar, haiwan atau barangan diselia dengan baik.

Bagi mencipta sistem kehidupan yang sempurna itu, undang-undang wujud dalam pelbagai bentuk, sama ada secara formal atau tidak. Apa yang saya maksudkan sebagai undang-undang formal ialah sistem perundangan yang diluluskan badan perundangan atau mana-mana pihak berkuasa serta diterima pakai secara positif. Manakala, undang-undang tidak formal ialah tatacara kehidupan, termasuk adat, adab, budaya dan sistem yang dibina atas persetujuan penghuni sesebuah habitat atau masyarakat.

Undang-undang tidak formal

Oleh itu, walaupun undang-undang formal sudah wujud, undang-undang tidak formal masih diperlukan supaya ruang jenayah untuk berlaku tidak dibuka.

Saya memerhati situasi masyarakat kita. Dalam banyak keadaan, ketika membincangkan sesuatu jenayah, kita lihat kepada sistem perundangan dan pelaksanaannya. Ini mungkin benar kerana dengan ada undang-undang formal dan penguatkuasaan berkesan, maka jenayah dapat dielak.

Dalam banyak keadaan, penguatkuasaan undang-undang yang formal ini hendaklah disertai setara ‘penguatkuasaan’ undang-undang yang tidak formal. Ahli masyarakat ialah agensi terpenting dalam ‘penguatkuasaan’ undang-undang tidak formal.

Ahli masyarakat hendaklah menjadi pengurus yang baik dalam urusan masyarakatnya dan mengendalikan masyarakat dengan menggunakan formula yang tidak formal. Walaupun ‘penguatkuasaan’ itu tidak formal, ia sangat penting; bahkan mungkin lebih penting daripada penguatkuasaan formal itu.

Perkara yang saya samakan dengan undang-undang ialah sifat dan sikap masyarakat. Masyarakat memerlukan sifat hikmah. Hikmah berkait dengan kualiti pemikiran manusia. Hikmah membolehkan manusia membuat pilihan. Ia bukan saja membolehkan ahli masyarakat mengenali perkara baik, tetapi pada masa yang sama, hikmah membolehkan ahli masyarakat mengenal pasti perkara baik dan buruk serta membezakan antara kedua-duanya.

Keduanya, sifat berani. Sifat berani dalam konteks ini menggesa manusia untuk berkelakuan baik. Memaksa ahli masyarakat mematuhi jalan betul dan lurus serta berani menentang yang salah. Sifat berani seperti ini mendorong masyarakat kepada sifat tabah, kasih dan mengasihani orang lain. Sifat berani ini juga dapat menghindari ahli masyarakat daripada perkara yang salah.

Ahli masyarakat juga memerlukan sifat kesederhanaan. Sifat kesederhanaan dalam ahli masyarakat dapat menyekat sifat tamak dan melampau. Ia juga dapat menyekat sifat permusuhan. Kedua-dua sifat tamak dan permusuhan ini adalah akar kepada jenayah dan ini dapat dihapuskan dengan sikap kesederhanaan. Dengan tiadanya perasaan tamak dan permusuhan, setiap ahli masyarakat bersifat sederhana dalam semua keadaan.

Sifat lain yang tidak dapat tidak dimiliki oleh masyarakat ialah sifat adil. Sifat adil ada asas kepada segala sesuatu. Sifat ini membawa kepada kelakuan dan peribadi bagus, bukan saja di tempat awam yang dapat dilihat orang lain, tetapi juga dalam keadaan tersembunyi, ketika tiada manusia atau mata lain memandang.

Kembali kepada jenayah yang sedang dihadapi masyarakat kita, terutama membabitkan mata wang atau komersial, ia banyak dipengaruhi sifat dan peribadi masyarakat. Walaupun masyarakat didedahkan dengan pelbagai berita jenayah, modus operandi yang sama sepanjang tahun, jenayah seperti ini tetap juga berlaku.

Bentuk sifat, pemikiran masyarakat

Jika ahli masyarakat tidak dilengkapi sifat hikmah, berani untuk berkelakuan baik, bersederhana dan adil seperti yang dimaksudkan di atas, kita akan sentiasa menyaksikan jenayah berkaitan mata wang berleluasa walaupun penguatkuasaan undang-undang secara formal dilaksanakan sewajarnya.

Penguatkuasaan undang-undang yang formal oleh pihak berkuasa tidak akan dapat menyelesaikan masalah jika tiada kerjasama ahli masyarakat. Oleh itu, dalam merendahkan indeks jenayah, terutama jenayah yang membabitkan mata wang, pembentukan sifat dan pemikiran masyarakat adalah di tempat setara, bahkan lebih utama daripada penguatkuasaan undang-undang secara formal.

Penulis ialah Profesor Madya, Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan