Oleh : Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom
NAMPAKNYA isu sama ada murid
boleh atau tidak membawa telefon bimbit ke sekolah timbul semula. Kali ini
persoalan itu dibangkitkan di Dewan Parlimen pada 3 Oktober lalu. Ahli Parlimen
Simpang Renggam, Liang Teck Meng ingin tahu sama ada Kementerian Pelajaran
membenarkan murid membawa telefon bimbit ke sekolah serta kesan sampingan
sekiranya dasar itu dilaksanakan.
Menteri Pelajaran, Tan Sri
Muhyiddin Yassin, menyatakan satu sesi perbincangan meja bulat telah diadakan
pada 25 Ogos lalu melibatkan pihak berkepentingan antaranya pengetua, guru dan
ibu bapa membincangkan keperluan serta cadangan berkaitan penggunaan peralatan
komunikasi itu oleh murid.
Kementerian
Pelajaran sedang meneliti secara menyeluruh pendapat serta pandangan masyarakat
termasuk tokoh akademik, pemimpin badan bukan kerajaan (NGO), guru, ibu bapa
dan murid sebelum satu keputusan muktamad diumumkan,
demikian dijelaskan beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri dalam jawapan
bertulis kepada soalan Teck Meng itu.
Soalan itu mungkin ada kaitan
dengan usul yang dikemukakan oleh pihak kementerian pada Julai lepas
membenarkan murid membawa peralatan komunikasi seperti telefon bimbit dan iPad
ke sekolah bermula pada tahun depan. Bagaimanapun cadangan itu mendapat
bantahan terutama daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan guru yang
rata-rata berpandangan langkah tersebut akan mengundang lebih banyak masalah
selain menjejaskan pembelajaran murid.
Sesungguhnya isu telefon bimbit
ini dinyatakan dengan jelas melalui Surat Pekeliling Iktisas Bil. 11/2005 Garis
Panduan Penggunaan Telefon Bimbit Oleh Murid Sekolah dan Surat Pekeliling
Iktisas Bil. 2/2009 Penguatkuasaan Larangan Membawa Dan Mengguna Telefon Bimbit
Oleh Murid Di Sekolah.
Kedua-dua Pekeliling ini tidak
membenarkan telefon bimbit dibawa ke sekolah bertujuan mendidik murid
menggunakan alat tersebut dengan cara yang betul dan larangan ini hanya berkuatkuasa
dalam kawasan sekolah.
Penggunaan alat itu tanpa kawalan
boleh mengganggu kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran. Selain itu
boleh mendatangkan pelbagai masalah disiplin seperti kecurian, pergaduhan serta
penyebaran bahan maklumat yang boleh mempengaruhi perlakuan negatif dalam
kalangan murid.
Membawa dan menggunakan telefon
bimbit adalah melanggar peraturan dan boleh diambil tindakan disiplin dengan
hukuman amaran bertulis dan dilarang menggunakan kemudahan sekolah atau
mengambil bahagian dalam program atau aktiviti sekolah untuk satu tempoh
tertentu.
Terdapat dua pandangan berhubung
isu telefon bimbit ini. Pihak yang menyokong akan menggunakan premis era
perkembangan dunia teknologi dan peredaran zaman moden. Bagi mereka penggunaan
alat elektronik ini adalah suatu keperluan dan elok dilihat secara positif
serta menekankan aspek kebaikan yang boleh didapati melaluinya. Dalam zaman IT
ini kecanggihan alat telekomunikasi memang banyak keperluannya, bergantung
kepada kebijaksanaan dan bagaimana alat itu digunakan dalam usaha meningkatkan
kebolehan dan keupayaan murid.
Telefon bimbit masa kini begitu
canggih di mana penggunaannya boleh berfungsi sebagai sebuah komputer.
Mempunyai kemudahan Internet dan boleh menyimpan beribu-ribu maklumat yang
boleh digunakan pada bila-bila masa. Oleh itu sekiranya digunakan dengan cara
yang betul, dapat membantu murid mendapatkan maklumat yang diperlukan dengan
cepat dan berkesan. Dalam hal ini kerjasama dan bimbingan guru sangat
diperlukan supaya penggunaan alat tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
Telefon bimbit juga boleh
digunakan sebagai alat penghubung yang mudah dan cepat. Murid dapat menghubungi
ibu bapa apabila diperlukan seperti memaklumkan perubahan waktu balik sekolah
atau makluman perubahan oleh ibu bapa sendiri. Ia juga boleh digunakan semasa
kecemasan. Misalnya, boleh menghubungi segera guru atau ibu bapa jika berlaku
perkara yang tidak diingini seperti kejadian buli, peras ugut atau culik.
Namun demikian di pihak satu lagi
adalah pandangan sebaliknya. Menurut mereka jika dibenarkan akan menimbulkan
jurang perbezaan antara murid yang berada dengan yang tidak mampu. Sudah tentu
murid yang datang dari keluarga yang berpendapatan tinggi dan menengah atas
tiada masalah menyediakan alat itu untuk anak mereka. Tetapi murid daripada
keluarga berpendapatan rendah telefon bimbit adalah suatu peralatan mewah.
Suasana ini boleh melebarkan
jurang dan rasa rendah diri bagi mereka yang tidak mampu. Matlamat sekolah
sebagai tempat untuk mendidik dan membangunkan diri murid yang datang dari
pelbagai latar belakang akan terjejas.
Membawa telefon bimbit ke sekolah
boleh menimbulkan masalah lain seperti kecurian dan pergaduhan. Bagi murid yang
tidak memiliki alat itu mungkin akan mengambil kesempatan untuk mencuri telefon
bimbit rakan mereka. Kejadian ini akan membawa kepada suasana tegang apabila
timbul rasa syak wasangka dan tuduh menuduh akhirnya boleh mengakibatkan
pergaduhan.
Proses pengajaran dan
pembelajaran boleh terganggu apabila murid sibuk menggunakan telefon bimbit
mereka. Tumpuan murid akan terjejas dan tidak dapat mengikuti pengajaran guru
sepenuhnya. Lebih malang murid lain yang tidak memiliki telefon akan turut
terganggu. Ada kalanya alat ini boleh digunakan sebagai kamera video yang dapat
merakam termasuk sesuatu yang lucah atau berbentuk negatif. Dikhuatiri juga
akan menimbulkan perbuatan meniru dalam ujian dan peperiksaan kerana sesuatu
cacatan dan maklumat boleh disimpan dan dilihat pada bila-bila masa.
Jika dibenarkan murid membawa
alat itu ke sekolah maka tugas guru akan bertambah. Sudah tentu guru akan
ditugaskan mengawal dan memantau penggunaannya agar tidak disalahguna. Cuba
bayangkan jika terdapat seribu orang murid di sekolah itu dan semuanya membawa
telefon bimbit sudah tentu sedikit sebanyak akan mengganggu ketenangan dan
ketenteraman sekolah.
Keputusan muktamad Kementerian
Pelajaran sentiasa dinantikan sama ada kekal mematuhi arahan Surat Pekeliling
sedia ada atau membuat perubahan sebaliknya. Atau opsyen ketiga dengan
membenarkannya secara terhad maksudnya hanya kepada murid yang lebih senior.
Sama-sama kita tunggu.
PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan